Najib: Matlamat memantapkan penguasaan bahasa Inggeris masih sama

July 9, 2009 by admin  
Filed under Eksklusif, Featured

dsnajib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata matlamat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara masih sama walaupun kaedah pelaksanaannya berbeza apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata usaha pemantapan itu akan dibuat melalui penambahan waktu pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris, penambahan guru bahasa Inggeris serta memperkenal makmal bahasa itu.

“Jika keadaan mengizinkan, kemungkinan kita akan jadikan kelulusan dalam bahasa Inggeris sesuatu yang wajib di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini semua menggambarkan kerajaan amat prihatin tentang betapa pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang amat baik untuk menentukan kita boleh bersaing dalam era globalisasi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke-9 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kabinet semalam menggantikan PPSMI dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or you can register now.