Saman RM20 juta Nik Sapeia terhadap PDRM, kerajaan ditolak
KOTA BAHARU: 20 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos dua saman bernilai RM20 juta seorang ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim juga memerintahkan Nik Sapeia menanggung kos sebanyak RM60,000 bagi kes saman berhubung dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai 2006.
Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, kedua-dua saman ditolak selepas Nik Sapeia gagal membuktikan tuntutan beliau.
Ahmad Zaidi berkata, tindakan defendan menahan Nik Sapeia selama sejam 15 minit adalah wajar walaupun tempoh reman sudah tamat kerana ia melibatkan perjalanan plaintif yang dibawa ke balai polis serta prosedur keterangan seperti mengambil gambar, cap jari dan kawad cam.
Nik Sapeia diwakili peguam Zainal Abidin Mustafa, manakala PDRM dan kerajaan Malaysia oleh Peguam Kanan Persekutuan Idham Abdul Ghani.
Nik Sapeia, 57, memfailkan writ saman kedua-dua saman di Mahkamah Tinggi pada 13 Ogos 2006 dan menamakan Pegawai Penyiasat ASP Baharin Mohd Noh, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Plaintif, yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), mendakwa kesemua defendan mempunyai niat untuk menjatuhkan maruah beliau ketika mengendalikan kes berhubung pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Dr Mahathir dan tiga yang lain.
Nik Sapeia juga mendakwa defendan secara salah menahan beliau dan menafikan hak kebebasannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
Plaintif mendakwa tindakan defendan itu menyebabkan beliau mengalami kerugian dalam perniagaan, selain menjejaskan reputasi serta kredibilitinya di mata masyarakat, terutama rakan perniagaan di dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, Nik Sapeia menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA
Pengaruh Anwar mencaturkan kepimpinan PAS
Menjelang Julai ini, PAS tetap tidak membatalkan pemilihan bagi semua jawatan dan pencalonan untuk pelbagai jawatan seperti Presiden sudahpun bermula.Bukan PAS tidak menyedari pemilihan lazimnya mencetuskan perbalahan dan mewujudkan kem-kem namun parti yang menggunakan imej Islam itu memilih untuk mengenepikan hakikat berkenaan. Pengamalan sikap berpuak-puak dalam PAS ataupun dalam apa jua pertubuhan boleh menjejaskan perjalanan parti itu lebih-lebih lagi ketika persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 sedang giat dilakukan. Atas sebab perkiraan ini barangkali, UMNO dan MIC serta beberapa parti lain menangguhkan pemilihan parti sekurang-kurangnya setahun ataupun 18 bulan dalam kes UMNO.Bagi kebanyakkan daripada kita merasakan keputusan PAS meneruskan pemilihan adalah bukti ia tidak takut untuk diuji oleh ahli-ahli. PAS percaya siapa saja naik dan siapa jua yang diturunkan, akhirnya PAS akan bersatu hati dan tenaga menghadapi musuh bersama iaitu UMNO.PAS tidak pernah bimbang walaupun pemilihan boleh membuatkan parti itu tidak sekuat sebelum berlangsungnya pemilihan parti. Bagi parti yang memperagakan imej lslam itu, kebanyakan pemimpin di peringkat Pusat serta juga jawatankuasa tertingginya akan diundi semula untuk dikekalkan sepenggal lagi. Mungkin 10 peratus saja akan kecundang serta diganti dengan muka-muka baru.
Di peringkat kawasan pula dan disebabkan pelbagai faktor, 177 kawasan akan menyaksikan pemimpin mereka dikekalkan. PAS bukan seperti UMNO dan pemimpinnya. Walaupun tidak semua, rata-rata pemimpin PAS pun tidak ghairah mahu menjadi YB. Justeru bagi ahli-ahli diperingkat grassroot, siapa saja yang dinaikkan dulu, boleh diturunkan hari ini dan bagi mereka yang sudah di puncak pula tidak akan terlepas dari prestasi mereka dinilai dari masa ke semasa dan dari pelbagai sudut.
Lazimnya pemimpin Bahagian yang tidak sealiran dengan pucuk pimpinan akan menerima padah. Dengan demikian dasar parti anjuran pucuk pimpinan dapat disenyawakan mengikut dasar yang digariskan oleh pihak Ibu Pejabat.
Sesetengah pemerhati merasakan PAS terpaksa mengadakan pemilihan tahun ini, parti tersebut seolah-olah menyedari ia sedang berdepan dengan dilemma kepimpinan. PAS dilihat seperti sudah ada dua nakhoda. Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang dilihat tidak sebagai “sealiran” dengan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Tanpa mengambil kira reaksi terhadap peristiwa terbaru di mana Haji Hadi berpelukan dan bersalaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pasar di kawasan DUN Beting Maro, Sarawak tatkala acara turun padang parti masing-masing dalam kempen Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10 beberapa hari lalu yang seolah-olah memperlihatkan harapan betapa kerajaan perpaduan akan menjadi realiti juga satu hari nanti, sudah ada tanda-tanda “fatwa” Hadi disanggah oleh Nik Aziz.
Memerhatikan politik dalaman PAS sekalipun dari jarak jauh, Hadi dilihat banyak mengalah. Di peringkat akar umbi hal ini tidaklah sebegitu ketara kerana kebijaksanaan semua pihak memelihara keharmonian. Seperti kata pepatah Melayu, diam ubi tidak bererti tidak ada ubi, ia tetap berisi manakala diair yang tenang pula, usah dijangka tidak ada sang buaya. Sama ada buaya atau ubi, kedua-dua peribahasa lama ini membayangkan krisis ini semakin sukar untuk disembunyikan dari pengetahuan umum.
Kalau dulu PAS ibarat sebuah keluarga tanpa dipengaruhi tangan-tangan dari luar namun kini ia ibarat kata seorang bekas anggota Mafia, “lt takes all kinds of good meat to make a good sauce.” Hakikatnya ialah betapa pengaruh luar lebih terkedepan perancangannya dan akan membiarkan kuah yang sedia ada berkemungkinan besar basi begitu sahaja.
Sudah ada tanda amat jelas kewujudkan dua puak dalam PAS: kumpulan yang memihak kepada Presiden dan puak yang menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau juga dikenali dengan panggilan Erdogan. Kumpulan Erdogan lebih mirip kepada intelektual serta professional lulusan luar negara serta mereka yang di bawah usia 50 tahun.
Meskipun Anwar bukanlah ahli PAS dan jauh sekali mahu memohon untuk menjadi ahli parti itu, sebilangan ahli PAS melihat Anwar sebagai de fakto Perdana Menteri. Dengan lain kata, bagi mereka Anwarlah pemimpin masa hadapan. Kalangan PAS sendiri kurang percaya kemampuan Hadi mentadbir kerajaan seperti mana mereka mengkagumi kemampuan Anwar dalam hal ini. Puak ini dibantu dengan penyokong Anwar di zaman Anwar masih menjadi Presiden ABIM. Mereka inilah yang menjadi alat mencatur peranan Anwar di dalam dan di luar PAS.
Dan kerana awal-awal lagi Nik Aziz seperti terpukau dengan magis dan aura Anwar maka kumpulan yang pro Anwar dilempar talian hayat serta pada masa yang sama menjadikan mereka Kuda Trojan bagi membolehkan Anwar merencanakan strateginya dari luar. Selagi ada Nik Aziz selagi itu Anwar ada talian hayat didalam PAS.
Perkara ini telah disedari banyak pihak. Malah kem yang rapat dengan Presiden partipun menyedari pengaruh Anwar didalam PAS begitu kuat.
Senario yang berlaku sejak setahun kebelakangan ini membuat Presiden dan “all the president’s men” mulai menampakkan sikap berkecuali; tidak lagi nampak tanda-tanda mereka anti-Anwar. Dan kerana faktor ini serta melihat kepada peluang yang cerah untuk ke Putrajaya membuatkan Presiden parti turut menyusun langkah dan menukar rentak kepada rentak memihak kepada Anwar pula.
Contohnya dalam kes video lucah yang dikatakan membabitkan Anwar dengan seorang pelacur China, Hadi selain dari mengetuai sembahyang hajat, beliau juga membuat kenyataan yang dilihat memihak kepada Anwar. Soal sama ada solat hajat itu meminta Allah mengekalkan Anwar selaku pemimpin dan memohon Anwar menjadi Perdana Menteri sudah tentu tidak termasuk dalam doa solat hajat berkenaan.
Yang didoakan adalah soal kesejahteraan Anwar dan memohon petunjuk agar Allah menunjukkan kebenaran. Untuk rekod umum, solat hajat yang dijaja diadakan hampir di banyak tempat kini semakin tidak lagi kedengaran apatah lagi pihak PDRM sudahpun mengatakan lelaki didalam video berkenaan telahpun dikenalpasti.
Nampaknya strategi yang dipasang oleh pemimpin pro Anwar ialah mencalonkan mereka yang berminat menjadi pengganti Hadi dan Nasaruddin iaitu bagi jawatan Presiden dan timbalan.Justeru tiga jawatan Naib Presiden juga akan dicalonkan mengikut calon yang pro Anwar.
Bagaimanapun Husam yang dicalonkan bertanding menentang Hadi, awal-awal lagi menolak pencalonan dan mengikrarkan kesetiaan menyokong presiden parti dan menganggap Hadi seperti seorang mentor yang mendidiknya sejak zaman universiti lagi.
Jawatan Timbalan Presiden sebenarnya adalah idaman kumpulan Erdogan. Tapi siapakah calon pilihan Erdogan yang mampu menjadi orang nombor dua dan bakal pengganti presiden?
Calonnya adalah penting kerana jawatan Timbalan adalah calon yang bakal menjadi Presiden seandainya Hadi meningalkan parti ataupun enggan kekal memimpin PAS. Masalahnya walaupun Nasaruddin tidaklah sekebal mana namun kerana kesetiaan Nasaruddin kepada Presiden selama ini maka kem Hadi masih kekal menyokongnya.
Hal ini tentu membimbangkan kumpulan Erdogan. Mereka tak mahu dilihat berkonfrontasi dengan kem Hadi. Pencalonan Mat Sabu, sahabat Anwar sejak zaman ABIM ke jawatan timbalan dilihat dibuat untuk kacau daun. Mat Sabu bukanlah calon yang dilihat layak serta berwibawa menjadi pemimpin kedua atau pemimpin de fakto andai kata sesuatu berlaku kepada Hadi.
Mat Sabu bukanlah seperti Tan Sri Mahyuddin Yassin dalam UMNO yang bukan saja layak dan setia menunggu giliran malah mempunyai ketokohan tersendiri. Malah hubungan Mat Sabu dengan Anwar sudah lama sejuk iaitu sejak Anwar masih dalam UMNO. Usaha menjernihkan hubungan mereka setakat memanis mulut saja.
Walau apa dan cara apa digunakan, setakat ini kedudukan Nasaruddin tidaklah membimbangkan selagi kem Hadi masih memerlukan regu Nasaruddin dan Hadi. Sifir politik PAS ini boleh berubah jika Nik Aziz berjaya meyakinkan perwakilan serta meyakinkan Hadi sendiri betapa PAS memerlukan seorang tokoh yang lebih berwibawa seperti Salahuddin atau Husam atau sesiapa saja yang mendapat pengiktirafan dari Anwar.
Sehingga rencana ini ditulis, pemilihan kali ini dilihat sengit kerana ia adalah pemilihan bagi membersihkan PAS dari kumpulan yang menyimpan bau UMNO. Nasaruddin yang dilihat rapat dengan idea mewujudkan kerajaan perpaduan dilihat terlalu dekat dengan UMNO dari rapat dengan Anwar dan PKR apatah lagi DAP. Justeru umum melihat tanda-tanda macam PAS sudah bersedia mengorbankan beliau.
Dan menjelang pilihanraya umum akan datang, PAS dengan mudah akan menyenaraikan calon-calon yang pro Anwar agar usaha Anwar dalam apa jua rencana tidak terhalang oleh “little napoleon” tidak sebulu dengan gagasan Anwar.
Anwar mungkin bukan ahli PAS namun peranannya lebih penting dari peranan pemimpin serta jemaah pimpinan parti tersebut kerana setakat ini rancangan Anwar membariskan “orang-orangnya” dalam PAS tidak pernah gagal.
Beng Hock lebih banyak berfikir, berdiam diri
KUALA LUMPUR: 19 April – Seorang saksi hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock bahawa setiausaha politik kepada Exco Selangor itu dilihat lebih banyak berfikir dan berdiam diri ketika mereka bertemu di ruang tamu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor.
Lee Wye Weng, 52, yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, Beng Hock juga kelihatan agak letih dan daripada raut wajahnya, Beng Hock seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Saya berjumpa dengan Teoh selepas kembali ke pejabat SPRM pada awal pagi, 16 Julai 2009 dan pada ketika itu Teoh sedang berehat di atas sofa di kawasan Pendidikan Masyarakat (Penmas),” katanya.
Wye Weng menjelaskan, walaupun agak terkejut dengan pertemuan itu, namun beliau sempat berbual dengan Beng Hock kira-kira 20 minit sebelum Wye Weng dibawa oleh pegawai SPRM untuk dirakam percakapan sekitar pukul 1 pagi.
“Dalam pertemuan itu, Teoh memaklumkan telefon dan pasportnya telah diambil oleh pegawai SPRM dan beliau juga memberitahu kepada saya yang beliau (Teoh) tidak suka komputer riba miliknya diambil oleh pegawai berkenaan,” katanya ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud. – Bernama
Kabinet negeri: Wakil rakyat SUPP serah kepada ketua menteri
MIRI – 19 April – Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Lee Kim Shin menyerahkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengenai pelantikan wakil parti itu dalam kabinet negeri.
Lee yang merupakan seorang daripada dua calon Cina SUPP yang memenangi kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri Sabtu lalu berkata, beliau juga tidak mahu mengulas lanjut kerana kuasa melantik di tangan ketua menteri.
Beliau yang ditemui pemberita di sini hari ini diminta mengulas mengenai gesaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar SUPP tidak menerima pelantikan ke kabinet bagi mewakili masyarakat Cina Sarawak kerana parti itu telah kehilangan sokongan mereka.
Lee sebelum ini memegang jawatan menteri muda bagi dua portfolio iaitu Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan serta Belia dan Sukan.
Pada pilihan raya negeri yang baru berakhir, Lee mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Senadin yang diwakilinya sejak 1996 dengan majoriti tipis 58 undi, apabila memperolehi 7,344 undi mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat Dr Michael Teo Yu Keng yang menerima 7,276.
Selain Lee, seorang lagi calon Cina SUPP yang menang ialah Datuk Seri Wong Soon Koh bagi kerusi Bawang Assan di Sibu.
Mengulas kemenangan tipisnya, Lee berkata, tindakan pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang mengamalkan budaya politik ganas semasa berkempen antara faktor jumlah undi yang diterima beliau merosot.
Selain itu katanya, kewujudan pengundi baru yang ramai di kawasannya juga mungkin menyumbang kepada keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Lee berkata, keputusan itu tidak menghalang beliau untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada seluruh masyarakat di kawasannya.
“Hari ini saya akan turun padang dan berterima kasih kepada pengundi secara bersemuka atas sokongan mereka, dan saya akan sambung lagi esok. Tetapi saya tahu mustahil saya dapat berjumpa dengan semua orang, justeru saya mengucapkan terima kasih kepada mereka menerusi media,” katanya.- Bernama
Snap dakwa Pelagus miliknya, ADUN tidak tahu menahu
KUCHING 19 April – Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) hari ini mendakwa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus miliknya dengan alasan calon Bebas, George Lagong yang menang di kawasan itu adalah ahlinya.
Presiden Snap, Edwin Dundang turut mendakwa George telah menyatakan pendirian untuk berdiri teguh dan berjuang bersama parti pembangkang itu.
“Meskipun menang sebagai calon Bebas, George kekal sebagai ahli parti ini. Beliau yang tidak dapat hadir hari ini membenarkan saya mengumumkan pendiriannya itu.
“Justeru, secara tidak rasminya Snap memenangi satu daripada 26 kerusi yang ditandingi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Snap di sini hari ini.
Pada pilihan raya negeri Sabtu lalu, George menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Stanley Nyitar dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Edward Sumbang Asun dengan majoriti 2,837 undi.
Mengulas lanjut, Edwin berkata, George terpaksa bertanding di Pelagus atas tiket Bebas kerana beliau tidak sempat mendapatkan surat kebenaran rasmi daripada pihak parti pada hari penamaan calon.
“Seperti yang anda tahu, beliau sepatutnya bertanding sebagai calon Snap di DUN Baleh tetapi menukar fikiran dengan bertanding di DUN Pelagus pada saat-saat akhir.
“Bagaimanapun, kami telah dimaklumkan mengenainya dan keputusan beliau itu mendapat restu pucuk pimpinan parti,” katanya.
Sementara itu, George yang dihubungi Utusan Malaysia memberikan kenyataan berbeza malah menegaskan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan politiknya.
Katanya, beliau langsung tidak dimaklumkan mengenai statusnya sebagai ADUN Snap kerana berada di luar kawasan sejak tiga hari lalu.
“Saya ingin tegaskan, sama ada saya ahli Snap atau tidak, saya bertanding dan menang sebagai calon Bebas, bukan calon Snap,” tegasnya.
