Top

Pilih calon miliki rekod cemerlang - Ali Rustam

October 23, 2008 by Pendeta 

MELAKA 22 Okt. - Hanya calon yang sanggup berkhidmat untuk parti dan memiliki rekod lampau yang cemerlang sentiasa menjadi pilihan untuk memegang sebarang jawatan dalam parti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Menurutnya, pegangan tersebut sentiasa diamalkan oleh setiap ahli parti dan ia terbukti apabila UMNO muncul menjadi parti Melayu yang bersatu padu dan sentiasa kukuh.

”Biarpun menghadapi masalah atau cabaran dalam parti, setiap ahli UMNO akhirnya akan sentiasa memilih calon yang terbaik dari banyak-banyak calon yang menawarkan diri merebut jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak projek pembinaan bangunan Wisma Persekutuan bernilai RM208 juta di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Bangunan 21 tingkat itu yang dijangka siap pada November tahun depan dimajukan oleh Konsortium Perwira Bintang Holding Sdn. Bhd. dan Kumpulan Melaka Berhad.

Mohd. Ali berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam yang menyarankan semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara ‘tender’ ekoran gejala politik wang.

Kata Ketua Menteri, pemilihan parti perlu dibuat berdasarkan kesanggupan seseorang calon itu untuk berkhidmat, mempunyai rekod cemerlang dan banyak menyumbang kepada perpaduan parti.

”Ini perkara asas yang wajar digunakan setiap ahli parti untuk memilih di kalangan ramai calon yang bertanding.

”Namun, saya sentiasa percaya perkara ini sentiasa diambil kira dan menjadi amalan setiap ahli UMNO ketika mereka memilih calon pilihan masing-masing kerana ia merupakan perkara asas dan ahli tidak pernah lari dari pegangan mereka ini,” katanya.

Katanya, Rais mungkin mengeluarkan kenyataan tersebut berdasarkan apa yang beliau rasa dan pernah menghadapi pengalaman sedemikian.

Oleh itu, katanya, Rais wajar meluahkan apa yang dirasa sekiranya itulah pengalaman beliau.

Ujarnya, bagi UMNO sendiri, ia wajar menolak sebarang bentuk permainan dan politik wang terutama pada waktu mesyuarat pemilihan jawatan sedang rancak diadakan pada waktu ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat gejala politik wang di kalangan anggota parti yang meminta ‘upah’ daripada calon yang bertanding bagi mendapatkan undi mereka, kata Mohd. Ali, perkara tersebut terpulang kepada individu yang pernah mengalami pengalaman sedemikian untuk membuat tafsiran sendiri.

”Itu terpulang kepada sesiapa yang mempunyai pengalaman itu, saya tidak ada apa-apa pengalaman seperti itu,” katanya.

Namun, katanya, beliau yakin setiap anggota parti itu bijak membuat keputusan dengan memilih pemimpin terbaik dan perkara itu telah dibuktikan melalui mesyuarat pemilihan yang diadakan sebelum ini.-Utusan

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom