Top

Tegas Tangani Hindraf

October 8, 2008 by admin 

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan mahu tindakan tegas dikenakan ke atas Hindu Rights Action Force (Hindraf) kerana didakwa mempunyai agenda tersendiri ketika penyokongnya bertindak tidak sopan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Rabu lalu.

Pensyarah Kanan Jabatan Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian mendakwa kehadiran mereka pada majlis itu bukan untuk memperjuangkan pembebasan lima pemimpin Hindraf, sebaliknya sengaja mahu membuat kacau dan mencetuskan kemarahan para pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kejujuran mereka dalam membela nasib lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

”Mereka sebenarnya tidak mahu kelima-lima tahanan itu dibebaskan. Mereka sengaja mahu menimbulkan kekacauan pada majlis yang dihadiri oleh para pemimpin negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan para penyokong Hindraf mencetuskan kekecohan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra pada hari raya pertama.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, tindakan penyokong Hindraf itu memberi gambaran negatif terhadap kaum India negara ini.

”Tafsiran kaum lain terhadap kaum India mungkin terjejas selepas tindakan yang tidak bermoral kumpulan tersebut.

”Budaya kaum India menyinggung perasaan kaum lain pada perayaan
mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berharap kerajaan dapat mengambil langkah yang tegas dengan mengenakan tindakan undang-undang ke atas ahli Hindraf yang tidak menghormati perayaan agama kaum lain.

”Mereka sudah keterlaluan, Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut umat Islam setelah sebulan berpuasa,” katanya.

Menurut Osman, selama ini, masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah mengganggu perayaan agama lain dan amat menghormati agama yang dianuti kaum lain.

Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani pula memberitahu, kerajaan tidak sewajarnya ‘memberi muka’ kepada Hindraf yang seolah-olah mahu berlagak seperti hero kepada masyarakat India.

Katanya lagi, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlarutan sehingga akhirnya sukar dibendung.

”Hindraf merupakan golongan yang terpelajar tetapi tindakan mereka itu seperti rakyat kelas ketiga yang tidak mencerminkan latar belakang akademik mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Bekas-Bekas Polis, Shafie Bakri berkata, tindakan Hindraf yang agresif boleh mengundang bahaya dan tingkah laku mereka itu jelas bertentangan dengan peraturan negara.

”Perkara ini tidak boleh dibiarkan, Hindraf sudah naik tocang, perlakuan mereka macam kaduk naik junjung,” tegas beliau.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, kerajaan tidak perlu mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ kerana perlakuan anggota Hindraf sudah sampai ke tahap yang benar-benar menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam.

”Hindraf adalah pertubuhan haram, tetapi saya hairan kenapa KDN masih membisu dan tidak berbuat apa-apa. Mereka telah mencemari perayaan umat Islam dengan perlakuan yang kurang ajar dan amat menyinggung perasaan orang Melayu di negara ini.

”Perdana Menteri secara terbuka telah meluahkan perasaan kecewa terhadap mereka, maka saya mendesak Menteri Dalam Negeri supaya bertindak segera,” katanya.

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

2 Responses to “Tegas Tangani Hindraf”

  1. ombak on October 9th, 2008 12:32 am

    entah lah, tak tau apa nak cakap..pihak berkuasa seolah2 macam takut je nak ambil tindakkan terhadap mereka ni. nak tunggu sampai rusuhan kaum ke???

  2. PKR De Factoed on October 9th, 2008 8:35 pm

    JAMBATAN PERPADUAN SEMEMANGNYA SUKAR DIDIRIKAN TETAPI MUDAH PULA TERBENGKOK.

    Tak kiralah siapa yang biaya majlis rumah terbuka namun ia tidak mewajarkan mana-mana tetamu berbuat sesuka hati tanpa mengikut peraturan, ketetapan, bersikap ‘liar’, serta tidak menghormati tetamu lain termasuk pihak penganjur.

    Tetamu yang melakukan sedemikian itu boleh dianggap sebagai biadap dan ‘besar kepala’. Iaitu satu sikap yang dipandang rendah dan menjurus kepada kebangkitan perasaan tidak senang hati, meluat dan sebagainya.

    Walau apa pun pendirian kita berhubung isu Hindraf dan rumah terbuka, jangan lupa kepada isu asas iaitu ada tetamu, rakyat dan tuan rumah yang rasa tersinggung dan tidak puas hati.

    Bagaimana pula perasaan mereka yang meraikan ‘perayaan agama’ di Bulan Syawal? Tidakkah terfikir bahawa perayaan berkaitan dengan aspek keagamaan adalah tergolong dalam perkara yang perlu dipandang tinggi?

    Rakyat malaysia berbilang agama yang cintakan keharmonian dan saling hormat menghormati telah melihat gelagat ‘pencemaran budaya’ pada majlis rumah terbuka di PWTC baru-baru ini sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia tanpa sedar menjejaskan jambatan hubungan baik sesama insan.

    Sememangnya kebijaksanaan dalam mengawal perasaan amat dituntut bukan saja daripada satu pihak sebaliknya perlukan komitmen pelbagai pihak. Namun, realitinya perasaan manusia sukar dikawal sepenuhnya dan hakikat ini tidak boleh ketepikan begitu saja.

    Kita hanya boleh bersandar kepada faktor kematangan, minda terbuka dan toleransi untuk dijadikan benteng yang dapat menghalang bara yang tercetus daripada terus menyala dalam minda individu. Persoalannya berapa ramai yang memiliki kekuatan dalaman yang sedemikian itu? Kalau ada sekali pun, yakinkah kita yang ianya dapat bertahan kalau diuji pada tahap maksima?

    Oleh itu usah terlalu yakin oleh kerana manusia mampu menyembunyikan dengan baik perasaan yang membara makanya kita lupa di situ tidak ada jaminan yang ianya tidak akan bertukar menjadi seperti ‘api yang membara dalam sekam’.

    Jadinya golongan yang tidak menggunakan platform sesuatu perayaan keagamaan pada jalan kebaikan perlulah bermuhasabah diri. Ingatlah bahawa landasan usaha bagi menggalakkan hubungan silaturahim yang baik antara sesama manusia bukanlah lurus, rata dan licin sebaliknya ia penuh dengan ranjau berduri.

    Justeru dalam konteks perpaduan dan keharmonian negara hasratnya ialah tidak ada pihak yang menjadikan usaha sedemikian bertambah berat dengan muncul menjadi elemen ‘duri dalam daging’ yang merosakkan segala yang telah dan sedang dibina secara mencucuk daripada dalam.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom