Konvensyen BN Perlu Lebih Kerap
KUALA LUMPUR 7 Dis – Konvensyen Barisan Nasional (BN) perlu diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan ikatan dan semangat antara parti komponen BN dapat terus diperkukuhkan, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.
Katanya beliau merasakan hasrat untuk mengadakan konvensyen lebih kerap adalah tepat selepas melihat bagaimana Konvensyen BN semalam memberikan suntikan baru dan semangat yang begitu hebat di kalangan pimpinan 13 parti komponen BN.
“Saya setuju jika konvensyen ini dapat diadakan di setiap negeri dan dengan lebih kerap lagi, mungkin dua atau tiga tahun sekali supaya semangat BN itu dapat dikumpul dalam satu konvensyen,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kad Sahabat Iktiraf di sini.
Turut hadir ialah Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Ab. Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd Datuk Sabri Ahmad dan Pengarah Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.
Beliau berkata konvensyen yang mengumpulkan semua parti komponen BN itu juga penting bagi membolehkan semua pimpinan parti menyuarakan cadangan dan pandangan ke arah membawa BN ke peringkat yang lebih tinggi.
Merujuk kepada MoU yang ditandatangani antara Seranta (Felda) dengan Felda D’Saji, Felda Travel Sdn Bhd dan Nilai Education Kolej Sdn Bhd hari ini, Ahmad berkata ia akan membolehkan warga Felda yang memegang kad Sahabat Iktiraf menikmati pelbagai faedah yang ditawar syarikat-syarikat Felda terbabit.
Antaranya termasuk menikmati 10 peratus potongan harga bagi sajian di Felda Villa, Kuala Lumpur, 10 peratus potongan harga untuk bilik penginapan di semua pusat peranginan milik Felda dan 15 peratus potongan ke atas yuran pengajian di Nilai Universiti Kolej.
Sementara itu beliau berkata penganjuran karnival Iktiraf 2010 yang dijadualkan dari Jumaat hingga Ahad ini di Medan Pancarona, Putrajaya, akan menjadi platform kepada warga peneroka dalam memperkukuh ukhuwah yang selama ini menjadi teras utama pembangunan Felda.
Katanya karnival yang akan memuatkan pelbagai aktiviti seperti pameran serta jualan itu juga merupakan medium bagi Felda untuk menyampai maklumat secara bersemuka kepada warga Felda dan orang ramai.
Felda menjangka lebih 50,000 pengunjung dari sekitar Lembah Klang akan hadir memeriahkan karnival itu
Belanja Besar : Pegawai Kanan Yayasan Selangor Ditahan Reman Tujuh Hari
SHAH ALAM, 24 Nov – Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.
Perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.
Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.
Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.
Pelajar Pintar SPM Sakit Leukemia Tabah Ketentuan Ilahi
SEREMBAN 21 Nov. – Seorang pelajar pintar disyaki menghidap leukemia dan sedang terlantar di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bertekad mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun terpaksa menduduki peperiksaan di atas katil hospital mulai Selasa ini.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Jasin itu, Fateh Izani Ishak, 17, tidak menjadikan penderitaan dialaminya sebagai penghalang sebaliknya terus mengulang kaji pelajaran di hospital itu sejak dimasukkan pada Selasa lalu.
Fateh yang memperoleh keputusan 9A dan 1B dalam peperiksaan percubaan SPM tidak menyangka sakit sendi di kaki sejak sebulan lalu membuatkan dirinya terpaksa mengambil peperiksaan itu yang bermula Selasa ini di hospital.
Menurut anak kedua daripada empat adik beradik itu, sakit kaki yang kerap dialaminya itu menyebabkan dia menjalani pemeriksaan di salah sebuah hospital swasta di sini sebelum dirujuk ke HTJ.
“Selepas mendapatkan rawatan di hospital swasta berkenaan, doktor di hospital itu telah mengarahkan saya untuk mendapatkan rawatan lanjut di HTJ.
“Bagaimanapun, selepas menjalani ujian darah di HTJ, saya terkejut kerana doktor memberitahu saya bahawa sel darah putih di dalam tubuh melebihi sel darah merah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelas Fateh, dia dan keluarganya amat terkejut dengan berita itu memandangkan dirinya sebelum ini mempunyai rekod kesihatan yang baik.
“Berita ini amat mengejutkan saya kerana sebelum ini saya tidak pernah jatuh sakit seperti ini dan kalau hendak dikatakan ia faktor genetik, tiada ahli keluarga saya yang menghidap penyakit seperti ini.
“Apa pun saya reda dengan ketentuan ini dan tidak akan menjadikan ia sebagai penghalang untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM,” ujar pelajar yang berasal dari bandar ini.
Jelasnya, dia dijangka menduduki SPM di hospital berkenaan sehingga keputusan ujian ke atas sum-sum tulangnya diperoleh dalam tempoh terdekat ini bagi mengesahkan sama ada dia menghidap leukemia atau tidak.
“Saya dijangkakan mengambil SPM di atas katil ini dan saya berdoa agar dapat memberikan yang terbaik untuk mendapat 10A seperti yang diharapkan.
“Saya perlu tabah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjawab kertas soalan walaupun terpaksa melakukannya di atas katil,” ujarnya.
Anwar Sanggup Hina Malaysia Untuk Alih Perhatian
KUALA LUMPUR 18 Nov – “Itulah Anwar Ibrahim, dia akan membuat apa sahaja demi kepentingan peribadi walaupun menghina negara sendiri, jika ada masalah dia akan keluar negara dan buat sesuatu untuk alihkan tumpuan,” kata Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman.
Hamidah berkata, sudah menjadi kelaziman kepada Anwar akan cuba mengalih perhatian rakyat dengan membuat sesuatu isu sama ada di dalam atau luar negara walaupun apa yang dilakukan itu memberi kesan negatif kepada negara.
“Anwar tidak pernah memikirkan kesan terhadap apa yang dilakukannya, yang penting baginya adalah melunaskan cita-cita serta agenda peribadi termasuk menggunakan media asing untuk mendapat perhatian.
“Tindakan Anwar itu adalah suatu perbuatan seorang pengkhianat yang sanggup memburuk-burukkan negara sendiri untuk kepentingan peribadi, macam mana nak tadbir negara sedangkan masalah parti sendiri (PKR) tidak boleh diselesaikan,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Anwar memburukkan Malaysia pada media asing ketika berada di luar negara.
Baru-baru ini, Anwar ketika ditemu bual oleh Sky News Australia, dia menyatakan bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebuah negara Islam yang moden adalah satu penghinaan.
Hamidah berkata, tindakan Anwar itu bagi meredakan tumpuan kepadanya terhadap kemelut yang berlaku dalam pemilihan PKR sehingga menyebabkan calon timbalan presiden parti itu, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan parti itu yang sedang berjalan sekarang.
“Orang macam ini nak dijadikan pemimpin untuk memimpin negara, masalah parti tak boleh selesai nak bercita-cita tinggi untuk jadi pemimpin nombor satu negara, tak tahulah apa akan terjadi kepada negara ini, jangan nanti bila ada masalah dia akan keluar negara dan minta bantuan orang luar.
“Rakyat perlu sedar dengan keadaan ini dan harus menolak pemimpin seperti ini yang akan cuba mencari pelbagai alasan atau helah untuk melepaskan diri jika ada masalah yang berlaku terhadapnya,” katanya.
Menurutnya, Anwar sekarang sedang menghadapi pelbagai masalah dan kepercayaan serta sokongan rakyat terhadapnya telah mula terhakis, keadaan bertambah teruk dengan apa yang berlaku dalam PKR ketika ini.
Beliau berkata, apa yang dinyatakan oleh Anwar pada media asing itu adalah pandangan peribadinya yang cemburu dengan kejayaan negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendapat pengiktirafan pemimpin dunia.
“Anwar ini ibarat seperti orang kecewa, cemburu dan tidak senang dengan kejayaan serta pengiktirafan negara luar terhadap Malaysia, sebab itu pengiktirafan yang diberikan itu pun dianggap sebagai satu penghinaan.
“Biasalah, jika orang yang mempunyai sifat seperti itu dia akan berusaha sedaya upaya untuk mengagalkan kejayaan yang dimiliki oleh orang lain,” katanya.
Tak Ramai Mengundi Tanda PKR Kehilangan Sokongan Ahli : Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 18 Nov – Parti Keadilan Rakyat dilihat seperti kehilangan sokongan anggotanya kerana jumlah yang keluar mengundi bagi memilih kepimpinan parti itu sangat rendah, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti sepatutnya mendapat sambutan yang hangat daripada anggota, seperti yang berlaku dalam Umno, di mana kehadiran ahli untuk memilih kepimpinan di peringkat cawanganpun sangat tinggi.
“Saya pun terperanjat kerana menjangkakan ramai anggota parti itu akan keluar mengundi untuk memilih barisan kepimpinan mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis korban di Masjid Negara di sini pada Khamis.
Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata anggota Umno bagaimanapun tidak seharus merasa selesa dalam usaha memenangi hati rakyat akibat masalah dalaman yang sedang dihadapi PKR sekarang.
“Anggota Umno perlu terus menerus berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.
Pas nafi tanggapan terlalu taksub
KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pas menafikan sekeras-kerasnya tanggapan sesetengah pihak bahawa pucuk pimpinan parti itu terlalu taksub kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pelbagai tembelang beliau sudah pecah.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu tidak pernah mengajar ahlinya untuk taksub kepada sesiapa pun.
“Pimpinan Pas tidak pernah taksub dan tidak pernah ajar pengikutnya taksub pada sesiapa. Pas ada cara untuk menangani sesuatu isu, kita tidak perlu pakai resipi orang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mustafa diminta mengulas kenyataan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan perasaan malunya apabila melihat pucuk pimpinan Pas masih taksub kepada Anwar.
Beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar bersedia untuk bertemu pemimpin Pas jika mereka berminat untuk mengetahui ‘wajah’ sebenar pemimpin itu.
Selain itu, Nallakaruppan juga menyatakan kesediaannya bertemu pemimpin DAP untuk tujuan sama demi menegakkan kebenaran.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw ketika diminta reaksinya mengenai kesediaan Nallakaruppan itu sekadar mengucapkan terima kasih.
Jelas beliau, pemilihan Anwar sebagai pemimpin pakatan pembangkang dibuat berdasarkan pelbagai faktor pro dan kontra yang diambil kira oleh semua pihak dalam pakatan itu.
Pemerhati politik: PKR bergolak, jangan salahkan pihak lain
KUALA LUMPUR 13 Nov. – Sikap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap dirinya terbaik dalam segala perkara akan memungkinkan parti itu lenyap dalam ‘peta’ pakatan pembangkang.
Oleh itu penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, jika ia terjadi Anwar tidak harus menyalahkan orang lain.
”Ia bukan kerana Datuk Zaid Ibrahim, N.Gobalakrishnan atau Mustafa Kamil Ayup tetapi disebabkan oleh Anwar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kemelut di dalam PKR yang menyaksikan semakin ramai pemimpin parti itu menyokong pendirian Zaid yang mahukan Anwar dan sekutunya, Azmin Ali berundur.
Ahmad Masrizal berkata, apa yang terjadi di dalam PKR juga membuktikan bahawa perjuangan parti tersebut selama ini adalah bersandarkan kepada kapasiti kepentingan peribadi dan bukannya kerana rakyat.
”Pelantikan Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden PKR dibuat untuk mengabui mata rakyat daripada mengetahui agenda sebenar individu tertentu,” katanya.
Beliau menegaskan, dalam melihat kemelut PKR, tumpuan tidak harus diberikan kepada kelakuan atau tindakan Zaid kerana bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu sememangnya mempunyai sikap yang sama ketika di dalam UMNO dahulu.
”Tetapi apabila Mustafa Kamil yang juga teman rapat seperjuangan Anwar dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka maka ia suatu yang mengejutkan.
”Apa yang tersirat ialah kumpulan ABIM di dalam PKR tidak dilihat penting oleh Anwar dalam menentukan hala tuju parti sedangkan kelompok inilah yang begitu fanatik menyokong Anwar dalam era penubuhan PKR dan reformasi dahulu,” katanya.
Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung seolah-olah membuktikan kebenaran terhadap cerita-cerita ramai sebelum ini berhubung konspirasi Anwar-Azmin menguasai PKR secara total.
Mengenai Zaid yang dikatakan akan menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada PKR, Pemerhati Politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berpendapat itu adalah cerita-cerita orang yang bercita-cita dalam politik.
Katanya, untuk melaksanakan perkara itu, ia tidak semudah yang disangkakan, ia memerlukan kerja keras.
”Paling utama ialah sokongan, adakah dia (Zaid) mempunyai sokongan yang begitu kuat, tetapi dalam pemerhatian saya dia belum mempunyai sokongan sekuat itu,” katanya.
Menurut Zainal, beliau juga tidak nampak bayang-bayang parti baru Zaid itu akan berjaya kerana Zaid sendiri telah gagal dalam politik bersama UMNO dan mungkin akan menerima nasib yang sama dalam PKR.
”Zaid dah lama dalam politik, tetapi beliau belum pandai untuk membaca mood rakyat dan kehendak rakyat, jadi untuk wujudkan parti baru terutama parti Melayu ia mungkin akan kekal menjadi cita-cita sahaja,” ujarnya.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, krisis PKR kali ini adalah serius dan bibit-bibit perpecahan parti itu juga bukan lagi omong-omong kosong.
Justeru, kata beliau, pemimpin PKR perlu melakukan sesuatu, kerana berkemungkinan parti tersebut akan kehilangan lebih ramai ahlinya iaitu kalangan mereka yang telah terguris ekoran pengunduran salah seorang pemimpin besar mereka.
”Jika itu berlaku, potensi untuk Zaid melakukan perubahan melalui penubuhan parti barunya itu ada kerana beliau telah mendapat sokongan yang tiada tolok bandingnya dengan penyokong PKR kini.
”Namun untuk mengatakan parti tersebut akan berjaya belum boleh lagi kerana mungkin parti tersebut sama seperti PKR sekarang iaitu berjuang atas dasar mencapai cita-cita seorang pemimpin,” jelasnya.
Anwar Marah Saya Lawan Azmin – Zaid
SUNGAI PETANI 12 Nov. – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat Parti Keadilan Rakyat ((PKR) , Datuk Zaid Ibrahim berkata, sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu, Anwar Ibrahim tiba-tiba sahaja menyerangnya secara peribadi termasuk dituduh sebagai ejen UMNO.
“Anwar ‘takut dengan bayang-bayang’ sendiri. Dia sanggup mereka-reka cerita dan menyerang individu yang cuba menghalang anak emasnya, Azmin Ali daripada menggenggam jawatan nombor dua parti itu,” kata Zaid yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan.
Kata Zaid, beliau sendiri tidak mempunyai masalah dengan Anwar sebelum ini tetapi sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding melawan Azmin, Anwar menyerangnya secara peribadi.
Zaid juga berkata, beliau akan menubuhkan parti politik baru sekiranya dikenakan tindakan pecat oleh pucuk pimpinan PKR.
“Kalau mereka pecat saya, maka saya kena buat (parti) Keadilan Baru. Takkanlah saya nak pencen dan balik nak jadi peguam, tua dah tak boleh.
“Apa yang saya cuba lakukan mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi ia memang menjadi hasrat saya dari awal,” katanya pada majlis dialog bersama lebih 100 ahli PKR dari kawasan Kedah Tengah di Pejabat PKR Taman Intan di sini malam tadi.
Bekas calon Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika diajukan soalan oleh salah seorang ahli parti tentang rancangannya sekiranya dikenakan tindakan pecat daripada PKR.
Menurut Zaid, adalah tidak menjadi satu masalah baginya jika dikenakan tindakan atas alasan mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presidennya, Azmin Ali berundur.
Ini kerana, katanya, beliau telah melakukan yang terbaik untuk mewujudkan sistem politik bersih dalam PKR, tetapi tidak dapat diterima oleh pucuk pimpinan.
Ditanya adakah masalah yang berlaku dalam PKR tersebut pernah dibincangkan secara dalaman, Zaid berkata, beliau pernah menjalankan sesi tegur menegur dalam biro politik.
Kerajaan DAP Pulau Pinang Didesak Jelas Tujuan Surat Senarai Kontraktor Umno
GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) — Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta menjelaskan tujuan sepucuk surat menyenaraikan kontraktor yang ada hubung kait dengan Umno Pulau Pinang dan dihantar kepada semua ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Shahbudin Yahaya (BN-Permatang Berangan) yang bersama-sama dengan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang bertindak keluar dewan hari ini, berkata surat bertarikh 27 Oktober dari Pejabat Ketua Menteri itu telah ditanda tangani oleh setiausaha sulit kanannya.
“Sekiranya kerajaan negeri tidak menyenarai hitamkan kontraktor-kontraktor yang ada hubungan dengan Umno ini, mengapa senarai itu dihantar kepada semua ketua-ketua jabatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata untuk kerajaan negeri pimpinan DAP ini menunjukkan mereka betul-betul Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), mereka mesti memberikan projek kepada syarikat yang disenarai dalam surat.
Dalam surat itu, 46 syarikat kontraktor dikesan dan didakwa mempunyai hubung kait dengan Umno.
Sementara itu, Shahbudin berkata salah seorang penyokong demonstrasi mengoncang pintu pagar pada Selasa lalu itu adalah anggota PAS dan bukannya anggota Umno seperti yang dituduh oleh ADUN Seri Delima R.S.N Rayer.
Menurutnya, orang yang bernama Ariff Ibrahim yang mengaku dirinya sebagai anggota PAS telah mengoncang pintu pagar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ketika demonstrasi minggu lalu.
Beliau berkata Rayer telah mengelar orang yang mengoncang pintu pagar itu sebagai seekor monyet Umno tetapi rupa-rupanya itu adalah anggota PAS.
“Itu bukan monyet Umno, itu monyet PAS kerana Ariff telah mengaku kepada sebuah surat khabar tempatan baru-baru ini bahawa beliau adalah ahli dari parti PAS,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Rayer dapat meminta maaf kepada semua anggota Umno kerana membuat tuduhan palsu.
Kelakuan Pemimpin Pembangkang Lebih Teruk Dari “Monyet”
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim menyelar tindakan pemimpin DAP yang menggelar peserta demonstrasi di negeri itu baru-baru ini sebagai “monyet”.
Jelasnya pemimpin DAP sepatutnya mencerminkan diri mereka terlebih dahulu sebelum membuat gelaran tersebut.
Ini kerana katanya perbuatan pemimpin DAP dan rakan pakatan mereka di Dewan Rakyat lebih buruk dari gelaran yang dilemparkan kepada peserta demonstrasi.
“Ini cara biasalah…..cara DAP, Pas dan PKR tapi yang lebih monyet saya lihat cara mereka bergerak di Dewan Rakyat lagi teruk…saya tak hairan mereka pandai menggelar orang tapi kerja mereka sendiri mereka tak nampak.
“Kalau tengok cara depa berdemonstrasi dulu lagi teruk”, katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Shahbudin Yahya berkata salah seorang penyokong demonstrasi yang mengoncang pintu pagar pada Selasa lalu itu adalah anggota Pas dan bukannya anggota UMNO seperti yang dituduh oleh pemimpin DAP yang juga ADUN Seri Delima R.S.N Rayer.
Menurutnya, orang yang bernama Ariff Ibrahim yang mengaku dirinya sebagai anggota Pas telah mengoncang pintu pagar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ketika demonstrasi minggu lalu.
Beliau berkata Rayer telah mengelar orang yang mengoncang pintu pagar itu sebagai seekor monyet UMNO tetapi rupa-rupanya itu adalah anggota Pas.
“Itu bukan monyet UMNO, itu monyet Pas kerana Ariff telah mengaku kepada sebuah surat khabar tempatan baru-baru ini bahawa beliau adalah ahli dari parti Pas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Rayer dapat meminta maaf kepada semua anggota UMNO kerana membuat tuduhan palsu.



