Top

Rafidah, Shahrizat tentukan penyelesaian terakhir - TPM

November 19, 2008 by Pendeta 

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam menyelesaikan kemelut tersebut, pergerakan itu perlu mencari jalan penyelesaian iaitu pertamanya, melalui rundingan dan sekiranya ia tidak berjaya, terpulang kepada Rafidah dan Shahrizat untuk membuat keputusan.

Katanya, nasihat beliau kepada pergerakan itu ialah UMNO memerlukan Wanita yang kuat dan berwibawa untuk memainkan peranan penting memberi sumbangan kepada pemulihan serta kekuatan parti itu dan Barisan Nasional (BN).

”Ada dua aliran pendapat dalam Wanita. Satu, mereka mahu pelan peralihan kuasa Ketua Wanita kekal seperti asal. Ada pula aliran pendapat kedua bahawa pelan itu perlu dipercepatkan. Oleh kerana ada dua pendapat, maka Wanita harus mencari jalan penyelesaian.

”Jalan pertama ialah melalui rundingan. Kalau rundingan tidak berjaya, terpulang kepada kedua-dua pihak untuk membuat keputusan. Nasihat saya kepada Wanita ialah kita perlu kepada Wanita yang kuat.

”Walau apa pun keputusan mereka buat, mereka perlu memastikan kekuatan Wanita tidak terjejas dari segi kewibawaannya untuk memainkan peranan penting dalam konteks menyumbang kepada pemulihan dan kekuatan UMNO serta BN,” katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desakan akar umbi Wanita UMNO yang mahu Shahrizat bertanding merebut jawatan Ketua Wanita sedangkan kepimpinan pergerakan itu sebelum ini bersetuju untuk meneruskan peralihan kuasa seperti yang dirancangkan iaitu pada Jun depan.

Kemelut juga timbul selepas Exco pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim menyatakan hasrat untuk terus bertanding jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac depan selepas memperoleh cukup pencalonan.

Bagaimanapun, keputusannya itu mendapat kecaman sesetengah pemimpin wanita UMNO di peringkat negeri yang menyatakan Kamilia tidak mengendahkan pelan peralihan yang dipersetujui antara Rafidah dan Shahrizat, yang dijadualkan pada Jun depan.

Isnin lepas, Shahrizat dalam satu kenyataan mengejutkan, meminta agar tarikh pelan peralihan diselaraskan semula, tetapi gagal meyakinkan Rafidah dan sebilangan anggota Exco Wanita yang mahu ia dikekalkan.-Utusan

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom