Top

Media memang seronok lihat kami bergaduh …

December 3, 2008 by Pendeta 

Apabila mendapat khabar bahawa mesyuarat Wanita BN akan diadakan Selasa, ramai wartawan berpusu-pusu ke tingkat 38 Menara Dato’ Onn di PWTC dimana terletaknya ibupejabat UMNO.

Ini kerana semua nak tahu apa cerita terbaru Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Sri Shahrizat setelah ‘ perang kenyataan’ menerusi media antara para penyokong mereka sudah reda sikit beberapa hari kebelakangan ini.

Mesyuarat ini agak menarik kerana kedua-dua Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu dan Naibnya hadir.

Kedua-dua mereka duduk sebelah menyebelah semasa sidang akhbar diadakan selepas mesyuarat berkenaan.

Ini adalah kali pertama mereka duduk semeja sejak Shahrizat umum hasrat nak bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO.

Namun sebaik selesai membuat kenyataan mengenai hal yang dibincangkan dalam mesyuarat itu semasa sidang akhbar, Rafidah sudah dapat membaca apa yang berada dalam benak fikiran para wartawan yang hadir dan dalam seloroh memberikan “warning”.

“Media memang seronok melihat kami bergaduh. Alangkah bagus kalau anda (media) biarkan kami. Mesyuarat hari ini bukan membincangkan soal Datuk Sri Shahrizat dan saya, tetapi mengenai peranan Wanita BN dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Serentak dengan itu Rafidah berkata pertandingan dalam Wanita UMNO tidak akan menjejaskan persiapan untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya soal pertandingan adalah perkara terakhir dalam pemikirannya dan tidak sedar Shahrizat yang duduk sebelahnya adalah orang yang akan bertanding dengannya nanti.

Katanya, “apabila kita bercakap mengenai isu kebangsaan, kita kena ketepikan hal-hal lain, termasuk peribadi. Seseorang pemimpin atau individu boleh datang dan pergi, tetapi BN akan kekal selama-lamanya.

“Saya nak pesan kepada ahli Wanita supaya berhati-hati bila bercakap kerana ada kalanya apa yang diperkatakan boleh disalahertikan. Itulah kadangkala saya lebih suka berdiam diri daripada membuat ulasan. Lagi baik tidak bercakap langsung. Jika ada masalah parti, ia seharusnya dibawa ke mesyuarat, bukannya mendedahkan kepada media.

“Hal ehwal parti harus diselesaikan di dalam parti. Jangan gunakan media untuk meluahkan rasa tidak puashati terhadap parti atau parti komponen. Hal parti ibarat hal keluarga dan orang luar tak perlu tahu. Bak kata pepatah, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit.”

“Saya kecewa melihat sesetengah individu dalam BN yang secara sedar atau tidak, begitu gemar “menimbulkan provokasi”. Sepatutnya sebarang masalah harus dibincangkan secara tertutup,” katanya.

Apabila diajukan soalan mengenai isu ketuanan Melayu, Rafidah dengan cepat memintas: “Bangsa dan agama adalah dua perkara yang tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka kerana ia tidak bagus untuk parti dan boleh memecahbelahkan rakyat.”

Pada awal sidang sidang akhbar , Rafidah mengumumkan mesyuarat itu membincangkan langkah membantu BN memenangi pilihanraya umum ke-13 dan konsep perpaduan “One Malaysia”.

Beliau berkata, untuk mencapai tujuan itu, mesyuarat telah bersetuju menubuhkan lima biro, iaitu biro latihan dan kepepimpinan yang akan diketuai oleh Wanita UMNO, biro perpaduan (diketuai oleh Wanita PPP), perundangan (Wanita MIC), ekonomi (Wanita MCA) serta pendidikan dan modal insan (Wanita Gerakan).

“Biro ini akan menjalankan tugas secara bergilir-gilir mengikut penggal supaya ia aktif sepanjang tahun. Menerusi biro ini kami akan berusaha mendekatkan diri dengan wanita professional dan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara,” katanya.

Rafidah berkata mesyuarat turut membincangkan isu semasa yang dirasai oleh semua parti komponen dan akan mengumpulkan semua isu untuk dibawa kepada pucuk pimpinan untuk dibincangkan.

“Wanita BN sedar apa yang dibangkitkan oleh akar umbi dan apa yang digunakan oleh pembangkang sebagai modal untuk pilihanraya akan datang.

Oleh:  NOOR HASILAH ISMAIL

www.agendadaily.com

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

One Response to “Media memang seronok lihat kami bergaduh …”

  1. malaysunited on December 3rd, 2008 4:54 pm

    WANITA UMNO berperanan besar memenangkan setiap calon kerana separuh pengundi adalah wanita….wanita umno bersatu UMNO terus maju

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom