Top

Rafidah digesa bersikap adil kepada ahli Wanita

November 13, 2008 by Pendeta 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz digesa bersikap adil terhadap ahli Wanita UMNO apabila beliau menetapkan satu pelan peralihan jawatan yang tidak relevan.

Menurut Dekan Penyelidikan dan Pasca Siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Mustapha Ishak, Rafidah seharusnya mencontohi pemimpin tertinggi UMNO yang lebih terbuka membuat keputusan berhubung pelan peralihan kuasa.

“Rafidah perlu percepatkan pelan peralihan pada Mac, beza tiga bulan tidak masuk akal sama sekali. Beliau perlu bersedia untuk melepaskan jawatan tersebut.

“Beliau sudah lama dan sudah masa beliau berikan jawatan tersebut kepada orang yang lebih muda malah telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Mesyuarat Exco Wanita UMNO kelmarin yang memutuskan pelan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada Jun tahun depan.

Ini berikutan Shahrizat sehari sebelum itu mengeluarkan kenyataan meminta Rafidah mempertimbangkan mempercepatkan pelan tersebut kepada Mac 2009, selaras dengan pemilihan parti itu.

Mohd. Mustapha berkata, Rafidah seharusnya pada saat ini, memberi tunjuk ajar kepada Shahrizat dan memberinya ruang untuk menyesuaikan diri.

“Bukannya dengan menyekat peluang tersebut dengan memberikan alasan yang tidak munasabah. Saya berharap beliau tidak mempunyai agenda lain kerana kita semua kenal Rafidah yang merupakan pemimpin berjiwa besar,” jelasnya.

Bagaimanapun, pendapat tersebut berbeza dengan pandangan seorang lagi penganalisis politik yang melihat kepimpinan Rafidah adalah yang terbaik sejak ia menerajui Wanita UMNO.

Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, apa yang berlaku dalam Wanita UMNO kini adalah banyak pihak tersalah tafsir mengenai pelan peralihan jawatan yang dirancang Rafidah dan peringkat kepimpinannya.

Katanya, Rafidah menetapkan tarikh pada Jun 2009 memandangkan beliau tidak mahu dibayangi pelan peralihan kuasa antara Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada Mac 2009.

“Kenapa pula Rafidah perlu mengikut pelan yang ditetapkan Abdullah dan Najib? Beliau mempunyai pendirian tersendiri dalam hal ini dan ramai sudah tersilap faham mengenainya,” katanya.

Katanya, kepimpinan Rafidah masih relevan dan oleh kerana itu, beliau tetap mendapat pencalonan yang tinggi untuk membolehkannya bertanding jawatan ketua.

“Pelan peralihan jawatan pada Jun 2009 adalah masalah Wanita UMNO dan pelan peralihan kuasa parti pula adalah masalah lain. Ia tidak ada kena-mengena.

“Saya juga melihat tidak ada masalah jika Shahrizat lawan Rafidah tetapi ia adalah risiko yang besar. Rafidah bukan calang-calang ahli politik, beliau sudah lama dan tahu selok-belok dunia itu.

“Tetapi jika Shahrizat berani beliau boleh lawan Rafidah kerana Rafidah tidak akan rugi apa-apa,” katanya.

Katanya, tidak timbul masalah Shahrizat hanya perlu menjadi pemangku jawatan ketua memandangkan tugas itu juga sama penting dengan ketua sebenar.-Utusan

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom