Jangan cantas-mencantas sesama pemimpin – Najib

March 1, 2010 by admin  
Filed under Cakap-cakap Politik

KUANTAN 28 Feb. – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan satu garis panduan agar semua pemimpin menjauhi perbuatan cantas-mencantas bagi menjamin kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga telah menasihatkan agar pemimpin semua peringkat mengelakkan perbuatan itu kerana ia hanya menimbulkan banyak masalah kepada parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, Perdana Menteri mengeluarkan garis panduan itu bertujuan menghapuskan budaya cantas-mencantas yang berlaku dalam UMNO dan juga parti-parti komponen BN.

“Kalau cantas-mencantas ini bukan sahaja dalam MCA, dalam parti UMNO juga berlaku. Presiden UMNO telah pun keluarkan satu garis panduan dan juga menasihatkan pimpinan semua peringkat supaya jangan cantas-mencantas. Kalau ini berlaku, kita akan menghadapi masalah dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pasar tani di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, semua parti komponen perlu bergabung tenaga bagi memastikan kemenangan memihak BN pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menasihatkan pemimpin parti MCA yang sedang bertelingkah supaya tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan kepentingan parti dan masyarakat Cina yang mereka wakili.

“Saya fikir, Presiden MCA (Datuk Seri Ong Tee Keat), dan juga mereka yang bertelingkah ini kena berfikir agar tidak pentingkan diri sendiri, pentingkan parti dan masyarakat Cina yang diwakili oleh MCA dan juga parti Gerakan.

“Kedua-dua parti ini mewakili masyarakat Cina. Kalau MCA tak kuat dan Gerakan juga tidak kuat, mana orang Cina hendak bergantung? Sudah tentu kepada DAP kerana mereka tidak ada pilihan,” katanya.

Jelas beliau, kenyataannya itu tidak bermaksud beliau dan UMNO hendak mencampuri urusan dalaman parti lain, sebaliknya hanya ingin membantu supaya mereka kembali bersatu bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

“Mereka harus sedar, kalau tidak kembali bersatu, mereka akan kalah dalam pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Lajim berkata, beliau akan mengemukakan permintaan UMNO bahagian Kuantan yang merupakan kawasan angkatnya kepada pucuk pimpinan parti, supaya jawatan Pengerusi BN bahagian itu yang kini disandang oleh MCA dikembalikan kepada UMNO.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengannya hari ini, UMNO bahagian tersebut mahu supaya perkara tersebut dikaji semula dengan mengambil kira kedudukan UMNO yang memenangi dua daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum lalu.

“UMNO bahagian juga mahu pucuk pimpinan mengkaji semua tentang pemilihan calon yang juga faktor penentu kemenangan parti, dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

“Walaupun dalam parti komponen, kita mahu calon itu harus faham tentang situasi UMNO dan sensitiviti orang Melayu. Jangan menang, kemudian sensitiviti orang Melayu diketepikan,” katanya.

Mengenai kedudukan UMNO bahagian Kuantan, Lajim berkata, beliau telah menasihatkan pemimpin di semua peringkat supaya bekerja kuat dan tidak menunggu sehingga waktu pilihan raya atau dipilih menjadi calon, dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, mengambil kira kesepakatan di kalangan pemimpin di semua peringkat, beliau yakin UMNO bahagian Kuantan mampu merampas kembali kerusi Parlimen yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya akan datang.

“Insya-Allah kita akan merampas semula Parlimen Kuantan. Apa yang penting, kita semua bekerja kuat dan turun padang,” katanya.

Comments

One Response to “Jangan cantas-mencantas sesama pemimpin – Najib”
  1. wansalman says:

    Umno tidak pernah hormati Perlembagaan | Print | E-mail
    Dzulfikar Mashoor

    PETALING JAYA, 4 Mac: Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat mendakwa Umno tidak pernah menghormati empat inti utama Perlembagaan, iaitu Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istitusi raja berperlembagaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan istimewa rakyat Melayu.

    “Umnolah yang nak hapuskan agama Islam dari Persekutuan, nasib baik Majlis Raja-Raja Melayu tampil mempertahankan penggunaan nama Islam untuk terus digunakan pertubuhan, termasuk oleh PAS sebelum ini,” jelas beliau dalam forum Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Masa Depan Politik Malaysia, malam tadi

    Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Johor menegaskan bahawa Umno turut bertanggungjawab membiarkan pelajar-pelajar berbangsa Melayu hidup dalam berhutang apabila menghapuskan biasiswa yang menjadi manifestasi hak istimewa orang Melayu menurut Perlembagaan.

    “Begitu juga dengan hak istimewa orang Malayu, Umnolah yang menukarkan biasiswa pada PTPTN (Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional) hingga semua anak Melayu dipaksa hidup dalam berhutang,” tegas beliau di depan lebih 200 pendengar yang hadir.

    Tambahnya lagi, Umno jugalah yang bertanggungjawab meminggirkan bahasa Melayu di tanah air dengan memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ini.

    “Tidak seperti Umno, walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menurut Perlembagaan, dialah (Umno) seolah-olah mengetepikan Perlembagaan dengan memperkenal dasar PPSMI.”

    Berbeza dengan muafakat Pakatan Rakyat, beliau berkata, PAS, DAP dan PKR dilihat saling menghormati prinsip kepartian masing-masing, di samping memberi jaminan untuk memelihara hak-hak yang sedia ada menurut Perlembagaan.

    “Dasar Pakatan Rakyat yang baru ini dilihat berbeza dengan dasar Umno Barisan Nasional sebelum ini di mana kesepakatan ketiga-tiga parti politik ini (iaitu PAS, DAP dan PKR) saya lihat, begitu menghormati kepelbagaian yang sedia ada,” jelasnya.

    “Dasar bersama yang dibuat dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Disember lepas, saya lihat begitu jelas menghormati Perlembagaan Malaysia itu sendiri.”

    Budaya seling menghormati itu, menurut beliau, sekaligus menafikan dakwaan Umno sebelum ini, iaitu PAS, PKR dan DAP tidak mampu memerintah Malaysia kerana mempunyai cita-cita politik yang berbeza-beza.

    “Sebelum ini, 3 parti politik ini dianggap oleh Umno (dan) BN sebagai tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain. PAS dianggap sebagai ekstremis agama ala Taliban di Afghanistan, DAP pula dianggap sebagai parti cauvinis Cina berideologi komunisme dan PKR pula dianggap sebagai agen Yahudi di Malaysia,” ujarnya.

    Beliau turut menjawab beberapa tuduhan yang lazim dilemparkan oleh Umno kepada Pakatan Rakyat.

    “Kalaulah DAP sebagai cauvinis Cina, takkanlah mereka bersetuju dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi (menurut Perlembagaan).

    “Sekiranya benar, PAS berfahaman ekstrem, sudah tentu PAS tidak boleh menerima pendekatan toleransi yang diperkenalkan dalam Pakatan Rakyat.

    “PKR pula dituduh sebagai pro Yahudi sedangkan rakyat umum tertanya-tanya tentang hubungan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri Malaysia) dengan sebuah konsultan perunding imej yang dikaitkan dengan Yahudi,” jelasnya.

    Selain Suhaizan, forum tersebut turut membariskan Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Amiruddin Shari (Adun Batu Caves), Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia), Chin Tong (Adun Bukit Bendera) merupakan antara panelis yang diminta membahaskan proposal berkaitan dasar-dasar bersama PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

    Dalam perkembangan berkaitan, forum anjuran Sepakat tersebut merupakan forum lanjutan pada Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember tahun lalu.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or you can register now.