Buktikan UMNO tidak perjuangkan Islam – TPM
July 7, 2009 by admin
Filed under Featured, Keratan Akhbar
KUALA KRAI 9 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pas supaya membuktikan semasa pilihan raya kecil Manik Urai bahawa UMNO tidak memperjuangkan Islam selama parti itu memerintah negara.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata, parti itu yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada Pas dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.
“Kalau dilihat dalam Perlembagaan UMNO salah satunya adalah untuk menegakkan syiar Islam,’’ katanya ketika berucap kepada penduduk kawasan Manik Urai Lama pada hari ketiga kempen pilihan raya kecil Manik Urai di sini malam tadi.
Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain, `menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama’.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau terkejut dengan dakwaan Pas yang menuduh parti itu tidak memperjuangkan Islam dalam ceramah politiknya untuk menarik sokongan 12,293 pengundi Manik Urai. – Bernama



