Jumlah Ahli, PKR Kelentong DAP & Pas
November 23, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Pembohongan berhubung jumlah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008 berjaya memperdaya Dap dan Pas sehingga sanggup memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum ke 12 lalu.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini terbukti berdasarkan kepada jumlah ahli PKR yang mengundi pada pemilihan pucuk pimpinan parti berkenaan yang sedang berjalan sekarang.
“Mana perginya ahli PKR, jika jumlah yang keluar menugundi tidak sampai 10 peratus daripada 400,000 ahli yang didakwa menyertai PKR, apa yang kita tahu hanya lebih kurang 25,000 ahli sahaja yang mengundi.
“Kita lihat laporan akhbar hari ini, Azmin Ali dapat undi lebih kurang 19,000, kirakanlah 20,000 orang, manakala Mustapha Kamil dapat dalam lebih kurang 4,000, kalau kita campurkan semua tak sampai pun 25,000 orang. Mana perginya ahli yang yang dikatakan ada 400,000. Ini pemilihan Timbalan Presiden,” katanya ketika kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah ahli PKR yang dikatakan mempunyai keahlian yang dianggarkan kira-kira 400,000 sejak ditubuhkan, sedangkan jumlah mereka yang mengundi adalah jauh bezanya daripada yang diuar-uarkan.
Ahmad Maslan berkata, dari senario yang berlaku dalam pemilihan parti itu, apakah pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang turut membabitkan jawatan utama tidak penting kepada ahlinya atau jumlah ahli yang dikatakan itu hanya satu dogengan.
“Adakah kedudukan Timbalan Presiden itu tidak penting menyebabkan mereka tidak mengundi atau jumlah 400,000 orang yang dikatakan itu hanya satu dogengan, inikah mainan PKR.
“Saya ada baca satu statement (kenyataan) seseorang, bahawa angka 300 ribu, 400 ribu itu hanya dongeng, tidak ada sebanyak itu, dikatakan ramai hanya hendak banyak kerusi pada waktu pilihan raya,” katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukan oleh PKR itu berjaya, mereka berjaya memanupulasi jumlah ahlinya sehingga menyebabkan Dap dan Pas terpaksa memberi laluan kepada PKR untuk bertanding dalam pilihan raya.
Beliau berkata, bedasarkan kepada dari apa yang dilaporkan itu membuktikan bahawa PKR tidak mempunyai ramai ahli dan tidak seperti apa yang sering dikatakan oleh pemimpin-pemimpin mereka mempunyai ramai pengikutnya.
“Jadi perkara ini perlu ambil perhatian, pada peminat-peminat politik dan rakyat hendaklah mengetahui bahawa PKR adalah sebuah parti yang kuat, kita lihat berapa ramai tokoh-tokoh mereka yang keluar, sudah sahlah PKR ini adalah parti keluar ramai-ramai,” katanya.
Kata beliau lagi, walaupun bukti sudah menunjukkan PKR bukanlah sebuah parti yang kuat, namun UMNO tetap akan terus bekerja keras untuk bersama rakyat, UMNO kuat bukan disebabkan oleh kelemahan parti lawan tetapi disebabkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional. -MediaUMNO.
Keahlian Terus: BN Akan Lebih Inklusif
November 21, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli politik dan penganalisis politik tempatan bersetuju bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan status ahli bersekutu dan ahli gabungan akan menjadikan gagasan itu lebih inklusif.
Keahlian terus tanpa perlu menjadi ahli parti komponen BN yang dibenarkan oleh Dewan Tertinggi BN hari ini juga akan menjadikan platform baru untuk golongan remaja mendampingi politik, kata presiden Parti Liberal Demokratik
Sabah (LDP) Datuk V.K. Liew.
Kelulusan itu berdasarkan beberapa garis panduan di mana Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjelaskan secara terperinci dalam sedikit masa lagi, katanya.
“Apa yang penting semua parti komponen bersetuju untuk menjadikan BN lebih inklusif,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Liew berkata satu syarat yang dipersetujui iaitu sesiapa ingin menjadi ahli bersekutu atau ahli gabungan tidak menjadi ahli sebarang parti lain, kata Liew.
Di samping itu, satu lagi syarat ialah hanya ahli parti komponen sahaja boleh menjadi calon BN pada pilihan raya.
