Kertas siasatan video seks diserah semula
BUKIT MERTAJAM 20 April – Polis akan menyerahkan semula laporan kertas siasatan kes rakaman video seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Katanya, ini kerana kertas siasatan kes berkenaan yang dihantar pada minggu lepas telah dipulangkan semula oleh Pejabat Peguam Negara untuk semakan semula.
“Ada sedikit semakan yang perlu dibuat dan itu adalah perkara biasa, kertas siasatan yang telah lengkap itu akan diserahkan semula kepada Pejabat Peguam Negara secepat mungkin dan kita memang mahu siasatan berhubung kes video seks itu disegerakan,” katanya kepada pemberita di sini selepas membuat lawatan di sekitar kawasan Kubang Semang di sini hari ini. – Bernama
Saman RM20 juta Nik Sapeia terhadap PDRM, kerajaan ditolak
KOTA BAHARU: 20 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos dua saman bernilai RM20 juta seorang ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim juga memerintahkan Nik Sapeia menanggung kos sebanyak RM60,000 bagi kes saman berhubung dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai 2006.
Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, kedua-dua saman ditolak selepas Nik Sapeia gagal membuktikan tuntutan beliau.
Ahmad Zaidi berkata, tindakan defendan menahan Nik Sapeia selama sejam 15 minit adalah wajar walaupun tempoh reman sudah tamat kerana ia melibatkan perjalanan plaintif yang dibawa ke balai polis serta prosedur keterangan seperti mengambil gambar, cap jari dan kawad cam.
Nik Sapeia diwakili peguam Zainal Abidin Mustafa, manakala PDRM dan kerajaan Malaysia oleh Peguam Kanan Persekutuan Idham Abdul Ghani.
Nik Sapeia, 57, memfailkan writ saman kedua-dua saman di Mahkamah Tinggi pada 13 Ogos 2006 dan menamakan Pegawai Penyiasat ASP Baharin Mohd Noh, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Plaintif, yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), mendakwa kesemua defendan mempunyai niat untuk menjatuhkan maruah beliau ketika mengendalikan kes berhubung pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Dr Mahathir dan tiga yang lain.
Nik Sapeia juga mendakwa defendan secara salah menahan beliau dan menafikan hak kebebasannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
Plaintif mendakwa tindakan defendan itu menyebabkan beliau mengalami kerugian dalam perniagaan, selain menjejaskan reputasi serta kredibilitinya di mata masyarakat, terutama rakan perniagaan di dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, Nik Sapeia menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA
Pengaruh Anwar mencaturkan kepimpinan PAS
Menjelang Julai ini, PAS tetap tidak membatalkan pemilihan bagi semua jawatan dan pencalonan untuk pelbagai jawatan seperti Presiden sudahpun bermula.Bukan PAS tidak menyedari pemilihan lazimnya mencetuskan perbalahan dan mewujudkan kem-kem namun parti yang menggunakan imej Islam itu memilih untuk mengenepikan hakikat berkenaan. Pengamalan sikap berpuak-puak dalam PAS ataupun dalam apa jua pertubuhan boleh menjejaskan perjalanan parti itu lebih-lebih lagi ketika persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 sedang giat dilakukan. Atas sebab perkiraan ini barangkali, UMNO dan MIC serta beberapa parti lain menangguhkan pemilihan parti sekurang-kurangnya setahun ataupun 18 bulan dalam kes UMNO.Bagi kebanyakkan daripada kita merasakan keputusan PAS meneruskan pemilihan adalah bukti ia tidak takut untuk diuji oleh ahli-ahli. PAS percaya siapa saja naik dan siapa jua yang diturunkan, akhirnya PAS akan bersatu hati dan tenaga menghadapi musuh bersama iaitu UMNO.PAS tidak pernah bimbang walaupun pemilihan boleh membuatkan parti itu tidak sekuat sebelum berlangsungnya pemilihan parti. Bagi parti yang memperagakan imej lslam itu, kebanyakan pemimpin di peringkat Pusat serta juga jawatankuasa tertingginya akan diundi semula untuk dikekalkan sepenggal lagi. Mungkin 10 peratus saja akan kecundang serta diganti dengan muka-muka baru.
Di peringkat kawasan pula dan disebabkan pelbagai faktor, 177 kawasan akan menyaksikan pemimpin mereka dikekalkan. PAS bukan seperti UMNO dan pemimpinnya. Walaupun tidak semua, rata-rata pemimpin PAS pun tidak ghairah mahu menjadi YB. Justeru bagi ahli-ahli diperingkat grassroot, siapa saja yang dinaikkan dulu, boleh diturunkan hari ini dan bagi mereka yang sudah di puncak pula tidak akan terlepas dari prestasi mereka dinilai dari masa ke semasa dan dari pelbagai sudut.
Lazimnya pemimpin Bahagian yang tidak sealiran dengan pucuk pimpinan akan menerima padah. Dengan demikian dasar parti anjuran pucuk pimpinan dapat disenyawakan mengikut dasar yang digariskan oleh pihak Ibu Pejabat.
Sesetengah pemerhati merasakan PAS terpaksa mengadakan pemilihan tahun ini, parti tersebut seolah-olah menyedari ia sedang berdepan dengan dilemma kepimpinan. PAS dilihat seperti sudah ada dua nakhoda. Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang dilihat tidak sebagai “sealiran” dengan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Tanpa mengambil kira reaksi terhadap peristiwa terbaru di mana Haji Hadi berpelukan dan bersalaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pasar di kawasan DUN Beting Maro, Sarawak tatkala acara turun padang parti masing-masing dalam kempen Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10 beberapa hari lalu yang seolah-olah memperlihatkan harapan betapa kerajaan perpaduan akan menjadi realiti juga satu hari nanti, sudah ada tanda-tanda “fatwa” Hadi disanggah oleh Nik Aziz.
Memerhatikan politik dalaman PAS sekalipun dari jarak jauh, Hadi dilihat banyak mengalah. Di peringkat akar umbi hal ini tidaklah sebegitu ketara kerana kebijaksanaan semua pihak memelihara keharmonian. Seperti kata pepatah Melayu, diam ubi tidak bererti tidak ada ubi, ia tetap berisi manakala diair yang tenang pula, usah dijangka tidak ada sang buaya. Sama ada buaya atau ubi, kedua-dua peribahasa lama ini membayangkan krisis ini semakin sukar untuk disembunyikan dari pengetahuan umum.
Kalau dulu PAS ibarat sebuah keluarga tanpa dipengaruhi tangan-tangan dari luar namun kini ia ibarat kata seorang bekas anggota Mafia, “lt takes all kinds of good meat to make a good sauce.” Hakikatnya ialah betapa pengaruh luar lebih terkedepan perancangannya dan akan membiarkan kuah yang sedia ada berkemungkinan besar basi begitu sahaja.
Sudah ada tanda amat jelas kewujudkan dua puak dalam PAS: kumpulan yang memihak kepada Presiden dan puak yang menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau juga dikenali dengan panggilan Erdogan. Kumpulan Erdogan lebih mirip kepada intelektual serta professional lulusan luar negara serta mereka yang di bawah usia 50 tahun.
Meskipun Anwar bukanlah ahli PAS dan jauh sekali mahu memohon untuk menjadi ahli parti itu, sebilangan ahli PAS melihat Anwar sebagai de fakto Perdana Menteri. Dengan lain kata, bagi mereka Anwarlah pemimpin masa hadapan. Kalangan PAS sendiri kurang percaya kemampuan Hadi mentadbir kerajaan seperti mana mereka mengkagumi kemampuan Anwar dalam hal ini. Puak ini dibantu dengan penyokong Anwar di zaman Anwar masih menjadi Presiden ABIM. Mereka inilah yang menjadi alat mencatur peranan Anwar di dalam dan di luar PAS.
Dan kerana awal-awal lagi Nik Aziz seperti terpukau dengan magis dan aura Anwar maka kumpulan yang pro Anwar dilempar talian hayat serta pada masa yang sama menjadikan mereka Kuda Trojan bagi membolehkan Anwar merencanakan strateginya dari luar. Selagi ada Nik Aziz selagi itu Anwar ada talian hayat didalam PAS.
Perkara ini telah disedari banyak pihak. Malah kem yang rapat dengan Presiden partipun menyedari pengaruh Anwar didalam PAS begitu kuat.
Senario yang berlaku sejak setahun kebelakangan ini membuat Presiden dan “all the president’s men” mulai menampakkan sikap berkecuali; tidak lagi nampak tanda-tanda mereka anti-Anwar. Dan kerana faktor ini serta melihat kepada peluang yang cerah untuk ke Putrajaya membuatkan Presiden parti turut menyusun langkah dan menukar rentak kepada rentak memihak kepada Anwar pula.
Contohnya dalam kes video lucah yang dikatakan membabitkan Anwar dengan seorang pelacur China, Hadi selain dari mengetuai sembahyang hajat, beliau juga membuat kenyataan yang dilihat memihak kepada Anwar. Soal sama ada solat hajat itu meminta Allah mengekalkan Anwar selaku pemimpin dan memohon Anwar menjadi Perdana Menteri sudah tentu tidak termasuk dalam doa solat hajat berkenaan.
Yang didoakan adalah soal kesejahteraan Anwar dan memohon petunjuk agar Allah menunjukkan kebenaran. Untuk rekod umum, solat hajat yang dijaja diadakan hampir di banyak tempat kini semakin tidak lagi kedengaran apatah lagi pihak PDRM sudahpun mengatakan lelaki didalam video berkenaan telahpun dikenalpasti.
Nampaknya strategi yang dipasang oleh pemimpin pro Anwar ialah mencalonkan mereka yang berminat menjadi pengganti Hadi dan Nasaruddin iaitu bagi jawatan Presiden dan timbalan.Justeru tiga jawatan Naib Presiden juga akan dicalonkan mengikut calon yang pro Anwar.
Bagaimanapun Husam yang dicalonkan bertanding menentang Hadi, awal-awal lagi menolak pencalonan dan mengikrarkan kesetiaan menyokong presiden parti dan menganggap Hadi seperti seorang mentor yang mendidiknya sejak zaman universiti lagi.
Jawatan Timbalan Presiden sebenarnya adalah idaman kumpulan Erdogan. Tapi siapakah calon pilihan Erdogan yang mampu menjadi orang nombor dua dan bakal pengganti presiden?
Calonnya adalah penting kerana jawatan Timbalan adalah calon yang bakal menjadi Presiden seandainya Hadi meningalkan parti ataupun enggan kekal memimpin PAS. Masalahnya walaupun Nasaruddin tidaklah sekebal mana namun kerana kesetiaan Nasaruddin kepada Presiden selama ini maka kem Hadi masih kekal menyokongnya.
Hal ini tentu membimbangkan kumpulan Erdogan. Mereka tak mahu dilihat berkonfrontasi dengan kem Hadi. Pencalonan Mat Sabu, sahabat Anwar sejak zaman ABIM ke jawatan timbalan dilihat dibuat untuk kacau daun. Mat Sabu bukanlah calon yang dilihat layak serta berwibawa menjadi pemimpin kedua atau pemimpin de fakto andai kata sesuatu berlaku kepada Hadi.
Mat Sabu bukanlah seperti Tan Sri Mahyuddin Yassin dalam UMNO yang bukan saja layak dan setia menunggu giliran malah mempunyai ketokohan tersendiri. Malah hubungan Mat Sabu dengan Anwar sudah lama sejuk iaitu sejak Anwar masih dalam UMNO. Usaha menjernihkan hubungan mereka setakat memanis mulut saja.
Walau apa dan cara apa digunakan, setakat ini kedudukan Nasaruddin tidaklah membimbangkan selagi kem Hadi masih memerlukan regu Nasaruddin dan Hadi. Sifir politik PAS ini boleh berubah jika Nik Aziz berjaya meyakinkan perwakilan serta meyakinkan Hadi sendiri betapa PAS memerlukan seorang tokoh yang lebih berwibawa seperti Salahuddin atau Husam atau sesiapa saja yang mendapat pengiktirafan dari Anwar.
Sehingga rencana ini ditulis, pemilihan kali ini dilihat sengit kerana ia adalah pemilihan bagi membersihkan PAS dari kumpulan yang menyimpan bau UMNO. Nasaruddin yang dilihat rapat dengan idea mewujudkan kerajaan perpaduan dilihat terlalu dekat dengan UMNO dari rapat dengan Anwar dan PKR apatah lagi DAP. Justeru umum melihat tanda-tanda macam PAS sudah bersedia mengorbankan beliau.
Dan menjelang pilihanraya umum akan datang, PAS dengan mudah akan menyenaraikan calon-calon yang pro Anwar agar usaha Anwar dalam apa jua rencana tidak terhalang oleh “little napoleon” tidak sebulu dengan gagasan Anwar.
Anwar mungkin bukan ahli PAS namun peranannya lebih penting dari peranan pemimpin serta jemaah pimpinan parti tersebut kerana setakat ini rancangan Anwar membariskan “orang-orangnya” dalam PAS tidak pernah gagal.
“Kami tidak takut didakwa”-Datuk T
April 20, 2011 by admin
Filed under Berita Bergambar
Trio ‘Datuk T’ hari ini mendedahkan bahawa mereka tidak sedikit pun takut untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, kerana menayangkan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Semua trio tersebut, iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim berkata, mereka sudah bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.
Malah mereka juga bersedia untuk melakukan sumpah laknat di mana sahaja termasuk di depan Kaabah, bagi membuktikan pendedahan mengenai rakaman video seks tersebut adalah benar membabitkan ketua pembangkang tersebut, sebagaimana yang didakwa.
Shazryl Eskay ketika dihubungi berkata, beliau tidak akan sesekali membantah sebarang tindakan undang-undang, jika benar pihak Peguam Negara mahu mendakwa trio Datuk T di mahkamah, atas kesalahan memiliki serta mengedarkan rakaman video seks berkenaan.
“Kami serah sepenuhnya kepada pihak polis dan Peguam Negara. Di pihak kami, apa juga keputusan dan arahan pihak berkuasa kami akan patuh termasuk pergi ke mahkamah. Kami akan memberi kerjasama 100 peratus kepada semua yang terlibat kerana kami sedar ini adalah perjuangan demi kebenaran.
“Oleh itu, kami bukan sahaja sanggup ke mahkamah tetapi kami juga bersedia untuk melakukan sumpah laknat di mana sahaja termasuk di depan Kaabah. Ini kerana saya yakin, kami di pihak yang benar dan tiada sebarang keraguan bahawa lelaki itu memang Anwar,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shuib pula memberitahu, pihaknya memang sedar akan risiko perundangan yang terpaksa dihadapi kerana pendedahan itu tetapi menegaskan, perjuangan menyedarkan rakyat mengenai moral adalah lebih penting berbanding kebimbangan dikenakan hukuman oleh mahkamah.
Katanya, atas niat yang murni tersebut jugalah sehingga kini, semua trio Datuk T tidak mendapatkan sebarang khidmat guaman bagi menghadapi kemungkinan pendakwaan kerana yakin, Allah akan menolong golongan yang berjuang untuk mengelakkan negara ini dari di perintah individu tidak bermoral.
“Pada saya, pendedahan ini bukan bertujuan mahu mengedarkan rakaman video seks tetapi untuk membolehkan rakyat menjadi saksi. Kalau ingin mengedar, rakaman tersebut sudah dicetak sebanyak 20,000 salinan tetapi sehingga kini hanya 15 individu sahaja yang dibenar menontonnya,” jelas beliau.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, jika Shazryl Eskay sanggup melakukan sumpah laknat termasuk di depan Kaabah, Anwar yang selama ini menampilkan imej Islamik di mata masyarakat juga perlu ada keberanian dan kepercayaan tersebut, dalam mencari kebenaran sebagaimana dituntut oleh agama Islam.
Sambil mengakui bahawa dirinya juga sudah bersedia untuk menerima apa juga keputusan Peguam Negara, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, beliau juga sanggup berdepan dengan Anwar dalam apa juga situasi, selepas ketua pembangkang itu bermati-matian menafikan beliau terlibat dalam aksi video seks itu.19/4/2011 UTUSAN
KJ Buat Hal Lagi – Apa Yang Salah Dengan Kenyataan Beliau?
April 20, 2011 by admin
Filed under Berita Bergambar
Adakah Pemuda ini perlu di maki hamun gara-gara idea beliau yang terlalu “fresh” dalam politik UMNO?
Nampaknya selepas selesai proses pengumuman keputusan Pilihanraya Sarawak tempoh hari, saya mendapat tahu bahawa ramai pihak tidak berpuas hati dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda BN iaitu YB Khairy Jamaluddin.
Ada yang mengatakan bahawa Khairy Jamaluddin mendesak supaya Pehin Sri Taib Mahmud melepaskan jawatannya sebelum PRU akan datang. Ramai pihak melompat dengan kenyataan tersebut. Malah ada yang bertindak menghentam KJ tanpa memikirkan apakah kenyataan KJ tersebut benar-benar salah atau sebaliknya.
Bagi saya tiada salahnya kenyataan KJ supaya Pehin Sri Taib Mahmud berundur dan menunaikan janjinya akan berundur dalam masa setahun kalau tidak silap saya. Ini kerana daripada pengamatan saya ketika pilihanraya negeri berlangsung. Tidak banyak isu setempat dapat dimainkan oleh pihak Pakatan melainkan isu tanah adat.
Mereka hanya membangkitkan isu atau sentimen “BENCI TAIB” sebagai senjata utama. Ini semua disebabkan tempoh pemerintahan Pehin Sri yang menjangkau 30 tahun. Walaupun Sarawak sepanjang pemerintahan Pehin Sri semuanya dalam keadaan baik.
Sentimen “BENCI TAIB” dibangkitkan setiap kali siri ceramah Pakatan, daripada ahli keluarga Taib hinggalah isteri terbaru Pehin Sri semuanya dipolemikkan oleh Pakatan dengan tujuan membangkitkan rasa benci yang meluak-luak terhadap Pehin Sri dan keluarganya.
Malah untuk membangkitkan perasaan ‘BENCI TAIB’ di kalangan rakyat Sarawak. Poster-poster Taib Mahmud yang dibuat oleh Pakatan menggunakan gambar-gambar yang tidak sepatutnya. Malah ada yang menyamakan Pehin Sri sebagai ‘ASUK’ atau ‘ANJING’. Politik kebencian ini terbukti berjaya apabila ianya juga menjadi punca rakyat menolak Pak Lah. Rakyat dihasut dengan poster-poster Pak Lah terlelap dan tertidur, lama-kelamaan rakyat menjadi benci kononnya Pak Lah ‘Sleeping PM’.
Politik kebencian yang berjaya di semenanjung inilah yang digunakan oleh Pakatan di Sarawak.Politik hasut, maki, caci inilah senjata utama mereka sepanjang di Sarawak.
Dan tahukah anda bahawa sentimen ini berjaya mempengaruhi pengundi muda dan pengundi cina di Sarawak?
Ini terbukti apabila ketika saya di rumah panjang. Risalah mengenai kekayaan Taib Mahmud dan anak-anaknya disebarkan oleh pihak lawan. Walaupun risalah tersebut banyak fakta-fakta yang salah malah lebih menjurus kepada fitnah. Sebelum saya menerangkan kepada pemuda yang memegang risalah itu, beliau mati-mati benci akan Pehin Sri Taib Mahmud sebagaimana saya laporkan di SINI
Jadi jika Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin meminta supaya Pehin Sri berundur sebelum berlangsungnya PRU yang akan datang, saya melihat ianya adalah gesaan yang wajar demi jangka hayat politik BN di Sarawak.
Malah ramai bersetuju rasanya supaya Pehin Sri menunaikan janjinya untuk berundur dalam tempoh beberapa tahun ini. Jika janji tidak ditunaikan ini memperlihatkan bahawa dakwaan Pakatan kononnya BN tiada pengganti Pehin Sri seolah-olah benar. Adakah kita semua perlu ambil risiko ini?
KJ tidak pernah menafikan jasa-jasa Pehin Sri sehingga ada sesetengah blogger mempersoalkan malah membandingkan pula jasa KJ dgn Pehin Sri. Ini kerja gila. Cuba katakan kepada saya siapa daripada kalangan pemimpin lama UMNO yang baru sepenggal menjawat jawatan Ketua Pemuda betul-betul berjasa dalam parti?
Kenapa dibangkitkan soal jasa KJ kepada parti? Kerana kita tahu usia KJ dalam parti masih mentah. Lainlah jika seseorang yang sudah menjawat jawatan PM selama 20 tahun, seseorang yang menjawat jawatan Ketua Menteri 30 tahun sudah tentu mereka semua ini berjasa kepada parti dan rakyatnya.
KJ tidak pernah mempertikaikan jasa-jasa pemimpin terdahulu. Malah tidak pernah beliau mempertikaikan jasa Tun Dr. Mahathir. Walaupun Tun Mahathir seorang yang kuat mengkritik pemerintahan bapa mertuanya sehingga menyaksikan Pak Lah melepaskan jawatan.
Tun Mahathir menggunakan media untuk menyerang Pak Lah dahulu. Bolehkah saya katakan bahawa serangan Tun M terhadap kerajaan Pak Lah dahulu adalah salah satu penyebab tempangnya BN sehingga gagal mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen? Kalau kata begini maka ramailah yang maki-hamun saya nanti. Hehehee…
Masih ingatkah saudara pembaca ketika awal-awal Pak Lah memegang tampuk pemerintahan? Dalam PRU-11 dimana menyaksikan BN menang besar sehingga berjaya merampas Terengganu? Dan menyaksikan PAS nyawa-nyawa ikan di Kelantan? Ini semua gara-gara pengaruh Islam Hadhari yang diperkenalkan Pak Lah ketika itu?
Kenapa pada waktu itu tiada sesiapa mempersoalkan kemampuan Pak Lah dan KJ?
Tetapi bila BN gagal di PRU-12 iaitu tsunami politik, semuanya meletakkan kesalahan kepada KJ dan Pak Lah? Walhal yang bertindak melemahkan kerajaan pimpinan Pak Lah adalah Tun Mahathir sendiri? Malah KJ dilabelkan punca utama penolakkan rakyat terhadap BN?
Kalau rakyat benci KJ kenapa beliau boleh memenangi kerusi Parlimen Rembau? Jika KJ punca kegagalan BN mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen. Seharusnya KJ juga gagal menang di kerusi Rembau. Tapi kenapa keadaan sebaliknya? Apa jasa KJ di Rembau ketika itu sehingga membuatkan rakyat Rembau memilih beliau untuk mewakili mereka di Parlimen?
Tetapi siapa saya untuk mempertikaikan atau mengkritik ayahanda Tun Mahathir yang saya kagumi dan memuji seorang anak muda bernama KJ? Tiada sekelumit kelayakkan pun pada diri saya untuk mempertikaikan negarawan terulung itu.
Jadi janganlah dibandingkan jasa KJ dengan jasa Tun Mahathir atau jasa Pehin Sri, kerana itu perbandingan yang terlalu bodoh serta dangkal. Umpama membandingkan kapasiti kuasa enjin kancil 660 dengan enjin Nissan Skyline. Jauh bezanya saudara sekelian.
Adakah Tunku Abdul Rahman masuk saja UMNO terus berjasa sebagaimana Dato Onn yang mengasaskan UMNO? Adakah masuk saja Tun Mahathir ke dalam UMNO terus berjasa sebagaimana Tun Abdul Razak iaitu mentor Tun Mahathir?
Tidak tuan/puan jasa-jasa ini hanya dapat dinilai setelah seseorang itu menerajui sesebuah organisasi atau negara dalam masa yang panjang.
Walaupun PBB memenangi semua kerusi yang ditandingi, harus diingat bahawa BN kehilangan 8 kerusi. Oleh sebab itu saya merasakan bahawa KJ melihat ianya satu kegagalan BN di Sarawak. Walaupun masih mendapat majoriti 2/3 tetapi hakikatnya BN hilang 8 kerusi. Kita hanya boleh mengatakan bahawa BN kuat dan berjaya jika BN dapat mengekalkan kerusi yang sedia ada iaitu 63 kerusi.
Ada yang mengatakan kita gagal sebab keluarnya SNAP dari kompenen BN. Saya tidak fikir begitu. Kerana SNAP walaupun dikatakan ada pengaruh di Sarawak dan pernah menjadi parti utama di Sarawak gagal memenangi walaupun 1 kerusi.
Ini bermakna alasan bahawa SNAP keluar daripada BN menyumbang kegagalan BN mengekalkan 63 kerusi tidak boleh digunapakai. SNAP boleh dikatakan sudah tidak lagi dipercayai oleh rakyat Sarawak memandangkan selalu mengalami krisis dalaman.
Malah ada yang mendakwa pemuda BN lesu di bawah KJ. Pemuda BN tidak menyumbang kepada Pilihanraya Negeri Sarawak, Ketua Pemuda BN tidak berkempen pun di Sarawak. Benarkah?
Tahukah saudara bahawa KJ selaku Ketua Pemuda BN ketika kempen di Sarawak beliau memfokuskan kawasan-kawasan sukar menang? Yakni kawasan yang mana pada Pilihanraya Sarawak ke – 9 iaitu tahun 2006 kawasan-kawasan ini BN menang dengan majoriti sedikit?
Contohnya Dun Saribas yang mana Pilihanraya Sarawak kali ini memperlihatkan peningkatkan majoriti kepada lebih 1000 berbanding sebelum iaitu 94 undi? Di Dun ini KJ mengadakan beberapa program iaitu Gerak Gempur Pemuda BN.
Rumah-rumah panjang di pendalaman turut digempur oleh Pemuda BN dengan tujuan menghalang kemasukkan dakyah pembangkang ke kawasan tersebut?
Melalui kedatangan KJ ke kawasan tersebutlah, pemuda setempat berikrar menghalang sesiapa daripada parti PKR masuk ke rumah-rumah panjang. Ini semua semangat yang dibawa oleh Ketua Pemuda BN dan disambut oleh anak muda setempat.
Tahukah anda kedatangan KJ seorang pemuda yang tidak berjasa ini telah memainkan peranan besar untuk mempengaruhi pemuda setempat supaya mengundi BN? Jadi sesiapa yang menuduh Ketua Pemuda BN lesu di Sarawak serta tidak memainkan peranan dalam pilihanraya Sarawak sama sekali saya tidak boleh terima!
Bagaimana pula dengan kenyataan KJ di sebuah forum yang dibangkitkan oleh rakan blogger yang kita sedia maklum anti KJ di SINI
“Saya TIDAK SETUJU dengan hujah yang BN tidak perlu menjaga kaum cina yang tidak menyokong BN. Kita kena jaga keperluan semua kaum dan buktikan kata-kata kita melalui tindakan. Kita kena berlaku adil kepada semua orang.”
Tidak usah banyak pusing kenyataan ini. Ini adalah kenyataan yang betul sebab setiap rakyat Malaysia tidak kira cina, india, melayu, orang asli waima orang kacukan sekalipun jika dia rakyat Malaysia kerajaan BN wajib menjaga setiap keperluan mereka.
Jangan dianak-tirikan sebab mereka cina, tidak menyokong kerajaan atau apa jua alasan tiada sebab untuk kerajaan BN mengabaikan mereka gara-gara mereka tidak menyokong kerajaan.
Apa yang menjadi hak mereka, kerajaan BN harus berikan jangan disebabkan mereka tidak menyokong kerajaan maka kita BN bertindak menghalang sebarang bentuk kebajikan yang sepatutnya diberikan kepada mereka. Jika dinafikan kebajikan mereka saya percaya penolakan besaran terhadap BN lagi merebak dan seterusnya ianya menjadi satu barah yang tiada ubatnya.
Sepatutnya kita BN mencari punca, serta melakukan kaji selidik. Kenapa cina masih menolak BN walaupun bermacam bantuan dan peruntukkan diberikan kepada mereka. Bagaimana untuk mengembalikan semula sokongan cina kepada BN.
Bukan bertindak menghentikan sebarang kebajikan mereka gara-gara mereka tidak undi kita. Jika inilah yang dilakukan maka tidak mustahillah BN selalu dilabelkan sebagai kerajaan yang kejam dan zalim. Atau dalam bahasa mudah faham orang tidak suka kita, kita jangan bantu mereka. Tidak wajarlah begitu wahai rakan-rakan pembaca.
Jadi apa salahnya dengan dua kenyataan Ketua Pemuda BN bernama Khairy Jamaluddin itu? Adakah kenyatan itu harus dihentam, dikeji, dimaki – hamun ataupun kenyataannya itu dikaji, diselidik dan diterjemahkan kepada satu hasil yang boleh membawa kepada kebaikkan parti yang kita dokong iaitu Barisan Nasional?
Double Y : Politik sekarang lain, tidak semestinya orang bakar bendera kita pemuda pergi bakar bendera, orang kutuk kita, kita kutuk balik. Jika ini yang diamalkan oleh Pemuda, tidak mustahil orang melabelkan pemuda BN tidak cerdik…
Petikan Artikal dari DOUBLE Y
PM umum 23 ekosistem dan inisiatif pewujudan kekayaan
April 20, 2011 by admin
Filed under Berita Bergambar
PUTRAJAYA: 20 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan 23 ekosistem dan inisiatif pewujudan kekayaan yang akan menarik berbilion ringgit dalam pelaburan serta mengetengahkan lebih banyak kekayaan intelektual negara.
Najib berkata, pelancaran inisiatif itu adalah “pelancaran inovasi”, iaitu arah tuju baharu yang akan memberi impak positif dalam pewujudan kekayaan.
“Kesan limpahan itu mempunyai kesan besar dan akan meningkatkan kemahiran perniagaan dan teknikal keseluruhan rangkaian bekalan. Tidak seperti inisiatif penyelidikan dan pembangunan, projek berinovasi ini berjaya menarik pelanggan antarabangsa sebelum pelancarannya lagi,” katanya semasa melancarkan inisiatif itu hari ini.
Najib turut menyaksikan pemeteraian hubungan strategik antara rakan usaha sama masing-masing dengan Unit Inovasi Khas (UNIK) yang diletakkan dalam bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri bagi mengkomersilkan projek berkenaan.
Perdana Menteri mengulangi bahawa inovasi merupakan komponen penting dalam objektif kerajaan meletakkan asas untuk Malaysia pada 2021 dan melepasinya.
Projek itu dibahagikan kepada tiga kategori – pewujudan kekayaan baharu, hak harta intelek dari universiti, institusi penyelidikan awam dan inisiatif ekosistem.
Menerusi segmen pewujudan kekayaan, terdapat satu projek impak strategik iaitu pelan tindakan biomass minyak sawit kepada Malaysia dan projek asas yang membabitkan bekalan elektrik bagi setiap tingkap, papan pemuka tenaga untuk pengurusan tenaga untuk masa depan, membolehkan peniagaan kecil tidak perlu menggunakan wang tunai dan teknologi canggih untuk industri diod pemancar cahaya (LED).
Pasaran global untuk sektor pewujudan kekayaan itu dianggarkan bernilai AS$472 bilion (RM1.46 trilion) dan kelebihan dalam segmen ini akan memberikan pulangan yang lumayan kepada Malaysia.
Inisiatif dan usaha sama dengan univeristi serta institusi penyelidikan awam termasuk projek perintis dari USM yang dikenali sebagai “Enjin Carian Collagen” membolehkan pengguna memperoleh keputusan carian yang sangat tepat.
Pasaran global untuk usaha yang dimulakan oleh universiti dan institusi penyelidikan awam, dikatakan bernilai AS$101 bilion (RM316 bilion) di dunia.
Projek-projek ini dijangka mempersiapkan universiti untuk keluar daripada mentaliti lama dan meruntuhkan dinding yang mengehadkan pandangan mereka, menggalakkan profesor dan tenaga pengajar menguasai kecenderungan keusahawanan dan bukan semata-mata menyiapkan kertas kerja dan memperoleh geran penyelidikan.
Najib berkata, lapan projek yang dihasilkan menerusi penyelidikan oleh universiti awam, memberi gambaran mengenai kepakaran yang dimiliki oleh saintis Malaysia.
Katanya, hasil akan ditemui dan dikomersilkan.
Perdana Menteri menegaskan projek-projek ekosistem berinovasi yang dilancarkan itu akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan inovasi berkembang dan makmur, memberi manfaat kepada sektor seperti pendidikan, pengajian tinggi, industri dan keusahawanan.
“Inisiatif ini akan mewujudkan inovasi berkekalan menerusi usaha sama antara ahli akademik, sektor swasta dan kerajaan dan akan dilaksanakan bersama oleh peserta tempatan dan asing memandangkan inovasi tidak berfungsi dengan baik jika dilakukan secara terpencil,” katanya.
Najib berkata, beliau bertanggungjawab melakukan segala-galanya bagi memastikan generasi akan datang negara ini setanding dengan warga dunia lain yang hebat.
Perdana Menteri berkata, perubahan sikap dan minda perlu dilakukan bagi membolehkan transformasi minda dalam menangani cabaran Malaysia.
“Perubahan tidak mudah dilakukan. Untuk menjadi negara yang berinovasi, kita perlukan perubahan mental dalam kerajaan, dalam industri dan dalam sektor pendidikan. Ini untuk mencorak sikap generasi kita yang akan datang. Inilah misi kita,” katanya.
Inovasi dikenal pasti sebagai mekanisme utama dalam meningkatkan daya saing Malaysia slain mengekalkan objektif Model Baru Ekonomi yang selari dengan komitmen melonjakkan agend inovasi negara serta Program Transformasi Kerajaan (GTP), dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Julai lalu Najib mengumumkan penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) bagi mempromosi inovasi. – BERNAMA
Beng Hock lebih banyak berfikir, berdiam diri
KUALA LUMPUR: 19 April – Seorang saksi hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock bahawa setiausaha politik kepada Exco Selangor itu dilihat lebih banyak berfikir dan berdiam diri ketika mereka bertemu di ruang tamu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor.
Lee Wye Weng, 52, yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, Beng Hock juga kelihatan agak letih dan daripada raut wajahnya, Beng Hock seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Saya berjumpa dengan Teoh selepas kembali ke pejabat SPRM pada awal pagi, 16 Julai 2009 dan pada ketika itu Teoh sedang berehat di atas sofa di kawasan Pendidikan Masyarakat (Penmas),” katanya.
Wye Weng menjelaskan, walaupun agak terkejut dengan pertemuan itu, namun beliau sempat berbual dengan Beng Hock kira-kira 20 minit sebelum Wye Weng dibawa oleh pegawai SPRM untuk dirakam percakapan sekitar pukul 1 pagi.
“Dalam pertemuan itu, Teoh memaklumkan telefon dan pasportnya telah diambil oleh pegawai SPRM dan beliau juga memberitahu kepada saya yang beliau (Teoh) tidak suka komputer riba miliknya diambil oleh pegawai berkenaan,” katanya ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud. – Bernama
Kabinet negeri: Wakil rakyat SUPP serah kepada ketua menteri
MIRI – 19 April – Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Lee Kim Shin menyerahkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengenai pelantikan wakil parti itu dalam kabinet negeri.
Lee yang merupakan seorang daripada dua calon Cina SUPP yang memenangi kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri Sabtu lalu berkata, beliau juga tidak mahu mengulas lanjut kerana kuasa melantik di tangan ketua menteri.
Beliau yang ditemui pemberita di sini hari ini diminta mengulas mengenai gesaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar SUPP tidak menerima pelantikan ke kabinet bagi mewakili masyarakat Cina Sarawak kerana parti itu telah kehilangan sokongan mereka.
Lee sebelum ini memegang jawatan menteri muda bagi dua portfolio iaitu Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan serta Belia dan Sukan.
Pada pilihan raya negeri yang baru berakhir, Lee mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Senadin yang diwakilinya sejak 1996 dengan majoriti tipis 58 undi, apabila memperolehi 7,344 undi mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat Dr Michael Teo Yu Keng yang menerima 7,276.
Selain Lee, seorang lagi calon Cina SUPP yang menang ialah Datuk Seri Wong Soon Koh bagi kerusi Bawang Assan di Sibu.
Mengulas kemenangan tipisnya, Lee berkata, tindakan pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang mengamalkan budaya politik ganas semasa berkempen antara faktor jumlah undi yang diterima beliau merosot.
Selain itu katanya, kewujudan pengundi baru yang ramai di kawasannya juga mungkin menyumbang kepada keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Lee berkata, keputusan itu tidak menghalang beliau untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada seluruh masyarakat di kawasannya.
“Hari ini saya akan turun padang dan berterima kasih kepada pengundi secara bersemuka atas sokongan mereka, dan saya akan sambung lagi esok. Tetapi saya tahu mustahil saya dapat berjumpa dengan semua orang, justeru saya mengucapkan terima kasih kepada mereka menerusi media,” katanya.- Bernama
Snap dakwa Pelagus miliknya, ADUN tidak tahu menahu
KUCHING 19 April – Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) hari ini mendakwa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus miliknya dengan alasan calon Bebas, George Lagong yang menang di kawasan itu adalah ahlinya.
Presiden Snap, Edwin Dundang turut mendakwa George telah menyatakan pendirian untuk berdiri teguh dan berjuang bersama parti pembangkang itu.
“Meskipun menang sebagai calon Bebas, George kekal sebagai ahli parti ini. Beliau yang tidak dapat hadir hari ini membenarkan saya mengumumkan pendiriannya itu.
“Justeru, secara tidak rasminya Snap memenangi satu daripada 26 kerusi yang ditandingi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Snap di sini hari ini.
Pada pilihan raya negeri Sabtu lalu, George menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Stanley Nyitar dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Edward Sumbang Asun dengan majoriti 2,837 undi.
Mengulas lanjut, Edwin berkata, George terpaksa bertanding di Pelagus atas tiket Bebas kerana beliau tidak sempat mendapatkan surat kebenaran rasmi daripada pihak parti pada hari penamaan calon.
“Seperti yang anda tahu, beliau sepatutnya bertanding sebagai calon Snap di DUN Baleh tetapi menukar fikiran dengan bertanding di DUN Pelagus pada saat-saat akhir.
“Bagaimanapun, kami telah dimaklumkan mengenainya dan keputusan beliau itu mendapat restu pucuk pimpinan parti,” katanya.
Sementara itu, George yang dihubungi Utusan Malaysia memberikan kenyataan berbeza malah menegaskan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan politiknya.
Katanya, beliau langsung tidak dimaklumkan mengenai statusnya sebagai ADUN Snap kerana berada di luar kawasan sejak tiga hari lalu.
“Saya ingin tegaskan, sama ada saya ahli Snap atau tidak, saya bertanding dan menang sebagai calon Bebas, bukan calon Snap,” tegasnya.
Dalam pada itu, George mendedahkan sehingga hari ini masih belum ada mana-mana parti mempelawa beliau menyertai mereka namun mengakui bahawa beliau adalah seorang yang mesra Barisan Nasional (BN) dan kemungkinan untuk menyertai parti pemerintah itu adalah tinggi.
“Saya tidak mahu tergesa-gesa, saya perlukan masa. Saya perlukan kenderaan politik (parti) untuk kerjaya politik,” katanya.
DAP sengaja tuduh BN untuk dapat undi Cina
KUALA LUMPUR 19 April – Tindakan DAP menuduh Barisan Nasional (BN) tidak membela nasib masyarakat Cina bertujuan mewujudkan sentimen perkauman semata-mata bagi mendapatkan undi kaum tersebut.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, DAP turut mempergunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas untuk membawa sistem dua parti iaitu untuk Cina dan bukan Cina bagi memecah-belahkan undi Melayu.
“Dalam hal ini, saya lihat konsep dua parti yang cuba dibawa oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 telah berjaya apabila ramai pengundi Cina menolak BN.
“Di Sarawak, DAP melabelkan BN sebagai parti yang tidak membela nasib orang Cina. Ini merupakan taktik mereka untuk menarik undi kaum itu secara total dan pada masa sama mereka juga menggunakan PKR serta Pas untuk memecahkan undi Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Anuar, isu utama pengundi Cina di Sarawak tidak memilih BN bukan kerana trend atau pola pengundian, tetapi ia kesan tindakan DAP membakar semangat perkauman serta kebencian kaum lain terhadap BN.




