Zahidi Zainul Abidin mahu tarik diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO
October 18, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KANGAR 18 Okt. - Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mahu menarik diri daripada pertandingan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda.
“Saya minta bahagian-bahagian UMNO tidak mencalonkan nama saya lagi,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun kata beliau, pengumuman rasmi mengenai keputusannya itu akan dibuat pada 22 Oktober ini.
Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan jawatannya di peringkat Bahagian.
Sehingga semalam, Zahidi hanya memperoleh satu pencalonan bagi jawatan Ketua Pemuda yang turut menyaksikan tiga lagi pesaing iaitu Datuk Mukhriz Tun Mahathir dengan 44 pencalonan, Khairy Jamaluddin (23) da Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (13).
- Utusan
Hormati Perlembagaan - PM
October 18, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
Dalam amanat beliau ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, Perdana Menteri menegaskan bahawa hak-hak asas yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan harus dihormati oleh semua kaum.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Abdullah mengingatkan kepada anggota Kabinet tentang signifikan pendirian Raja-raja Melayu itu diperkukuhkan di kalangan sektor kerajaan.
”Perdana Menteri pagi ini menegaskan situasi yang meliputi kenyataan khas yang dikeluarkan oleh Raja-raja Melayu semalam.
”Dan seharusnya kami dalam Kabinet memahaminya sebagai yang terpenting,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, satu kenyataan akhbar khas Raja-Raja Melayu dikeluarkan berhubung hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum Lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dikeluarkan hasil daripada perbincangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang diperbuat dan diputuskan sebelum baginda berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, amanat Perdana Menteri itu didengar serius serta difahami oleh semua anggota Jemaah Menteri.
”Kontrak sosial yang dibangkitkan oleh Raja-raja Melayu itu telah diterjemahkan dalam mesyuarat Kabinet dan seharusnya ia tidak lagi dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
”Ini kerana Raja-raja Melayu bukan sahaja raja untuk orang Melayu tetapi juga raja bagi semua kaum,” katanya.-Utusan
Oleh ZULKIFLI JALIL
Ahli PKR dihadap atas dakwaan rasuah seks
October 18, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
IPOH 17 Okt. – Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini mengaku mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa melakukan perbuatan tersebut secara rasuah.
Tertuduh, Fairul Azrim Ismail, 30, didakwa menerima daripada Mohamad Imran Abdullah suapan wanita tersebut bagi tujuan mengadakan hubungan seks.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 14 Ogos lalu kira-kira pukul 8.10 malam di No. 401, Tingkat 4, Sri Sayang Apartmen (Seaview Agency), Jalan Batu Feringgi, Pulau Pinang.
Suapan seks itu adalah sebagai dorongan kepada tertuduh yang merupakan seorang kontraktor bagi membantu Mohamad Imran mendapatkan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usaha sama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.
Hakim Rasidah Chik yang mendengar kes tersebut kemudian membenarkan Fairul Azrim dibebaskan dengan jaminan RM3,000.
Beliau juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR), How Mei Ling supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 3 Ipoh.
Langkah itu dibuat bagi membolehkan kes itu dibicarakan serentak dengan kes rasuah berkaitan membabitkan empat lagi tertuduh termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak.
Selepas kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 3, Hakim Tan Hooi Ling yang akan mendengar perbicaraan itu juga bersetuju menetapkan ia dibicara serentak dengan kes rasuah berkaitan iaitu pada 10, 11 dan 12 Februari depan.
Tertuduh diwakili peguam Mohd. Asri Othman.
Fairul Azrim pada 23 September lalu mengaku membuat hubungan seks dengan seorang wanita China dalam satu surat aduan kepada Jabatan Agama Islam Perak.-Utusan
Hindraf diisytihar haram
Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak pertubuhan berkenaan ditubuhkan.
“Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa hari ini setelah (KDN) berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.
Selain Hindraf, antara pertubuhan lain yang pernah diwartakan sebagai haram ialah Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.
PKM diwartakan sebagai pertubuhan haram kerana mengangkat senjata menentang kerajaan dan pemberontaknya mencetuskan kacau bilau melalui cara keganasan dan membunuh anggota tentera sejak zaman sebelum merdeka.
Pergerakan Al-Arqam diharamkan berikutan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.
Anggota-anggota Al-Maunah pula merompak senjata dari kem tentera bagi menggulingkan kerajaan. Beberapa ketuanya kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memerangi Yang di-Pertuan Agong dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Menurut Syed Hamid, kegiatan Hindraf bertentangan dengan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 dan ia boleh memudaratkan keselamatan awam, keamanan, ketertiban dan nilai-nilai moral di negara ini.
Beliau berkata, jika kegiatan Hindraf tidak dibendung, ketenteraman awam dan kedaulatan negara bakal terancam di samping keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan turut terjejas.
Jelasnya, tindakan pengharaman yang diambil itu bukan berasaskan kepada satu atau dua kegiatan Hindraf yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan serta aktiviti semenjak Hindraf ditubuhkan.
Selain itu, beliau mengakui Hindraf mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 16 Oktober 2007.
Walaupun pendaftarannya tidak pernah diluluskan, pertubuhan Hindraf telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demonstrasi tanpa permit serta mengeksploitasi isu-isu perkauman.
Kesan kegiatan Hindraf itu, ujar Syed Hamid, ia mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.
Di samping itu, Hindraf juga, kata beliau, berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka sehingga memberi kesan buruk kepada imej negara.
Menteri Dalam Negeri itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan dalam apa cara sekali pun pada masa akan datang.- Utusan
Oleh Muhammad Dayne Azmin
Pembangkang mengarut, buang masa
October 14, 2008 by Pendeta · 2 Comments
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan parti pembangkang yang menetapkan Disember ini sebagai tarikh baru untuk menubuhkan kerajaan sebagai mengarut dan hanya membuang masa.
Perdana Menteri berkata, usaha pembangkang itu tidak akan berjaya kerana tiada sebab untuk untuk mana-mana anggota kerajaan melompat menyertai pembangkang yang kalah pada pilihan raya umum lalu.
“Mereka tak akan berjaya. Mereka ingat kita ini bodoh. Ahli kita tidak akan meninggalkan parti kerana Barisan Nasional (BN) adalah di pihak yang menang.
“Kita membentuk kerajaan yang kuat dan kita akan terus lakukan apa yang kita mampu untuk membangunkan negara. Ini adalah satu peluang bagi parti, jadi kenapa pula ada yang mahu meninggalkan parti,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Serantau Amerika Syarikat-Dunia Islam di sini hari ini.
Abdullah diminta mengulas tarikh baru yang ditetapkan oleh Ketua Pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merampas kuasa daripada BN.
Selepas gagal mengambil alih kerajaan pada tarikh 16 September seperti disasarkan sebelum ini, Anwar dalam ceramahnya di Kota Bharu baru-baru ini dilaporkan menetapkan pula awal Disember sebagai tarikh baru menubuhkan kerajaan.
Ketua pembangkang itu seterusnya mendakwa beliau mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen BN yang akan melompat untuk membentuk kerajaan sebelum Hari Raya Aidiladha yang dijangka disambut pada 8 Disember depan.-Utusan
PM gembira Najib disokong
Perdana Menteri berkata, keputusan yang dibuat oleh kesemua 28 UMNO bahagian yang telah bersidang setakat ini untuk mencalonkan Najib sememangnya menepati hasrat beliau untuk melihat Timbalan Perdana Menteri itu menggantikannya.
“Sudah tentu saya begitu gembira kerana mereka menyokong beliau (Najib). Itu adalah baik. Saya nak Datuk Seri Najib menggantikan saya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Serantau Amerika Syarikat - Dunia Islam di sini hari ini.
Selepas 28 daripada 191 UMNO bahagian selesai bersidang semalam, Najib muncul sebagai satu-satunya pemimpin yang menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.
Sebelum ini Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang akan dilakukan pada Mac depan. Ekoran itu, Perdana Menteri memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO.
Sementara itu, Perdana Menteri meminta ahli-ahli UMNO agar memberikan sokongan kepada Najib kerana Timbalan Perdana Menteri itu merupakan seorang pemimpin yang baik.
“Saya nak Datuk Seri Najib menggantikan saya, saya nak supaya anggota-anggota parti beri sokongan kepada beliau dan saya percaya beliau boleh jadi pemimpin yang baik,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan sebuah portal berita bahawa Najib menyalahgunakan kuasa dengan campur tangan dalam siasatan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, Abdullah berkata:
“Saya tidak percaya Datuk Seri Najib mahu menyalahgunakan kuasa. Jika beliau seorang yang cenderung untuk menyalahgunakan kuasa, kalau begitu, bagaimana beliau akan menjadi pengganti saya.
“Saya percaya dengan beliau, saya percaya beliau seorang yang baik dan akan menjadi Perdana Menteri yang baik dan mampu untuk memberikan kepimpinan yang baik, jadi saya tidak percaya beliau terlibat dalam salah guna kuasa.”