“Ia lebih kepada langkah merapatkan jurang untuk mereka menyentuh denyutan nadi politik. Mungkin selepas dua atau tiga tahun, sekiranya mereka berasa politik ada cara untuk mereka atau mahu menjadi calon dalam pilihan raya, mereka akan menyertai sebuah parti komponen,” katanya.
Pada Februari lepas, Najib mencadangkan status keahlian terus dalam BN di mana sebuah jawatankuasa dipengerusikan oleh naib presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dibentuk untuk mengkaji pro dan kontra cadangan itu.
Pemerhati politik berkata Tun Dr Mahathir Mohamad membenarkan dua calon tanpa parti bertanding di bawah BN pada pilihan raya umum pada tahun 1990an.
Dua calon tersebut menang iaitu Datuk Billy Abit Joo di Hulu Rejang dan Datuk Joseph Salang di Julau.
Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata keanggotaan terus itu akan membenarkan BN mendekati lebih ramai penduduk khususnya golongan remaja yang ragu untuk menyertai mana mana parti
komponen.
“Barisan berada di landasan yang betul untuk menarik lebih ramai anggota. Keunikan keahlian terus boleh menarik lebih ramai golongan remaja khususnya yang berdaftar sebagai pemilih selepas pilihan raya umum 2008,” katanya.
“Lihat sahaja Kelab Penyokong PAS yang mudah memikat 20,000 ahli – kesemua mereka bukan Islam,” katanya.
Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pada prinsipnya mereka menyokong kemasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli bersekutu dan individu sebagai ahli gabungan selaras dengan semangat 1Malaysia.
“Kami lihat ini sebagai inisiatif positif dan langkah ke depan untuk menarik lebih ramai bakat dan penyokong Barisan untuk menjadi lebih berkesan bagi berkhidmat kepada masyarakat dalam mencapai Wawasan 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.
Koh berkata Gerakan menyokong langkah itu dengan pemahaman bahawa peraturan mengenai hak, peranan dan tanggungjawab ahli bersekutu dan ahli gabungan dibincangkan oleh Dewan Tertinggi BN secepat mungkin.
Anwar Umpama Sembilang Di Lubuk Keruh
November 18, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
KUALA LUMPUR, 18 Nov. – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumpamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “ikan sembilang dalam lubuk keruh” yang hanya tahu menyengat untuk kepentingan dirinya.
Beliau berkata dengan kedudukannya sebagai ketua pembangkang, Anwar sentiasa mengkritik melulu banyak perkara termasuk mengenai Malaysia yang diiktiraf banyak pemimpin asing sebagai sebuah negara Islam moden.
Rais meminta Anwar supaya melihat pengiktirafan terhadap negara ini menerusi ‘pintu hatinya” dan bukannya bersandarkan kepada firasat politik beliau terutamanya ketika beliau dan parti yang diterajuinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dalam keadaan bercelaru.
“Datuk Seri Anwar, sebagai bekas timbalan perdana menteri dan sekarang ketua pembangkang, janganlah apabila dalam lubuk yang berair jernih lain bahasanya tetapi apabila di dalam lubuk yang keruh airnya lain pula bahasanya.
“Semasa berenang dalam air yang keruh dalam lubuk tertentu, beliau macam seekor ikan sembilang yang suka menyengat ke kiri dan ke kanan, tetapi bila di dalam keadaan air yang jernih, beliau selesa dan tidak membuat apa-apa,” katanya merujuk kepada kedudukan Anwar kini sebagai ketua pembangkang dan ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri.
Rais berkata demikian kepada pemberita pada majlis ibadah korban peringkat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di perkarangan Masjid Muhammadi, Angkasapuri di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai negara Islam moden adalah satu penghinaan.
Rais berkata kenyataan Anwar itu mencerminkan bahawa Penasihat PKR itu mulai merasa keperitan dalam kerjaya politiknya berbanding semasa beliau dalam kerajaan.
“Jadi saya kata begini, seekor ikan yang berada dalam air tidak tahu bahawa ia berada dalam air, bila keluar ke pasir baru tahu hangat dan peritnya hidup.
Jadi, Datuk Seri Anwar perlu melihat menerusi pintu hati bukan menerusi pintu politik yang beliau sedang berada dalam keadaan kacau sekarang,” katanya.
Rais berkata Malaysia bukan sahaja diiktiraf oleh Australia tetapi turut diperakui kepimpinan negara Timur Tengah dan Eropah bersandarkan pengamatan mereka terhadap pegangan dan amalan negara ini.
Katanya perakuan mengenai Malaysia sebagai negara Islam moden pernah dibuat seorang tokoh orientalis dari Itali yang memerhatikan tamadun Islam di seluruh dunia bahawa Islam di Malaysia merupakan Islam yang paling liberal, paling bersekutu dan saling memupuk erti kebangsaan serta keadaan yang memberi makna kepada pelbagai kaum.
Beliau berkata tokoh dari Mesir juga menyatakan Islam di Malaysia adalah sebuah agama yang dianut dan dipupuk menerusi perlembagaan dan amalan.
Rais berkata jika Anwar melihat kenyataan itu bukan sebagai pengiktirafan, beliau boleh menilai ucapan-ucapan yang dibuat di perhimpunan agung Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di mana Malaysia sebenarnya sudah jauh ke hadapan berbanding negara lain dalam sifat modennya sebagai sebuah negara Islam.
Pemuda BN negeri desak Menteri Besar Kedah mohon maaf
November 13, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
ALOR SETAR 13 Nov. – Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negeri ini kerana didakwa lemah dalam menyediakan bantuan setimpal kepada mangsa banjir.
Azizan turut didesak supaya tidak menyekat kebebasan media di negeri ini berikutan keputusan kerajaan negeri tidak menjemput media tertentu daripada membuat liputan sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri selama tiga hari mulai Ahad ini.
Ketua Pemuda BN, Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya kesal dengan kelemahan kerajaan Pas Kedah dalam membantu penduduk negeri ini apabila ditimpa musibah banjir lebih seminggu lalu.
Dakwanya, pelbagai kesulitan dihadapi oleh mangsa banjir berikutan kelemahan dan ketidakcekapan kerajaan negeri berdepan bencana alam itu termasuk dari segi pembekalan air bersih.
“Sebagai kerajaan negeri yang memerintah sepatutnya berperanan dengan lebih baik ketika menghadapi bencana demi kesejahteraan penduduk.
“Kami juga mahu kerajaan negeri mengumumkan jumlah bekalan bantuan yang diterima daripada negeri lain dan ke mana ia diagihkan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pemuda Gerakan negeri, Tan Keng Liang; Setiausaha Pemuda MCA negeri, Loh Eng Chong; Ketua Pemuda MIC negeri, P. Prabagaran; Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Haris Che Mat dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Zubir Zabidi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO.
Turut hadir Setiausaha Kehormat Belia 4B negeri, Rozairi Abdul Rahman dan wakil-wakil penjaja serta peniaga di sekitar bandar raya ini.
Badrol Hisham berkata, pergerakan itu turut kesal dengan tindakan Menteri Besar yang melenting dan memarahi media tertentu yang berperanan sebagai penyalur maklumat tepat atas apa yang berlaku dan menyuarakan masalah mangsa banjir.
Berikutan itu, katanya, mereka akan menyerahkan satu memorandum kepada Azizan dalam tempoh terdekat bagi mendesak beliau supaya memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negeri ini atas kelemahan kerajaan negeri memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa banjir dan menarik balik sekatan kebebasan media.
Dalam pada itu, Eng Chong mendakwa, semasa banjir, Syarikat Air Darulaman (SADA) Sdn. Bhd. yang dipengerusikan oleh Menteri Besar lambat bertindak dalam membekalkan air bersih khususnya bagi keperluan memasak dan mandi di pusat pemindahan.
Katanya, keadaan itu memaksa Jabatan Bomba dan Penyelamat diarah membantu membekalkan air bersih meskipun ia bukan tugas hakiki mereka.
“Pihak berkuasa tempatan juga tidak bergerak aktif dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir seperti menyediakan kemudahan tandas yang boleh berfungsi dengan baik,” katanya.
Jangan Harap Anwar Berundur, Dunia Pun Dia Boleh Tipu Untuk Ke Putrajaya
November 12, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
KUALA LUMPUR, 12 Nov - Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kassim berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sesekali berundur dari jawatan selagi mimpinya untuk mendakap Putrajaya tidak tercapai.
