Keputusan Shahrizat bijak, tepat
November 21, 2008 by admin · 2 Comments
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Para pemimpin Wanita UMNO menyifatkan keputusan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac depan sebagai tindakan yang tepat dan bijak.
Exco Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata, keputusan Shahrizat itu juga adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh peringkat akar umbi di seluruh Malaysia.
“Apabila beliau mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan ketua, semua menanti apa pendiriannya dan kini keputusan itu adalah suatu yang tepat sekali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan terbaru Shahrizat hari ini yang mengesahkan akan bertanding menentang penyandang Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz pada Mac 2009.
Rosni berkata, bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya pertandingan antara Rafidah dan Shahrizat itu ditukar kepada penyerahan jawatan ketua oleh Rafidah kepada naibnya itu pada pemilihan parti.
“Lebih baik tiada pertandingan. Kita berharap Rafidah akan dapat membuktikan keikhlasannya dengan mempercepatkan pelan peralihan jawatan kepada Mac 2009,” katanya.
Menyentuh mengenai calon Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang menang tanpa bertanding sebaik Shahrizat mengumumkan keputusannya itu, Rosni berkata:”Itu adalah rezeki Kamilia.
“Saya yakin beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut dan beliau kena bersedia untuk itu.”
Sementara itu, seorang lagi Exco Wanita UMNO, Datuk Hazizah Mohd. Sultan berkata, keputusan Shahrizat untuk bertanding jawatan tertinggi itu merupakan hak beliau setelah dicalonkan peringkat akar umbi.
“Daripada segi politik, itu adalah pendirian beliau. Beliau perlu ada pendirian lebih-lebih lagi setelah dicalonkan dan melepasi kuota pencalonan,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin perpecahan tidak sesekali akan berlaku dalam Wanita UMNO apabila adanya pertandingan jawatan ketua pergerakan itu.
Ini kerana pergerakan itu sudah matang dan mampu menilai baik buruknya sesuatu tindakan yang diambil ahlinya.
“Ini menunjukkan Wanita UMNO sentiasa mengamalkan demokrasi. Tidak akan ada masalah jika ada pertandingan sekalipun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO Kedah, Noor Hasita Mad Isa berkata, pendirian Shahrizat untuk bertanding adalah tepat bagi memastikan kedudukan pergerakan itu di dalam UMNO lebih terjamin.
“Bukan kami tidak berterima kasih kepada Rafidah yang telah lama berjasa kepada parti, namun kami mahu beliau memberi peluang kepada muka baru untuk menerajui pergerakan ini.
“Keputusan Shahrizat untuk bertanding juga tidak akan menimbulkan perpecahan di dalam parti kerana Wanita sudah matang,” katanya ketika ditemui di Alor Star.
Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Senator Sharifah Azizah Datuk Syed Zain pula berkata, lebih 80 peratus ahli Wanita UMNO Johor menyokong penuh hasrat Shahrizat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita.
Katanya, sokongan terhadap Shahrizat itu bukan bermakna mereka menolak Rafidah sebaliknya, apa yang dikehendaki oleh akar umbi ialah Rafidah perlu menyerahkan kuasanya secara terhormat kepada Shahrizat.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Hamisa Samat berkata, keputusan Shahrizat itu menunjukkan beliau menghormati suara akar umbi.
Katanya, keputusan tersebut amat dialu-alukan dan membuktikan demokrasi sentiasa subur dalam wanita.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar berkata, keputusan Shahrizat mungkin akan menimbulkan sedikit keretakan dalam sayap itu untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun, katanya suara di peringkat bahagian tidak boleh disekat jika mereka mahukan pembaharuan memandangkan ada yang tidak bersetuju dengan pelan peralihan jawatan Jun 2009 itu.-Utusan
Rosnah Minta Pimpinan Tertinggi Umno Dedahkan Amalan Politik Wang
Naib Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin meminta pucuk pimpinan tertinggi Umno supaya bertindak tegas dengan mendedahkan amalan politik wang demi kepentingan jangka panjang parti itu.
“Kita kena berani perkatakan hal ini dengan berbincang secara terbuka…ramai pihak cuba menutup atau lari daripada masalah ini dan saya fikir pendekatan ini tidak betul kerana kita perlu berhadapan dengannya.
“Saya mungkin tidak popular kerana memperkatakan perkara ini yang dianggap sebilangan kita sebagai cukup sensitif, tetapi sebagai pemimpin kita tidak perlu takut,” katanya kepada Bernama di sini, Ahad.
Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sebelum ini bahawa lembaga itu telah menerima sekitar 900 aduan politik wang pada pemilihan parti kali ini.
Rosnah yang bertanding jawatan Ketua Puteri berkata semua pihak perlu memikirkan kesan jangka panjang gejala politik wang yang kini semakin menjadi budaya dalam parti.
“Jika kita pilih seseorang pemimpin kerana wang dan bukan kebolehan yang dimilikinya, ini akan merugikan kita. Pemimpin seperti ini mudah dijual beli oleh orang luar…inilah yang kita takut,” katanya
Abdullah tetap berjuang
November 10, 2008 by Pendeta · 2 Comments
KEPALA BATAS 9 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan terus berjuang untuk memperkasa dan memartabatkan UMNO walaupun tidak lagi menerajui parti itu selepas Mac ini.
Presiden UMNO itu berkata, beliau akan berjuang bersama UMNO bahagian Kepala Batas untuk memastikan kerjasama di kalangan ahli parti terus kukuh dan memperoleh kejayaan yang cemerlang.
Abdullah yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu berkata, beliau akan terus menyuarakan pandangan dan suara akar umbi untuk kebaikan parti.
Ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini, beliau berkata, sumbangan bahagian itu dalam pembentukan dan hala tuju UMNO telah terbukti dan peranan itu akan diperkukuhkan lagi selepas ini.
“Banyak orang tanya adakah ini ucapan good bye saya kepada Kepala Batas tetapi saya kata mana boleh good bye kepada Kepala Batas.
“Sekarang ini, Insya-Allah saya akan ada masa yang lebih daripada dulu untuk Kepala Batas dan kita nak pastikan Kepala Batas tidak ketinggalan dan terus gagah dan kuat,” katanya.
Menurutnya, beliau akan berjuang bersama dengan barisan kepimpinan bahagian yang dipilih pada persidangan hari ini untuk memastikan UMNO terus menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang.
Beliau turut menyorot beberapa sumbangan penting yang dibuat oleh bahagian itu selama ini, antaranya mengusulkan tarikh kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957 dan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Tarikh kemerdekaan itu dicadangkan oleh Allahyarham nendanya, Abdullah Fahim kepada Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj selepas pemimpin itu bertemu dengan ulamak tersohor itu.
Berikutan itu, UMNO Kepala Batas membuat usul supaya tarikh berkenaan dijadikan sebagai tarikh kemerdekaan negara.
Abdullah berkata, idea penubuhan pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO juga lahir di Kepala Batas.
“Sejarah UMNO Kepala Batas adalah sejarah yang gemilang kerana kita terlibat menubuhkan, menguat dan memperkasakan parti itu,” katanya.
- Bernama
Baik UMNO, baiklah rakyat - PM
November 10, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KEPALA BATAS 9 Nov. - UMNO tidak akan menjadi sebuah parti yang berjaya dalam perjuangannya jika kepimpinannya tidak dibarisi oleh pemimpin yang ikhlas, berwibawa dan berintegriti, kata Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, UMNO tidak akan dapat mengecapi kemajuan dan menghadapi cabaran masa depan seperti yang diharapkan jika ada pemimpinnya yang tercemar integritinya, peribadi yang lemah dan tidak mempunyai hala tuju.
“UMNO tidak akan menikmati kejayaan dalam perjuangannya jika pemimpinnya terdiri daripada orang tidak ikhlas berjuang, integritinya dicurigai dan peribadi yang lemah.
“Apa yang kita perlukan ialah kepimpinan yang bertanggungjawab, boleh mengelola dan menguruskan parti supaya ia menjadi lebih kuat dan maju,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Pusat Budi Penyayang di sini hari ini.
Oleh itu, beliau menasihatkan anggota parti supaya membuat pilihan dengan berhemah dan tidak hanya memilih pemimpin untuk mengisi jawatan tertentu di peringkat nasional.
Abdullah, yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata, semua anggota parti perlu menyedari bahawa pemilihan pucuk pimpinan bukan setakat mengisi jawatan tertentu malahan lebih penting lagi memacu parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Pemilihan ini bukan setakat untuk kemenangan diri bagi calon yang bertanding atau rakan-rakan mereka tetapi UMNO mahu mencari kemenangan untuk parti secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang menjadi perwakilan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan calon yang dipilih mempunyai nilai-nilai yang diperlukan untuk menerajui parti itu.
“Kalau ini berlaku, semua akan jadi baik. Baik UMNO maka baiklah rakyat Malaysia kerana UMNO memperjuangkan semua rakyat berbilang bangsa,” katanya.
Beliau juga berharap tempoh lebih tiga bulan menjelang pemilihan parti Mac ini tidak berterusan dicemari dengan politik wang, perbalahan antara calon dan sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan imej parti.
“Kita fahami bahawa pemilihan ini merupakan amalan demokrasi dan banyak yang telah diperkatakan tentang pemilihan dan ada yang mengaitkannya dengan politik wang, dan adu domba antara calon.
“Apa pun, kita semua kena ingat apa matlamat perjuangan parti ini dan berusaha untuk mengukuh dan memperkasakannya,” katanya.
- Bernama
Mahkamah perintah Petra dibebaskan
November 7, 2008 by admin · 3 Comments
Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.
Hakim Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta.
Hakim juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah sebelum 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.
Penulis blog ditahan polis pada 12 September di suatu tempat yang tidak didedahkan sebelum dibawa ke kem tahanan Kamunting di Taiping pada 23 Sept.
7 billion rangsang ekonomi
November 5, 2008 by admin · 9 Comments
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.
Antara intipati pakej tersebut ialah seperti berikut:
Caruman KWSP
Kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela sebanyak 3 peratus selama dua tahun mulai 1 Januari 2009.
Pinjaman kenderaan
Bagi gred JUSA, had kelayakan pinjaman kereta dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000.
Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000.
Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000.
Pendidikan/Latihan
RM200 juta untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur satu hingga enam tahun.
RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah iaitu RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk “mission school”, RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta untuk SJK Tamil.
Sebanyak RM200 juta bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum.
Jalan/Pengangkutan
RM500 juta untuk membina, menaik taraf jalan di luar bandar, jalan kampung dan jalan pertanian termasuk di Sabah dan Sarawak.
RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandar utama.
Peniaga kecil
Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit.
Tiada penyelewengan
November 4, 2008 by admin · 16 Comments
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar.
Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.
”Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.
Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter itu sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.
Azmi menjelaskan, sebelum ini sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.
”Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.
”Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, skop penilaian oleh PAC hanya melibatkan harga yang ditawar ketika tender dan tidak dapat mencadangkan harga terbaik yang sepatutnya dibeli berdasarkan perbandingan dengan negara lain kerana pakej Eurocopter mempunyai harga berbeza mengikut keperluan tentera negara terbabit.
Dalam pada itu, Azmi berkata, PAC kurang senang kerana tiada penilaian fizikal dilakukan terhadap helikopter yang bakal dibeli sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.
”Kita juga mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009. Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan,” katanya.
Menurut beliau, PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015. ”Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.
”Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.
Bagi menjamin tidak wujud sebarang kelemahan daripada segi penilaian teknikal, tambahnya, PAC telah mendapat perakuan Kementerian Pertahanan dan TUDM untuk mewujudkan pangkalan data yang merekodkan masalah yang timbul dalam pembelian terdahulu termasuk pesawat pejuang Skyhawk dan kereta perisai Scorpion sebagai rujukan.
Kata beliau, pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan panel penilai bebas di semua kementerian untuk memantau segala pembelian yang besar dan menggunakan wang banyak supaya rakyat berasa yakin bahawa segala perolehan dibuat dengan telus.
Menurut Azmi, PAC juga membuat keputusan untuk terus memantau proses pembelian Eurocopter kerana ia adalah kes berprofil tinggi dan akan memanggil balik pegawai berkenaan jika wujud isu-isu baru yang berbangkit.
”Jika kerajaan membuat keputusan untuk membelinya, maka PAC mencadangkan kepada pihak TUDM supaya diadakan pemeriksaan rapi sebelum menerima helikopter yang sudah siap,” ujarnya.
Mengenai nilai RM1.604 bilion itu berbeza daripada jumlah terbaru yang diumumkan oleh Abdullah iaitu RM1.607 bilion pada minggu lalu, beliau menjelaskan, angka yang disebut Perdana Menteri adalah termasuk kos penghantaran helikopter tersebut.
Yakinlah hadapi cabaran – PM
November 4, 2008 by admin · Leave a Comment
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rakyat mesti yakin bahawa negara mampu berhadapan dengan cabaran krisis kewangan yang kini melanda Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Perdana Menteri berkata, segenap lapisan rakyat termasuk kakitangan awam harus mempunyai keyakinan diri dalam memastikan ekonomi negara terus dipacu dengan baik di sebalik krisis berkenaan.
‘‘Kita tidak perlu terbawa-bawa dengan rasa takut dan bimbang, kita mesti ada keyakinan untuk menempuh cabaran itu dan mesti lihat kepada diri kita secara objektif dalam membuat kesimpulan mengenai situasi pada waktu ini.
‘‘Jika krisis tersebut membawa kesan buruk kepada wilayah-wilayah seperti Eropah, kita perlu bersyukur kepada tuhan bahawa sistem perbankan kita berada dalam keadaan yang kukuh,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Perdana Menteri berkata, kebimbangan terhadap kesan krisis tersebut mungkin timbul kerana negara mengamalkan konsep ekonomi terbuka iaitu mengadakan hubungan dagang dengan pelbagai negara terutama AS dan Eropah.
Bagaimanapun Abdullah menjelaskan, negara kini mempunyai modal dan kecairan mencukupi, kuasa membeli domestik yang kekal tinggi selain kestabilan mata wang ringgit.
Justeru beliau mahu firma-firma perbankan menyediakan pinjaman yang wajar kepada projek-projek berdaya maju bagi memastikan pembangunan negara terus berjalan.
Selain itu, Abdullah berkata, negara juga mempunyai sektor-sektor yang mencatatkan pertumbuhan seperti pelancongan, perbankan Islam dan insurans serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
‘‘Semua sektor yang mencatatkan pertumbuhan boleh dikembang dan dimajukan. Kita juga mahu galakkan kemasukan pelaburan ke negara ini, ini pun menjadi satu kebaikan kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beberapa langkah kerajaan bagi menghadapi cabaran krisis kewangan yang berlaku sekarang akan diumumkan oleh Najib esok.
‘‘Semua langkah itu diharap membawa kejayaan kepada kita dan sekurang-kurangnya mampu mempertahankan ekonomi negara daripada kesan buruk dengan menggalakkan pelaburan dalam sektor yang mempunyai pertumbuhan.
‘‘Maka, apa yang perlu menjadi sikap kita pegawai kerajaan termasuk kami anggota pentadbiran, kita mesti meyakinkan sesiapa juga yang datang di negara ini, mereka tidak akan menghadapi kesusahan untuk melabur,” katanya.
Kes Bunuh Altantuya: Abdul Razak Bebas, Azilah Dan Sirul Azhar Diperintah Bela Diri
October 31, 2008 by admin · 19 Comments
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi disini hari ini daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri terhadap tuduhan itu.
Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang membuat keputusan itu berkata beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.
Mahkamah menetapkan 10 Nov ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri.
Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.
Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah. Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di sini antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas.
Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Okt dan 9.45 malam 19 Okt tahun 2006.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati.
Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.
Mayatnya dilupus dengan cara diletupkan dengan bahan letupan. Cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.
Kes sensasi itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.
Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.
Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican and Ahmad Zaidi Zainal manakala Abdul Razak diwakili peguam Wong Kian Kheong.
Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.
Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh adalah peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.
Lantik Low: ‘Tidak pernah berlaku’ dalam sejarah PKNS
October 29, 2008 by admin · 2 Comments
Pelantikan seorang pegawai kanan bukan Melayu di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat “tidak membaca sejarah” agensi pembangunan ekonomi itu yang ditubuhkan untuk membantu bumiputera.
“Kita berasa amat kecewa kerana perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah PKNS. PKNS ditubuhkan untuk membantu Bumiputera,” kata wakil rakyat Kuang, Abdul Syukur Idrus kepada Malaysiakini.
Tambahnya, beliau berasa kesal dengan pelantikan timbalan pengurus korporat dan akaun PKNS Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar perbadanan tersebut dengan berkata “tiada lagikah orang Melayu yang boleh mentadbir PKNS?”.
“Sekiranya mereka (kerajaan Selangor) kurang pemimpin (untuk PKNS), boleh rujuk kepada kita dan kita boleh memberi nama yang bersesuaian,” katanya.
Abdul Syukur, yang juga ketua Pemuda Umno Selangor berkata, tindakan menteri besar tersebut dipercayai atas desakan pihak lain, kemungkinannya DAP “untuk menguasai kerajaan.”
Beliau, yang juga ketua bahagian Umno Selayang, mendakwa tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bertujuan untuk mengekalkan sokongan bangsa lain terhadap Pakatan Rakyat.
“MB mencari kaedah untuk mengembalikan sokongan-sokongan bangsa lain kepada mereka tanpa mengira maruah bangsa (Melayu) yang dijual.
“Apa yang dibuat (keputusan tersebut), tidak nampak kepada pembelaan terhadap bangsa Melayu,” tambahnya, sambil menyebut kontroversi yang dicetuskan oleh Abdul Khalid berhubung kuota kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ogos lalu.
Pemuda Umno Selangor akan menghantar surat bantahan berhubung pelantikan itu kepada menteri besar dalam masa yang terdekat, kata Abdul Syukur. “Selewat-lewatnya awal pagi Khamis (ini),” katanya.
Pergerakan itu juga akan menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi mengkaji kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Beliau juga menyeru orang Melayu di negeri itu tanpa mengira ideologi politik agar bersatu “supaya tidak diperkotak-katikkan”.
Sementara wakil rakyat MCA bagi Sungai Pelek, Yap Ee Wah berkata beliau bersikap berkecuali dalam isu pelantikan Low itu asalkan rakyat miskin di negeri itu mampu memiliki rumah.
Beliau berkata kenaikan pangkat Low, yang disambung perkhidmatan selama setahun, kerana “mungkin (menteri besar) ada alasan tersendiri melantiknya”.
“Saya berharap rakyat Selangor dapat manfaat dalam perlantikan tersebut membantu menjadikan Selangor negeri maju,” tambah Yap.
Mengulas yang sama, wakil rakyat DAP bagi Kampung Tunku, Lau Weng San pula menggesa PKNS melantik seorang tokoh pentadbir yang berwibawa tanpa mengira kaum.
Sambil menyifatkan pelantikan yang dibuat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim “tepat pada masanya”, Lau berkata:
“Kita perlu memastikan supaya seseorang yang dilantik untuk menyandang jawatan ini merupakan seseorang yang berkemampuan untuk menepati sasaran ini tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan jantinanya.”
Tambahnya, PKNS perlu bertanggungjawab kepada semua lima juta rakyat Selangor dan “bukan puak-puak tertentu sahaja”.
“Adalah tidak masuk akal untuk kita menjadikan sebuah anak syarikat kerajaan itu sebagai sebuah syarikat yang memperjuangkan agenda-agenda sesetengah masyarakat sahaja padahal separuh daripada rakyat Selangor ialah golongan bukan Bumiputera,” kata Lau di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Low bagi menggantikan Datuk Harun Salim yang bersara akhir bulan ini.
Wakil pegawai dan kakitangan PKNS yang diketuai oleh presiden Persatuan Pegawai Kanan PKNS Idris Ishak hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar berhubung pemilihan Low.
Sementara itu, exco kerajaan negeri Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid bagi membincangkan isu tersebut.
Selepas pertemuan itu, Dr Hasan dipetik sebagai berkata, menteri besar bersedia memendekkan tempoh Low jika PAS mendapatkan calon penggantinya yang berkaliber dan berpengalaman.
Beliau, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, akan bermesyuarat bagi memilih calon yang sesuai untuk diketengahkan bagi mengisi jawatan itu.
Menurut Bernama, setakat ini parti Islam sudah mempunyai dua calon untuk mengisi jawatan itu.
Dr Hasan juga dilaporkan berpendapat timbalan pengurus besar pentadbiran Md Nasir Md Arshad dan timbalan pengurus besar teknikal Abdul Ghani Hassan lebih layak dipertimbangkan kerana mereka berkhidmat lebih 30 tahun berkhidmat bersama perbadanan itu.


















