Dewan Rakyat: Kerajaan Sasar Pertumbuhan Ekonomi Enam Peratus Setahun Melalui Peningkatan Pelaburan

September 3, 2010 by admin  
Filed under Cakap-cakap Politik

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan kadar pelaburan negara kepada 12.8 peratus bagi mencapai kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus setahun mulai tahun depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat pada Isnin bahawa usaha mencapai sasaran itu telah dimulakan dengan mengenal pasti 131 projek permulaan (EPP) dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) negara.

Katanya, di bawah pelan itu kerajaan juga telah bekerjasama dengan 500 orang wakil dari sektor swasta selama dua bulan bagi merangka pelan baru untuk memastikan ekomoni negara terus berkembang.

“Memang hasrat kita 131 EPP dan peluang perniagan akan menjana pendapatan tinggi untuk meningkatkan pelaburan kepada 12.8 peratus setahun. EPP banyak berkaitan pelaburan. Kerajaan berhasrat tingkat kadar pelaburan sebanyak 12.8 agar kadar pertumbuhan ekonomi negara enam peratus akan dapat dicapai sehingga 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) tentang bagaimana ETP dapat membantu meningkatkan prestasi ekonomi negara.

Mustapa juga berkata beliau yakin kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi separuh kedua tahun ini mencatatkan prestasi yang membanggakan berikutan catatan pertumbuhan kira-kira 9.5 peratus pada enam bulan pertama 2010.

“Kita yakin mengikut angka-angka terkini, prestasi juga membanggakan. Jangkaan kita memang enam peratus tapi tunggulah pengumuman Perdana Menteri pada pembentangan belanjawan nanti,” katanya.

Comments are closed.