Justeru beliau menyifatkan bidasan terbuka oleh Datuk Zaid Ibrahim, yang menggesa Anwar untuk berundur tidak lebih seperti “anjing menyalak bukit”.
“Bukit takkan runtuh… jangan harap Anwar berundur. Kalau dunia pun dia (Anwar) boleh tipu untuk ke Putrajaya inikan pula Datuk Zaid yang pada Anwar hanya layak menjadi keldai tunggangannya.
“Anwar akan pergunakan semua orang untuk capai cita-cita peribadinya termasuk pemimpin DAP dan Pas”, katanya hari ini.
Jelas beliau lagi apa yang berlaku dalam PKR ketika ini memperlihatkan wajah huduh parti itu yang sebelum ini melemparkan pelbagai kutukan kepada UMNO.
“Dulu kata UMNO tak adil, tak demokratik, tak telus….sekarang dah kena batang hidung sendiri”, ujarnya.
Mengenai pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR pula beliau berkata Azmin Ali akan menang percuma.
“Ini taktik dan strategi Anwar dulu masa lawan Tun Ghaffar…pendekatan sama kini digunakan anak emasnya pula”, kata beliau.
sumber: www.n9kini.com
Kerajaan Negeri Sembilan Bela Nasib Masyarakat Cina –
November 11, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
SEREMBAN, 11 Nov – Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan meminta masyarakat Cina supaya tidak berpengaruh dengan fitnah kononnya bantuan membasmi kemiskinan yang dihulurkan oleh kerajaan sebenarnya mengutamakan kaum Melayu.
Katanya, terdapat banyak perangkaan yang menunjukkan kaum lain mendapat kelebihan seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri beliau iaitu di Rantau yang mana majoriti yang mendapat bantuan ialah bukan Melayu.
“Di tempat saya sendiri di Rantau, terdapat 1,115 penerima bantuan. Daripada jumlah itu 58 peratus disalurkan kepada kaum India, 22 peratus kepada Cina dan bakinya orang Melayu,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam Menteri Besar bersama Guru-Guru Besar Sekolah Cina dan wakil Persatuan Ibubapa dan Guru di sini, Isnin semalam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Mengenai soal pendidikan, Mohamad berkata kerajaan negeri tidak pernah memandang remeh masalah yang dihadapi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri itu.
Beliau menjelaskan tidak ada SJKC yang ditutup sewenang-wenangnya di negeri ini kecuali 11 buah sekolah Cina yang terpaksa dipindahkan kerana bilangan murid tidak sampai 10 orang di sekolah berkenaan. Semasa sesi dialog bersama hadirin, Mohamad memberitahu ada beberapa sekolah Cina di negeri itu mendapatkan kenaikan bantuan kewangan.
“Sekolah Tinggi Chung Hua, misalnya, diberi RM100,000 setahun sebelum ini tetapi mulai tahun ini, peruntukan ditambah kepada RM300,000. Malah kerajaan telah memberikan tanah seluas 1.2 hektar bernilai jutaan tinggit kepada sekolah itu,” jelasnya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah membela nasib masyarakat Cina di negeri itu malah telah membatalkan keputusan memindahkan Pasar Besar Seremban ke tempat lain atas rayuan peniaga Cina di situ.
“Saya cuma berharap kaum Cina memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini dan jangan percaya kepada fitnah dan tohmahan yang boleh menyebabkan sentimen syak wasangka berleluasa,” katanya.
Amaran: Jangan Menipu Sijil Halal
October 15, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
PAROI, 15 Okt – Menteri Besar N.Sembilan YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan hari ini memberi amaran kepada semua pengusaha dan pengeluar produk industri halal agar mematuhi segala syarat dan undang-undang yang ditentukan selain sentiasa memastikan tahap kesucian dan keselamatan makanan halal dan diyakini.
Beliau memberitahu kepada pemberita ketika sesi sidang media berlangsung sejurus merasmikan Pelancaran Kempen 1 Malaysia 1 Halal Peringkat N.Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat sini.
Menurut beliau, sikap ambil lewa sesetengah pengusaha makanan dengan mengabaikan tahap kebersihan bahkan ada segelintirnya yang menipu sijil halal yang dikeluarkan demi mengaut keuntungan tanpa mengira sensitivity masyarakat islam di negera ini.
“Di Port Dickson, pihak penguatkuasaan telah menutup 15 buah premis kerana melanggar syarat dan undang-undang,
“Ingin saya tekankan di sini, sijil halal yang dikeluarkan tidak bermakna produk makanan itu halal sepanjang masa selagi penguasaha terbabit tidak mengekalkan tahap halal sepanjag masa,” tegas beliau.
Beliau juga turut menyeru kepada semua agensi yang terlibat agar sentiasa memantau tahap halal dan kesucian produk makanan itu dari masa ke masa selain mengawasi kesahihan sijil halal yang dipamerkan oleh mana-mana premis makanan di negeri ini.
Pemimpin jangan ‘syok sendiri’
July 12, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
JOHOR BAHRU 11 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pemimpin UMNO supaya tidak bersikap ‘syok sendiri’ sebaliknya menyelami cita rasa dan kehendak rakyat jika ingin terus berkuasa.
Presiden UMNO itu berkata, sebagai pemimpin parti yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN), UMNO tidak harus hanya menjaga kepentingan dan memenuhi kehendak ahlinya sahaja sebaliknya menjaga aspirasi semua kaum.
“UMNO jangan syok sendiri. Misalnya kita sebagai ketua cawangan bukan saja jaga orang kita tetapi juga kena jaga orang luar, rakyat jelata. Kita kena tunaikan janji kita kepada rakyat.
“Saya ingatkan diri saya dan tuan-tuan, kita mesti selami dan rasa denyut nadi rakyat,” katanya semasa merasmikan serentak Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pulai dan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, UMNO juga mesti berani melakukan perubahan supaya dapat memenuhi cita rasa dan kehendak rakyat agar terus kekal mendapat sokongan rakyat.
“UMNO jangan jadi seperti LDP (Parti Demokratik Liberal) di Jepun yang kalah kerana sikap pemimpin mereka yang berpuak-puak dan syok sendiri,” katanya sambil menyifatkan parti itu ditolak rakyat kerana gagal menyelami cita rasa dan kehendak rakyat.
Dalam pada itu, Najib turut menasihati pemimpin UMNO supaya sentiasa bersatu padu dan tidak bergaduh sesama sendiri.
“Saya berharap pemimpin UMNO tidak berlaga kepala sesama sendiri. Kalau kita berlaga dan tidak bersatu padu, orang lain akan ambil kesempatan ke atas kita.
“Saya harap tidak ada lagi kisah-kisah yang sumbang. Macam sekarang, orang tengah demam bola sepak dan kalau hendak menang perlu bermain sebagai satu pasukan.
“Saya ingat Brazil boleh menang, tetapi pemain pertahanan dan penjaga gol berlaga sesama sendiri dan pasukan lain dapat skor gol. Begitu juga dalam politik, kalau kita tak bersatu padu, orang lain boleh skor gol dan ambil kesempatan,” katanya.
Menurutnya, jika semua ahli UMNO menghayati moto perjuangan parti iaitu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat beliau yakin UMNO akan terus mendapat sokongan rakyat dan kekal menerajui tampuk pemerintahan negara.
Najib berkata, UMNO bukan sahaja parti tunjang dalam BN, malah parti yang dapat memastikan kelangsungan bangsa Melayu.
“UMNO tak ada gantinya. Tidak ada parti alternatif kepada UMNO. Kita tidak boleh harap kepada parti lain. UMNO akan sentiasa bekerjasama dalam parti komponen BN,” katanya.
Perdana Menteri berkata, seiring dengan perubahan global, UMNO dan BN juga harus berubah dan perlu memenuhi cita rasa dan kehendak serta aspirasi rakyat.
“Kita mesti berubah. Saya yakin parti kita masih dapat sokongan rakyat. Kita masih boleh menang lagi seperti juga di Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan supaya ahli dan pemimpin UMNO dan BN Johor terus mempertahankan negeri ini daripada dirampas oleh parti pembangkang.
RM100j bantu penduduk miskin
June 25, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
KUALA LUMPUR 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu menjana pendapatan tambahan kepada keluarga miskin tegar dan miskin bandar.
Sempena pelancarannya, 4,976 daripada 8,439 ketua keluarga dari golongan miskin tegar dan miskin bandar menerima bantuan melalui pelaksanaan daftar e-Kasih fasa pertama dan kedua yang dikelolakan Jabatan Perdana Menteri.
Menerusi ASW-2020-Bandar, pendapatan golongan tersebut akan ditambah menerusi pemberian dividen tahunan dan faedah lain hasil pelaburan berkenaan.
Program itu juga akan menyaksikan setiap ketua isi rumah – tanpa mengira kaum – yang layak serta berdaftar dengan program e-Kasih, akan diberikan wang prinsipal pelaburan RM10,000 yang akan tetap menjadi hak milik kerajaan.
Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.
“Skim saham ini berbeza dengan skim lain yang mana mereka menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka.
“Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Pada majlis itu, 196 ketua keluarga di Wilayah Persekutuan menerima Buku Pelaburan ASW 2020-Bandar masing-masing.
Menerusi daftar e-Kasih, garis pendapatan miskin tegar ditetapkan buat mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kurang RM430 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM540); Sarawak (RM520).
Golongan miskin pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM720 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM960) dan Sarawak (RM830).
Menurut Najib, para pemegang saham itu akan mula menikmati dividen tahunan serta pulangan sepanjang hayat mulai September ini berdasarkan kadar ditetapkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kelak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian saham itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan jumlah golongan miskin tegar dan miskin bandar di kalangan masyarakat.
Melalui program sebegitu, katanya, kerajaan dijangka berupaya mengurangkan jumlah isi rumah miskin di seluruh negara daripada 5.7 peratus, kepada 2.8 peratus pada akhir 2010.
Jelasnya, pendaftaran e-Kasih kini menunjukkan golongan miskin tegar dalam negara menurun kepada 33,417 orang berbanding 50,931 sebelumnya.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak mahu mengambil konsep negara kebajikan dalam usaha membantu golongan miskin kerana ingin melihat semua rakyat yang berkemampuan bekerja bagi menyara diri dan keluarga masing-masing.
Ahli UMNO disaran berani lakukan serang balas
June 21, 2010 by admin
Filed under Keratan Akhbar
BAGAN DATOH 20 Jun – Ahli-ahli UMNO diminta supaya berani melakukan serangan balas untuk memperbetulkan persepsi salah yang yang dilemparkan pihak pembangkang terhadap parti itu dan kerajaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ahli-ahli UMNO tidak boleh hanya dalam posisi mempertahankan sebaliknya perlu melakukan serangan balik untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
“Macam kita tengok Piala Dunia sekarang ini. Boleh tengok, tapi bukan hanya untuk keseronokan semata-mata. Tengok dan cuba jadikannya dalam konteks politik.
“Jangan asyik mempertahankan benteng sahaja kerana kadang kala boleh bolos. Perlu ada pertahanan dan serangan balik untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2010 di sini hari ini.
Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli UMNO untuk memperbetulkan segala persepsi salah yang dibuat oleh pembangkang dan tidak tunduk dengan sebarang ancaman.
Tegas Perdana Menteri, perlu ada barisan yang ampuh untuk mempertahankan perjuangan UMNO dan mengembalikan kejayaan parti itu seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.
“Bukan Barisan Nasional (BN) atau UMNO tidak baik, tetapi mainan persepsi pembangkang menyebabkan rakyat menjauhkan diri.
“Berbanding suasana politik pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, bila kita bagi peruntukan sahaja, rakyat sudah boleh menerimanya. Tetapi sekarang lain, mereka masih ada rasa tidak puas hati. Jadi ini yang perlu kita perbetulkan” katanya.
Tambah beliau, prestasi merosot UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu pula bukan kerana rakyat tidak berpihak pada parti itu tetapi kerana mereka menolak pemimpin yang tidak dekat di hati rakyat, tidak menunaikan janji serta bongkak.
Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat katanya, UMNO tidak boleh ketinggalan dengan metodologi lama sebaliknya perlu menggunakan metodologi terkini supaya dilihat sebagai parti yang dinamik dan berkesan.
“UMNO adalah parti yang terlalu lama, jadi saya nampak pembaharuan adalah sangat perlu.
“Kita perlu cari jalan untuk menjadikan ‘barang’ yang lama itu lebih baik untuk dipandang dan kembali disukai,” katanya.







