PM Yakin Sasaran Tarik Pelaburan RM115 Bilion Dicapai Melalui Ekosistem Kondusif

June 17, 2010 by admin  
Filed under Keratan Akhbar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan yakin sasaran kerajaan untuk menarik pelaburan swasta RM115 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) akan dicapai melalui pelaksanaan ekosistem yang kondusif.

Perdana Menteri berkata sasaran itu, yang amat besar, perlu diikuti dengan tindakan susulan yang bersifat meningkatkan pembangunan ekosistem untuk membolehkan matlamat itu tercapai.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata ekosistem itu perlu dilihat dari pelbagai sudut, termasuk pekerja yang lebih produktif, berkemahiran dan efisien yang akan melibatkan banyak latihan.

“Ia termasuk keefisienan pasaran, iaitu menjadikan pasaran negara lebih kompetitif,” katanya pada majlis pelancaran kempen Beli Barangan Buatan Malaysia 2010 di sini.

Yang turut hadir adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yakcob.

Mengenai Kempen Beli barangan Buatan Malaysia, katanya kempen seperti ini akan meningkatkan produktiviti syarikat tempatan.

Beliau, yang menyifatkan kempen seperti itu sebagai usaha tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi yang boleh dilaksanakan, berkata perbelanjaan melalui kempen itu akan memberi kesan limpahan.

Ini ialah kerana pendapatan para peruncit atau pengeluar tempatan akan meningkat dan guna tenaga akan bertambah dan kesannya, syarikat yang mendapat keuntungan akan membuat pelaburan semula, meningkatkan teknologi pengeluaran dan menghasilkan produk yang berinovasi untuk dipasarkan, katanya.

“Mereka akan lebih berani untuk melabur dan semakin tinggi daya saing mereka bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan turut mengambil peranan sebagai pemangkin dan mempromosikan keefisienan pasaran untuk membolehkan sektor swasta membuat keputusan pelaburan.

Kempen seperti ini, katanya tidak boleh dilihat seperti langkah perlindungan kerana ia bertujuan merangsangkan lagi peranan sektor swasta supaya negara dapat memupuk syarikat swasta yang kompetitif di pasaran dunia.

“Kempen seperti ini diharap akan dapat merangsangkan lagi ekonomi tempatan,” katanya.

Comments

One Response to “PM Yakin Sasaran Tarik Pelaburan RM115 Bilion Dicapai Melalui Ekosistem Kondusif”
  1. wansalman says:

    PELAN EKONOMI UNTUK MENINGKATKAN KEKAYAAN KRONI DAN KALANGAN KELUARGA UMNO.

    ++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
    Saya belanja Petra dan Bala makan ais kacang – Zaid
    Harakahdaily

    KUALA LUMPUR, 5 Julai: Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan beliau akan bertemu dengan bekas pengawal pribadi rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda iaitu P Bala Subramaniam untuk makan dan minum bersama beliau selepas polis dan SPRM enggan bertemu beliau.

    Dalam tulisan terbarunya dari Kota London, Zaid berkata, oleh kerana polis dan SPRM enggan dan takut bertemu Raja Petra dan Bala, beliau dan rakannya akan bertemu mereka berdua dan belanja mereka makan ais kacang.

    Zaid dipercayai mengulas pelbagai tuduhan termasuk membiayai kedua-duanya (Petra dan Bala) yang kini dikatakan pelarian ekoran diburu polis.

    Dalam hal ini, Zaid mendakwa, polis bukan memburu kedua-duanya.

    “Mula-mula, kita dengar PM Najib kata beliau penuh yakin polis akan menangkap Raja Petra; tapi dah 12 bulan polis tak buat apa-apa. Dan betul lah saperti kata Khairy, Raja Petra selalu ada di khalayak ramai, di London dan Manchester. Kalau saya dan ratusan rakyat Malaysia tahu dan dah pun bertemu dengan Raja Petra, takkan Polis tak tahu. Mustahil,” tulis Zaid dalam blognya.

    Menurut Zaid, Bala ada di London. Minggu depan, dia akan ka Paris untuk bertemu dengan pihak penyiasatan Perancis.

    “Tapi Polis Malaysia tak berminat bertemu dengn kedua-dua manusia ini. Persoalannya mengapa?” tanya Zaid dalam tulisannya.

    Menurut Zaid, yang dihebohkan oleh Menteri Hishammuddin, MP Zahrain dan Utusan Malaysia ialah apa hubungan beliau dengan Raja Petra.

    “Soalan yang patut ditanya: mengapa tidak ada tindakan terhadap Raja Petra kalau dia ada membuat kesilapan? Beritahulah kepada rakyat apa dia kesalahan itu. Ada waran yang dikeluarkan untuk menangkapnya? Setahu saya, tidak ada. Jadi kalau Raja Petra tidak membuat apa-apa kesalahan, mengapa pula saya tak boleh tengok bolasepak dengannya?” katanya.

    Sebenarnya, bagi Zaid, PM Najib takut kapada kedua-dua manusia ini. Lalu berlakonlah mereka, kononnya Raja Petra dilaporkan berada di Brisbane, Australia dan di mana saja.

    “Mereka sebenarnya tahu dimana Raja Petra dan di mana Bala. Malah Polis telah pun bertemu Bala di Bangkok, tetapi setakat ini, membisu sahaja. Inilah yang rakyat mahu tahu, mengapa tidak ada siasatan terbuka terhadap kedua-dua mereka ini,” katanya.

    Tulis Zaid, “PM Najib berkata kita tidak boleh percaya kepada Raja Petra; tetapi kita juga tak boleh percaya buta tuli kepada PM Najib.

    “Jadi buatlah satu penyiasatan yang bebas dan terbuka, dan beri jaminan kepada kedua-dua mereka tentang keselamatan diri dan keluarga mereka, dan jaminan mereka tidak akan ditahan dibawah ISA.

    “Saya percaya mereka akan pulang ke Malaysia untuk mempertahankan kenyataan mereka yang dibuat tempoh hari,” tulisnya lagi.

    Menurutnya, jika mereka berdua benar-benar kaki penipu dan memalukan pemimpin negara, maka hukumlah mereka.

    “Itu cara pemimpin yang reformis dan baik, bukan berlakon menggunakan Polis dan akhbar menimbulkan buruk sangka setiap hari terhadap orang lain,” katanya.

    “Saya terpaksa berhenti disini. Nak ke Holiday Villa London dalam masa sejam lagi nak bertemu Bala. Bukan apa. Kerana Polis dan MACC tak mahu dan takut bertemu Bala dan Petra, saya dan kawan kawan akan belanja mereka ais kacang,” kata Zaid mengakhiri tulisannya.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or you can register now.