‘Saya akan komen lepas Rafidah komen’
November 21, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KUALA KANGSAR 20 Nov. - Exco Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, beliau hanya akan mengulas mengenai keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertanding jawatan Ketua pergerakan itu selepas mendengar komen penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz.
Menurutnya, beliau tidak mahu terburu-buru memberikan sebarang kenyataan mengenainya untuk mengelakkan daripada mengeruhkan lagi keadaan.
”Tunggulah, saya akan komen setelah Rafidah bagi komen,” jelas beliau.
Kamilia berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Cawangan Wanita Bahagian Kuala Kangsar di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Kangsar di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan Shahrizat yang mengesahkan beliau akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.
Shahrizat berkata, beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding sekali gus melawan penyandang, Rafidah.
Kamilia adalah calon Naib Ketua Wanita dan jika peralihan kuasa itu berlaku beliau mungkin akan menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.
”Saya memikirkan perkara ini (beri komen) kerana saya dan Rafidah dari satu tempat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau juga perlu mendengar apa yang diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menyelesaikan kemelut kepimpinan pergerakan berkenaan.- Utusan
Rafidah, Shahrizat tentukan penyelesaian terakhir - TPM
November 19, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam menyelesaikan kemelut tersebut, pergerakan itu perlu mencari jalan penyelesaian iaitu pertamanya, melalui rundingan dan sekiranya ia tidak berjaya, terpulang kepada Rafidah dan Shahrizat untuk membuat keputusan.
Katanya, nasihat beliau kepada pergerakan itu ialah UMNO memerlukan Wanita yang kuat dan berwibawa untuk memainkan peranan penting memberi sumbangan kepada pemulihan serta kekuatan parti itu dan Barisan Nasional (BN).
”Ada dua aliran pendapat dalam Wanita. Satu, mereka mahu pelan peralihan kuasa Ketua Wanita kekal seperti asal. Ada pula aliran pendapat kedua bahawa pelan itu perlu dipercepatkan. Oleh kerana ada dua pendapat, maka Wanita harus mencari jalan penyelesaian.
”Jalan pertama ialah melalui rundingan. Kalau rundingan tidak berjaya, terpulang kepada kedua-dua pihak untuk membuat keputusan. Nasihat saya kepada Wanita ialah kita perlu kepada Wanita yang kuat.
”Walau apa pun keputusan mereka buat, mereka perlu memastikan kekuatan Wanita tidak terjejas dari segi kewibawaannya untuk memainkan peranan penting dalam konteks menyumbang kepada pemulihan dan kekuatan UMNO serta BN,” katanya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai desakan akar umbi Wanita UMNO yang mahu Shahrizat bertanding merebut jawatan Ketua Wanita sedangkan kepimpinan pergerakan itu sebelum ini bersetuju untuk meneruskan peralihan kuasa seperti yang dirancangkan iaitu pada Jun depan.
Kemelut juga timbul selepas Exco pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim menyatakan hasrat untuk terus bertanding jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac depan selepas memperoleh cukup pencalonan.
Bagaimanapun, keputusannya itu mendapat kecaman sesetengah pemimpin wanita UMNO di peringkat negeri yang menyatakan Kamilia tidak mengendahkan pelan peralihan yang dipersetujui antara Rafidah dan Shahrizat, yang dijadualkan pada Jun depan.
Isnin lepas, Shahrizat dalam satu kenyataan mengejutkan, meminta agar tarikh pelan peralihan diselaraskan semula, tetapi gagal meyakinkan Rafidah dan sebilangan anggota Exco Wanita yang mahu ia dikekalkan.-Utusan
Oleh NOR ZAINAH NORDIN
Rafidah digesa bersikap adil kepada ahli Wanita
November 13, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz digesa bersikap adil terhadap ahli Wanita UMNO apabila beliau menetapkan satu pelan peralihan jawatan yang tidak relevan.
Menurut Dekan Penyelidikan dan Pasca Siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Mustapha Ishak, Rafidah seharusnya mencontohi pemimpin tertinggi UMNO yang lebih terbuka membuat keputusan berhubung pelan peralihan kuasa.
“Rafidah perlu percepatkan pelan peralihan pada Mac, beza tiga bulan tidak masuk akal sama sekali. Beliau perlu bersedia untuk melepaskan jawatan tersebut.
“Beliau sudah lama dan sudah masa beliau berikan jawatan tersebut kepada orang yang lebih muda malah telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Mesyuarat Exco Wanita UMNO kelmarin yang memutuskan pelan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada Jun tahun depan.
Ini berikutan Shahrizat sehari sebelum itu mengeluarkan kenyataan meminta Rafidah mempertimbangkan mempercepatkan pelan tersebut kepada Mac 2009, selaras dengan pemilihan parti itu.
Mohd. Mustapha berkata, Rafidah seharusnya pada saat ini, memberi tunjuk ajar kepada Shahrizat dan memberinya ruang untuk menyesuaikan diri.
“Bukannya dengan menyekat peluang tersebut dengan memberikan alasan yang tidak munasabah. Saya berharap beliau tidak mempunyai agenda lain kerana kita semua kenal Rafidah yang merupakan pemimpin berjiwa besar,” jelasnya.
Bagaimanapun, pendapat tersebut berbeza dengan pandangan seorang lagi penganalisis politik yang melihat kepimpinan Rafidah adalah yang terbaik sejak ia menerajui Wanita UMNO.
Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, apa yang berlaku dalam Wanita UMNO kini adalah banyak pihak tersalah tafsir mengenai pelan peralihan jawatan yang dirancang Rafidah dan peringkat kepimpinannya.
Katanya, Rafidah menetapkan tarikh pada Jun 2009 memandangkan beliau tidak mahu dibayangi pelan peralihan kuasa antara Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada Mac 2009.
“Kenapa pula Rafidah perlu mengikut pelan yang ditetapkan Abdullah dan Najib? Beliau mempunyai pendirian tersendiri dalam hal ini dan ramai sudah tersilap faham mengenainya,” katanya.
Katanya, kepimpinan Rafidah masih relevan dan oleh kerana itu, beliau tetap mendapat pencalonan yang tinggi untuk membolehkannya bertanding jawatan ketua.
“Pelan peralihan jawatan pada Jun 2009 adalah masalah Wanita UMNO dan pelan peralihan kuasa parti pula adalah masalah lain. Ia tidak ada kena-mengena.
“Saya juga melihat tidak ada masalah jika Shahrizat lawan Rafidah tetapi ia adalah risiko yang besar. Rafidah bukan calang-calang ahli politik, beliau sudah lama dan tahu selok-belok dunia itu.
“Tetapi jika Shahrizat berani beliau boleh lawan Rafidah kerana Rafidah tidak akan rugi apa-apa,” katanya.
Katanya, tidak timbul masalah Shahrizat hanya perlu menjadi pemangku jawatan ketua memandangkan tugas itu juga sama penting dengan ketua sebenar.-Utusan
Biar Wanita UMNO selesaikan
November 13, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tersebut merupakan langkah terbaik demi memastikan parti terus kukuh.
Menurut beliau, apa yang penting ialah mencari jalan penyelesaian secepat mungkin supaya tidak berlaku sebarang perpecahan di kalangan ahli.
“Apa yang berlaku dalam Wanita UMNO biarlah mereka sendiri yang selesaikan.
“Mereka perlu mencari jalan terbaik demi perpaduan parti,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan identiti korporat baru syarikat Posco-Malaysia Sdn. Bhd. di Pulau Indah di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai Exco Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu dan menolak pelan peralihan kuasa seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.
Pendirian tersebut jelas bertentangan dengan keputusan mesyuarat Exco Wanita UMNO kelmarin yang mahu mengekalkan pelan peralihan kuasa di antara ketua pergerakannya, Tan Sri Rafidah Aziz dan naib ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun depan.-Utusan
Oleh ZABRY MOHAMAD
Pilih calon miliki rekod cemerlang - Ali Rustam
October 23, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
MELAKA 22 Okt. - Hanya calon yang sanggup berkhidmat untuk parti dan memiliki rekod lampau yang cemerlang sentiasa menjadi pilihan untuk memegang sebarang jawatan dalam parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Menurutnya, pegangan tersebut sentiasa diamalkan oleh setiap ahli parti dan ia terbukti apabila UMNO muncul menjadi parti Melayu yang bersatu padu dan sentiasa kukuh.
”Biarpun menghadapi masalah atau cabaran dalam parti, setiap ahli UMNO akhirnya akan sentiasa memilih calon yang terbaik dari banyak-banyak calon yang menawarkan diri merebut jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak projek pembinaan bangunan Wisma Persekutuan bernilai RM208 juta di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Bangunan 21 tingkat itu yang dijangka siap pada November tahun depan dimajukan oleh Konsortium Perwira Bintang Holding Sdn. Bhd. dan Kumpulan Melaka Berhad.
Mohd. Ali berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam yang menyarankan semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara ‘tender’ ekoran gejala politik wang.
Kata Ketua Menteri, pemilihan parti perlu dibuat berdasarkan kesanggupan seseorang calon itu untuk berkhidmat, mempunyai rekod cemerlang dan banyak menyumbang kepada perpaduan parti.
”Ini perkara asas yang wajar digunakan setiap ahli parti untuk memilih di kalangan ramai calon yang bertanding.
”Namun, saya sentiasa percaya perkara ini sentiasa diambil kira dan menjadi amalan setiap ahli UMNO ketika mereka memilih calon pilihan masing-masing kerana ia merupakan perkara asas dan ahli tidak pernah lari dari pegangan mereka ini,” katanya.
Katanya, Rais mungkin mengeluarkan kenyataan tersebut berdasarkan apa yang beliau rasa dan pernah menghadapi pengalaman sedemikian.
Oleh itu, katanya, Rais wajar meluahkan apa yang dirasa sekiranya itulah pengalaman beliau.
Ujarnya, bagi UMNO sendiri, ia wajar menolak sebarang bentuk permainan dan politik wang terutama pada waktu mesyuarat pemilihan jawatan sedang rancak diadakan pada waktu ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat gejala politik wang di kalangan anggota parti yang meminta ‘upah’ daripada calon yang bertanding bagi mendapatkan undi mereka, kata Mohd. Ali, perkara tersebut terpulang kepada individu yang pernah mengalami pengalaman sedemikian untuk membuat tafsiran sendiri.
”Itu terpulang kepada sesiapa yang mempunyai pengalaman itu, saya tidak ada apa-apa pengalaman seperti itu,” katanya.
Namun, katanya, beliau yakin setiap anggota parti itu bijak membuat keputusan dengan memilih pemimpin terbaik dan perkara itu telah dibuktikan melalui mesyuarat pemilihan yang diadakan sebelum ini.-Utusan
Shahrizat umum minggu depan
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih berteka-teki sama ada akan mencabar Tan Sri Rafidah Aziz untuk jawatan ketua pergerakan itu walaupun telah menerima pencalonan yang mencukupi.
Katanya, beliau mempunyai pendirian berhubung perkara itu namun agak sukar untuk menyatakannya pada ketika ini.
Oleh itu beliau hanya akan menyatakan keputusannya sama ada akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu atau meneruskan pelan peralihan kuasa antaranya dan Rafidah, pada minggu depan.
”Susah saya nak cakap sekarang, tetapi bukan saya tidak berpendirian dalam soal ini. Saya akan buat kenyataan minggu depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shahrizat sebelum ini mendapat 40 pencalonan daripada Wanita bahagian yang bersidang bagi menentukan calon untuk bertanding pada pemilihan parti yang dijadualkan pada Mac 2009.
Jumlah tersebut melepasi kuota kelayakan yang ditetapkan bagi bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO iaitu sebanyak 39 pencalonan.
Bagaimanapun, persoalan yang timbul selepas itu adalah sama ada Shahrizat akan bertanding menentang ketuanya, Rafidah atau meneruskan pelan peralihan kuasa seperti yang dipersetujui sebelum ini iaitu pada Jun 2009.
Sebelum ini, beliau juga meminta supaya semua ahli pergerakan itu tidak mencalonkan namanya untuk bertanding jawatan ketua kerana beliau akan mempertahankan jawatan disandang sekarang.
Katanya, apa juga keputusan yang akan dibuat bersama-sama Wanita UMNO selepas ini adalah untuk kebaikan pergerakan itu.
”Apa yang saya putuskan nanti akan mengambil kira semua faktor.
”Saya percaya, Wanita UMNO akan mencari penyelesaian terbaik dan mampu menghadapinya,” katanya.
Beliau menambah, apa yang menjadi keutamaannya sekarang adalah parti dan pergerakan itu.- Utusan
Zahidi Zainul Abidin mahu tarik diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO
October 18, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KANGAR 18 Okt. - Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mahu menarik diri daripada pertandingan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda.
“Saya minta bahagian-bahagian UMNO tidak mencalonkan nama saya lagi,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun kata beliau, pengumuman rasmi mengenai keputusannya itu akan dibuat pada 22 Oktober ini.
Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan jawatannya di peringkat Bahagian.
Sehingga semalam, Zahidi hanya memperoleh satu pencalonan bagi jawatan Ketua Pemuda yang turut menyaksikan tiga lagi pesaing iaitu Datuk Mukhriz Tun Mahathir dengan 44 pencalonan, Khairy Jamaluddin (23) da Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (13).
- Utusan
Hormati Perlembagaan - PM
October 18, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
Dalam amanat beliau ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, Perdana Menteri menegaskan bahawa hak-hak asas yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan harus dihormati oleh semua kaum.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Abdullah mengingatkan kepada anggota Kabinet tentang signifikan pendirian Raja-raja Melayu itu diperkukuhkan di kalangan sektor kerajaan.
”Perdana Menteri pagi ini menegaskan situasi yang meliputi kenyataan khas yang dikeluarkan oleh Raja-raja Melayu semalam.
”Dan seharusnya kami dalam Kabinet memahaminya sebagai yang terpenting,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, satu kenyataan akhbar khas Raja-Raja Melayu dikeluarkan berhubung hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum Lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dikeluarkan hasil daripada perbincangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang diperbuat dan diputuskan sebelum baginda berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, amanat Perdana Menteri itu didengar serius serta difahami oleh semua anggota Jemaah Menteri.
”Kontrak sosial yang dibangkitkan oleh Raja-raja Melayu itu telah diterjemahkan dalam mesyuarat Kabinet dan seharusnya ia tidak lagi dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
”Ini kerana Raja-raja Melayu bukan sahaja raja untuk orang Melayu tetapi juga raja bagi semua kaum,” katanya.-Utusan
Oleh ZULKIFLI JALIL
Ahli PKR dihadap atas dakwaan rasuah seks
October 18, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
IPOH 17 Okt. – Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini mengaku mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa melakukan perbuatan tersebut secara rasuah.
Tertuduh, Fairul Azrim Ismail, 30, didakwa menerima daripada Mohamad Imran Abdullah suapan wanita tersebut bagi tujuan mengadakan hubungan seks.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 14 Ogos lalu kira-kira pukul 8.10 malam di No. 401, Tingkat 4, Sri Sayang Apartmen (Seaview Agency), Jalan Batu Feringgi, Pulau Pinang.
Suapan seks itu adalah sebagai dorongan kepada tertuduh yang merupakan seorang kontraktor bagi membantu Mohamad Imran mendapatkan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usaha sama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.
Hakim Rasidah Chik yang mendengar kes tersebut kemudian membenarkan Fairul Azrim dibebaskan dengan jaminan RM3,000.
Beliau juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR), How Mei Ling supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 3 Ipoh.
Langkah itu dibuat bagi membolehkan kes itu dibicarakan serentak dengan kes rasuah berkaitan membabitkan empat lagi tertuduh termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak.
Selepas kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 3, Hakim Tan Hooi Ling yang akan mendengar perbicaraan itu juga bersetuju menetapkan ia dibicara serentak dengan kes rasuah berkaitan iaitu pada 10, 11 dan 12 Februari depan.
Tertuduh diwakili peguam Mohd. Asri Othman.
Fairul Azrim pada 23 September lalu mengaku membuat hubungan seks dengan seorang wanita China dalam satu surat aduan kepada Jabatan Agama Islam Perak.-Utusan
Hindraf diisytihar haram
Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak pertubuhan berkenaan ditubuhkan.
“Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa hari ini setelah (KDN) berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.
Selain Hindraf, antara pertubuhan lain yang pernah diwartakan sebagai haram ialah Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.
PKM diwartakan sebagai pertubuhan haram kerana mengangkat senjata menentang kerajaan dan pemberontaknya mencetuskan kacau bilau melalui cara keganasan dan membunuh anggota tentera sejak zaman sebelum merdeka.
Pergerakan Al-Arqam diharamkan berikutan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.
Anggota-anggota Al-Maunah pula merompak senjata dari kem tentera bagi menggulingkan kerajaan. Beberapa ketuanya kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memerangi Yang di-Pertuan Agong dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Menurut Syed Hamid, kegiatan Hindraf bertentangan dengan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 dan ia boleh memudaratkan keselamatan awam, keamanan, ketertiban dan nilai-nilai moral di negara ini.
Beliau berkata, jika kegiatan Hindraf tidak dibendung, ketenteraman awam dan kedaulatan negara bakal terancam di samping keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan turut terjejas.
Jelasnya, tindakan pengharaman yang diambil itu bukan berasaskan kepada satu atau dua kegiatan Hindraf yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan serta aktiviti semenjak Hindraf ditubuhkan.
Selain itu, beliau mengakui Hindraf mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 16 Oktober 2007.
Walaupun pendaftarannya tidak pernah diluluskan, pertubuhan Hindraf telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demonstrasi tanpa permit serta mengeksploitasi isu-isu perkauman.
Kesan kegiatan Hindraf itu, ujar Syed Hamid, ia mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.
Di samping itu, Hindraf juga, kata beliau, berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka sehingga memberi kesan buruk kepada imej negara.
Menteri Dalam Negeri itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan dalam apa cara sekali pun pada masa akan datang.- Utusan
Oleh Muhammad Dayne Azmin


















