Isu debat calon Ketua Pemuda UMNO -Khairy jumpa Hishammuddin
October 31, 2008 by Pendeta · 2 Comments
PETALING JAYA 30 Okt. – Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan berjumpa dengan ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa terdekat berhubung cadangannya diadakan debat terbuka bagi calon-calon yang bertanding jawatan ketua pergerakan itu.
Khairy berkata, beliau akan berjumpa dengan Hishammuddin untuk menjelaskan mengenai cadangan yang dikemukakan beliau di samping meminta restu daripadanya.
“Saya hormat (Datuk Seri) Hishammuddin Tun Hussein sebagai Ketua Pemuda dan sedar semua ini merupakan prosedurnya. Debat terbuka itu merupakan cadangan peribadi saya.
“Saya akan jumpa beliau dalam masa terdekat untuk jelaskan mengenai cadangan itu dan minta restu. Terserah kepada beliau untuk teruskan (cadangan debat) atau tidak,” katanya ketika ditemui pada forum ‘Dialog Barat-Islam: Kedudukan Kita dan Hala Tuju Kita’ di International Institute of Advance Islamic Studies (IAIS) Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Hishammuddin mahu anggota pergerakan itu merujuk kepadanya terlebih dahulu berhubung isu debat antara calon ketua sayap kanan parti berkenaan kerana beliau masih menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO hingga Mac depan.
Beliau berkata, apa saja yang mahu dilaksanakan dan berkaitan Pemuda UMNO perlu merujuk kepadanya sebagai ketua supaya ia boleh dibincangkan dan diperhalusi bagi mengelak berlakunya perkara yang menjejaskan imej parti.
Seorang lagi calon bagi jawatan itu, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyahut cabaran Khairy untuk berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing.
Bagaimanapun, Datuk Mukhriz Mahathir yang turut dicalonkan merebut jawatan nombor satu dalam sayap itu tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana berpendirian bahawa soal pemilihan parti merupakan hal ehwal dalaman UMNO.
– Bernama
Pembelian Eurocopter Akan Dibincang - Najib
October 29, 2008 by Pendeta · 9 Comments
PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri berhubung penangguhan pembelian helikopter Eurocopter EC725.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ini kerana kerajaan telah memutuskan agar projek yang tidak mempunyai kesan yang besar dikaji semula pelaksanaannya agar peruntukan yang boleh dijimatkan itu dapat diguna untuk membangunkan ekonomi dan dapat dirasai oleh rakyat.
“Oleh itu, dalam mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Negara baru-baru ini, kita telah bincang beberapa projek yang boleh dikatakan sebagai ‘lumpy expenditure’ yang boleh dikaji semula.
“Bagaimanapun, kita telah serahkan perkara ini untuk dirunding dengan kementerian yang berkenaan khususnya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan mesra Aidilfitri anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725, yang keseluruhannya bernilai RM1.679 bilion, pada masa ini sehingga keadaan krisis ekonomi dunia kembali stabil.
Najib berkata jika Kementerian Pertahanan boleh menerima prinsip ini, projek-projek seperti itu boleh dikaji semula pelaksanaannya sama ada ditangguhkan pelaksanaannya atau pembayarannya dipanjangkan.
“Jadi, khusus tentang pembelian Eurocopter ini, kita akan bincang dengan Kementerian Pertahanan dari segi kaedah yang paling sesuai.
“Walaupun ada keperluan dari segi airforce kerana pesawat Nuri ini terlalu lama dan banyak Nuri yang telah jatuh terhempas dan ramai yang telah terkorban jadi, sebab itulah tender antarabangsa telah dipanggil untuk menggantikan pesawat Nuri,” katanya._Bernama
Kabinet mungkin dirombak
October 24, 2008 by admin · Leave a Comment
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rombakan Kabinet mungkin akan dilakukan dalam masa terdekat berikutan perubahan kepada pucuk kepemimpinan dalam MCA selepas pemilihan parti itu minggu lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Presiden MCA yang baru, Datuk Ong Tee Keat, perlu berjumpa dengannya untuk memaklumkan sebarang cadangan perubahan wakil parti itu dalam Kabinet yang mahu dilakukan.
Katanya, sudah semestinya Ong akan menemui beliau selepas memegang jawatan Presiden parti itu.
“(Rombakan Kabinet) mungkin berlaku tapi Ong sebagai Presiden MCA kena jumpa saya dulu. Jika dia mahu buat perubahan dia kena maklumkan kepada saya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Perwakilan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) di sini semalam.
Perdana Menteri berada di sini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) Ketujuh, yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.
Pada pemilihan pucuk pimpinan MCA, 18 Oktober lalu, Ong yang juga Menteri Pengangkutan dipilih sebagai Presiden menewaskan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng dalam pertandingan satu lawan satu.
Presiden MCA sebelumnya, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mempertahankan jawatan. Bagaimanapun keputusan yang mengejutkan beberapa pihak ialah kemenangan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk jawatan Timbalan Presiden yang memperoleh 1,115 undi mengalahkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,001 undi).
Empat kerusi Naib Presiden menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha mendahului senarai dengan 1,798 undi; diikuti Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai (1,725); Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen (1,659) dan Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor, Tan Kok Hong (1,329).
Ketika ditanya sama ada Ong sudah menetapkan tarikh bertemunya, Abdullah berkata, sehingga kini belum lagi.
“Saya ke sini (untuk menghadiri Mesyuarat Asem)… dia pun sibuk, saya pasti apabila pulang nanti (dia akan bertemu saya),” katanya.
Ditanya mengenai kemenangan Dr Chua dan sama ada wujud kemungkinan beliau akan dilantik menganggotai Kabinet jika berlaku rombakan, beliau berkata: “Pada waktu ini, saya tak dapat beri apa-apa pandangan kerana perlu mendengar pendapat Ong mengenai perkara itu.”
Ketika ditanya sama ada Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan Mac tahun depan akan dibawa kepada Disember ini, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata: “Apa yang sudah diputuskan mengenai peralihan kuasa tetap pada Mac tahun depan seperti dipersetujui.”
Shahrir akan umum penurunan harga barang Jumaat ini
October 21, 2008 by admin · 3 Comments
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad akan mengumumkan penurunan beberapa harga barang keperluan pengguna yang bukan di bawah kawalan kerajaan Jumaat ini.
Katanya, penurunan itu melibatkan harga beberapa barangan keluaran sebuah syarikat pengeluar dan pengilang tersebut yang mempunyai pasaran dunia yang agak besar.
“Hari Jumaat ini akan saya umumkan bagi pihak syarikat pengilang tersebut. Ini adalah satu permulaan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
- Utusan
PM: Jangan Cetuskan Huru-hara Politik Atau Porak Perandakan Masyarakat
October 20, 2008 by admin · 5 Comments
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak di negara ini bahawa kini bukan masanya bagi mereka mencetuskan suasana huru-hara politik atau melakukan sesuatu yang boleh memporakperandakan masyarakat.
Read more
Mukhriz 62, Khairy 34, Khir 26
Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan ke-34 dari bahagian Jelutong, Pulau Pinang untuk jawatan ketua Pemuda, dan memerlukan lima pencalonan lagi untuk layak bertanding jawatan tersebut.Jelutong juga mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua
Muhyiddin tanding Timbalan Presiden UMNO
October 10, 2008 by admin · Leave a Comment
PUTRAJAYA 10 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu pada Mac depan.
Naib Presiden UMNO itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira atas bahawa UMNO yang akan diterajui oleh bakal Presiden yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan barisan kepimpinan yang teguh, bersatu serta sentiasa menyokong dan membantu beliau terutama di dalam usaha mengatasi cabaran semasa.
Rasuah seks: JAIP tubuh jawatankuasa siasatan esok
October 7, 2008 by admin · 6 Comments
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) akan mengadakan satu mesyuarat khas esok bagi membentuk satu jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kes skandal seks yang melibatkan bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Zul Hassan.
PM lancar kempen ICT sebagai kerjaya pilihan
September 12, 2008 by admin · 2 Comments
PUTRAJAYA 11 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan kempen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sebagai Kerjaya Pilihan yang dilihat satu lagi inisiatif kerajaan di bawah Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) Malaysia bagi menggalakkan rakyat merebut peluang yang ditawarkan dalam sektor ICT di negara ini.
Kempen itu melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Sdn. Bhd. (MDEC).
Melalui kempen tersebut, pelbagai program akan dilaksanakan antaranya Inisiatif Pembangunan Pekerja Berilmu MSC Malaysia (KDI) dan Kerjasama Akademia bagi membolehkan Malaysia mampu menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan industri ICT.
Pelancaran tersebut bersempena Mesyuarat Majlis Pelaksana MSC Malaysia Ke-20 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di sini hari ini.
Abdullah dalam ucapan pembukaan mesyuarat tersebut mahu jenama-jenama global sebenar muncul di kalangan syarikat-syarikat yang dibangunkan di bawah Koridor Raya Multimedia Malaysia (Malaysia MSC).
Beliau berkata, negara ini memerlukan ikon-ikon teknologi ICT global bagi membolehkan usahawan-usahawan yang baru dan pelajar meneladaninya.
‘‘Ketika kita perlu bangga dengan kejayaan MSC Malaysia, banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan termasuk membantu usahawan-usahawan ICT tempatan menyahut cabaran melebarkan operasi mereka ke luar negara dan bersaing dengan syarikat-syarikat global.
‘‘Saya berminat untuk berbincang tentang cadangan pembentukan syarikat ICT tempatan yang dibentang oleh MDEC hari ini,” kata.
Mesyuarat tersebut antara lainnya membincangkan agenda mewujudkan MSC Malaysia 2.0 yang menyentuh peranan MDEC bagi membantu meningkatkan daya saing Malaysia selain membangunkan industri ICT di negara ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Badlisham Ghazali.
Menurut Perdana Menteri, MSC Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan apabila ia berjaya menempatkan sejumlah 2,170 buah syarikat bertaraf MSC Malaysia iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus dari 2006 dengan sebanyak 79,000 pekerjaan berjaya diwujudkan.
Beliau menyatakan, MSC Malaysia akan terus menyaksikan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat 20 peratus antara 2006 dan 2007.
Tambahnya, perolehan syarikat bertaraf MSC Malaysia pada tahun lalu dicatatkan kira-kira RM17 bilion dengan peningkatan lebih 30 peratus berbanding pada 2006.
“Jumlah eksport pada 2007 dicatatkan melebihi RM5.5 bilion dan sukacita saya nyatakan syarikat Malaysia telah menyumbang kira-kira RM1.4 bilion kepada angka eksport berkenaan.
‘‘Ini menunjukkan syarikat tempatan MSC Malaysia sedang bersaing dan menerima urus niaga di dalam pasaran global.
‘‘Kita sepatutnya berbangga dengan kejayaan MSC Malaysia sehingga sekarang ini dan lebih banyak boleh dan perlu dilakukan,” katanya.
‘Kita akan bertindak tegas’
September 11, 2008 by admin · 11 Comments
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang mencetuskan isu perkauman termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Perdana Menteri berkata, ini berikutan situasi hubungan kaum yang semakin merosot hingga memungkinkan boleh berlakunya ketegangan.
Kata beliau, keputusan itu sejajar dengan ditetapkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini serta Jemaah Menteri yang telah membincangkan sama pagi tadi.
”Isu-isu yang biasa tidak pernah ditimbulkan dahulu telah ditimbulkan, perkara yang tak pernah dibincang juga nak dibincang, jadi ini menimbulkan pelbagai reaksi.
”Kita tak boleh biar situasi seperti ini berterusan yang boleh menegangkan keadaan hingga merosakkan ketenteraman awam,” katanya.
Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas MT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mesyuarat itu diadakan khas untuk menentukan bentuk tindakan ke atas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berikutan kenyataannya yang didakwa berunsur perkauman baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu Abdullah berharap rakyat akan memahami bahawa tindakan yang akan diambil itu adalah kerana negara ini didiami rakyat berbilang kaum dan oleh itu adalah perlu untuk dipelihara keamanan dan ketenteraman.
Kata beliau, langkah itu juga diambil agar rakyat terus saling meyakini dan menghormati antara satu sama lain supaya situasi ketenteraman, keamanan dan muhibah terus kekal dan merupakan faktor utama kemajuan negara.
”Kita perlu sayang kepada negara kita dan buat apa juga sebaiknya bagi mengelak pergaduhan dan sebarang perkara yang boleh mengancam keselamatan.
”Kita perlu selamatkan Malaysia daripada pergaduhan kaum, itu yang penting,” jelasnya.
Pada perkembangan yang sama ketika ditanya pemberita sama ada kenyataan beliau itu bermakna ISA akan digunakan dalam mengatasi isu yang boleh menimbulkan ketegangan kaum, Abdullah berkata; ”Kalau perlu, kalau perlu, (sebenarnya) jika yang telah berlaku itu sudah jelas menjadi kewajaran untuk diambil tindakan (ISA), maka saya percaya menteri yang berkenaan (Menteri Dalam Negeri) tentunya berpendapat ia juga sudah wajar tindakan ISA diambil,” katanya.
Mengenai tindakan yang bakal diambil kerajaan itu akan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara, Abdullah menegaskan, tidak ada kebebasan tanpa sekatan.
”Kita pun nak kebebasan bersuara tapi tidak ada kebebasan di dunia yang tidak ada sekatannya. Undang-undang mesti dihormati.
”Negara kita negara demokrasi lalu tidak ada seorang pun atas nama kebebasan nak berucap boleh cakap apa saja yang dia suka hingga jejas ketenteraman awam, sampai menyakiti hati orang lain dan langgar undang-undang,” tambahnya.


















