Ulama Umno fokus program ‘kukuhkan iman’

June 30, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar

Sekumpulan ulama muda yang menyertai Umno baru-baru ini membentangkan beberapa cadangan, antaranya bagi mengukuhkan pegangan agama dan akidah umat Islam kepada pergerakan Pemuda parti itu malam tadi.

Menurut jurucakap kumpulan itu Fathul Bari Mat Jahaya , dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, selain mahu memfokuskan kepada program pengukuhan iman dan akidah, ulama muda mahu mengetengahkan konsep “Islam for All” (Islam untuk semua).

“(Hasilnya) Positif. Hasrat kita hendak berdakwa disambut baik oleh Khairy. Kita akan buat mesyuarat susulan.

“Setakat ini cuma bincang dulu cadangan-cadangan yang boleh dibuat,” kata Fathul yang juga anak bekas mufti Perlis Mat Jahaya Yussin.

Fathul – Ulama lepasan universiti di Madinah dan Jordan itu – diminta mengulas pertemuan dua jam kumpulannya dengan exco-exco Pemuda Umno di ibu pejabat pergerakan itu di Kuala Lumpur pada jam 8.45 malam tadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Fathul bagaimanapun menjelaskan, semua cadangan itu masih di peringkat awal dan akan dibincangkan lagi dengan pertemuan-pertemuan susulan selepas ini, termasuk dengan pelbagai pihak lagi dalam Umno.

“Pertemuan semalam lebih kepada taaruf (berkenalan) dan mengenali struktur Umno sebagai sebuah organisasi,” kata penasihat agama di Institut Jantung Negara (IJN) itu.

Ditanya sama ada cadangan Islam for All itu mahu menyaingi pendekatan PAS for All dalam parti lawan, Fathul sambil ketawa menafikannya.

“Kami mahu gambarkan Islam itu untuk semua, bukan semata-mata untuk pihak tertentu, orang tertentu dan bangsa tertentu,” katanya ulama dalam bidang hadis itu.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar ulama yang menyertai mesyuarat malam tadi. Beliau sebaliknya hanya berkata “ramai”.

Sementara itu, Fadlan Mohd Osman – yang mengetuai kumpulan 40 ulama menyerahkan borang keahlian Umno kepada presidennya Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu – pula berkata kemungkinan kumpulan itu akan bergerak melalui satu biro khas dalam pergerakan itu.

“Hasrat berdakwah itu disambut baik oleh Khairy, mungkin dengan pembentukan lajnah (biro),” kata pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

“Semua ini masih di peringkat idea. Kita akan drafkan dulu cadangan kepada Pemuda dan Umno.”

Waktu rebut ‘rampasan perang’…dan nobat pewaris takhta PKR

June 29, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar

Siapa tahu baca politik Datuk Seri Anwar Ibrahim akan faham mesej tersirat beliau kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang digugurkan jawatan Pengerusi PKR Selangor petang Ahad.

Ia tidak lain tidak bukan proses pembersihan Khalid dari parti itu sama seperti yang dilakukan Anwar terhadap bekas Ahli Parlimen PKR Bayan baru,Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Cuma dalam kes Khalid, beliau berdepan dengan Azmin Ali – panglima perang Anwar paling kanan dan paling lama dalam PKR.

Akibatnya, Khalid kena serah jawatan pengerusi PKR Selangor pada Azmin.

Macam mana Khalid tanpa kuasa politik yang jadi platform penting menggerakkan tugasnya sebagai Menteri Besar?

Sebab itulah, Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin yang tahu cara politik Anwar menasihati Khalid, supaya sedar bahawa beliau kini sudah jadi liabiliti kepada Ketua Umum itu dan PKR.

“Ini isyarat jelas pada Khalid. dia dah jadi liabiliti. Siapa baca politik Anwar, tahu.. Kami semua dah lalui, kami tahu ini proses pembersihan. Khalid, kalau tak nampak, elok tengok baik-baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Agendadaily ketika mengulas rombakan terbaru dalam kepimpinan PKR membabitkan Khalid., Azmin serta Datuk Zaid Ibrahim yang dilantik Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Zulkifli yang dipecat dari PKR bukan sahaja bekas rakan karib Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail malah pernah jadi peguam kepada Ketua Pembangkang itu.

Katanya, Anwar pandai bermain politik kerana beberapa minggu lalu beliau memuji Khalid tinggi melangit kononnya seorang pemimpin berwibawa, boleh dipercayai dan sebagainya.

“Sekarang mesej yang diberi pada Khalid (digugurkan jawatan Pengerusi PKR Selangor), bahawa beliau tak ada sokongan politik…kena pergilah,” katanya.

Beliau tidak nampak kenapa jawatan politik yang penting itu perlu dicabut dari Ahli Parliman Bandar Tun Razak serta ADUN Ijok itu.

“Apa yang saya nampak adalah percaturan politik ..ini semua tak ada manfaat dan tak bawa kebajikan pada rakyat Selangor,” ujarnya.

Dakwa Zulkifli apa yang berlaku di negeri itu lebih kepada politik merebut ‘rampasan perang.’

“Dalam pemikiran mereka, Selangor tak boleh tahan lama. Apa saja yang boleh pulun, mereka pulun. Ini sedang berlaku. Mereka berebut rampasan perang,” katanya.

Mengulas pelantikan Zaid sebagai bos PKR Wilayah Persekutuan pula, beliau melabelkan Penyelaras Pakatan Rakyat itu sebagai ‘pewaris’ yang diterima Fir’aun-Fir’aun disekeliling Anwar.

“Zaid yang diharap akan warisi Anwar. Bukan kerana hebat berpolitik tetapi Zaid sahaja yang diterima Fir’aun-Fir’aun. Mereka kena takhtakan Zaid Ibrahim,” katanya lagi.

Zulkifli percaya ramai pemimpin dan ahli parlimen PKR kecewa dengan apa berlaku dalam parti itu kebelakangan ini apabila tidak lagi berjuang ikut reformasi yang asal.

Ini nasihat Zulkifli kepada rakan-rakannya yang masih dalam PKR, “ Tinggalkan PKR yang akan mati. Mari bersama kami dalam Konsesus Bebas.”-Agenda Daily

PEMUDA PERLU BERANI BERSUARA

June 27, 2010 by admin  
Filed under Eksklusif

REMBAU, 27 JUN –  “Dalam Parti UMNO kita perlu berani. Apa guna menjadi pemimpin jika takut pada kritikan hingga kita sewenang-wenangnya diperlekehkan oleh pembangkang.”

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau, YB Khairy Jamaluddin berkata demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Rembau 2010 di Dewan Sri Rembau, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Pengerusi Pemuda BN menegaskan pendirian beliau mempertahankan rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional demi menjaga kekuatan kerajaan Barisan Nasional selaras menjadikan matlamat untuk beroleh kemenangan besar pada PRU akan datang.

“Apa guna kita menjadi pemimpin kalau kita tidak dapat menjaga anak-anak buah kita hingga kita biarkan musuh kita mencemuh dan menghina kita?”

Khairy turut berkata, setiap pimpinan Pemuda harus menanam sikap kesedaran dalam diri dan tidak leka dalam perjuangan Pemuda.Beliau juga berharap agar pimpinan-pimpinan Pemuda di setiap cawangan dapat menambah keahlian yang ada.

Sejurus menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat dimulakan oleh pengerusi majlis. Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau di sini, hari.

PM: Kerajaan tidak akan keluar lesen judi sukan

June 25, 2010 by admin  
Filed under Eksklusif



Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

“Saya percaya mereka akan menerima keputusan tersebut.’

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

PM Lancar Program Amanah Saham Wawasan 2020- Bandar

June 25, 2010 by admin  
Filed under Berita Khas

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu memberi pendapatan tambahan kepada keluarga miskin tegar dan miskin bandar melalui pemberian dividen tahunan dan faedah lain hasil pelaburan itu.

Setiap ketua isi rumah tanpa mengira kaum yang layak serta berdaftar dengan program e-Kasih akan diberikan wang prinsipal pelaburan RM10,000 yang akan tetap menjadi hak milik kerajaan. Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.

“Skim saham ini berbeza dengan skim lain di mana mereka yang menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka. Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan lagi,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Seramai 4,976 ketua isi rumah yang berdaftar dibawah Fasa Satu dan Dua program e-Kasih dikenalpasti layak untuk menerima pelaburan unit amanah itu termasuk 196 keluarga di Wilayah Persekutuan yang menerima buku unit amanah masing-masing pada majlis itu.

Najib berkata kerajaan telah mengenal pasti golongan miskin tegar dan miskin bandar berdasarkan usaha pendaftaran e-Kasih yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Di bawah program e-Kasih, pendapatan garis kemiskinan bagi golongan miskin tegar adalah kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia, RM540 bagi Sabah dan RM520 bagi Sarawak manakala golongan miskin pula didefinisikan kurang daripada RM720 di Semenanjung Malaysia, RM960 Sabah dan RM830 Sarawak. Sehingga 16 Jun 2010, seramai 8,439 ketua isi rumah miskin tegar dan miskin bandar telah berdaftar di bawah e-Kasih.

Najib berkata kerajaan berhasrat untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar dan mengurangkan separuh isi rumah miskin keseluruhan daripada 5.7 peratus kepada 2.8 peratus menjelang akhir 2010. Katanya agenda untuk mengurangkan golongan miskin tegar telah menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah golongan itu yang berdaftar di bawah e-Kasih fasa 1 dan 2 telah berkurangan daripada 50,931 isi rumah kepada 33,417.

“Jumlah golongan miskin tegar ini dapat dikurangkan kerana kerajaan tidak mengambil sikap sebagai negara kebajikan, sebaliknya hanya memberi bantuan sahaja kepada golongan miskin tegar, tetapi bagi golongan miskin, kerajaan menyediakan program-program untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan itu,” katanya.

Najib berkata kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan tetapi tidak akan meminggirkan mana-mana kumpulan daripada menikmati pertumbuhan ekonomi negara yang semakin rancak.

Bangunlah UMNO Cheras – Isu judi sudah lama dipolitikkan oleh pembangkang

June 25, 2010 by admin  
Filed under Berita Bergambar, Featured

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hari ini menegaskan kerajaan wajar mengeluar kan lesen pertaruhan judi bola sepak tetapi memerlukan penguatkuasaan yang ketat. Syed  Ali Alhabshee seolah olah mahu menghangat kan kembali isu Judi yang menjadi kemarahan rakyat. Adalah lebih baik bila kerajaan sudah tidak meluluskan nya dan apa juga alasan yan g diberikan oleh Syed  Ali Alhabshee , beliau perlu kembali kepada basik  agama. judi adalah haram.

Kenyataan Syed Al Hashee mempertikai kan apa yang disarankan oleh Khairy Jamaluddin baru baru ini yang mahu menyelesai kan isu judi untuk kepentingan rakyat dan parti sengaja diseret untuk mencari publisiti murahan, Kenapa sewaktu isu ini sedang panas Singa Cheras ini  tidak bersuara dan  kuku nya tenggelam sewaktu itu. Singa penakut ini sebenar nya berani bersuara kerana perkara ini telah disuarakan oleh Tun baru baru ini dan beliau tahu tidak siapa yang berani mempertikai kan apa saja yang Tun .

kata Syed Ali lagi  di dalam blog nya.

Beliau berkata, jika lesen tersebut dikeluarkan bermakna kerajaan mampu mengutip cukai sebanyak RM500 juta dengan taksiran potongan 25 peratus.

“Jumlah tersebut boleh digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai kemudahan prasarana untuk rakyat terutama bukan Islam,” katanya.

Jumlah itu juga katanya membolehkan kerajaan membina atau membaik pulih sekolah-sekolah Cina yang sedia ada.

Katanya, hasil cukai daripada judi, anjing dan arak juga sudah lama digunakan oleh kerajaan PAS Kelantan untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di negeri tersebut.

“Hasil cukai yang digunakan oleh PAS tidak dipolitikkan kerana kita melihat ianya memberi keuntungan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan kemudahan asas,” katanya.

ulasan kepada tulisan Syed Ali.

Siapa yang tidak tahu apa yang Syed Ali cakapkan ini. Semua orang tahu  tentang apa yang Syed Ali perkatakan ini, Persoalan nya sekarang  rakyat mendesak untuk mengharamkan judi ini dan ini  sebenarnya  telah membuka mata kepimpinan  kita yang mengutama kan rakyat . Perkara mengharam kan judi ini adalah satu petanda yang bagi kepimpinan  Barisan Nasional dan juga UMNO.

Jika MCA dan MIC  dan komponen  BN  dari parti yang bukan Islam tidak kesah dengan perkara ini kenapa UMNO Ceras pula yang mahukan judi ini di halalkan. Untuk pengetahuan Syed Ali bangun lah dari lamunan , isu ini sudah lama di politikkan oleh PAS. Saranan PM untuk kita menjawab isu .

http://umnobahagiancheras.blogspot.com/

Tidak wajar desak Khairy letak jawatan

June 25, 2010 by admin  
Filed under Berita Khas

KUALA LUMPUR 24 Jun – Tindakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu sebagai tidak wajar.
Sambil turut menyifatkan desakan berkenaan tidak munasabah sama sekali, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, soal ‘menjual bangsa sendiri’ tidak timbul.

”Ia kerana Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO merupakan antara ahli Parlimen pertama membantah cadangan pengecilan penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang melanjutkan pengajian mereka ke luar negara.

”Pengecilan penawaran biasiswa ke luar negara tajaan JPA akan memberikan impak besar terhadap peluang pelajar Melayu dan bumiputera terutamanya mereka yang benar-benar cemerlang bagi mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Reezal Merican mengulas kenyataan Ibrahim yang mendesak Khairy meletakkan jawatan apabila Ketua Pemuda UMNO tersebut mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa JPA.

Semalam Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu. Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kenyataan balas Khairy terhadap Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas semalam adalah dengan niat bagi memperjelaskan keadaan sebenar berkaitan kenyataan oleh Ka Siong dalam konteks yang lebih tepat.

Ia sekali gus bagi menjernihkan suasana agar ia tidak menjadi salah tanggapan dan polemik yang berpanjangan. Selaku Ketua Pemuda UMNO, Khairy tentu sekali mendokong asas perjuangan parti yang tidak pernah menolak, tidak pernah berkompromi dan jauh sekali membelakangkan kepentingan agenda Melayu dan bumiputera.

Puteri Umno Perlis Nafi 30 Orang Kuatnya Sertai PKR

June 25, 2010 by admin  
Filed under Berita Khas

KANGAR, 24 Jun — Puteri Umno Perlis menafikan dakwaan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis Dr Soraya Sudin kononnya ramai anggota berpengaruh pergerakan itu menyertai parti pembangkang berkenaan.

Ketua Puteri Umno Perlis Asmaiza Ahmad berkata dakwaan yang dibuat itu melalui “Suara Keadilan” keluaran terbaru adalah tidak benar dan merupakan propaganda murahan untuk meraih sokongan pengundi muda.

“Hakikatnya Puteri Umno Perlis semakin bertambah mantap berikutan penambahan cawangannya kepada 245 berbanding 224 cawangan tahun lalu,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari Khamis yang turut dihadiri Ketua Puteri Umno Bahagian Kangar, Huzaini Abdul Hamid, Ketua Puteri Umno Bahagian Arau, Amzira Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Azali Abas.

Asmaiza, yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Padang Besar, mencabar Soraya supaya membuktikan dakwaan kononnya 30 “orang kuat” Puteri Umno menyertai PKR padahal Puteri Umno Perlis tidak menghadapi sebarang kemelut.

“Saya tak tahu apa tujuan sebenar beliau berkata sedemikian,” katanya.

– BERNAMA

RM100j bantu penduduk miskin

June 25, 2010 by admin  
Filed under Keratan Akhbar

KUALA LUMPUR 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu menjana pendapatan tambahan kepada keluarga miskin tegar dan miskin bandar.

Sempena pelancarannya, 4,976 daripada 8,439 ketua keluarga dari golongan miskin tegar dan miskin bandar menerima bantuan melalui pelaksanaan daftar e-Kasih fasa pertama dan kedua yang dikelolakan Jabatan Perdana Menteri.

Menerusi ASW-2020-Bandar, pendapatan golongan tersebut akan ditambah menerusi pemberian dividen tahunan dan faedah lain hasil pelaburan berkenaan.

Program itu juga akan menyaksikan setiap ketua isi rumah – tanpa mengira kaum – yang layak serta berdaftar dengan program e-Kasih, akan diberikan wang prinsipal pelaburan RM10,000 yang akan tetap menjadi hak milik kerajaan.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.

“Skim saham ini berbeza dengan skim lain yang mana mereka menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka.

“Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada majlis itu, 196 ketua keluarga di Wilayah Persekutuan menerima Buku Pelaburan ASW 2020-Bandar masing-masing.

Menerusi daftar e-Kasih, garis pendapatan miskin tegar ditetapkan buat mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kurang RM430 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM540); Sarawak (RM520).

Golongan miskin pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM720 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM960) dan Sarawak (RM830).

Menurut Najib, para pemegang saham itu akan mula menikmati dividen tahunan serta pulangan sepanjang hayat mulai September ini berdasarkan kadar ditetapkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kelak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian saham itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan jumlah golongan miskin tegar dan miskin bandar di kalangan masyarakat.

Melalui program sebegitu, katanya, kerajaan dijangka berupaya mengurangkan jumlah isi rumah miskin di seluruh negara daripada 5.7 peratus, kepada 2.8 peratus pada akhir 2010.

Jelasnya, pendaftaran e-Kasih kini menunjukkan golongan miskin tegar dalam negara menurun kepada 33,417 orang berbanding 50,931 sebelumnya.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak mahu mengambil konsep negara kebajikan dalam usaha membantu golongan miskin kerana ingin melihat semua rakyat yang berkemampuan bekerja bagi menyara diri dan keluarga masing-masing.

Tidak wajar desak Khairy letak jawatan

June 25, 2010 by admin  
Filed under Eksklusif


KUALA LUMPUR 24 Jun – Tindakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu sebagai tidak wajar.

Sambil turut menyifatkan desakan berkenaan tidak munasabah sama sekali, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, soal ‘menjual bangsa sendiri’ tidak timbul.

”Ia kerana Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO merupakan antara ahli Parlimen pertama membantah cadangan pengecilan penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang melanjutkan pengajian mereka ke luar negara.

”Pengecilan penawaran biasiswa ke luar negara tajaan JPA akan memberikan impak besar terhadap peluang pelajar Melayu dan bumiputera terutamanya mereka yang benar-benar cemerlang bagi mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Reezal Merican mengulas kenyataan Ibrahim yang mendesak Khairy meletakkan jawatan apabila Ketua Pemuda UMNO tersebut mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa JPA.

Semalam Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kenyataan balas Khairy terhadap Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas semalam adalah dengan niat bagi memperjelaskan keadaan sebenar berkaitan kenyataan oleh Ka Siong dalam konteks yang lebih tepat.

”Ia sekali gus bagi menjernihkan suasana agar ia tidak menjadi salah tanggapan dan polemik yang berpanjangan.

”Selaku Ketua Pemuda UMNO, Khairy tentu sekali mendokong asas perjuangan parti yang tidak pernah menolak, tidak pernah berkompromi dan jauh sekali membelakangkan kepentingan agenda Melayu dan bumiputera,” katanya.

Next Page »