Tiada kes terhadap Norza untuk SPRM dakwa – Saksi

December 30, 2009 by admin  
Filed under Eksklusif, Featured

TEMERLOH 29 Dis. – Bekas Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Husainy Hashim memberitahu sepucuk surat yang diterima dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan bahawa ‘tidak ada kes’ untuk suruhanjaya itu mendakwa Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Husainy turut menyatakan, kandungan surat tersebut telah meminta UMNO membuat siasatan dalaman sendiri terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu.

”SPRM meminta UMNO sendiri membuat siasatan dalaman dan menjelaskan bahawa SPRM tiada kes untuk mendakwa Mohamad Norza.

”Saya melihat surat berkenaan semasa membawa surat itu untuk diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudden,” katanya pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Mohamad Norza dan ejennya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris yang mengendalikan pemeriksaan utama ke atas Husainy, 64, turut berulang kali meminta saksi pendakwa kelima itu menjelaskan siapa yang mengeluarkan surat berkenaan.

”Kalau tak salah saya surat berkenaan ditandatangani Datuk Shukri, saya tak ingat nama penuhnya tetapi dia pegawai tinggi di SPRM (merujuk kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdul),” ujar Husainy.

Setelah beberapa kali Saiful meminta Husainy mengingati siapa Shukri yang dimaksudkan, peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza mencelah dengan menyoal saksi itu, berapa ramai pegawai yang bernama Shukri di SPRM.

Sewaktu disoal balas oleh Muhammad Shafee, saksi tersebut menyatakan bahawa UMNO telah menjalankan siasatan dan secara kasarnya mendapati tertuduh tidak bersalah.

”Jika ikut prosedur iaitu melalui Lembaga Disiplin saya rasa secara kasarnya dia (Mohamad Norza) tidak bersalah,” ujar beliau.

Beliau menambah kata, sejak 26 Disember 2008, UMNO telah membuat keputusan bahawa segala perkara yang melibatkan politik wang akan dikendalikan sendiri oleh parti itu dan langkah tersebut turut digalakkan oleh SPRM.

”Bagaimanapun keadaan politik negara pada masa itu kurang selesa termasuk beberapa ahli UMNO didakwa di mahkamah, maka Majlis Tertinggi (MT) memutuskan bahawa ahli yang didakwa tidak layak untuk bertanding.

”Lebih baik UMNO sendiri yang menyiasat dan mendisiplinkan sendiri ahlinya daripada terus memalukan parti,” ujarnya.

Semasa pemeriksaan semula, Saiful menegaskan bahawa sekiranya Lembaga Disiplin UMNO menyatakan tidak bersalah, tidak semestinya seseorang itu tidak bersalah.

”Adakan Datuk sedar bahawa ada agensi lain yang boleh melakukan siasatan,” soal timbalan pendakwa raya itu kepada Husainy.

”Saya sedar (setuju),” ujar saksi.

Mohamad Norza, 43, bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO dibicarakan atas tuduhan memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi ejennya, Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT dalam perhimpunan Agung UMNO Mac lalu.

Dia turut menghadapi satu lagi tuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Muhammad Anuar Mohd. Yunus menerusi Halimi bagi tujuan yang sama.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberi suapan kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 6.30 petang, 20 Januari lalu di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh di sini.

Halimi yang merupakan tertuduh pertama diwakili peguam, Jahaberdeen Mohd. Yunoss.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada pukul 10.30 pagi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan lebih awal ekoran bekalan elektrik terputus pada pukul 11.19 pagi.

Meskipun perbicaraan tetap diteruskan sehingga pukul 1 tengah hari, keadaan kurang selesa menyebabkan Hakim Azuar Che Yusof menangguhkannya sehingga 1 Februari tahun depan.

Comments are closed.