PERPADUAN MELAYU: Pemuda Umno Sabah mahu Melayu di Malaysia kembali bersatu

July 23, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

Oleh Bro Jinggo

Ketua pemuda Umno Sabah, Sdr Azman Hj Ruslan berkata, sebarang kemungkinan berlakunya perpecahan orang-orang Melayu di Semenanjung, boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada bangsa Melayu itu sendiri, terutama sekali di Semenanjung, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan masyarakat Melayu dan Bumiputera Islam di Negara ini keseluruhanya.

Dari perspektif Sabah, UMNO dan PAS itu bukanlah ‘parti politik’ semata-mata tetapi UMNO dan PAS itu adalah orang Melayu dan Islam.

Justeru, perpecahan orang-orang Melayu di Semenanjung, tidak boleh dilihat atau dianggap sebagai masalah orang-orang Melayu di Semenanjung semata-mata, kerana ia sebenarnya boleh mengancam, malah melemahkan perpaduan masyarakat Bumiputera di Sabah, terutama sekali yang beragama Islam.

Oleh kerana itu, dalam apa jua situasi, Sabah tidak boleh melihat masalah perpecahan orang-orang Melayu/Islam di Semenanjung sebagai kes terpinggir, atau hanya berkisar sebagai masalah orang-orang Melayu di tanah besar Semenanjung sahaja, kerana masalah itu boleh melemahkan kedudukan dan dominance Melayu/Bumiputera Islam secara keseluruhannya dari segi kuasa politik dan pentadbiran Negara.

Antara gejala yang dilihat ‘membantu’ kepada perpecahan masyarakat Melayu/Islam, ialah kewujudan aliran-aliran pemikiran baru yang semakin berani dan lantang mempersoalkan kedudukan dan ‘keistimewaan’ orang-orang Melayu, walaupun mereka sebenarnya faham perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Kita juga melihat bagaimana aliran pemikiran baru itu cuba mengasak dan mempersoalkan kedudukan dan institusi Raja-Raja Melayu. Kerapuhan perpaduan masyarakat Melayu/Islam sudah tentu akan memudahkan lagi agenda golongan aliran pemikiran baru itu untuk, pertama, melemahkan kedudukan dan institusi Raja-raja Melayu; kedua, menjahanamkan perpaduan Melayu/Bumiputera Islam dan ketiga melenyapkan kuasa entiti orang Melayu/Bumiputera Islam di Malaysia.

Jelas sekali, masyarakat Melayu/Bumiputera Islam di Malaysia tiada pilihan selain kembali bersatu dan empat individu besar yang sangat penting untuk jayakan perundingan perpaduan itu iaitu di pihak UMNO ialah YAB Dato Seri Najib Tun Razak dan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan di pihak PAS ialah YAB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan YB Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Saya percaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini menunggu-nunggu saja perpaduan ini menjadi kenyataan. Ini perlu disegerakan atas nama Islam tanpa syarat, masih ada harapan ke arah perpaduan yang menjadi kunci kekuatan Negara selama ini, BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH”. Tambah Azman, Ketua Pemuda UMNO Sabah.

Sumber: http://brojinggo.blogspot.com/

Penduduk sekitar lembah klang memprotes cara kepimpinan Pakatan Rakyat di kawasan mereka

July 23, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

Penduduk di sekitar lembah klang kini mula menunjukkan rasa ketidakpuasan mereka terhadap cara kepimpinan Azmin Ali. Mereka memprotes dengan menggantung banner di sekitar jalan dan tempat menunggu bas.

Pemuda Umno Selangor serah bukti isu pasir ke SPRM

July 20, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

“Buah semangka berdaun sirih, mengata orang dia yang lebih. Kita bukan seperti mereka yang mendakwa tanpa bukti, jadi hari ini kita kemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.”

Begitulah bunyinya kata-kata berbunga Ketua Penerangan Pemuda Umno Selangor Safarizul Mustafa sewaktu menghantar sejumlah dokumen kepada SPRM di Shah Alam Selasa sebagai sokongan kepada dakwaan penyelewengan pasir yang dibuat Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar Sabtu lepas.

Beliau memberitahu wartawan dokumen setebal setengah inci itu dihantar bersama bukti seperti resit rasmi berkaitan aktiviti penjualan dan pembelian pasir di negeri itu.

Menurutnya semua dokumen itu diperolehi daripada badan perhubungan Umno Selangor.

Safarizul berkata Pemuda juga akan terus mengumpul bukti berhubung isu pasir di negeri tersebut bagi memastikan isu berkenaan diambil serius oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Antaranya beliau mendakwa KSSB memberi diskaun 22 peratus atau RM4 bagi pembelian setiap tan pasir yang berharga RM17.50 kepada sebuah syarikat, manakala yang lain hanya diberi potongan sebanyak 50 sen.

Selain itu Noh juga mendakwa KSSB memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit. – Agendadaily

Kita perlu adil kepada Khairy Jamaluddin

July 19, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar

Ketika Khairy Jamaluddin baru sahaja terjun ke dalam dunia politik boleh dikatakan sebagai budak budak lagi. Keadaan ini mungkin menyebabkan Khairy terlalu ghairah sehingga menyinggung perasaaan ramai pihak tidak kira orang dalam BN atau luaran daripada Pakatan Rakyat.

Jika sebelum ini masyarakat luar mungkin benci pada Khairy kerana penjenamaan politiknya yang terlalu bersifat Melayu dan ada juga yang anggap sebagai terlalu bersifat perkauman politik Melayu maka orang benci padanya.

Tapi kini Khairy sudah mula belajar selok belok politik dan menjadi semakin matang dengan pembungkusan baharunya yang lebih adil kepada semua kaum di Malaysia maka orang dalaman dan organisasi tertentu pula mula tidak suka padanya kerana dikatakan sudah hilang kemelayuannya. Keadaan ini memaparkan kepada kita jika Khairy dulu silap kerana dirinya tapi adakah silapnya pada hari pula disebabkan menjadi mangsa persekitaran politik di Malaysia? Jika kita ialah Khairy dilemma kita pula sama ada kita ke kiri atau ke kanan kita tetap akan dipancung.

Jika orang dalaman BN hendak salahkan Khairy antara punca kekalahan BN pada PR 12 maka kita perlu terlebih dahulu membezakan antara satu satunya punca dan antara puncanya. Jika antara puncanya maka terdapat lagi banyak faktor yang menyebabkan kekalahan BN termasuk orang tertentu yang hendak menyalahkan Khairy.

Realitinya kini seolah olah Khairy dilihat sebagai satu satunya punca kekalahan BN tanpa disedari. Begitu juga apabila Khairy semakin silap dulu juga disebabkan orang orang kini yang mula meludah padanya adalah orang orang yang menjilat tapak kakinya yang pahit dan dikatakan manis. Mereka mengeruhkan lagi kesilapan Khairy pada ketika itu.

Jika ramai yang menggangap kebangkitan Khairy dalam politik datang dengan mudah kerana kewujudan Bapa Mertuanya sebagai Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu maka pandangan ini adalah benar.

Namun jika kita hendak katakan kelangsungan Khairy dalam politik datang dengan mudah sehinnga hari ini maka pandangan ini tidak tepat sepenuhnya. Bapa Mertuanya walaupun pernah menjadi aset politiknya tetap tidak lama kemudian sebenarnya sudah menjadi lemah dalam politiknya.

Perjalanannya mungkin singkat namun di pertengahan jalan keadaan sudah mula merubah.

Adakah kita masih ingat zaman pengakhiran Pak Lah dimana pada ketika itu beliau berada dalam kuasa dan pengaruh yang paling lemah dalam sejarah politik seorang Perdana Menteri ?

Pada ketika itulah Khairy sebenarnya sudah kehilangan tongkatnya. Khairy sendiri sudah kena berjalan dan berlari dengan kakinya sendiri tanpa tongkat yang dipegangnya selama ini. Cabaran besar mula timbul apabila Khairy sendiri disabitkan oleh Lembaga Disiplin Umno dalam pemilihan merebut jawatan Ketua Pemuda.

Jika kita masih ingat ramai sudah mula percaya bahawa Khairy akan kalah kerana bagaimana Khairy hendak berdepan dengan aura dan bayangan Tun Mahathir yang begitu bersinar pada pemilihan tersebut?

Mukriz mungkin lemah tapi bukan bapanya. Khir Toyo pula seorang politikus yang begitu lama dan berpengalaman dalam politik dan apatah lagi delegasi paling ramai datangnya dari Selangor. Pertembungan ini adalah pertembungan maut dimana Khairy tidak mendapat sokongan daripada Najib dan juga Tun Mahathir pada ketika itu.

Akhirnya Khairy tetap menang. Secara adilnya Khairy sepatunya kalah disebabkan kelemahan pengaruh Pak Lah pula menang akhirnya maka kita tidak boleh lagi memiliki pandangan adanya Khairy pada hari ini disebabkan Pak Lah. Permulaan mungkin ya tetapi bukan pada fasa pertengahan sehingga ke hari ini. Khairy yang kehilangan tongkat dan sedikit kecacatan pada pemilihan tersebut berjaya mengalahkan bayangan dan aura seorang bakal Perdana Menteri dan juga seorang bekas Perdana Menteri yang paling berpengaruh dalam sejarah Malaysia.

Analogi terhadap isu tersebut pula ibaratkan Parameswara yang merupakan seorang Putera di Palembang kerana masih muda sehingga menyinggung perasaan kerajaan Majapahit yang menyebabkan Putera ini hilang kebergantungan apabila Palembang sudah semakin lemah dan akhirnya melarikan diri ke Temasik.

Di Temasik pula Parameswara perlu berdepan 2 kuasa besar pada zaman tersebut iaitu Siam dan Majapahit yang hendak merampas Temasik. Bezanya Parameswara terus melarikan diri sehingga wujudnya sebuah kerajaan bernama Melaka tetapi bezanya Khairy pula tidak melarikan diri ketika tiba di Temasik.

Dengan limitasi yang ada padanya dia berjaya mengalahkan dua kuasa besar dan akhirnya menjadi pemerintah Temasik namun sayangnya tidak diiktiraf.

Jika kita suka melabel Khairy sebagai budak Oxford yang tiada kualiti sebagai seorang graduan Oxford maka tepuklah dada dan tanyalah selera berapa ramai dalam kalangan yang mengelar Khairy sedemikian ada juga kualiti asas untuk memasuki Oxford?

Jika kesilapan kesilapan lampau Khairy adalah pada fasa dimana beliau seorang budak budak lagi dan secara perlambangannya di Malaysia budak budak yang melakukan jenayah sekalipun jauh beza hukuman dengan orang dewasa. Khairy sepatutnya dihukum atas hukaman juvana. Khairy sebenarnya sudah pun dihukum atas ego , ketidakmatangan dan kesilapan lampau beliau. Sudah berkali kali diketepikan jawatan dalam kabinet. Kini janganlah sampai kita jatuhkan hukuman mandatori dalam karier politiknya.

Secara dalaman Umno mungkin sinar Khairy tidak terpancar namun di luaran Khairy sentiasa berdebat dan berforum dengan pelbagai pihak daripada pembangkang. Mereka yang ada status Menteri pun tidak mendapat sambutan dan pengiktirafan sedemikian. Nasihat kepada Umno pula jangan disebabkan perjuangan peribadi sendiri sehingga mengabaikan perjuangan holistik dalam jangka panjang.

Tepuklah dada bahawa anak Tun Mahathir memang hebat atau bapanya yang hebat? Adakah bapanya seorang individu yang akan hidup selama lamanya di negara kita ? Adakah ketika bapanya yang maha hebat sudah mula meninggalkan kita maka pada ketika itu aura Mukriz mula kehilangan? Mukriz tidak pernah hidup dalam sinarannya sendiri. Jika insan ini yang hendak mengetuai pemuda Umno maka anda hanya beri markah percuma kepada pembangkang . Satu pemberian hadiah yang pembangkang akan amat menghargainya.

Razali pula seorang yang baik , bersih , disukai dan kurang kontroversi. Namun aura yang ada Razali pada hari ini tidak beza dengan aura yang mula mula dimiliki oleh Pak Lah ketika mula mula menjadi Perdana Menteri. Adakah orang sebegini akan mampu bertahan lama? Anda hanya beri ruang kepada pembangkang melancarkan serangan membabi buta dengan mudah sama juga yang dilakukan oleh mereka terhadap Pak Lah dahulu.

Penulis berasa hairan mengapa Umno sudah wujud lebih daripada setengah abad perlu tunduk pada pertubuhan Perkasa yang baharu beberapa bulan sahaja wujud. Adakah Perkasa lebih besar daripada Umno?

Mungkin perjuangan Perkasa adalah aset kepada Umno tapi mungkin juga perjuangan Perkasa adalah liabiliti kepada Barisan Nasional. Anda sebagai seorang bapa mungkin akan menjadi lebih berkuasa tetapi isteri dan anak anak kamu pula akan semakin lemah.

Anda ibaratkan cuba menghapuskan Khalid Al Walid sebagai Jeneral perang yang sebenarnya boleh digunakan dalam peperangan demi kemenangan jangka masa panjang anda pula anda hendak pancung. Kalau begitu maka pancunglah. Anda dan pembangkang akan sama sama meraikan pemancungan ini.

Oleh : Shen Yee Aun

KJ Tidak Pertahankan Jawatan Timbalan Presiden FAM

July 19, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan badan induk itu pada 31 Julai ini.

Beliau, yang pertama kali memegang jawatan itu sejak 2007, berharap calon baru yang akan menggantikan tempatnya itu akan melihat semula perjalanan FAM secara menyeluruh.

Beliau juga mendakwa FAM gagal membentuk struktur bola sepak yang mantap sehingga kepincangan dalaman menyebabkan ramai penaja menarik balik tajaan masing-masing.

Bercakap kepada pemberita di sini, Khairy mendakwa satu ketika dahulu liga tempatan dikerumuni oleh banyak penaja tetapi kini situasi berubah dengan pihak swasta banyak menaja iklan untuk Piala Dunia dan Liga Perdana Inggeris.

“Kita tidak boleh persalahkan penaja kerana mereka mahu hasil pulangan yang tinggi. Lebih-lebih lagi untuk menarik ribuan penyokong untuk satu-satu perlawanan liga tempatan pun susah,” katanya.

Khairy juga mendakwa bahawa FAM turut gagal menyelaras struktur bola sepak di peringkat akar umbi yang juga menjadi punca badan induk itu gagal menyerapkan pemain serba boleh ke dalam skuad kebangsaan.

Malah beliau juga turut mendakwa FAM tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk memperkasakan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Lebih daripada 90 peratus peruntukan kewangan dalam FAM dibelanja untuk penganjuran liga tempatan sehingga FAM gagal untuk tunaikan janji memperbaiki struktur bola sepak tanah air,” katanya.

Khairy mendakwa tidak sampai 10 peratus peruntukan kewangan FAM dibelanjakan untuk liga peringkat daerah.

Penglibatan Khairy secara aktif dalam sukan itu bermula pada 2006 apabila beliau bersama rakannya Jason Lo dan Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby menubuhkan pasukan MyTeam, yang kini dikenali UPB-MyTeam FC.

Selepas itu, beliau menjadi pengerusi Liga Super Malaysia Sdn Bhd pada 2007.

– BERNAMA

Karpal pneumonia, kes liwat Anwar ditangguh hingga 2 Ogos

July 19, 2010 by admin  
Filed under Cakap-cakap Politik

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga 2 Ogos kerana peguam utama beliau Karpal Singh tidak dapat hadir pada prosiding hari ini.

Seorang lagi peguam Anwar, Datuk Param Cumaraswamy memberitahu, Karpal sedang dirawat kerana pneumonia dan berehat di rumah.

“Perbicaraan ditangguhkan sehingga 2 Ogos, dan akan diadakan sepanjang bulan depan. Kami boleh meneruskan prosiding ketika itu,” kata Param.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang membenarkan permohonan berkata prosiding akan diteruskan walaupun Karpal tidak dapat hadir di mahkamah bulan depan.

