Pas Dan Dap Bakal Terjerat Krisis PKR

March 5, 2010 by admin  
Filed under Eksklusif, Featured

Krisis yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bakal memberi tempias kepada rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, Dap dan Pas satu hari nanti dan tidak mustahil menjadi ‘api dalam sekam’ kepada pakatan pembangkang berkenaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata Konflik demi konflik, perbalahan demi perbalahan dan kontroversi demi kontroversi yang melanda parti itu bakal mengheret rakan pembangkang yang lain ke kancah berkenaan.

Menurut beliau, tindakan parti pembangkang yang masih lagi memberi kepercayaan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Ketua pembangkang walaupun kerusi parti itu di Parlimen berkurangan daripada sekutunya Dap akan dipersoalkan rakyat pada satu hari nanti.

“Rakyat akan tertanya-tanya. siapakah yang mempunyai kuasa dominan di kalangan pakatan pembangkang apabila timbul sesuatu isu. Ini kerana Dap mempunyai 28 kerusi, manakala PKR, 28 dan Pas 23, namun Anwar masih lagi Ketua Pembangkang.

“Sudah tentu bukan PKR lagi yang mempunyai kuasa dominan kerana mereka tidak lagi mempunyai majoriti di kalangan parti pembangkang setelah beberapa Ahli Parlimennya mengambil tindakan keluar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas perkembangan yang berlaku di dalam PKR setelah beberapa Ahli Parlimennya mengambil keputusan keluar parti. Semalam, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada PKR

Pengumuman terbaru daripada Mohsin Fadzli, 65, itu menjadikan tiga Ahli Parlimen PKR telah keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada 12 Februari dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng pada 1 Mac.

Turut berbuat demikian pada 28 Februari lalu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang turut mengumumkan menyertai UMNO.

Dengan tindakan terbaru itu, PKR kini mempunyai 28 Ahli Parlimen, DAP (28), Pas (23) dan Bebas (enam). Barisan Nasional (BN) pula menguasai 137 daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN seterusnya menegaskan, pembangkang sebenarnya tidak mempunyai pelan kepimpinan yang menyebabkan mereka terus memberi kepercayaan kepada Anwar sebagai peneraju kepimpinan pakatan pembangkang.

“Apa pun kita tunggu dan lihat perkembangan terkini di dalam krisis kepimpinan di dalam pakatan pembangkang yang semakin hari mengundang masalah,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Khairy menerima kunjungan Pemuda PPP Kebangsaan yang diketuai oleh Sdr Jamaludin Gulamhan bersama Ahli Jawatankuasa yang lain. Turut hadir, Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Exco Pemuda BN yang lain.

Menurut khairy, pertemuan itu antara lain membincangkan strategi serta beberapa perancangan serta pelaksanaan dalam usaha mengukuhkan Pemuda BN berpaksikan semangat 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Pada kesempatan pertemuan hari ini, kita melihat bagaimana Pemuda parti-parti komponen BN khususnya Pemuda PPP dalam usaha memperkemaskan lagi Pemuda BN dalam pelbagai aspek terutama dari sudut program dan pelbagai yang lain.

“Alhamdulillah, hari ini kita melihat komitmen Pemuda PPP dalam membantu menjayakan program Pemuda BN terutama dari sudut penambahan keahlian dan sebagainya. Selepas ini, kita akan bincang bagaimana Pemuda PPP sebagai parti yang keahliannya terdiri daripada pelbagai kaum dapat memainkan peranan di kawasan bandar. Inilah harapan kita kepada semua Pemuda parti komponen yang lain,”katanya.

Pada masa yang sama, Khairy turut merakamkan penghargaan kepada sayap Pemuda parti komponen yang tetap berdiri dan bersatu padu di dalam Pemuda BN meskipun terdapat sesetengah parti induknya menghadapi beberapa masalah.

“Dalam pertemuan dengan Pemuda PPP sebentar tadi pun, kita telah mendapat persetujuan yang mana apa sahaja yang berlaku di dalam parti induk, ianya tidak akan melibatkan Pemuda PPP.

“Malah kita penuh yakin, berdasarkan prinsip ini, Pemuda BN tidak akan terjejas, sebaliknya akan terus kuat untuk membantu dalam membela nasib rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Sumber Laman Web Pemuda

Comments

8 Responses to “Pas Dan Dap Bakal Terjerat Krisis PKR”
  1. wansalman says:

    “Malah kita penuh yakin, berdasarkan prinsip ini, Pemuda BN tidak akan terjejas, sebaliknya akan terus kuat untuk RASUAH MERASUAH dalam membela nasib rakyat pelbagai kaum,” katanya.

  2. wansalman says:

    Hasil haram
    Anak Sengat

    Beberapa hari ini semakin banyak katak melompat. Mungkin kerana hujan dah mula turun. Penang dan Perak mula menerima hujan setelah beberapa panas melanda. Katak katak mula melompat di negeri tersebut.

    Segala alasan yang dibuat oleh katak tersebut ialah hilang kepercayaan kerana Pakatan Rakyat gagal mempertahankan agama kononnya. Sebahagiannya kerana alasan gagal mempertahan kan bangsa.

    Dalam ramai ramai yang keluar kerana kecewa PR gagal mempertahankan agama dan bangsa, terselit seekor katak cina di Penang yang juga kecewa dengan ketua menteri. Mungkin katak cina ini berjiwa melayu dan islam agaknya.

    Terakhir ialah MP yang tak pernah dikenal namanya melainkan kulaan di Bagan Serai. Saya pernah berkempen dalam pilihan raya lalu di Bagan Serai tapi saya tidak berkempen untuknya kerana saya tidak mengenal beliau yang ketika itu datang dengan kereta besar dan tak pedulikan orang selain hanya bersalam setelah bercakap beberapa patah perkataan. Saya tak tahu kereta sendiri atau dipinjamkan kepadanya. Saya datang atas tanggungjawab tugas di bawah Penerangan pemuda PAS Negeri Perak.

    Aalasannya juga sama kerana hilang kepercayaan kepada PR kerana gagal mempertahankan nama Allah. Pimpinan PAs telah menjelaskan dalil yang kukuh alasan penggunamaan Allah serta batasnya.

    Beliau hilang kepercayaan kepada parti lalu meninggalkan parti. Apakah beliau lupa bahawa beliau mewakili parti yang sepatutnya apabila beliau hilang kepercayan kepada parti, pengundi juga hilang kepercayaan kepadanya. Sepatutnya bukan meninggalkan parti tetapi meninggalkan kerusi.

    Inilah masalahnya golongan yang tak sedar diri, Merasa sokongan yang diterima adalah atas kapasiti peribadi . Seorang yang sayang kepada nama Allah tentulah juga sayang kepada hukum Allah.

    Seorang yang sayang kepada hukum Allah tahu jika dia mendapat gaji dari hasil sokongan orang ramai yang dikhianati adalah hasil haram, melainkan sememangnya hasil haram itulah yang dicari,maka tentu dia sanggup melakukan apa sahaja demi hasil haram yang diburunya.

  3. wansalman says:

    Zaid nasihat Najib cari keuntungan jangka panjang | Print | E-mail
    Nazri Abdullah

    PETALING JAYA, 5 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menghentikan segera usaha ‘mencuri’ wakil rakyat Pakatan dan menjaga kehormatan demokrasi negara.

    Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim pada sidang media di kediamannya siang tadi berkata, Najib seharusnya memikirkan masa depan demokrasi negara dan bukan bertindak untuk keuntungan jangkamasa pendek kuasa Umno dan BN di Parlimen semata-mata

    “Kenapa perlu kita curi sana curi sini, tak perlu lah…saya meyeru kepada perdana menteri hentikan semua ini, berikan ruang kepada demokrasi untuk hidup,” katanya.

    Tambahnya lagi, Najib seharusnya meneladani sikap perdana menteri terdahulu seperti Tun Abdul Razak dan Tun Abdullah Badawi yang didakwa pernah berpesan tidak menggunakan cara yang salah seperti membeli wakil rakyat.

    “Di bawah pemerintahan Pak Lah, waktu saya masih dalam kepimpinan Umno Kelantan. Kelantan pada masa itu Barisan hanya satu atau dua kerusi kurang, Pak Lah memberi pesan tidak boleh sesekali kita menggunakan apa-apa cara yang tidak bermoral untuk suruh orang lompat ini,” katanya lagi.

    Episod rampasan kuasa di Perak ekoran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu lompat jelasnya, sudah cukup menghancurkan sistem demokrasi negara dan wajar dihentikan segera.

    Beliau turut mempersoal keghairahan BN yang didakwa ‘mencuri’ wakil rakyat bagi mengembalikan kuasa majoriti dua pertiga di parlimen sedangkan dalam keadaan sekarang BN sudah mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk membuat apa-apa keputusan.

    “Apa yang gila sangat dengan dua pertiga ni untuk apa? Kenapa obses sangat?

    “Kalau kita dulu kaya sekarang kita miskin, kita kena lah sesuaikan diri dengan keadaan kita, kita tidak boleh merompak lagi untuk menjaga tahap hidup kita yang kaya,” katanya.

    Umno BN jelasnya perlu akur dengan keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu yang telah menafikan majoriti dua pertiga parti itu di Parlimen.

    Untuk mengembalikan semula penguasaan mereka, Umno BN jelasnya perlu menunggu PRU ke-13 dan bukan bertindak ‘mencuri’ Ahli Parlimen Pakatan.

    “Pada pendapat anda, adakah England kukuh kerana mereka mempunyai dua pertiga (majoriti)? Tak! England tidak pernah dalam sejarah ada majoriti dua pertiga.”

    Selain England, beliau turut memberi contoh Amerika dan Jepun yang menjadi kuasa besar bukan kerana kelebihan majoriti dua pertiga di parlimen.

    “Negara mereka kuat kerana pembangkang kuat, kerajaan terpaksa kreatif, tidak rasuah, kalau tidak (kerajaan) jatuh, bukan kerana dua pertiga,” katanya.

    Sebelum ini beberapa wakil rakyat PKR bertindak keluar parti dengan alasan hilang keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    VIDEO

  4. wansalman says:

    Kenapa Mufti Perak sanggup berbohong?
    Herman Samsudeen

    Membaca pengakuan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam Malaysian Insider berhubung usahanya memujuk PAS untuk bekerjasama dengan Umno bagi mewujudkan Kerajaan Campuran di Perak, pasti ramai yang sudah menduga, tapi tidak kurang juga yang kesal dan menganggapnya sebagai tindakan yang sia-sia.

    Malah ramai yang kesal kerana beliau sebagai seorang Mufti rela diperkudakan untuk menjadi ejen Umno bagi memujuk PAS.

    Paling menyedihkan kerana Umno, beliau sanggup mengkhianati jubah Muftinya dan berbohong kepada rakyat dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Ahli Majlis Syura Ulama PAS, yang juga Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu Ustaz Ahmad Awang menjelaskan;

    “Apa yang beliau (Harussani) cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul (bohong),”

    Ustaz Ahmad turut menjelaskan bahawa dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda. Malah perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu pun tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya.

    Memang jelaslah Harussani begitu taksub pada Umno, dan layaknya beliau berhenti jadi Mufti dan bertanding sebagai calon Umno kalau mahu tubuh Kerajaan dan jadi menteri Besar.

    Harussani sudah lupa bahawa sekarang dia masih lagi Mufti Perak. Dan amat tidak wajar beliau bercakap tentang isu ini sekarang kerana Umno sudah kembali merompak kuasa di Perak dan tubuh Kerajaan haram. Jadi apa jadahnya beliau bangkitkan hal ini dalam Forum di UKM.

    Mahu sindir PAS? nak bagitau bahawa PAS sekarang sudah rugi? Memang jelas beliau ada niat yang tidak baik bila mengungkitkan hal itu. Sejak dapat gelaran Tan Sri ni, makin galak beliau berjuang untuk Umno.

    Yang pasti beliau sudah bekerjasama dengan kezaliman yang tidak diredhai rakyat dan Islam.

    Kalau Khalifah Umar hidup lagi, pasti beliau dah kena tampar sebab bersekongkol dengan penzalim, perasuah dan pemimpin-pemimpin Umno yang begitu taat sembah tugu negara setiap tahun.

    Beliau sebelum ini begitu semangat bicara soal murtad, tapi apa pula hukum Pak Lah dan Najib sembah tugu negara?

    Adakah itu amalan yang dituntut oleh Islam.

    Bagaimana pun dengan cara Umno rompak kerajaan Perak. Halalkah?

    Ingatlah wahai Harussani…jangan hanya tahu harus sana sini. Gunakanlah ilmu yang ada untuk bercakap benar, bukannya berbohong. Bersamalah dengan kebenaran kalau tidak mahu lari sana-sini di Padang Mahsyar nanti.

  5. wansalman says:

    Harussani perlu perbetulkan Umno terlebih dahulu | Print | E-mail
    Harakahdaily

    IPOH, 6 Mac: Pemuda PAS Perak menegaskan bahawa Umno yang telah bertindak zalim terhadap rakyat selama ini yang perlu dinasihati terlebih dahulu oleh Tan Sri Harussani Zakaria.

    “PAS tidak akan bersekongkol dengan Umno yang zalim terhadap rakyat. Apa yang harus Tan Sri Harussani lakukan sekarang ialah membetulkan Umno terlebih dahulu yang bertindak di luar batasan dan hak rakyat,” kata Naib Ketua Pemuda PAS negeri, Salman Saleh.

    Beliau juga melahirkan kekesalan dengan mufti berkenaan yang menggunakan kedudukannya sebagai pegawai agama kerajaan mengheret Seri Paduka Sultan Perak di dalam memastikan hasrat dan agenda Umno terlaksana.

    Tegasnya, Pemuda PAS negeri tidak mahu mengheret Harussani berpolitik kepartian tetapi jika beliau sudah bersedia dan yakin akan Umno, maka dipersilakan berbuat demikian.

    Salman turut menasihatkan mufti itu agar tidak membuat sokongan terbuka berkaitan politik jika mahu dihormati oleh rakyat sepertimana yang telah didedahkannya di dalam laporan media baru-baru ini.

    “Harussani tidak harus menggunakan pentasnya sebagai pegawai agama kerajaan menunjukkan sokongannya terbuka kepada mana-mana parti politik di dalam negara kita,” ujarnya.

    Tambahnya, dengan sikapnya berpihak itu akan memberikan gambaran bahawa beliau benar-benar sebagai penyokong kuat sebuah parti.

    “Persoalan yang perlu dijawab oleh Tan Sri Harussani di dalam isu kerajaan perpaduan yang cuba beliau burukkan PAS di dalam perkara ini, beliau perlu ikhlas di dalam menyatakan kebenaran jika Umno yang begitu zalim membolehkan kita sebagai umat Islam bersama dengan golongan seperti ini,” ujarnya lagi.

  6. garunggang says:

    Kalau kerajaan Perak dibawah kerajaan BN tu zalim dah tentu Allah akan menurunkan bala kepada Negeri Perak. Tapi negeri Perak terus aman dan sejahtera.
    Masa Perak dibawah PR dulu itu juga Muftinya tapi BN tak kutuk pun bila dia keluarkan kenyataan yang kurang menyenagkan kerajaan pusat.
    Allah memang adil dan saksama kerana dia yang mengaturkan kemenangan kepada PR untuk menguasai 5 negeri.Mungkin tujuannya untuk memberikan kuasa kepada PR dan menguji bagaimana PR mentadbir.
    Krisis diPerak semuanya mengikut proses undang undang.Sekiranya perkara ini terjadi kepada PR mereka juga akan melakukan strategi seperti BN.
    Tapi jangan risau segalanya akan berubah pada PRU yang ke 13. Adakah pihak PR dah membuat servey kepada seluruh rakyat Perak yang mereka setuju bahwa DUN patut dibubarkan sekarang?
    Kalau benarlah rakyat Perak semua bersetuju DUN dibubarkan sudah tentu beratus ribu rakyat Perak akan keluar mengadakan demontrasi tapi sebaliknya.

  7. wansalman says:

    NIK AZIZ: Harussani Mufti atau Mufta? | Print | E-mail
    Nik Abdul Aziz Nik Mat

    Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

    Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.

    Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,

    “Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

    “Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    “Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

    “Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

    Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.

    Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?

    Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!

    Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

    Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.

    NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

    Pejabat Menteri Besar Kelantan.

    21 Rabiul Awal 1431 / 7 Mac 2010

  8. imuc says:

    israel pon semakin besar pengaruhnya, bila Allah nak turun bala garunggan… amerika pon baik juga kan… cetek btl akal

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or you can register now.