Antara lain, laporan oleh Malaysia Today yang pernah dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin itu membuat dakwaan mengenai mesej komunikasi antara Najib dengan seorang peguam terkemuka yang mewakili Abdul Razak Baginda, salah seorang lelaki yang didakwa bersubahat dengan dua pegawai polis dalam pembunuhan Altantuya.-Utusan
Oleh HERMAN HAMID
Rafidah, Shahrizat akur peralihan
October 14, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KUALA LUMPUR 13 Okt. – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, pelan peralihan kuasa antara beliau dan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan dilaksanakan pada Jun depan bertujuan untuk mengukuhkan UMNO.
Sambil menegaskan bahawa beliau dan Shahrizat terus komited dengan pelan peralihan kuasa itu, Rafidah berkata, jika beliau berundur awal, dikhuatiri akan berlaku persaingan sengit merebut jawatan tertinggi Wanita UMNO yang boleh memecahbelahkan pergerakan itu.
Sehubungan itu, beliau berharap akar umbi Wanita UMNO akan mengekalkan persefahaman yang dipersetujui dalam pencalonan pucuk pimpinan Wanita menjelang pemilihan parti Mac depan.
Rafidah memberitahu, beliau pasti akan berundur pada pertengahan tahun depan dan tempatnya kelak akan diambil alih oleh Shahrizat seperti yang telah diketahui umum.
“Selaku sayap terbesar UMNO, Wanita tidak boleh berpecah-belah terutama ketika usaha mengukuhkan UMNO giat dilakukan oleh para pemimpinnya,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rafidah membuat penjelasan itu ekoran laporan Utusan Malaysia yang menyatakan beliau akan menimbang semula pelan peralihan jawatan Ketua Wanita UMNO selepas proses pencalonan selesai.
Menurut Rafidah, beliau tidak pernah bercakap mengenai perkara itu.
Pemberita Utusan Malaysia yang tersilap tafsir kenyataannya melaporkan beliau akan membuat penilaian mengenai pelan peralihan kuasa itu apabila 191 Wanita UMNO Bahagian di seluruh negara selesai bersidang tidak lama lagi.
Setakat semalam, Rafidah menerima 52 pencalonan untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita manakala Shahrizat pula memperoleh 12 pencalonan untuk jawatan yang sama.
Bagaimanapun, Shahrizat yang berjanji mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita sedang mendahului pencalonan untuk jawatan yang disandangnya itu yang turut diminati oleh beberapa calon lain termasuk Datuk Kamilia Ibrahim dan Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya berita dalam Utusan Malaysia hari ini kononnya saya akan timbang semula pelan peralihan jawatan (Ketua Wanita UMNO) selepas semua pencalonan selesai,” ujarnya.
Rafidah menegur penyiaran berita tidak tepat itu yang telah menimbulkan suasana tidak tenteram dalam pemilihan Wanita UMNO.
Beliau berkata, Wanita UMNO perlu bersatu pada waktu ini bagi memastikan peralihan kuasa antara Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan lancar.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata, dengan menekankan pentingnya perpaduan, beliau tidak bersikap tamakkan jawatan tetapi bertindak atas kepentingan parti.
“Ingat saya hendak sangatkah jawatan ini? Umur saya pun sudah 65 tahun… bulan Jun nanti saya pasti akan serahkan (jawatan) kepada Shahrizat,” tegasnya.
Rafidah melahirkan kegembiraan kerana majoriti ahli Wanita di peringkat akar umbi memahami manfaat daripada pelan peralihan kuasa tersebut dan menyokongnya dengan sepenuh hati.-Utusan
Oleh ARSHAD KHAN
Beruas, Pontian tolak Ku Li
October 13, 2008 by Pendeta · 2 Comments
PANTAI REMIS 12 Okt. – Cubaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mendapatkan pencalonan pertama bagi bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Mac depan tidak berjaya selepas beliau gagal mendapat sokongan perwakilan UMNO Bahagian Beruas yang bermesyuarat di sini hari ini.
Nama beliau yang dicadangkan seorang perwakilan dari Cawangan Ayer Tawar dekat sini hanya berjaya memperoleh enam undi berbanding jumlah perwakilan seramai 225 orang.
Ketika nama Tengku Razaleigh dicadangkan, suasana di Dewan Orang Ramai Pengkalan Baharu di sini hangat dengan sorakan perwakilan lain.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar gagal mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Beruas selepas tewas kepada timbalannya, Abdul Manaf Hashim.
Hamdi memperoleh 102 undi berbanding pencabarnya, seorang kontraktor, Abdul Manaf Hashim, yang meraih 120 undi.
Berikutan itu, Hamdi merupakan Ketua Bahagian UMNO pertama yang gagal mengekalkan jawatan sejak mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober lalu.
Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, ia dimenangi bekas Ketua Penerangan, Azhar Ahmad yang memperoleh 141 undi mengalahkan bekas Ketua Pemuda, Ali Mansor.
Jawatan Naib Ketua Bahagian pula dimenangi bekas AJK Bahagian, Azman Noh yang meraih 119 undi mengalahkan Abdul Syukur Ismail.-Utusan
UMNO perlu amal budaya ilmu
October 13, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
JOHOR BAHRU 12 Okt. - UMNO perlu menekankan pentingnya budaya ilmu serta mengamalkan sistem nilai yang selari dengan persekitaran semasa jika mahu terus mendapat sokongan rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, ilmu pengetahuan amat penting bagi semua ahli UMNO kerana masyarakat kini mudah mendapat maklumat daripada pelbagai sumber.
“Masyarakat sekarang mudah mendapat maklumat daripada pelbagai sumber dan tahu apa yang terjadi serta terdedah dengan berita palsu dan ini boleh mempengaruhi sikap mereka terhadap UMNO.
“Bagi mengekang perkara tersebut daripada terjadi, UMNO perlu menghadapi keadaan itu dengan membangunkan sistem nilai berasaskan budaya ilmu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya, di sini hari ini.
Selain itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, sistem nilai yang selari dengan persekitaran semasa seperti tidak mengamalkan politik wang, surat layang dan terlalu taksub pada pendirian sendiri juga penting untuk menjadikan UMNO terus kekal dan relevan menjadikan parti ulung orang Melayu.
Menurutnya, sistem nilai yang berasaskan budaya dan tradisi ilmu dunia atau akhirat mampu mengelak daripada wujudnya sikap taksub terhadap pendapat sendiri.
Malah menerusi sistem tersebut ahli berupaya memilih pemimpin yang bijaksana serta mampu menyelesaikan masalah masyarakat dengan baik, ujarnya.
“Ahli-ahli UMNO yang mempunyai kemampuan berfikir dapat mengelak daripada merosakkan parti dan sekali gus disanjung sebagai pemimpin berwibawa,” katanya.
Beliau yang mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang tanpa bertanding berkata, sistem nilai dalam UMNO yang berteraskan budaya ilmu juga akan menjadikan parti itu terus berwibawa, matang dan relevan selain mampu membuatkan ahlinya bersikap rasional, praktis, bertanggungjawab, berintegriti dan berintelektual.- Utusan
Rafidah sedia timbang semula peralihan kuasa
October 13, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz (gambar) bersedia untuk menilai kembali pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil jika itu yang dikehendaki ahli-ahli akar umbi sayap berkenaan.
Beliau berkata, penilaian itu akan dibuat apabila kesemua 191 Wanita UMNO bahagian di seluruh negara habis bersidang tidak lama lagi.
”Habis semua bahagian barulah kita menilai kembali (peralihan kuasa dalam Wanita),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai beberapa Wanita UMNO bahagian di seluruh negara yang mencalonkan Shahrizat bertanding jawatan Ketua Wanita walaupun sudah ada persefahaman kedua pemimpin itu untuk melakukan peralihan kuasa pada Jun depan.
Tindakan beberapa bahagian itu dilihat sebagai agak mengejutkan.
Shahrizat sebelum ini berulang kali menyatakan beliau komited dengan pelan peralihan kuasa itu dan tidak akan mencabar Rafidah untuk jawatan berkenaan.
Jumlah pencalonan untuk Shahrizat bertanding jawatan berkenaan semakin bertambah apabila Pergerakan Wanita UMNO Sepanggar, Sabah, hari ini turut membuat pencalonan serupa.
Mengulas lanjut perkembangan itu, Rafidah berkata, beliau menerimanya dengan positif dan melihat ia sebagai sesuatu yang baik untuk demokrasi.
”Saya tidak rasa apa pun, ini demokrasi dan terpulang pada dia (bahagian-bahagian yang mencalonkan Shahrizat),” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa pencalonan untuk Shahrizat itu mencerminkan bahawa ada segelintir Wanita bahagian yang mahu peralihan kuasa sebelum ini dipercepatkan.-Utusan.
Oleh ARSHAD KHAN


















