Top

Wan Farid perjudi jawatan timbalan menteri

December 24, 2008 by Pendeta · Leave a Comment 

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangannya dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.

Jika tewas, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai senator untuk mengekalkan jawatannya sebagai timbalan menteri dalam negeri yang disandangnya sejak Mac lepas.

Wan Ahmad Farid mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua hari ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh dipetik media sebagai berkata, jika Wan Ahmad Farid tewas dalam pilihanraya kecil tersebut, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai senator.

Menurutnya, timbalan menteri itu dianggap telah berkhidmat untuk tempoh tiga tahun atau satu penggal penuh walaupun beliau meletakkan jawatan senator pada 5 Januari depan bagi membolehkan berdiri sebagai calon BN.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Januari ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil tersebut.

Pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail di Genting Highlands pada 28 November lalu.

Abdul Hamid berkata, berdasarkan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada masa pemerintahan perdana menteri ketiga, allahyarham Tun Hussein Onn, seseorang senator hanya boleh memegang jawatan itu selama dua penggal atau enam tahun.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan Wan Ahmad Farid, yang ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil tersebut.

Wan Ahmad Farid, 46, bekas peguam lulusan Universiti Thames Valley, London merupakan anak jati Kuala Terengganu.

Pada 1987, beliau menjadi peguam termasuk peguam syarie dan menjadi setiausaha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu.

Di dalam politik, beliau menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Kuala Terengganu pada 1995 sebelum menjadi ketua Pemuda bahagian pada 1998 dan exco Pemuda Umno Malaysia dari 1999 hingga 2004.

Pada 2001, beliau dipilih menjadi timbalan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebelum dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 31 Disember 2003 dan sekaligus beliau meninggalkan kerjaya peguamnya.

PAS, yang pada mulanya dijangka mengumumkan nama calonnya Ahad lalu, tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan hanya mengumumkan calonnya pada 1 Januari depan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

Antara nama yang disebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; timbalannya Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat Dr Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

Pemuda Terengganu Lancar Program Khas Bercirikan “Keluargaku Ahli UMNO”

December 18, 2008 by Pendeta · Leave a Comment 

Kuala Terengganu — Satu program bercirikan Keluargaku Ahli UMNO akan dilancarkan bagi mendekatkan parti dengan golongan muda sekaligus menarik sokongan mereka untuk membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kuala Terengganu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Sabri Alwi memberitahu program tersebut akan dilancarkan dalam masa terdekat ini oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Jelas beliau program khas ini akan memberi tumpuan lebih kepada golongan muda dan rakan sebaya mereka dengan fokus kepada aktiviti sukan dan permotoran.

“Ini adalah di antara pendekatan kita kerana sokongan lebih 20,000 pengundi muda bakal menjadi penentu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

“Kita yakin dengan gerak kerja yang telah kita lakukan sebelum ini di samping pendekatan yang dibuat kerajaan negeri, pengundi khususnya golongan muda akan bersama dengan kita”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program mengagihkan bendera BN sebagai tanda bermula gerak kerja yang diadakan di Bilik Gerakan UMNO Kuala Ibai di sini, Rabu.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan 500 helai bendera BN kepada setiap ketua cawangan dalam kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Menurutnya, penyerahan bendera ini merupakan simbolik supaya ahli-ahli Pemuda UMNO bekerja keras memastikan kemenangan BN pada 17 Januari nanti.

“Kerja keras itu ialah daripada segi menarik undi golongan muda serta memasang bendera di seluruh kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

“Kita mahu supaya bendera berkenaan dipasang di tempat strategik sepanjang kempen nanti tanpa mengabaikan keselamatan orang awam”, ujarnya.

Pada masa yang sama beliau juga yakin seluruh jentera akan bergerak secara bersepadu dan memberi sokongan penuh kepada siapa jua yang akan dipilih pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon pada pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu nanti.

Oleh Lukman Abas
pemudaumno.org.my

Peniaga Getah Sigrap mahu tanding Parlimen K Terengganu

December 17, 2008 by Pendeta · Leave a Comment 

KUALA TERENGGANU, — Peniaga getah sekerap, Isma Airfath Hassanuddin pada hari Ahad menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan depan.

Isma, 38, yang berasal dari Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan mengisytiharkan untuk bertanding pilihan raya kecil itu, pada satu sidang media di Batu Burok, petang ini.

“Hobi saya (bertanding pilihan raya). Malah, saya terpanggil untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil ini kerana merasakan amalan demokrasi masih wujud di negara ini.

“Jangan terperanjat jika saya menang pada pilihan raya kecil tersebut, nanti,” katanya yang telah mengambil borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, pagi ini.

Isma yang juga merupakan peniaga makanan dan pakaian, berkata sebagai ahli persatuan skuter (Vespa), beliau memperoleh sokongan padu daripada rakannya di bandar Kuala Terengganu untuk bertanding pada pilihan raya itu.

“Mereka berjanji untuk berkempen secara agresif bagi memastikan saya menang pada pilihan raya kecil tersebut,” katanya yang berada di sini sejak semalam bagi meninjau sentimen pengundi di kawasan berkenaan.

Isma turut terkejut apabila persatuan-persatuan kelab bermotor lain di Terengganu bersedia untuk memberi sokongan kepadanya dalam pilihan raya kecil itu.

“Daripada tinjauan awal, saya dapati saingan di sini pastinya sengit. Mungkin lebih daripada pertandingan tiga penjuru… kita tunggu dan lihat,” katanya lagi.

Beliau berkata hasratnya bertanding kali ini ialah bagi membersihkan namanya yang dikaitkan menerima tajaan daripada beberapa anggota Umno Rantau Panjang ketika bertanding pada pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, beliau dan calon Barisan Nasional Mohd Afandi Yusof tewas dalam saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Rantau Panjang yang dimenangi calon PAS Siti Zailah Mohd Yusof.

Isma yang lebih dikenali sebagai “Kosing” di kalangan rakannya, berkata beliau akan terus menggunakan “kepala harimau” sebagai lambangnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, Isma berkata beliau tidak perlu berceramah atau mendirikan markas, sebaliknya hanya keluar bertemu pengundi.

Bapa kepada lima anak, berusia antara 6 bulan dan 15 tahun itu berkata beliau tidak bimbang hilang wang pertaruhan kerana menganggap ia sebagai “adat” jika inginkan sesuatu.

BN letak calon muka baru ?

December 16, 2008 by Pendeta · Leave a Comment 

Dalam perkembangan terbaru, Barisan Nasional (BN) akan meletakkan seorang muka baru untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Setiausaha Umno bahagian Kuala Terengganu, lbrahim Omar berkata, calon yang telah bertanding sebelum ini, tidak akan dipilih bertanding lagi.

“Saya berkata demikian berdasarkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

“Dalam ucapannya, Datuk Seri Najib berkata ‘Telur yang direbus tidak akan direbus lagi…’,” kata Ibrahim

Menurut Ibrahim lagi, ucapan Najib membawa maksud calon yang sudah bertanding dalam pilihanraya, tidak akan dipilih bertanding lagi.

Sehingga ini, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga ketua Umno Kuala Terengganu, disebut-sebut akan menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Najib umum Sabtu

Nama-nama lain termasuk timbalan ketua Umno bahagian, Mohd Sabri Alwi; ketua penerangan negeri, Datuk Zuber Embong, bendahari Senator Datuk Roslan Awang Chik dan bekas ketua penerangan Umno bahagian, Mohd Zuber Embong.

Zuber pernah menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya umum 1986 dan 1990.

Roslan pula pernah menjadi ahli dewan undangan negeri (Adun) Ladang pada 1995 tetapi tewas kepada calon PAS, Dr Sulaiman Abdullah dalam pilihanraya umum 1999.

Ditanya mengapa Najib tidak mengumumkan nama calon BN Sabtu lalu, sebagaimana yang dilaporkan sebelumnya, Ibrahim berkata:

“Datuk Seri Najib tidak mahu nama calon BN tenggelam oleh pengumuman pemberian royalti minyak,” katanya.

Menurut Ibrahim, keputusan untuk menangguhkan pengumuman calon BN itu adalah atas Najib sendiri.

Calon PAS

Berikutan itu, katanya, Mohd Najib akan mengumumkan nama calon BN di kediaman Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, di Seri Iman, Batu Burok Kuala Terengganu pagi Sabtu depan.

Ditanya sama ada ketua Puteri Umno negeri, Senator Nordiana Shafie sesuai bertanding di Kuala Terengganu, Ibrahim berkata, belum masanya lagi meletakkan calon wanita di kerusi tersebut..

“Lagipun beliau sudah bertanding di DUN Batu Burok dalam pilihanraya umum lalu dan kalah pula.

“Seperkara lagi, Nordiana juga masih dalam pantang bersalin,” katanya.

PAS pula dilaporkan akan mengumumkan nama calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu pada hari berikutnya.

Amaran UMNO, pembangkang usah jadi polis pilihanraya.

December 16, 2008 by Pendeta · 6 Comments 

KUALA TERENGGANU: Penyokong parti pembangkang diingatkan supaya tidak bertindak sebagai “polis” semasa pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan, bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, kawalan keselamatan serta ketenteraman awam adalah tugas polis dan mereka tidak boleh menggunakan cara sendiri kerana ia boleh mengundang ketegangan.

“Menjaga keselamatan adalah kerja polis.

“Jangan ada manamana pihak yang menahan bas, buat sekatan jalan raya dan pandaipandai menggunakan cara yang tidak sepatutnya,” katanya selepas melawat warga emas, Wook Mohamad, 68, yang uzur di Kampung Losong Panglima Perang di sini hari ini.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pada beberapa pilihan raya kecil lepas, penyokong pembangkang bertindak di luar batasan undangundang apabila menahan bas dan menakutkan orang ramai.

“Mereka tahan bas, geledah dan sebagainya.

“Mereka gunakan taktik ini untuk menakutkan pengundi,” katanya.

Berdasarkan pengalaman lepas, beliau berkata, penyokong pembangkang sentiasa mahu mewujudkan ketegangan supaya orang ramai takut untuk keluar mengundi.

Muhammad berkata, rakyat sepatutnya diberikan hak untuk menunaikan tanggungjawab mereka terutama Malaysia sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang aman.

“Asas ini telah ada di negara kita, malah di Terengganu sendiri.

“Jadi jangan sampai pihak tertentu terutama pembangkang mewujudkan perkara-perkara lain dalam fikiran rakyat kerana sebenarnya kita sudah mempunyai asas yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penyokong Barisan Nasional (BN) supaya tampil untuk menerangkan kepada pengundi bahawa keadaan aman semasa pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kelak.

Pengundi Terengganu matang pilih kerajaan - Shafie

December 16, 2008 by Pendeta · 1 Comment 

SEMPORNA: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabahm Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan pengundi Kuala Terengganu sebagai matang dan yakin mereka akan terus memilih calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu 17 Januari depan.

Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, kematangan dan kebijaksaan rakyat Terengganu itu terbukti apabila mereka memilih semula BN untuk membentuk kerajaan di negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

“Saya yakin pengundi di Kuala Terengganu amat matang. Kalau kita lihat dalam pilihan raya lalu mereka telah memberikan sokongan kepada kerajaan BN dengan mengembalikan tampuk pemerintahan negeri itu kepada BN,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Rukun Tetangga sempena kempen “Jiranku Keluargaku” di sini malam tadi.

Beliau yakin pengundi Kuala Terengganu akan memberi kemenangan kepada BN demi kelangsungan pembangunan seterusnya bagi menjayakan usaha mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat negeri berkenaan.

Mengenai penghantaran jentera pilihan raya Umno dan BN dari Sabah untuk membantu rakan mereka berkempen di Kuala Terengganu, Shafie yang Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah berkata kebiasaannya Umno Sabah dan BN akan menghantar delegasi sebagai sokongan dan membantu rakanrakan mereka di Kuala Terengganu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas penyandang kerusi kawasan berkenaan Datuk Razali Ibrahim meninggal dunia pada 28 November lalu.

UMNO KT bincang calon minggu depan

December 1, 2008 by admin · 2 Comments 

KUALA TERENGGANU 30 Nov. – UMNO Bahagian Kuala Terengganu akan mengadakan mesyuarat selewat-lewatnya hujung minggu depan, untuk mengatur strategi bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen berkenaan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, Jumaat lepas.

Ketuanya, Senator Datuk Wan Ahmad Fa rid Wan Salleh berkata, mesyuarat berkenaan akan diadakan selepas selesai tahlil tujuh hari Razali sebagai menghormati ahli keluarga Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.

Menurutnya, selain persediaan pilihan ra ya, perkara penting yang akan dibincangkan nanti ialah mengenai calon yang sesuai untuk membawa cabaran UMNO dan Barisan Na sional (BN) bagi kerusi berkenaan.

‘‘Mengikut prosedurnya, UMNO bahagian ‘angkat’ nama calon kepada Badan Perhubu ngan UMNO Terengganu dan badan itu akan ‘angkat’ nama tersebut kepada UMNO Pu sat.

‘‘Kita bukan minta itu ini, tapi ini adalah prosedurnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau sudah mempunyai nama yang akan dimajukan sebagai calon untuk pilihan raya kecil itu nanti, beliau berkata, perkara itu belum difikirkan lagi.-Utusan

Rahim yakin lepasi kuota

November 28, 2008 by Pendeta · 1 Comment 

TAIPING 27 Nov. - Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yakin mempunyai harapan untuk melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan Mac depan.

”Mudah-mudahan. Saya harap mendapat empat lagi pencalonan dari lima bahagian yang ditangguhkan persidangan.

”Setakat ini saya mendapat 16 pencalonan dan saya yakin memperoleh pencalonan untuk melepasi kuota kelayakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kempen Taman Semula Tahun 2009 peringkat Daerah Larut Matang, Selama dan Kerian di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering dekat sini hari ini.

Lima lagi bahagian UMNO yang ditangguhkan persidangan ialah Tenom di Sabah, Pengkalan Chepa dan Tanah Merah di Kelantan serta Seremban (Negeri Sembilan) dan Larut di Perak.

Abdul Rahim berkata, pemilihan kali ini begitu sengit berikutan ia merupakan satu masa yang kritikal dengan kemungkinan ramai muka baru terpilih.

”Ini membuktikan kepimpinan sekarang yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mampu menangani perpaduan orang Melayu dan parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN).

”Najib dilihat boleh menstabilkan politik pembangkang yang konservatif dan ini memberikan satu cabaran kepada kepimpinan pada masa depan,” katanya.

Katanya, Malaysia memerlukan satu kepimpinan yang jitu dalam memajukan ekonomi dengan rancangan dan strategi ke arah memajukan rakyat.-Utusan

Dakwaan Raja Ropiah tidak berasas

November 27, 2008 by Pendeta · Leave a Comment 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita UMNO, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah hari ini dibidas kerana mendakwa tidak ada perbincangan dibuat di peringkat Exco pergerakan itu berhubung pelan peralihan kepimpinan di antara Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussein menegaskan perkara itu dibincangkan secara panjang lebar dalam mesyuarat Exco Wanita pada 25 September iaitu akhir Ramadan lalu yang turut dihadiri Shahrizat dan Raja Ropiah.

Beliau hari ini tampil bersama anggota Exco Wanita, Datuk Halimah Mohd. Sadique dan Setiausaha Kerja pergerakan itu, Munaliza Hamzah pada sidang akhbar khas di pejabat Wanita UMNO di sini bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang, Dr. Rozaidah Talib.

Sidang akhbar itu dibuat bagi menyangkal kenyataan Raja Ropiah itu yang disiarkan sebuah akhbar hari ini.

Antara lain Raja Ropiah mendakwa ahli Wanita terpaksa bersetuju dengan pelan peralihan kepimpinan kerana ia diumumkan oleh Rafidah secara mengejut di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 4 Ogos lalu.

Mengulas dakwaan itu, Halimah yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, Rafidah hanya mengemukakan cadangan pelan tetapi semua anggota Exco diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan pandangan masing-masing mengenainya dalam mesyuarat yang diadakan selepas itu.

Dalam hal ini, katanya, mesyuarat Exco Wanita sepatutnya menjadi platform terbaik bagi menyuarakan apa sahaja pandangan termasuk bantahan pelan peralihan itu yang dikatakan datang daripada akar umbi.

“Namun jika ada anggota Exco Wanita hanya hadir mesyuarat bagi memanaskan kerusi ekoran tidak berani bercakap benar dalam mesyuarat, itu adalah sesuatu yang pelik.

“Tidak berani cakap benar dekat dalam, tapi luar pergi cakap dengan surat khabar. Kalau yang bercakap itu setakat Ketua Wanita Bahagian, itu satu hal jugalah, tapi ini anggota Exco yang berpeluang bercakap panjang lebar dalam mesyuarat,” tegasnya.

Beliau kesal kerana setelah menyatakan persetujuan dalam mesyuarat dan dilantik pula sebagai pemantau bagi melancarkan pelan peralihan kepimpinan itu, Raja Ropiah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan fakta.

Justeru beliau meminta sesiapa jua dalam pergerakan itu supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang tidak benar berhubung isu peralihan kepimpinan di antara Rafidah dan Shahrizat sehingga mengelirukan ahli.

“Shahrizat sudah mengeluarkan kenyataan hendak bertanding, manakala Rafidah pula akan mempertahankan jawatannya, jadi tolong hormati pendirian kedua-dua pemimpin ini.

“Hentikanlah bercakap soal-soal yang boleh memutarbelitkan fakta dan tak perlu ada lagi cerita ulang tayang apa yang berlaku sebelum (pendirian itu dibuat). Cukup!” tegasnya.-Utusan

Pertandingan kuatkan Wanita - Hishammuddin

November 21, 2008 by Pendeta · Leave a Comment 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Pengesahan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini yang akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu dan melawan penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz akan menjadikan sayap parti itu bertambah kuat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pertandingan itu menunjukkan UMNO sedang melalui proses pendemokrasian yang tidak pernah dilihat sejak penubuhannya.

Menurut beliau, pertandingan yang wujud adalah berasaskan kehendak di peringkat akar umbi dan membuktikan keputusan itu diterima dengan hati terbuka, ikhlas serta jujur.

”Saya yakin Rafidah dan Shahrizat mampu mengharungi pertandingan merebut jawatan utama Pergerakan Wanita dalam konteks yang positif,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kedua-dua calon yang akan bertanding jawatan ketua sayap tersebut Mac depan, tidak menjadikan persaingan itu untuk membalas dendam.-Utusan

« Previous PageNext Page »

Bottom