Pemimpin PAS tidak perlu risau jika dicabar ketika pemilihan: Abdul Fatah

April 21, 2011 by admin  
Filed under Featured

RANTAU PANJANG: 21 April – Pemimpin PAS tidak perlu berasa risau atau bertindak terburu-buru apabila diuar-uar akan dicabar pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada Jun ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun, berkata mereka sebaliknya harus menilai sendiri sama ada mereka berjuang untuk parti atau kepentingan diri.

“Pemimpin tertinggi PAS termasuk presiden sendiri tidak perlu kalut apabila menghadapi keadaan sama ada dicalonkan atau mempertahankan diri dalam sesuatu jawatan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemimpin PAS yang matang juga tahu bahawa mereka yang benar-benar berwibawa tidak perlu menonjolkan diri supaya dicalonkan, sebaliknya menunggu pencalonan daripada akar umbi.

“Malah, pemimpin tertinggi sendiri sedia berundur jika mereka merasakan tidak berkemampuan untuk terus memimpin atas sebab-sebab tertentu, termasuk faktor usia atau kredibiliti dipersoalkan. Sebab itu tidak pernah berlaku perebutan dalam PAS,” katanya.

Abdul Fatah diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilapor berkata, beliau sedia ditentang bagi jawatannya itu.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dicalonkan PAS kawasan Bukit Bintang untuk bertanding merebut jawatan presiden parti. – BERNAMA

Kerajaan Kelantan bantah pusat jadi pencelah kes tuntutan royalti minyak

April 21, 2011 by admin  
Filed under Featured

KUALA LUMPUR: 21 April – Kerajaan PAS Kelantan mengemukakan rayuan membantah keputusan kerajaan pusat menjadi pencelah dalam samannya terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung tuntutan royalti minyak.

Kerajaan negeri juga memfailkan satu lagi rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya supaya saman itu dipindahkan semula untuk didengar oleh Mahkamah Baru Komersial (NCC).

Mahkamah Rayuan tidak menetapkan sebarang tarikh bagi mendengar kedua-dua permohonan itu, kata peguam Rishwant Singh, yang mewakili Petronas, kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof telah menetapkan 20 Mei bagi sebutan saman itu selepas menemui beliau bersama peguam Nur Ashikin Abdul Rahim, yang mewakili kerajaan Kelantan, dan Peguam Kanan Persekutuan, Noorhisham Ismail, yang mewakili kerajaan pusat, semasa pengurusan kes.

Pada 22 Mac, hakim Zabariah membenarkan permohonan kerajaan pusat menjadi pencelah dalam saman itu dan juga menjadi defendan kedua.

Manakala, pada 31 Mac, beliau menolak permohonan kerajaan negeri supaya kes itu dipindah semula ke Mahkamah Baru Komersial.

Kerajaan Kelantan mahu supaya kes itu didengar oleh Mahkamah Baru Komersial kerana kes itu pada asalnya didengar oleh mahkamah berkenaan.
Ia kini akan didengar di Mahkamah Baru Sivil.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan berhubung dakwaan melanggar kontrak mengenai pembayaran wang kepada negeri itu bagi hasil minyak berdasarkan Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, yang menetapkan bahawa Petronas harus membayar lima peratus dalam bentuk wang tunai daripada hasil minyak, yang diperoleh daripada kerja mencari gali sama ada di darat atau di luar pesisir pantai.

Dalam kenyataan tuntutannya itu, kerajaan negeri memohon perintah supaya Petronas membuat penjelasan penuh dan benar mengenai semua fakta berhubung bayaran yang harus diberikan kepada Kelantan serta tempoh minyak ditemui dan dihasilkan di luar pesisir pantai Kelantan. – BERNAMA

Senjata milik Tengku Fakhry tak sepadan peluru kes tembak

April 21, 2011 by admin  
Filed under Featured

TUMPAT: 21 April – Saksi terakhir dalam prosiding inkues membabitkan kematian pengawal keselamatan Istana Kelantan memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, dua jenis senjata api dan peluru diambil daripada Tengku Muhammad Fakhry Petra di Istana Mahkota tidak sepadan peluru digunakan kes tembak Ramli Mohd.

Pegawai Penyiasat, Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Asisten Superintendan Kamarulnizam Alias, ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat berkata, dua senjata api itu ialah senapang patah jenis Benelli berserta peluru dan sepucuk pistol Automatik jenis Glock.33 bersama pelurunya.

Beliau menjadi saksi inkues ke-38 berkata, polis juga mengambil barangan lain seperti 51 peluru, seutas tali silang digunakan bersama senapang patah, dua kelopak peluru dan lesen senjata api milik anakanda ketiga bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra itu.

“Senjata api yang diambil di Istana Mahkota, Kubang Kerian diserahkan kepada saya oleh seorang pegawai atasan pada 5 Mei 2010, jam 12.15 malam.

“Bagaimanapun, selepas didapati peluru digunakan dalam kes tembak Ramli tidak sama senjata api diambil, jadi atas arahan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ketika itu, Datuk Mazlan Lazim supaya serah barang berkenaan kepada Tengku Muhammad Fakhry.

“Peluru yang digunakan dalam kes tembak Ramli bersaiz .32 sedangkan (senjata api) diambil ialah satu senapang patah dan sepucuk pistol Automatik jenis Glock.33.

“Disebabkan tidak sama, arahan supaya serah semula dibuat selepas mendapat laporan forensik,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak , semalam.
Kamarulnizam yang diarah mengambil alih siasatan kes membabitkan Ramli daripada Inspektor Noor Shuhada Husin daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, itu juga memaklumkan kepada Koroner polis turut menahan dua individu bagi membantu siasatan.

Katanya, tangkapan membabitkan tukang masak peribadi Tengku Muhammad Fakhry iaitu Mohd Rusdee Hassan@Thopearoh, 46, atau Chef Dee pada 12 Mei 2010, kira-kira jam 3 pagi dan Mohd Salleh@Abd Ghani Ismail, tanpa menyebut tarikh dan waktu ditangkap.

Sementara itu, bekas pembantu peribadi Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Muhammad Burhanuddin Ab Maleki, 35, memberitahu mahkamah, ketika di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, ada dua perkara berlaku iaitu ada pihak memasuki bilik Tuanku Ismail tanpa kebenaran dan pertelingkahan membabitkan pengawal swasta dan pengawal istana dilantik kerajaan. Keputusan inkues dibuat 2 Mei ini.

Beng Hock orang perantara: Saksi

April 21, 2011 by admin  
Filed under Featured

KUALA LUMPUR: 21 April – Seorang saksi mengakui beliau, isterinya dan anak saudaranya yang mempunyai kaitan dengan pemimpin DAP, berperanan dalam pemilihan kontraktor dan mendapatkan kontrak bagi projek daripada kerajaan negeri Selangor.

Ahli perniagaan, Lee Wye Wing, 52, memberitahu demikian kepada Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock, semalam, ketika disoal peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Anak saudara Wye Wing, Lee Kee Heng adalah bekas setiausaha Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Disoal Muhammad Shafee, Wye Wing mengakui semua syarikatnya didaftar atas nama isterinya, tetapi dia tidak terbabit secara langsung dan hanya menandatangani cek.

Beliau mengakui menggunakan syarikat Bumiputera mendapatkan projek kecil juga setuju menerima banyak projek daripada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, majikan Beng Hock.

Wye Wing turut setuju memberikan lima hingga 10 peratus komisyen hasil projek kepada syarikat Bumiputera yang namanya digunakan untuk mendapatkan projek itu. Antara syarikat Bumiputera itu ialah MKMN Enterprise, MA Bina Melur Enterprise, Fizami Construction dan Aris Enterprise.

Wye Wing mengakui syarikat itu turut menerima wang pendahuluan daripada DAP dan membayarnya kembali sebaik mendapat bayaran untuk kerja dilaksanakan.
Beliau bagaimanapun menafikan memberikan wang untuk dana DAP.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Wye Wing berkata, Beng Hock adalah perantara dan terbabit menentukan sebut harga bagi projek yang diluluskan Hian Wah.

Katanya, Beng Hock mengetahui jumlah sebut harga bagi sesuatu projek dan akan menyampaikan maklumat itu kepada Hian Wah.

“Sebelum jumlah itu dipersetujui, saya akan menghantar e-mel kepada Beng Hock dan pindaan akan dibuat pada sebut harga jika Hian Wah tidak setuju dengan harga ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Superintendan (DSP) Kamaruddin Ismail yang juga saksi ke-37 memberitahu suruhanjaya, 20 kertas siasatan dibuka terhadap pegawai SPRM Selangor kerana menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat, antara 25 Mac 2005 dan 18 Julai 2009.

Katanya, semua laporan dibuat orang awam dan terakhir oleh Tan Boon Wah (Ahli majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPK) yang disoal siasat SPRM pada malam sama dengan Beng Hock).

Kamaruddin berkata, daripada 20 aduan itu, 13 kes masih dalam siasatan, manakala bakinya sudah ditarik balik pengadu.

“Ada kes dikelaskan sebagai ‘NFA’ (tiada tindakan lanjut) disebabkan saksi atau pengadu tidak hadir untuk membuat pengecaman dalam kawad cam dan kami menganggap mereka tidak berminat,” katanya.

Kamaruddin berkata, daripada 20 aduan itu, 13 membabitkan pegawai penyiasat SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Disoal pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen sama ada SPRM bekerjasama dengan polis dalam siasatan itu, Kamaruddin berkata SPRM tidak memberikan kerjasama sehingga selepas kematian Beng Hock.

“Kita menerima surat daripada Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim pada 2008, memaklumkan SPRM perlu mendapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara untuk memberi kerjasama berhubung semua laporan polis itu,” katanya.

Sementara itu, Cheng Yuen mengumumkan tempoh siasatan suruhanjaya dilanjutkan dua bulan sehingga 25 Jun ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Perlanjutan tempoh itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui sepucuk surat. Prosiding bersambung hari ini.

Akaun e-mel peribadi setiap rakyat

April 20, 2011 by admin  
Filed under Featured

PUTRAJAYA: 20 April – Mulai Julai ini rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan diberikan akaun e-mel peribadi menerusi web portal E-mel 1Malaysia yang membolehkan mereka menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung antara rakyat dengan semua agensi awam.

Projek E-mel 1Malaysia (1MY) itu juga bagi mewujudkan perhubungan lebih telus dan selamat rakyat dengan kerajaan, di samping meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam kepada rakyat kerana ia berfungsi sebagai portal sehenti untuk perkhidmatan beberapa agensi kerajaan.

Ia juga akan melengkapi beberapa perkhidmatan dalam talian yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini seperti portal rasmi kerajaan, myGovernment dan portal aplikasi kerajaan elektronik (e-kerajaan), MyEG.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pengumuman projek baru Program Transformasi Ekonomi (ETP), di ibu negara semalam.

Laman portal sehenti berkenaan akan dibangunkan oleh syarikat senarai Bursa Malaysia, Tricubes Bhd dan menyediakan perkhidmatan sokongan seperti rangkaian sosial, pembayaran bil dalam talian dan permohonan kerakyatan menerusi pautan.

Ketua Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar, berkata syarikat berkenaan yang terbabit dalam perniagaan kemudahan teknologi untuk segmen enterpris dan pengguna akan melabur RM50 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membangunkan sistem e-mel berkenaan dan dijangka menyumbang RM39 juta kepada pendapatan negara kasar (PNK) menjelang 2020.
Khairun Zainal berkata, Tricubes akan memiliki dan mengendalikan sepenuhnya portal sehenti berkenaan kerana ia adalah inisiatif swasta.

“E-mel 1Malaysia akan menjadi e-mel peribadi rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan kerajaan. Kami sedang meninjau untuk meletakkan notis dan pengumuman penting daripada kerajaan dihantar terus dalam peti e-mel pengguna,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan portal e-mel 1 Malaysia dengan MyEG, beliau berkata MyEG ditumpukan kepada perkhidmatan pembayaran bil, manakala E-mel 1Malaysia untuk menyampaikan notis dan maklumat kerajaan.

Beliau menjelaskan, Tricubes kini sedang meninjau beberapa cara untuk menjadikan pendaftaran akaun e-mel berkenaan secara automatik kepada pemegang MyKad berusia 18 tahun ke atas.

INFO: E-mel 1 Malaysia

  • Dikendalikan oleh Tricubes Bhd yang berpengalaman 12 tahun dalam bidang biometrik dan kad pintar.
  • Dimiliki sepenuhnya oleh Tricubes menerusi bidaan terbuka Unit Perancangan Pengurusan dan Pemodenan Pentadbiran Malaysia (MAMPU).
  • Menjadi platform utama dan rasmi bagi komunikasi dua hala rakyat dengan kerajaan.
  • Dilengkapi pautan yang membolehkan beberapa urus niaga berkaitan agensi kerajaan dilaksanakan
  • Imam Besar Mekah Puji Cara Malaysia Urus Jemaah Haji

    April 20, 2011 by admin  
    Filed under Featured

    PETALING JAYA: 20 April – Kecekapan Malaysia menguruskan jemaah haji ketika menunaikan ibadah itu di tanah suci, mendapat pujian Imam Besar Masjidil Haram iaitu Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais.

    Beliau menyifatkan Malaysia sebagai negara contoh dalam menguruskan hal ehwal ibadah Haji dan berkata ia perlu dijadikan panduan oleh masyarakat serta negara Islam lain di seluruh dunia.

    “Ia termasuk aspek memberi kefahaman hukum-hukum kepada jemaah terlibat, bagaimana menguruskan kebajikan mereka, dan bagaimana membantu meningkatkan ekonomi jemaah sebelum dan selepas menunaikan Haji,” katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk “Masa Depan Ketamadunan Islam pada abad ke-21″ di Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa di sini, Rabu. Butiran yang disampaikan Sheikh Dr Abdul Rahman itu diterjemah oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia Datuk Mahamud Abdul kepada pemberita.

    Sheikh Abdul Rahman turut menyampaikan salam Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud serta rakyatnya kepada pemimpin dan penduduk Malaysia, dengan harapan hubungan sedia ada dapat ditingkatkan demi kepentingan kedua-dua negara.

    Beliau juga berharap Malaysia dan Arab Saudi dapat bekerjasama dalam menyampaikan mesej Islam ke seluruh dunia dengan penuh kesederhanaan agar lebih ramai membuka hati untuk menerima ajaran Islam.

    Sheikh Abdul Rahman berkata bagi tujuan tersebut, umat Islam perlu menunjukkan contoh terbaik dalam amalan kehidupan seharian.

    “Apabila kita menyampaikan Islam dan orang tak mahu terima, kita kena hormati. Tapi ada dua cara dalam berdakwah, sama ada melalui syarahan seperti yang kita lakukan hari ini, atau menunjukkan contoh supaya imej umat Islam yang baik boleh ditonjolkan dengan lebih banyak kepada bukan Islam,” katanya.

    Beliau turut menggalakkan umat Islam menguasai bahasa Arab kerana ia bahasa Al-Quran dan tidak menganggap ia hanya untuk orang Arab.

    Sheikh Abdul Rahman sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia, dan dijangka menyampaikan khutbah sebelum mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, sebelum pulang ke Arab Saudi.-BERNAM

    Zeti dilantik semula Gabenor Bank Negara

    April 20, 2011 by admin  
    Filed under Featured

    KUALA LUMPUR 20 April – Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz telah dilantik semula sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 1 Mei.

    Dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM berkata, pelantikan semula itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

    Zeti, 64, telah memegang jawatan Gabenor sejak Mei 2000. – Bernama

    PM akui kuasa media pengaruh rakyat

    April 20, 2011 by admin  
    Filed under Featured

    paper-malaysiaPUTERAJAYA: 20 April – “Pena, papan kekunci dan tetikus adalah lebih berkuasa daripada pedang.” Begitulah kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika berucap pada Taklimat Media Inisiatif Penjanaan Kekayaan Baru dan Pembangunan Eko-Sistem Negara Melangkaui 2021 – Unit Inovasi Khas (UNIK) di Putrajaya, Selasa.

    “Pihak media, bantulah saya untuk membuat rakyat melihat visi Malaysia yang inovatif  dengan jelas sebagaimana saya melihatnya. Andalah duta yang boleh mempengaruhi rakyat melalui penulisan anda. “Pena, papan kekunci dan tetikus adalah lebih berkuasa daripada pedang. Gerakkan rakyat menerusi kewartawanan anda, supaya kita bersama-sama mengatasi cabaran, berada pada landasan yang betul dan membina Malaysia ke arah cemerlangan.” katanya.

    Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan 23 inisiatif ekosistem dan penjanaan kekayaan yang akan menarik pelaburan berbilion Ringgit serta melahirkan lebih banyak penjanaan kekayaan negara.

    Najib menegaskan, untuk melahirkan nilai yang baru menerusi inovasi, rakyat perlu mengubah sikap. “Sekiranya pada peringkat awal cabaran kita ialah untuk mengubah sikap “tidak apa”, sekarang kita perlu mengubah sikap “lebih kurang”.

    “Kita mesti bertindak tepat dalam apa jua yang kita lakukan. “Lebih kurang” tidak mencukupi. Kita perlu berubah supaya kita boleh keluar dari zon selesa. Kita tidak boleh berpuashati dengan kejayaan yang sedia ada.

    “Kita mempunyai tanggungjawab meninggalkan kepada keturunan kita satu platform untuk mereka menjadi rakyat yang terbilang di peringkat global,” kata Najib yang turut menyaksikan majlis perjanjian kerjasama strategik antara beberapa rakan kongsi dengan Unit Inovasi Khas (UNIK), yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Menurutnya, bukan mudah untuk melakukan transformasi minda. Tetapi untuk menjadi negara yang inovatif, transformasi minda perlu dilakukan di sektor kerajaan, industri dan pendidikan.

    Najib berkata dia memberi penekanan khusus kepada penjanaan kekayaan kerana ia adalah matlamat pertama Model Ekonomi Baru. Katanya dalam persekitaran global hari ini, pelaburan sahaja tidak mencukupi dan kerajaan harus melihat cara lain bagi menjana kekayaan,

    “Untuk menjadi negara yang membangun, usaha menjana kekayaan harus dibuat menerusi inovasi.Kita harus ingat bahawa inovasi bukan satu destinasi tetapi satu perjalanan. Ini adalah permulaan perjalanan yang panjang dan kita baru memulakan pelayaran. Kita mungkin akan melakukan beberapa kesilapan dalam perjalanan kerana kita belayar di atas lautan yang tidak pernah diduga.”

    Enam Belas Dakwa Ditipu Terpilih Bertanding Pilihan Raya Sarawak

    April 20, 2011 by admin  
    Filed under Featured

    SIBU, 20 April  — Seramai 16 lelaki mendakwa ditipu oleh dua orang yang kononnya mewakili Umno untuk memilih mereka ini menjadi calon parti itu pada pilihan raya negeri 16 April lepas.

    Seorang daripada mereka, Joseph anak Lebun, 27, mendakwa mereka dijanjikan RM1 juta tiap seorang sebagai perbelanjaan pilihan raya dan RM250,000 sebagai wang jaminan sama ada kalah atau menang apabila bertanding.

    Ketika dihubungi Bernama pada Rabu, Joseph berkata mereka telah menjalani tapisan peluang kemenangan oleh dua lelaki yang mendakwa mewakili sebuah badan dikenali sebagai Jawatankuasa Penajaan Umno Sarawak (JPUNS).

    Umno tidak mempunyai cawangannya di Sarawak.

    Joseph, yang mendakwa dipilih untuk bertanding bagi kerusi Katibas, berkata beliau telah meletak jawatan sebagai pekerja luar pesisir di Singapura kerana begitu terpengaruh oleh pujukan seorang daripada lelaki berkenaan.

    “Saya membelanjakan hampir RM50,000 wang sendiri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya itu sejak enam bulan lepas,” katanya.

    Malah, katanya, mereka telah mengisi borang penclonan tetapi dua hari menjelang hari penamaan calon, mereka menerima SMS berbunyi “Kitak Tak Jadi Bertanding” (Kamu Tak Jadi Bertanding).

    Isnin lepas, Joseph dan lima yang lain membuat laporan di Ibu Pejabat Polis di sini terhadap dua lelaki berkenaan kerana “mereka-reka cerita, memperdaya dan membohongi” mereka.

    “Malah, saya telah mencetak poster, menubuhkan jentera pilihan raya dan membayar deposit bagi penyewaan bot panjang serta bilik gerakan.

    “Sekarang, para penyokong saya meragui kredibiliti saya dan nama baik saya telah tercemar kerana mereka berpendapat saya telah dibeli,” kata Joseph.

    Seorang lagi, Salleh Mahli, yang telah bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Dalat dengan menggunakan perbelanjaan sendiri, berkata dua lelaki berkenaan telah menghilangkan diri selepas mengirim SMS itu.

    “Memandangkan pilihan raya Parlimen akan menjelang, saya harap tiada pihak lain yang akan menjadi mangsa. Biarlah apa yang terjadi kepada kami menjadi pengajaran,” katanya.

    – BERNAMA

    Kertas siasatan video seks diserah semula

    April 20, 2011 by admin  
    Filed under Featured

    BUKIT MERTAJAM 20 April – Polis akan menyerahkan semula laporan kertas siasatan kes rakaman video seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

    Katanya, ini kerana kertas siasatan kes berkenaan yang dihantar pada minggu lepas telah dipulangkan semula oleh Pejabat Peguam Negara untuk semakan semula.

    “Ada sedikit semakan yang perlu dibuat dan itu adalah perkara biasa, kertas siasatan yang telah lengkap itu akan diserahkan semula kepada Pejabat Peguam Negara secepat mungkin dan kita memang mahu siasatan berhubung kes video seks itu disegerakan,” katanya kepada pemberita di sini selepas membuat lawatan di sekitar kawasan Kubang Semang di sini hari ini. – Bernama

    Next Page »