Dalam pada itu, George mendedahkan sehingga hari ini masih belum ada mana-mana parti mempelawa beliau menyertai mereka namun mengakui bahawa beliau adalah seorang yang mesra Barisan Nasional (BN) dan kemungkinan untuk menyertai parti pemerintah itu adalah tinggi.
“Saya tidak mahu tergesa-gesa, saya perlukan masa. Saya perlukan kenderaan politik (parti) untuk kerjaya politik,” katanya.
DAP sengaja tuduh BN untuk dapat undi Cina
KUALA LUMPUR 19 April – Tindakan DAP menuduh Barisan Nasional (BN) tidak membela nasib masyarakat Cina bertujuan mewujudkan sentimen perkauman semata-mata bagi mendapatkan undi kaum tersebut.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, DAP turut mempergunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas untuk membawa sistem dua parti iaitu untuk Cina dan bukan Cina bagi memecah-belahkan undi Melayu.
“Dalam hal ini, saya lihat konsep dua parti yang cuba dibawa oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 telah berjaya apabila ramai pengundi Cina menolak BN.
“Di Sarawak, DAP melabelkan BN sebagai parti yang tidak membela nasib orang Cina. Ini merupakan taktik mereka untuk menarik undi kaum itu secara total dan pada masa sama mereka juga menggunakan PKR serta Pas untuk memecahkan undi Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Anuar, isu utama pengundi Cina di Sarawak tidak memilih BN bukan kerana trend atau pola pengundian, tetapi ia kesan tindakan DAP membakar semangat perkauman serta kebencian kaum lain terhadap BN.
Syed Ibrahim pertingkat usaha temui pengundi
TEMERLOH - “Saya tak fikir soal menang atau kalah, yang penting saya mahu berjumpa pengundi. Itulah menjadi keutamaan saya”.
Itu kata-kata calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad yang terus mempertingkatkan usahanya menemui pengundi pada saat terakhir kempen hari ini bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau terus kekal milik BN.
“Setakat ini, ada pengundi yang sudah empat kali saya jumpa dan tidak pernah rasa bosan atau penat berbuat demikian kerana yakin cara itu saja dapat memenangi hati mereka dan memilih BN,” katanya kepada Berita Harian.
Bagaimanapun, momentum kempen pembangkang yang kelihatan suram dengan kehadiran pemimpin mereka berkempen sekadar ‘suam-suam kuku’ sejak hampir seminggu lalu, tidak melalaikan jentera BN untuk berusaha keras sehingga tempoh berkempen tamat tengah malam ini.
Syed Ibrahim berkata, kebanyakan pemimpin tertinggi parti pembangkang hanya datang berkempen sekali saja di sekitar DUN Kerdau, sekali gus keadaan itu mencerminkan tahap keyakinan mereka yang rendah terhadap peluang di DUN ini menjelang hari pengundian esok.
Beliau berkata, situasi yang dihadapi pembangkang itu memberi petanda baik kepada BN untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil itu, tetapi ia bukan alasan untuk jentera BN memperlahankan gerak kerja meraih undi.
“Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim datang berkempen di Rumpun Makmur malam kelmarin, manakala pemimpin PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga setakat ini hanya datang sekali saja.
“Kurangnya sokongan pemimpin tertinggi pembangkang ini seolah-olah menunjukkan mereka mengetahui peluang rendah di sini tetapi ia bukan sebab untuk kita.
Roslan yakin terus kekal mandat
MERLIMAU – ‘.“Saya sudah melakukan yang terbaik dan hanya tawakal serta berserah kepada pengundi untuk membuat pilihan,” kata calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad menjelang hari penentuan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, esok.
Roslan, 44, bagaimanapun yakin kemenangan berpihak kepadanya berdasarkan sambutan dan maklum balas pengundi sepanjang tujuh hari beliau berkempen dan atas faktor BN sememangnya mendapat sokongan pengundi di kawasan itu sejak sekian lama.
“Momentum itu akan memberi kelebihan kepada saya. Insya-Allah ia akan diterjemahkan kepada undi, Ahad ini,” kata bekas Pengurus Bahagian Pembangunan Bisnes dan Sosio-Ekonomi, Perbadanan Melaka Hol-dings Sdn Bhd itu ketika ditemui di Permatang Serai, semalam.
Selepas solat Jumaat, Roslan ditemani isteri, Zalifah Omar, 38, meneruskan kempen ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin menyertai program ramah mesra bersama nelayan muda di Jeti Merlimau Pantai dan veteran UMNO serta menyertai Sukan 1Malaysia di Taman Muhibbah.
Sehingga semalam, beliau sudah menemui lebih 80 peratus pengundi DUN Merlimau dan akan menggunakan kesempatan pada fasa terakhir kempen untuk melakukan tinjauan mesra di seluruh DUN, manakala baki 20 peratus lagi pengundi menetap di luar yang didekati melalui laman sosial Facebook.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS bagi DUN Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, berkata parti berkenaan memperoleh 41 peratus pengundi Melayu, 75 peratus Cina dan 30 peratus India, sekali gus optimis merampas kerusi itu daripada BN dengan mengharapkan undi protes secara senyap.
Calon PAS, Yuhaizad Abdullah, pula berkata beliau mengenal pasti 20 masalah yang dihadapi pengundi di kawasan terbabit, antaranya tiada lampu isyarat di beberapa persimpangan, kekurangan lampu jalan, masalah perparitan dan kadar cukai pintu yang tinggi.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menuduh kira-kira 750 orang di luar daerah Merlimau ditawarkan pihak tertentu menjadi pengundi hantu dengan habuan lumayan selain mendakwa pemimpin PAS menerima SMS berbaur ugutan daripada pihak yang menggelar diri mereka ‘Geng Jebat Derhaka’.
Nik Aziz akui kenyataannya pecahkan perpaduan umat Islam
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kenyataan politiknya ketika berkempen dalam pilihan raya boleh menyebabkan umat Islam di negara ini berpecah-belah.
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, dalam perjuangannya mempertahankan parti terdapat kenyataan dikeluarkan beliau akan menyebabkan ada pihak yang menyokong kenyataannya dan ada pihak yang menentang pandangannya.
“Malah, isu pecah belah di kalangan umat manusia berlaku sejak zaman Nabi Muhammad (S.A.W) dan Nabi Adam (A.S) lagi,” katanya semasa menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan fatwanya sendiri ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor bahawa pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) adalah golongan jahiliyah kerana mereka menolak Pas, parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.
Berikutan kenyataan itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Nik Abdul Aziz hanya berjuang untuk memenangi pilihan raya dan bukannya berjuang untuk Islam. – Bernama
Pengundi wajar terjemah sokongan usaha kerajaan
MERLIMAU – Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau diharap menterjemahkan sokongan mereka terhadap usaha kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dalam memajukan kawasan itu selama ini melalui undian terhadap calon parti itu, esok.
Pengarah Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) DUN Merlimau yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata manifestasi pengundi pada hari pengundian esok penting bagi membolehkan BN meneruskan khidmat dengan lebih cemerlang.
“Rakyat perlu beri pertimbangan sebaik mungkin terhadap rekod perkhidmatan BN selain kerja keras kerajaan negeri, jentera BN dan pegawai membangunkan kawasan ini. Kita bekerja tiga syif di negeri ini, pagi, petang dan malam secara berterusan hingga akhirnya Melaka diiktiraf termaju di Malaysia.
“Jadi kalau pengundi beri sokongan besar kepada BN, lagi ligat ahli parti bekerja selepas ini kerana mereka menjadi lebih bersemangat dan rajin untuk menabur khidmat kepada penduduk di sini,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Merlimau Pasir, di sini semalam.
Mengulas strategi saat akhir sebelum tempoh berkempen tamat tengah malam ini, Mohd Ali berkata, beliau sentiasa mengingatkan jentera parti supaya tidak berhenti bekerja untuk merayu undi sehingga hari pengundian.
Beliau turut membidas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang mendakwa Kerajaan Melaka selama ini menindas kaum India khususnya di kawasan estet di negeri ini dan menyifatkan ia tuduhan serkap jarang’ untuk menarik undi kaum India pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.
“Kita di Melaka jaga semua kaum termasuk Orang Asli dan tidak ada satu pun yang tercicir daripada segala bentuk bantuan, malah mereka turut merasai nikmat pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri. Azmin mana tahu apa berlaku di Melaka.
“Masalah di kawasan sendiri pun tak mampu nak selesaikan, sekarang nak ungkit masalah di tempat orang. Kerajaan Melaka diterajui BN buat lebih baik untuk rakyat pelbagai kaum berbanding negeri di bawah pemerintahan pihak pembangkang,” katanya.