“Jika Karpal tidak hadir pada bulan Ogos, perbicaraan akan diteruskan tanpa beliau,” kata Mohd Zabidin.

Strategi Anwar
Mengikut jadual yang disediakan mahkamah, sepatutnya Anwar dibicara pada Julai 14hb.

Oleh kerana mereka sedang memohon kepada Mahkamah Persekutuan berhubung menuntut bukti-bukti yang sudah ditolak dari Mahkamah Tinggi dan Rayuan, dapat mereka tangguh kepada Julai 19hb.

Pada perbicaraan akan datang, dua lagi saksi doktor dan saksi Jabatan Kimia akan masuk kandang saksi. Dari situ kami jangkakan Anwar diminta buat pembelaan.

Melayu kekal kuasa jika kembali perjuangan asal – Khairy

July 18, 2010 by admin  
Filed under Cakap-cakap Politik

KUALA LUMPUR 18 Julai – Orang Melayu masih mempunyai masa depan dalam mengekalkan kuasa sekiranya mereka kembali kepada prinsip perjuangan asal iaitu untuk bangsa, agama dan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa selagi UMNO berperanan memperjuangkan ketuanan Melayu.

Katanya, perpaduan dan perjuangan di kalangan orang Melayu mesti dengan prinsip perjuangan asal pemimpin terdahulu.

“Perpaduan tanpa perjuangan yang mulia oleh orang Melayu tidak akan mendatangkan hasil yang baik.

“Malah perpaduan orang Melayu sejak akhir-akhir ini membuktikan kita akan terus berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku The Red Warriors Menuju Puncak di sini hari ini.

Buku bercorak kesukanan itu memaparkan beberapa catatan mengenai pemain serta aktiviti pasukan bola sepak Kelantan selain lebih 300 gambar menarik perlawanan yang disertai pasukan itu.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kebimbangan mengenai orang Melayu akan hilang kuasa pada PRU-13 jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Harussani berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, orang Melayu mesti mengamalkan sikap bersatu-padu tanpa melihat kepentingan mana-mana parti untuk mengekalkan kuasa.

“Kalau hendak terus berkuasa dan mengangkat bangsa, isu perpaduan antara UMNO atau Pas bukan merupakan isu pokok tetapi melihat keikhlasan perjuangan orang Melayu itu sendiri untuk terus berkuasa di negara ini.

“Isu perpaduan antara UMNO dan Pas dialu-alukan tetapi ia mesti mengambil kira mengenai isu yang memberi kesan kepada orang Melayu untuk terus berkuasa di negara ini,” katanya.

Khairy desak Penasihat PKR beri penjelasan

July 16, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pembohongan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Yayasan Masa Hadapan (Foundation for the Future – FFF) jelas membuktikan Ketua Pembangkang itu mempunyai agenda tersembunyi bagi menyelamatkan kelangsungan politiknya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pembohongan tersebut dilihat bertentangan dengan kenyataan Anwar pada 20 Mei 2007 ketika diminta menjelaskan perkara berkenaan.

Beliau yang memetik laporan Projek Kebertanggungjawaban Kerajaan (Government Accountability Project-GAP) Amerika Syarikat (AS) memberitahu, dalam kenyataan sebelum ini, Anwar menjelaskan, FFF antara lain hanya menerima dana dari Turki, United Kingdom serta Jordan dan bukannya Amerika Syarikat.

“Pembohongan Anwar terbukti apabila laporan sebuah pertubuhan AS mendedahkan, ketika Anwar mempengerusikan FFF, yayasan tersebut telah mendapat dana RM68.21 juta(AS$21.3 juta) daripada Jabatan Negara AS.

“Anwar juga telah memberi penjelasan tidak tepat kepada AS apabila mendakwa akan mendapatkan dana secocok (matching fund) daripada negara lain untuk kegunaan FFF.

“Kongres AS iaitu cabang kerajaan negara itu sudah keluarkan AS$21.3 juta pada tahun tersebut untuk FFF. Ini jelas bertentangan dengan kenyataan Anwar pada 20 Mei 2007 ketika diminta menjelaskan perkara berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan.

Dalam satu kenyataan akhbar pada Mei 2007, Anwar memberitahu, FFF antara lain hanya menerima dana daripada Turki, United Kingdom serta Jordan sementara AS tidak memberikan dana kepada yayasan tersebut.

Namun, laporan GAP berkenaan FFF menyebut bahawa pengurusan yayasan itu termasuk bekas Pengerusi FFF (dan kawan rapat Paul Wolfowitz) Anwar Ibrahim, telah mengelirukan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS (US Internal Revenue Service).

Laporan GAP juga menjelaskan, sekiranya AS ingin memberi bantuan dana kepada sesebuah yayasan seperti FFF, yayasan itu sendiri juga perlu mendapatkan bantuan kewangan daripada negara-negara lain.

Bagi nilai AS$21.3 juta, FFF perlu memperoleh AS$22.26 juta daripada negara lain dan Anwar didapati telah memberi penjelasan kurang tepat apabila hanya berjaya mengumpul AS$6.4 juta.

GAP merupakan sebuah pertubuhan utama yang melindungi para pemberi maklumat di negara itu.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, laporan yang dikeluarkan oleh GAP selepas mengkaji 272 dokumen selama 33 bulan membuat rumusan bahawa Anwar telah memberi penjelasan mengelirukan kepada Kongres AS.

Sementara itu, Abdul Rahman secara sinis berkata, Anwar sepatutnya mempunyai dasar serta pendirian jelas dalam semua perkara sekiranya bercita-cita menjadi Perdana Menteri terutama yang melibatkan hubungan luar.

Khairy:Menjawab persepsi sebagai Ketua Pemuda UMNO yang ‘tak settle’

July 15, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

Kalau dihitung usianya pada pemilihan UMNO akan datang baru 36 tahun.Sebab itu dari sudut politik orang baca ‘ macam-macam’ bila Khairy Jamaluddin kata beliau sedang ‘ timbang secara serius’ untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang baru disandangnya.

Namun Khairy nampak selamba saja dalam interbiu dengan Agendadaily di bangunan Parlimen petang Selasa lalu ketika diminta mengesahkan beliau ada membuat kenyataan seumpama itu sewaktu merasmikan satu mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian di Pahang baru-baru ini.

Dalam usianya 34 tahun Ahli Parlimen Rembau dan menantu kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi ini mencipta sejarahnya yang tersendiri sebagai Ketua Pemuda UMNO yang paling muda.

Namun berbagai soksek timbul sejak kemenangannya dalam pemilihan tiga penjuru yang disertai oleh Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Khir Toyo.

Beliau dilihat sebagai Ketua Pemuda UMNO ‘ yang tak settle’.

Pelbagai desas desus,label dan gosip liar ditujukan padanya khususnya menerusi internet.

Paling teruk ada yang mendakwa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kini kurang menyerlah dan sudah hilang arah.

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan kabinet baru pada April 2008, Khairy tidak dilantik, sebaliknya, Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim menjadi pilihan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Begitu juga Mukhriz dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini semua sudah cukup untuk mewujudkan pelbagai persepsi politik.

Soalnya apa jawapan Khairy pada pelbagai persoalan yang menimpa kepimpinannya?

Berikut ialah transkrip interbiu penuh dengannya :

Agendadaily: Baru-baru ini saya mendapat maklumat, ketika YB merasmikan satu mesyuarat di Pahang, YB ada mengatakan ini adalah penggal terakhir sebagai Ketua Pemuda. Betul ke YB cakap macam itu?

Khairy (KJ): Ya, memang saya ada cakap. Kita dalam Pemuda perlu berusaha melahirkan pelapis pemimpin baru. Kita perlu rejuvenate barisan kepimpinan kita. Pada waktu ini saya lebih cenderung kepada mengosongkan jawatan selepas satu penggal. Walaupun belum muktamad lagi, tapi I am seriously considering. Ya, lebih ke arah itu. Saya mahu lebihkan usaha menyuntik bakat-bakat baru dalam kepimpinan Pemuda.

Agendadaily: Tetapi YB masih muda, baru 34?

KJ : Ketua Pemuda tak ada had umur walaupun keahlian ada, iaitu 40. Tetapi saya tak nak kita balik kepada zaman Ketua Pemuda umurnya lebih daripada 40. Walaupun pada akhir penggal, saya masih bawah 40, tetapi saya sudah pegang Exco Pemuda, dan Naib Pemuda selama satu penggal setiap jawatan. Begitu juga Ketua Pemuda. Jadi kira sudah tiga penggal dalam kepimpinan tertinggi Pemuda Umno.

Agendadaily : Bukan kerana YB merajuk?

KJ: Oh no. No. no no. Kalau saya merajuk saya terus berhenti politik. Tapi saya tidak ada niat nak berhenti politik.

Agendadaily : Tapi tiga tahun itu tempoh yang singkat?

KJ: Soal sama ada tempoh masa itu pendek atau tidak adalah relative. Dalam politik, tiga tahun dah kira tempoh yang panjang jugalah.

Agendadaily : Kalau tak merajuk, ada sebab-sebab lain di sebalik keputusan mahu mengundur diri?

KJ: Tidak ada. Saya masih ahli Umno. Tak semestinya kita hanya boleh menyumbang menerusi jawatan.

Agendadaily : Ada pihak yang berpendapat, YB berbakat besar, bijak dan diperlukan oleh parti, tetapi YB tak sabar nak naik. Komen?

KJ: Itu persepsi orang. Sebab itulah saya tak ada perancangan nak pergi mana-mana. I am considering seriously tak pertahankan jawatan Ketua Pemuda. Kalau dipilih sekali lagi untuk jadi Ahli Parlimen Rembau, saya akan luangkan lebih masa di kawasan.

Sekarang ini saya kena bagi masa sebagai Ketua Pemuda dan Ahli Parlimen. Maybe I can find somebody younger who is similar thinking to me yang tak akan bawa Pemuda ke old school thinking, atau terlalu right wing, terlalu ultra. Saya mahukan Pemuda menjadi pemimpin kepada semua.

PM nak 1Malaysia berjaya, tetapi pada masa yang sama pertahankan Melayu. No problem. Tapi kita kena buat dengan cara yang bermaruah yang boleh diterima oleh semua. Maybe ada orang cakap ada yang tak berapa suka saya jadi Ketua Pemuda Umno. Mungkin dalam masa setahun dua ini saya boleh cari fresh face. Saya kena cari yang lebih baik.

Saya tak nak tinggalkan Pemuda kepada orang yang sama taraf dengan saya. Falsafah saya kalau kita nak tinggalkan, biarlah kita tinggalkan kepada orang yang lebih baik dari kita. Nobody is the best. There must be others. Jadi, sekarang saya dalam proses memerhati. I test certain people. Sebab itu saya bagi banyak ruang tonjolkan Exco sebab saya nak tengok. Can they carry or not? Kalau saya sendiri nilai, sukar. Tapi kalau mereka tonjolkan diri, saya boleh dapat feedback dari rakyat.

Agendadaily : Bila tarikh tepat YB nak lepaskan jawatan?

KJ: Saya bajet dalam dua tahun. Ada masa lagi. Tapi saya nak selesaikan beberapa perkara. Saya nak letakkan Pemuda di peringkat The Centrist. Saya nak tolong 1Malaysia diterima semua. Saya nak habiskan program Jelajah 1Malaysia dan susun barisan pengganti.

Agendadaily : Apa yang paling membimbangkan YB bila nak tinggalkan Pemuda?

KJ: Saya tengok di parlimen, barisan pembangkang mempunyai ramai barisan pelapis who are good speakers. Di kalangan BN, tak ramai orang muda yang berbakat begitu. Datuk Razali dah jadi Timbalan Menteri. Datuk Rahman Dahlan (MP Kota Belud) dah lebih 40 tahun.

Jadi, kita tak ada. So it is a problem. Bagi saya kalau saya tak prepare Pemuda untuk itu, maka saya tak jalankan tanggungjawab saya. Jadi sebelum saya lepaskan jawatan saya boleh beritahu PM, saya dah sediakan pelapis yang bagus. Itu keutamaan saya.

Agendadaily : What do you hope to achieve before you step down?

KJ: To prepare a new set of leaders. Dapat sediakan pemuda Umno yang kuat. Dapat bentuk Pemuda BN yang diterima rakyat. Dapat bantu program 1Malaysia. Kalau saya dapat buat keempat-empat ini, Alhamdulillah.

Agendadaily : Ada cerita yang mengatakan masih wujud sikap berpuak-puak dalam Pemuda. Benarkah?

KJ: Dulu semasa pemilihan adalah. Sekarang tak ada. Sekarang mereka dah tak fikir pasal benda itu. Kita dah okay sebenarnya, tak ada masalah. Kalau dulu pada tahun pertama saya pegang jawatan itu mungkin ada sedikit sebanyak. I think it is more managed now.

Agendadaily: Kebelakangan ini ada yang kata Datuk Razali lebih menonjol dari Ketua Pemuda.Mengapa?

KJ: Sebagai ketua, saya nak promote barisan kepimpinan. Saya tak mahu dalam Pemuda hanya saya sahaja ditonjol ke depan. Razali is a good deputy dan dia ada jawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri. Saya tak nampak benda ini sebagai satu masalah besar. Saya bukan jenis pemimpin yang melarang Timbalannya atau Exco menonjolkan diri. Kalau tidak rakyat hanya kenal KJ sahaja sebagai Pemuda Umno, sedangkan ada ramai lagi. Saya nak rakyat kenal mereka kerana mereka bakal pemimpin, bukan saya seorang. Saya tak control. Malah kalau ada jemputan program TV, saya suruh mereka pergi. Saya beritahu orang TV, jangan jemput saya seorang. Saya tak kisah. Saya nak rakyat lihat ramai pemimpin muda dalam Umno dan bukan KJ seorang.

Agendadaily: Kenapa agaknya ramai blogger tak suka YB?

KJ : Itu tidak ada masalah sebenarnya. Golongan blogger ini ada harakah politik mereka yang tertentu. Itu saja yang saya boleh cakap. Tetapi kalau kita tengok dalam portal lain, ada juga yang menyokong saya. Jadi itu kira balance juga.

Agendadaily: Presiden Perkasa, Ibrahim Ali baru-baru ini ada buat kenyataan bahawa salah satu sebab dia tubuh Perkasa kerana Pemuda gagal berfungsi membela Melayu. Komen YB?

KJ : Saya tak setuju langsung dengan ungkapan itu sebab Pemuda Umno hari ini berfungsi atas pendekatan yang berbeza. Bagi orang macam Ibrahim Ali dan beberapa pemimpin lama, Pemuda ini kena jadi macam Ultra memperjuang isu bangsa. Tetapi sekarang ini kita lebih kepada macam mana nak menang pilihanraya.

Macam mana nak dapat sokongan daripada semua kaum. Kalau Pemuda buat cara lama, benda ini akan menjauhkan kita daripada pengundi-pengundi muda. Ramai pengundi muda, tak kira Melayu, Cina atau India tak suka kepada politik yang terlalu berbau perkauman. We have to admit these things. Maka saya bawa arah baru kepada Pemuda.

Bagi saya, apa yang saya buat adalah lebih berani daripada apa yang dituntut oleh Ibrahim Ali. Mengikut cara old school dia, Ibrahim kata kita hanya berani kalau kita Ultra Malay. Kena berani lawan. Tetapi bagi saya, lebih berani kalau kita ambil jalan centrist sebab kita kena hentam oleh pihak macam Perkasa. Apa yang dia buat mungkin ramai orang Melayu suka tetapi orang muda tak suka. Tetapi apabila kita ambil centrist position, it takes a lot of courage.

Agendadaily : Tidakkah perbezaan ideologi antara Pemuda Umno dan Perkasa akan mengakibatkan kita kehilangan undi Melayu?

KJ: Ttidak. Kita tengok mana-mana statistik pun, undi Melayu tak anjak sangat. Majoriti pengundi Melayu bersama kita. Melayu nak pergi ke mana? Nak pergi ke Keadilan? Parti itu langsung tak cakap mengenai kepentingan orang Melayu. PAS pun dah keliru. Macam-macam isu mereka ada, contohnya PAS sudah ada pendirian yang lain daripada majoriti orang Melayu. Jadi Melayu nak pergi ke mana?

Insyallah majoriti pengundi Melayu akan sokong BN. Sebenarnya Melayu susah nak disatukan dari dulu sampai hari ini. Saya dah beritahu kawan kawan saya di Perkasa, masalah saya bukan pasal matlamat Perkasa. Saya tidak ada masalah dengan matlamat mereka nak tolong orang Melayu.

Cuma saya tak setuju dengan pendekatan Ibrahim Ali. He is too much!. Tolong orang Melayu tak apa, tapi pendekatan macam Ibrahim Ali buat tu, salah. Saya menentang mana-mana kumpulan ekstrim, baik Ibrahim Ali atau Siqiu atau Hindraf. Mana-mana pihak yang guna perkauman keterlaluan, saya akan tentang. Saya tak ada masalah dengan perjuangan menolong orang Melayu tetapi kita kena buat dengan cara yang boleh membantu orang Melayu.

Agendadaily: YB boleh dikatakan Ketua Pemuda Umno yang paling banyak kena hentam dari pelbagai arah. Bagaimana YB boleh tenang menghadapi semua ini?

KJ: Bagi saya, kita memegang amanah. Kita pegang amanah daripada rakyat semasa Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, dan amanah daripada parti yang kita dapat dalam pemilihan parti. Saya bukan dilantik, tetapi dipilih.

Saya dipilih sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda. Saya tidak ada apa-apa jawatan yang dilantik. Bila saya diserang, saya pegang kepada amanah, bahawa untuk setiap orang yang serang saya, mesti juga ada orang yang sokong saya. Jika tidak, mengapa saya dipilih dalam pilihanraya dan parti? Yang penting ialah amanah. Akauntabiliti kita ialah kepada Tuhan. As long as my conscience is clear, apa yang saya buat saya rasa betul dan benda itu baik untuk bangsa dan negara, saya tak terasa tertekan.

Agendadaily: Kalau YB kata tak rasa kecil hati atau merajuk, bunyinya macam tak natural. Apa yang YB cakap ini ikhlas ke?

KJ : Politic is a big boy’s game. Its not child’s play. Jadi apabila kita masuk politik, kena kena masuk dengan mata yang celik. Jangan kita masuk dengan sikap yang terlalu idealistik dan mengharapkan kita akan dapat segala yang kita nak buat. Politik adalah permainan yang kasar. Kalau kita masuk dan bersedia dengan satu permainan yang kasar, dan kasar tak semestinya kotor, maka kita kena terimalah.

Agendadaily: Ada desas-desus mengatakan YB ini kurang bergaul dengan Ahli Parlimen dan Adun. Ada juga yang anggap YB sombong dan memilih kawan. Boleh YB komen?

KJ: Saya tak ada masalah dengan orang. Mungkin pasal jarak umur sebab dalam BN tak ramai orang muda di kalangan Ahli-Ahli Parlimen. I am a very simple person. I am quite straight forward. Actually I am a very private person. I don’t like to go out. I like to go home and spend time with my family.

Mungkin dalam politik, itulah kelemahan saya. Saya tak suka keluar pergi kedai kopi dan sebagainya. Kalau ada masa terluang, saya suka menghabiskannya dengan anak-anak lelaki saya berusia dua tahun setengah dan setahun setengah.

Saya tak mahu satu hari nanti saya balik rumah, anak tak kenal. Kerja saya dah cukup mencabar. Balik kawasan, pergi parlimen, kemudian sertai program Pemuda. Kadang-kadang sampai tengah malam.

Agendadaily : Baru-baru ini YB ada sertai askar Wataniah…kenapa?

KJ: Saya jalani latihan wataniah sebulan di Rasah antara Mei hingga Jun. Saya memang minat sejak dulu tetapi sebelum ini tak ada masa. Bila tamat latihan, mereka tawarkan saya pangkat, tetapi saya tolak. Salah satu tujuan saya masuk ialah nak tunjukkan kepada anak-anak muda, sesiapapun boleh buat. Di sana saya dillayan sama rata dengan orang lain, tidak ada keistimewaan.

Saya belajar bagaimana nak urus hubungan antara manusia pada tahap yang lain Di luar, sebagai Ahli Parlimen, saya berurusan dengan orang terasa macam artificial apabila mereka panggil saya Yang Berhormat. I don’t really know what they think. In politics most people well tell you what you want to hear. Jadi kita tak tahu agenda orang. Tapi dalam tentera tidak ada agenda. The agenda is just to survive the day.

Agendadaily: Timbalan Perdana Menteri tidak mahu ada Primadona dalam Umno. Bagaimana dengan pemuda?

KJ: Dalam pemuda tak ada primadona. Sebab itu saya pun low profile. Hanya mengenai isu tertentu dan bila saya perlu mempertahankan kerajaan, saya akan bersuara. Bila perlu hentam pembangkang, saya buat, tapi lebih dari itu kita tak payah nak lebih-lebih sangat. Saya tahu apa PM nak buat. Saya tahu apa yang diperlukan. Saya mainkan peranan, tidak lebih dari itu.

Agendadaily : Kebelakangan ini YB tidak agresif macam dulu. Kenapa?

KJ: Dah tua sikit. Dah lebih matang. Politik sekarang dah lain. Ada isu yang kita kena agresif. Ada isu kita kena berhati-hati. Masyarakat sekarang berbeza dengan dulu. Ada orang lama cakap kononnya Pemuda ini terbaik masa zaman Datuk Harun Idris. Bagi saya, zaman dah berubah. Kita tak boleh bandingkan zaman Datuk Harun dengan sekarang. Zaman Datuk Harun adalah zaman pasca selepas 1969. Cabaran dia lain.

Today its multi-racial plural politics. Mati kita kalau ambil pendekatan macam tu. Kalah kita. PM dah kata sekarang kita kena tumpu kepada kawasan-kawasan yang taburan penduduknya bercampur Melayu, Cina dan India. Matlamat kita ialah pastikan Umno kekal berkuasa. We have to be thinking properly. Kita nak cakap pasal agama, bangsa dan negara pun tak boleh dah.

Saya akui lebih agresif masa jadi Naib Ketua Pemuda. Saya ambil model Datuk Hishamuddin. Masa dia jadi Ketua Pemuda, dia kena jaga semua Ketua Pemuda BN, maka sebab itu saya yang kena lebih agresif. Macam saya dengan Razali, bila saya dah jadi Ketua Pemuda, maka Naib kena agresif. That’s the way it should be.

Agendadaily: Stigma sebagai menantu Pak Lah masih lekat dengan YB. Bagaimana YB menghadapinya?

KJ: Saya tak kisah. Pak Lah dah tak ada dalam kerajaan dan apa sahaja yang saya buat ini macam mana pula orang nak kaitkan atau salahkan Pak Lah pula? Sekarang saya bukan menantu PM pun. Tapi kalau stigma itu masih ada lagi, hmmm tak tahulah. Itulah…masa akan datang nanti kena cari pemuda yang tidak ada apa-apa stigma.

Agendadaily: YB tak tersinggung dengan tindakan pihak-pihak yang selalu menyerang YB?

KJ: No. if people say things about my family then it hurts me. Tapi other than that, tuan punya tubuh tak ada masalah. Tapi kalau mereka cakap pasal keluarga saya yang tidak ada dosa dengan orang dan tak terlibat dalam benda-benda ini, saya akan marah.

Agendadaily: Sebagai Ketua Pemuda, apakah pesanan YB kepada golongan muda, terutama yang liat mendaftar sebagai pengundi?

KJ : Golongan muda kena terlibat secara langsung dalam politik. Kalau tak nak jadi ahli parti pun tak apa. Tetapi kita kena ambil kisah kerana ini membabitkan masa depan negara. Kalau kita tak tahu apa yang berlaku, kita tak akan menentukan masa depan.

Satu hari nanti bila kita tak terlibat secara langsung dalam politik dan kita merungut pasal negara kita, kita harus menyalahkan diri sendiri. Sesiapa sahaja, terutama golongan muda boleh berhubung dengan saya menerusi Facebook atau twitter. Saya tak menghadkan waktu untuk melayan mereka seperti yang dilakukan sesetengah pihak. Mereka boleh boleh twitter saya tak kira masa.

Nazri: Cadangan PERKASA Cina mengarut

July 13, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz menyifatkan cadangan naib presiden MCA, Datuk Donald Lim supaya satu pertubuhan Cina yang menyerupai kumpulan pejuang Melayu PERKASA ditubuhkan sebagai ‘mengarut’.

Katanya, cadangan seumpama itu akan hanya menyebabkan ketegangan kaum antara Melayu dengan Cina memuncak, sedangkan pada masa sama kerajaan berusaha mengendurkannya.

“Kita mahu mengetepikan PERKASA dan dia pula mahu menjadi pelampau,” kata Nazri kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

“Bagaimana pula dengan kumpulan pelampau India? Kita tubuhkan juga kumpulan pelamapau Kadazan, Iban dan lain-lain. Biar semua kita bergaduhlah, adakah ini yang Lim kehendaki.”

Menurut Nazri sebagai pemimpin kanan BN, Lim tidak sepatutnya membuat kenyataan seumpama itu.

“Dua kesilapan tidak akan membetulkan keadaan,” kata Nazri.

Jumaat lalu, Lim memberitahu akhbar Cina yang Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor seharusnya menerajui pertubuhan baru bagi menangani serangan agresif daripada PERKASA.

NGO yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali itu dilihat sebagai batu penghalang kepada usaha pembaharuan ekonomi yang diusahakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Nazri, bagaimanapun gagal menjelaskan sama ada BN seharusnya menjauhkan diripada daripada PERKASA atau menghadapi risiko persepsi negatif jika dikaitkan dengannya.

“Saya tidak tahu… Terdapat kebebasan menubuhkan persatuan di negara ini,” katanya.
Mengulas saranan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno sewajarnya membabitkan pemimpin PERKASA dalam perbincangan, Nazri berkata BN tidak mewakili orang Melayu sahaja.

“Siapa rakyat negara ini? Adalah mereka semua Melayu? Ada juga bukan Melayu. Adakah beliau maksudkan mereka tidak mempunyai hak? Adakah mereka rakyat kelas kedua? Ini yang terjadi jika anda bersetuju dengan kenyataan (Mahathir).

“Tak boleh! Kita tidak boleh terima cadangan seumpama itu meskipun ia datang daripada bekas perdana menteri atau sesiapa sekalipun.

Nazri juga memberi amaran bahawa kerajaan akan bertindak jika PERKASA membuat kenyataan berunsur hasutan.

Dalam hal ini, katanya, rakyat yang tersinggung atau berpendapat yang PERKASA adalah ancaman kepada negara perlu membuat laporan polis.

Next Page »