PKNS SELONGKAR PEKUNG KHIR TOYO
October 29, 2008 by admin · 8 Comments
Memetik beberapa perenggan dalam kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khaled Ibrahim pada 27 Oktober lalu ketika melantik Puan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berikutan persaraan Read more
Tuduhan Mukhriz…apa komen Ketua Pemuda UMNO Bahagian
October 29, 2008 by Pendeta · 3 Comments
Ekoran kenyataan calon Ketua Pemuda UMNO yang paling popular mendapat pencalonan Datuk Mukhriz Mahathir menuduh Agendadaily mempunyai agenda dalam menyiarkan komen-komen mengenai cadangan diadakan debat bagi calon-calon Ketua Pemuda UMNO, ramai kalangan Ketua Pemuda dan pemimpin UMNO mula menghantar reaksi mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Agendadaily.
Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju dengan cadangan penganjuran debat berkenaan.
Perlu ditegaskan, komen-komen mereka itu dihantar kepada Agendadaily dan bukannya seperti tuduhan Mukhriz bahawa Agendadaily hanya minta komen orang-orang dan penyokong satu lagi calon Khairy Jamaluddin yang setuju debat diadakan.
Perkara ini sudah dijelaskan melalui kenyataan rasmi Ketua Pengarang Agendadaily.
Sebagai makluman juga, selain menyiarkan komen-komen itu di laman web Agendadaily, pihak Agendadaily juga mempunyai perkhidmatan berita melalui SMS yang dikenali sebagai AgendaNews.
Semua komen yang diberikan disampaikan kepada penerima perkhidmatan AgendaNews termasuk Mukhriz sendiri yang menjadi salah seorang penerima perkhidmatan tersebut.
Namun untuk berlaku adil kepada semua bagi menilai polemik baru dalam soal perdebatan ini, diperturunkan semua komen yang disampaikan secara patah demi patah SMS yang diterima daripada kalangan pemimpin Pemuda UMNO Bahagian di samping kenyataan terbuka para pemimpin UMNO serta pihak yang berminat dengan perkembangan ini melalui sidang media mereka.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Klang, Zainuri Datuk Zakaria:
“Apa yang susah sangat nak debat? Bukankah ia baik untuk percambahan minda?Selain itu ia juga akan mengajak masyarakat berfikir… UMNO harus mempelopori perubahan kearah globalisasi. Ini sebahagaian daripada anjakan paradigma yang UMNO harus juarai…selain keluarkan di TV, sebaik-baiknya debat ini perlu diadakan di negeri-negeri, biar perwakilan mendengar sendiri. Kalau soal bekerja, ramai orang yang boleh bekerja tapi ini politik, kita perlukan bukan sahaja orang yang mampu bekerja, kita juga perlukan mereka yang cekap berfikir, serta tangkas bertindak…kalau sesama UMNO pun tak berani berdebat, macam mana nak hadap pembangkang. Kita jangan jumud”
Ketua Pemuda Lembah Pantai, Haji Norazmi Mohamedan:
“Saya menyokong pandangan Dato Mukhriz dan Tok Pa mengena isu debat tersebut” (Mukhriz dan Tok Pa (Datuk Mustapa Mohamad) tidak setuju debat diadakan)
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Suhami Sulong:
“Kita jangan jadi jaguh luar gelanggang. Hari ini gelanggang dah dibuka, silakan berentap dan berdebatlah…apa perancangan, ke mana halatuju, apa pengalaman, apa yang perlu diperbaiki dan yang paling penting sejauh mana kesediaan kita mempertahankan agama, bangsa dan negara…Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga adalah Pengerusi Pemuda BN…Semua rakyat Malaysia bawah 40 tahun nak tahu apakah visi dan misi Pemuda…kita berkira dalam gelanggang…Calon-calon Ketua Pemuda mesti menggunakan kesempatan ini”
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Malim Muhammad Yadzan Mohamad:
“BERANI BERUBAH…kalau berani berubah takkan tak berani berdebat. Hari ini Mukhriz telah membuat perubahan yang cukup berani dalam UMNO apabila memalukan pucuk pimpinan parti maka apalah ertinya hal dalaman parti bagi beliau. Oleh yang demikian, beliau seharusnya menyahut cabaran debat terbuka ini, biar umum lihat, dengar dan membuat penilaian ke atas hujah-hujah beliau dalam hal-hal yang berkaitan. Berani jangan hanya slogan, ia harus dibuktikan…UMNO harus berani mempelopori perubahan…syabas buat Khir Toyo dan Khairy”
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Nasrihat Turiman:
“Ini bukan soal tiru USA, di negara kita anak sekolah pun berdebat (Piala Perdana Menteri), di Universiti (Debat antara Universiti) di Parlimen dah lama kaedah ini diguna pakai. Apa pula timbul soal tiru USA-lah. Tak nak masyarakat tahu hal dalaman partilah, ini tak ada kena mengena dengan hal dalaman parti. Masyarakat mahu dengan visi pemimpin muda yang bakal menrajui negara. Masyarakat juga ada hak kerana akhirnya mereka juga akan memilih kita bila tiba pilihan raya…teruskan debat ini”
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Mohamad Irwan Zulkefli:
“Ahmad Nisfu kata ..jangan takut…lawan…! Jadi apa tunggu lagi. Shabery Cheek yang yang tidak Pemuda pun berani berdebat dengan DSAI, ini koma (istilah Perak untuk awak) Pemuda sama Pemuda pun nak ngelat (istilah Perak untuk elak diri)… kalau minta lawan cakap pun koma tak berani, jangan ceritalah soal mempertahankan ugama dan negara, rentikan je lah…”
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong yang juga calon Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia, Ramli Simbok:
“Saya amat bersetuju debat antara calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia diadakan bagi memberi ruang yang seluas-luasnya kepada para perwakilan yang rata-rata 80 persen orang baru menilai siapakah pemimpin yang benar-benar layak dipilih. Perwakilan perlu didedahkan segala maklumat mengenai calon. Ia juga bertujuan elak penyalahgunaan wang bagi memenangi kerusi tersebut. Soal risiko tak timbul kerana hal yang sama turut dilakukan di negara-negara maju. Kita tidak mahu Ketua Pemuda dipilih atas dasar populariti tetapi hingga terlupa yang berkualiti”
Exco Pemuda UMNO Malaysia yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Nasarah:
“Kalau Pemuda UMNO mahu berperanan sebagai badan yang mewakili generasi muda dalam negara ini, kita perlukan pemimpin yang punyai kehebatan dalam segala bidang termasuk kepetahan berhujah. Sebab itu kita sokong debat diadakan dalam soal pemilihan pemimpin Pemuda UMNO. Kerana dalam situasi kini, untuk memperlihatkan Pemuda UMNO hebat, Pemuda bukan hanya sekadar hebat dan mewakili generasi muda dalam kelompoknya sahaja tapi mesti dilihat hebat dan memperjuangkan kepentingan keseluruhan generasi muda Malaysia. Pemuda UMNO mesti dibawa berada di tengah-tengah orang muda dan memperjuangkan kepentingan mereka. Jesteru, debat membolehkan penilaian dibuat oleh keseluruhan generasi muda. Alasan ia boleh memburukkan parti adalah alasan yang tidak boleh diterima kerana sebelum ini kenapa kita tidak berkata demikian apabila pelbagai kritikan secara terbuka yang mendedahkan kelemahan pemimpin dan parti kepada umum?”
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia Tajudin Ahmad:
“Sokong debat diadakan. Orang dalam belia pun nak tahu hala tuju kepimpinan Pemuda UMNO. Debat bukan nak cari salah tapi kita mahu lihat kepimpinan muda yang berkarisma dan debat adalah salah satu cara untuk lihat perkara itu”
Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali yang juga bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia (era 80-an)
“Saya cadang debat di tukar bentuk forum untuk calon-calon Ketua Pemuda UMNO. 3 calon menjadi ahli panel. Kalau saya boleh terlibat sama, saya nak tanya 3 soalan saja iaitu halatuju kepimpinan Pemuda, usaha untuk kembalikan idealisme perjuangan Pemuda dan apakah pendirian mereka terhadap hak Melayu yang semakin dicabar”
Selain SMS yang diterima, pihak Agendadaily juga menghantar komen serta pandangan para pemimpin UMNO berhubung isu debat ini. Berikut adalah berita yang dihantar melalui perkhidmatan Berita AgendaNews :
“INI SUARA DR MAHATHIR …Beliau berpendapat debat pemilihan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan UMNO tidak perlu diadakan kerana ia tidak beri sebarang kesan. Katanya, apa yang didebatkan hanya berkisar soal parti dan bukan negara. Kita juga belum sampai ke tahap Amerika Syarikat, katanya – AgendaNews”
“INI UJIAN…Ketua Pembangkang DUN Kelantan D Alwi Che Mat setuju debat terbuka dibuat tetapi harus terkawal kerana itulah ujian kebijaksanaan pemimpin. Namun katanya, tidak semua perkara dapat diselesai melalui debat khususnya perkara sensitif yang libatkan agama dan kaum. Dalam pada itu ADUN Benut yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian D Hasni Mohamad cadang debat kepimpinan Pemuda UMNO diadakan di kampus dahulu sebagai langkah awal atau ‘test case’ – AgendaNews”
“TERTUTUP OK…Calon Naib Presiden DS Khaled Nordin kata, siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO 2007 patut dijadi iktibar sebelum debat terbuka pemilihan UMNO hendak diadakan. Sebab itu perlu ada kebijaksanaan dan kalau nak buat perbahasan, kena buat secara tertutup dan bukannya secara terbuka, katanya – AgendaNews”
“Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sokong diadakan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam Umno.Katanya di Kapit,Sarawak hari ini pendekatan itu akan bolehkan orang ramai menilai personaliti calon, tahap kebijaksanaan, kekuatan dan paling penting, kewibawaan.-Agendanews”
“SOKONG…Calon Naib Ketua Pemuda UMNO, D Reezal Merican sokong agar debat dianjurkan bagi calon2 Ketua Pemuda UMNO. Biarlah namanya debat atau bicara politik asalkan ia tertib dan berhemah, katanya. Beliau kata demikian sebagai ulas polemik cadangan debat yang timbulkan reaksi ada yang setuju dan tak setuju – AgendaNews”
“TAK SETUJU……Ketua UMNO Bahagian Paya Besar,Pahang, Datuk Ahmad Tajuddin pula kata penonjolan melalui debat tidak akan bantu pemilihan pemimpin yang tepat.Menurutnya malah ia boleh melindungi kewibawaan sebenar calon dan debat hanya berkesan jika ia melalui tapisan intregriti calon dulu-AgendaNews
Sumber agendadaily.com
Pertandingan Rebut Jawatan Umno Tak Adil, Kata Shahidan
October 29, 2008 by Pendeta · 2 Comments
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Pertandingan merebut jawatan peringkat Majlis Tertinggi Umno pada masa ini tidak berapa adil, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim, hari ini.
Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata calon-calon dari negeri yang kecil seperti Perlis mempunyai perwakilan yang tidak ramai berbanding negeri besar yang lain seperti Pahang, Sabah, Perak dan Johor.
“Mereka dari negeri kecil payah sebab perwakilan kecil. Tetapi dalam persatuan dan persatuan sukan boleh sebab mereka hantar jumlah perwakilan sama. Kalau duduk di Perlis payah sikit,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini.
Namun katanya beliau tidak kisah dengan perkara itu dan percaya akan mendapat pencalonan bagi kerusi Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan akan datang.
Shahidan yang juga Naib Yang Dipertua Perkim berkata satu lagi perkara yang ingin dimaklumkannya ialah mengenai pandangan umum bahawa pemimpin negara hanya datang dari tiga negeri sahaja iaitu Pahang, Kedah dan Johor.
“Kalau ada dari Pulau Pinang misalnya Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) nak tumpang sekejap sahaja, dijatuhkan. Ini pandangan tak betul. Kita mesti percaya kepada qada’ dan qadar.
“Apa yang berlaku sekarang memang begitu iaitu kepimpinan Malaysia datang dari Kedah, Pahang dan Johor dan begitu juga bakal kepimpinan kelak. Orang lain nak tumpang sekaki seperti dinafikan hak mereka,” katanya.
Shahidan berkata kepimpinan Malaysia hendaklah orang yang layak dan mampu memimpin negara ke arah yang baik.
Mengenai debat antara calon yang bertanding pada pemilihan Umno kelak, beliau mencadangkan diadakan debat secara tertutup yang hanya disaksikan anggota pergerakan yang terbabit untuk semua calon peringkat tertinggi parti yang mahu bertanding.
“Kenapa mesti debat Pemuda sahaja. Wanita, Puteri, Naib Presiden, Timbalan Presiden pun perlu buat debat.
“Kalau cadang antara Khairy (Jamaluddin) dan (Datuk) Mukhriz (Tun Dr Mahathir) sahaja ia seperti nak memperlagakan antara mereka. Tak eloklahlah ini (seperti ada) proksi Mahathir dan Pak Lah, tak eloklah begitu. Jangan tumpu Mukhriz dan Khairy semata-mata,” katanya.
Shahidan sebelum ini menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan Umno akan datang namun menarik diri dan hanya bertanding bagi kerusi Majlis Tertinggi.
Beliau kini memperoleh 24 pencalonan daripada perwakilan bahagian yang mula bermesyuarat sejak 9 Okt lepas.-Bernama
Lantik Low: ‘Tidak pernah berlaku’ dalam sejarah PKNS
October 29, 2008 by admin · 2 Comments
Pelantikan seorang pegawai kanan bukan Melayu di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat “tidak membaca sejarah” agensi pembangunan ekonomi itu yang ditubuhkan untuk membantu bumiputera.
“Kita berasa amat kecewa kerana perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah PKNS. PKNS ditubuhkan untuk membantu Bumiputera,” kata wakil rakyat Kuang, Abdul Syukur Idrus kepada Malaysiakini.
Tambahnya, beliau berasa kesal dengan pelantikan timbalan pengurus korporat dan akaun PKNS Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar perbadanan tersebut dengan berkata “tiada lagikah orang Melayu yang boleh mentadbir PKNS?”.
“Sekiranya mereka (kerajaan Selangor) kurang pemimpin (untuk PKNS), boleh rujuk kepada kita dan kita boleh memberi nama yang bersesuaian,” katanya.
Abdul Syukur, yang juga ketua Pemuda Umno Selangor berkata, tindakan menteri besar tersebut dipercayai atas desakan pihak lain, kemungkinannya DAP “untuk menguasai kerajaan.”
Beliau, yang juga ketua bahagian Umno Selayang, mendakwa tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bertujuan untuk mengekalkan sokongan bangsa lain terhadap Pakatan Rakyat.
“MB mencari kaedah untuk mengembalikan sokongan-sokongan bangsa lain kepada mereka tanpa mengira maruah bangsa (Melayu) yang dijual.
“Apa yang dibuat (keputusan tersebut), tidak nampak kepada pembelaan terhadap bangsa Melayu,” tambahnya, sambil menyebut kontroversi yang dicetuskan oleh Abdul Khalid berhubung kuota kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ogos lalu.
Pemuda Umno Selangor akan menghantar surat bantahan berhubung pelantikan itu kepada menteri besar dalam masa yang terdekat, kata Abdul Syukur. “Selewat-lewatnya awal pagi Khamis (ini),” katanya.
Pergerakan itu juga akan menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi mengkaji kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Beliau juga menyeru orang Melayu di negeri itu tanpa mengira ideologi politik agar bersatu “supaya tidak diperkotak-katikkan”.
Sementara wakil rakyat MCA bagi Sungai Pelek, Yap Ee Wah berkata beliau bersikap berkecuali dalam isu pelantikan Low itu asalkan rakyat miskin di negeri itu mampu memiliki rumah.
Beliau berkata kenaikan pangkat Low, yang disambung perkhidmatan selama setahun, kerana “mungkin (menteri besar) ada alasan tersendiri melantiknya”.
“Saya berharap rakyat Selangor dapat manfaat dalam perlantikan tersebut membantu menjadikan Selangor negeri maju,” tambah Yap.
Mengulas yang sama, wakil rakyat DAP bagi Kampung Tunku, Lau Weng San pula menggesa PKNS melantik seorang tokoh pentadbir yang berwibawa tanpa mengira kaum.
Sambil menyifatkan pelantikan yang dibuat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim “tepat pada masanya”, Lau berkata:
“Kita perlu memastikan supaya seseorang yang dilantik untuk menyandang jawatan ini merupakan seseorang yang berkemampuan untuk menepati sasaran ini tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan jantinanya.”
Tambahnya, PKNS perlu bertanggungjawab kepada semua lima juta rakyat Selangor dan “bukan puak-puak tertentu sahaja”.
“Adalah tidak masuk akal untuk kita menjadikan sebuah anak syarikat kerajaan itu sebagai sebuah syarikat yang memperjuangkan agenda-agenda sesetengah masyarakat sahaja padahal separuh daripada rakyat Selangor ialah golongan bukan Bumiputera,” kata Lau di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Low bagi menggantikan Datuk Harun Salim yang bersara akhir bulan ini.
Wakil pegawai dan kakitangan PKNS yang diketuai oleh presiden Persatuan Pegawai Kanan PKNS Idris Ishak hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar berhubung pemilihan Low.
Sementara itu, exco kerajaan negeri Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid bagi membincangkan isu tersebut.
Selepas pertemuan itu, Dr Hasan dipetik sebagai berkata, menteri besar bersedia memendekkan tempoh Low jika PAS mendapatkan calon penggantinya yang berkaliber dan berpengalaman.
Beliau, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, akan bermesyuarat bagi memilih calon yang sesuai untuk diketengahkan bagi mengisi jawatan itu.
Menurut Bernama, setakat ini parti Islam sudah mempunyai dua calon untuk mengisi jawatan itu.
Dr Hasan juga dilaporkan berpendapat timbalan pengurus besar pentadbiran Md Nasir Md Arshad dan timbalan pengurus besar teknikal Abdul Ghani Hassan lebih layak dipertimbangkan kerana mereka berkhidmat lebih 30 tahun berkhidmat bersama perbadanan itu.
Replika Anwar ingin dikekalkan hingga Krismas
October 29, 2008 by admin · 12 Comments
Imej besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menimbulkan kontroversi, akan diruntuhkan awal bulan depan jika permohonan mereka melanjutkan tempoh penegakannya tidak diluluskan. Read more
Tidak perlu sekatan, Puteri perlu bebas buat pencalonan - Shahaniza
October 29, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri Umno, Datuk Shahaniza Samsuddin mahu perwakilan Puteri Umno bahagian diberi kebebasan untuk membuat sebarang pencalonan tanpa sebarang sekatan.
“Sepatutnya kita beri peluang kepada Puteri di peringkat bahagian untuk mengemukakan sebarang pencalonan mengikut kemahuan mereka sendiri,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, beliau ada menerima maklumat bahawa wujudnya halangan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tidak mencalonkan calon-calon tertentu.
Jelasnya, sesetengah Puteri bahagian diarahkan untuk mencalonkan calon-calon tertentu kerana mempunyai agenda tersembunyi walaupun arahan itu bertentangan dengan kehendak pergerakan Puteri itu di peringkat akar umbi.
“Kadang-kadang pencalonan dibuat sekadar untuk mengambil hati ataupun atas arahan Ketua Bahagian,” katanya yang ennggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.
Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Puteri Umno pusat bagaimanapun berkata, jumlah pencalonan yang banyak bukan kayu pengukur kepada kejayaan seseorang dalam pertandingan bagi merebut jawatan tertinggi sayap Umno itu.
“Bagi saya jumlah pencalonan itu tidak begitu penting, yang penting ialah pada peringkat pemilihan Mac nanti.
“Bagaimanapun saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada bahagian-bahagian yang mencalonkan saya dan saya mempunyai keyakinan seratus peratus untuk bersaing dalam pertandingan ini,” katanya.
Setakat ini Shahaniza memperoleh 57 pencalonan iaitu ketinggalan dua pencalonan di belakang Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang kini menerima 59 pencalonan bagi merebut jawatan yang sama.
Menurut beliau, jumlah pencalonan yang diperoleh oleh setiap calon yang menawarkan diri bagi jawatan Ketua Puteri ini adalah isyarat yang diberikan oleh ahli akar umbi yang ingin melihat kepada perubahan.
“Pada saya akar umbi dah berikan isyarat mengenai calon-calon pilihan mereka untuk membawa perubahan dalam Puteri,” katanya yang turut mengakui setiap calon yang ingin bertanding mempunyai kelebihan tersendiri.
Ditanya sama ada beliau melihat tujuh calon yang dicalonkan bagi merebut jawatan ini menunjukkan satu persaingan yang sengit, beliau berkata, soal saingan adalah perkara kedua.
“Perkara utama ialah kita perlu melihat kepada signal yang diberikan untuk membawa perubahan yang positif dalam Puteri,” katanya.
Lima lagi yang dicalonkan bagi jawatan Ketua Puteri ialah Ismalina Ismail (30), Bibi Sharlizah Mohd. Khalid (22) dan Azlina Mehtab Mohd Ishaq (9).
Bagi Nordiana Shafie dan Ida Rahayu Md Noor yang masing-masing memperoleh satu pencalonan setakat ini, mereka masih memerlukan satu lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan tersebut kerana kuota calon yang ingin bertanding jawatan Ketua Puteri ialah dua pencalonan.- mStar
Rosnah: Saingan bersejarah diharap bebas unsur negatif
October 29, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berharap saingan pemilihan jawatan Ketua Puteri Umno Malaysia Mac depan tidak dicemari dengan gejala tidak sihat seperti politik wang.
“Saya amat berharap supaya imej Puteri dan Umno amnya tidak tercemar dengan perkara-perkara negatif seperti itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, hingga kini beliau masih belum menerima sebarang laporan mengenai unsur rasuah ataupun sabotaj kepada calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding.
Rosnah kini memperoleh 59 pencalonan mendahului enam calon lain bagi merebut jawatan Ketua Puteri Umno.
Tambah beliau, saingan yang ramai bagi jawatan tersebut menunjukkan amalan demokrasi masih diteruskan dalam Umno serta perkembangan positif ke arah masa depan sayap Umno itu.
“Agak ramai juga yang bersaing bagi jawatan ini, tapi inilah demokrasi dalam umno yang masih terus dipertahankan,” katanya.
Menurut beliau ini adalah kali pertama Puteri Umno berhadapan dengan pemilihan bagi jawatan tertinggi pergerakan tersebut kerana sebelum ini, jawatan Ketua Puteri yang pernah diterajui oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dan penyandangnya kini iaitu Datuk Noraini Ahmad menang tanpa bertanding.
“Ini adalah tahun pertama dan pengalaman pertama Puteri memilih ketuanya.
“Jadi kemunculan ramai calon membuktikan Puteri tidak ketandusan pemimpin pelapis yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada parti,” katanya.
Jelasnya lagi, perubahan ini juga adalah kesan daripada fenomena selepas pilihan raya Mac lalu yang menunjukkan Umno dan keseluruhan sayapnya perlukan perubahan untuk menjadikan parti itu kekal relevan.
Beliau juga menekankan bahawa soal kalah atau menang bukan menjadi agenda utama dalam pemilihan Mac depan.
“Menang atau kalah bukan ukuran, tapi yang penting ialah tujuan untuk teruskan perjuangan parti itu adalah perkara utama,” katanya.
Ditanya mengenai persediaannya menghadapi pemilihan Mac nanti, beliau berkata agenda untuk berjumpa perwakilan di peringkat akar umbi sudah lama di laksanakan.
“Saya menemui ahli akar umbi sudah lama, bukan hanya selepas umum untuk bertanding.
“Namun bagi saya berkempen memang amat wajar kerana ia memberi peluang kepada calon untuk jelaskan dan kongsi visi dan misi yang ingin dibawa,” katanya. -mStar
Shahrir Tidak Gentar Dengan SMS Ugutan
October 29, 2008 by Pendeta · Leave a Comment
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Anggota Parlimen Johor Baharu Datuk Shahrir Abdul Samad berkata beliau tidak gentar dengan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan yang diterimanya baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata beliau juga tidak akan membuat laporan polis atau mengadu kepada Lembaga Disiplin Umno mengenainya, kerana beliau mampu mengendalikan situasi itu.
Beliau berkata perkara mengenai ugutan itu dibangkitkannya supaya ia menjadi ingatan kepada pihak-pihak yang berkempen, agar mereka tidak berkempen dengan cara yang kasar.
“Ugutan itu bukan ugutan jenayah, tetapi ugutan politik, minta bahagian saya calonkan sekian-sekian, kalau tidak saya akan disenaraihitam dan perjalanan kerjaya politik saya akan susah.
“Kalau saya gentar (dengan ugutan itu) mesti saya akan diamkan sahaja perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Barang di sini, Selasa.
Ahad lepas Shahrir dilaporkan berkata ada pihak yang menghantar mesej berbau ugutan kepadanya melalui SMS sejak bermulanya mesyuarat perwakilan Umno bahagian dua minggu lepas, dan menurutnya beliau menerima lebih 10 mesej sedemikian.
Sementara itu dalam perkembangan lain Shahrir berkata langkah untuk menghapuskan ekuiti 30 peratus bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam seperti yang dicadangkan Timbalan Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai, memerlukan perbincangan dan persetujuan ramai.
“Tak nampak kebijaksanaan apabila disarankan secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata apa yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihapuskan secara beransur, adalah suatu perkara yang besar dan serius.
“Apa pun pindaan, penyusunan, penyesuaian yang akan dilakukan ke arah itu, tak boleh dibahaskan secara terbuka,” katanya.
Semalam, Naib Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai dilaporkan berkata syarat pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam perlu dihapuskan kerana ia hanya menjadi halangan dalam mewujudkan kerjasama jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India dalam negara. -Bernama
Puak Dalam Parti Bakal Musnahkan Umno - Azalina
October 29, 2008 by admin · 5 Comments
KAHERAH (MESIR), 28 Okt (Bernama) — Kewujudan “puak-puak” akibat keghairahan calon merebut jawatan dalam Umno boleh menyebabkan kehancuran kepada parti itu, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Azalina Othman Said. Read more
Pembelian Eurocopter Akan Dibincang - Najib
October 29, 2008 by Pendeta · 9 Comments
PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri berhubung penangguhan pembelian helikopter Eurocopter EC725.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ini kerana kerajaan telah memutuskan agar projek yang tidak mempunyai kesan yang besar dikaji semula pelaksanaannya agar peruntukan yang boleh dijimatkan itu dapat diguna untuk membangunkan ekonomi dan dapat dirasai oleh rakyat.
“Oleh itu, dalam mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Negara baru-baru ini, kita telah bincang beberapa projek yang boleh dikatakan sebagai ‘lumpy expenditure’ yang boleh dikaji semula.
“Bagaimanapun, kita telah serahkan perkara ini untuk dirunding dengan kementerian yang berkenaan khususnya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan mesra Aidilfitri anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725, yang keseluruhannya bernilai RM1.679 bilion, pada masa ini sehingga keadaan krisis ekonomi dunia kembali stabil.
Najib berkata jika Kementerian Pertahanan boleh menerima prinsip ini, projek-projek seperti itu boleh dikaji semula pelaksanaannya sama ada ditangguhkan pelaksanaannya atau pembayarannya dipanjangkan.
“Jadi, khusus tentang pembelian Eurocopter ini, kita akan bincang dengan Kementerian Pertahanan dari segi kaedah yang paling sesuai.
“Walaupun ada keperluan dari segi airforce kerana pesawat Nuri ini terlalu lama dan banyak Nuri yang telah jatuh terhempas dan ramai yang telah terkorban jadi, sebab itulah tender antarabangsa telah dipanggil untuk menggantikan pesawat Nuri,” katanya._Bernama


















