NAJIB REGU PAK LAH PALING ABDAL
October 6, 2008 by admin
Dalam bacaan senario politik UMNO hari ini, keadaan sudah banyak berubah. Hanya tinggal beberapa hari saja lagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengumuman sama ada mahu mempertahankan jawatan Presiden UMNO atau pun tidak, nampaknya jawatan yang Datuk Seri Najib Tun Razak sudah ramai yang minat.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak perlu menunggu jawapan dari Pak Lah lagi untuk mereka menawarkan diri untuk merebut jawatan Timbalan Presiden walaupun Najib belum pun menyatakan pendiriannya mahu mempertahankan jawatan yang disandang atau akan menawarkan diri untuk jawatan Presiden.
Pada pendapat ramai, Najib menunggu apa kata Pak Lah. Kalau Pak Lah kata tidak mempertahankan jawatan presidennya, Najib sudah pasti akan menawarakan diri untuk jawatan presiden. Kalau Pak Lah kata akan mempertahankan jawatannnya, Najib juga katanya akan tetap menawarkan diri dan sanggup bertentang dengan bosnya Pak Lah.
Walaupun sebelum ini Najib pernah berkata berkali-kali tidak akan melawan rebut jawatan presiden selagi Pak Lah masih memegang jawatan, ramai yang ragu Najib dapat mempertahankan kata-katanya untuk dikota. Padanya, masa sudah sampai. Janji itu biarlah tinggal janji.
Baginya keadaan sudah berubah dan beliau perlu merebut jawatan presiden.
Pada asalnya, Najib sedia menanti peralihan kuasa pada 2010 untuk beliau dinobatkan menerima sokongan Pak Lah untuk jawatan presiden yang mana Pak Lah sudah berjanji akan menyerahkan kepada beliau. Tetapi oleh kerana Muhyiddin bagaikan ‘mengaruk’ mahukan peralihan kuasa disegerakan, akhirnya Majlis Tertinggi bagaikan ‘terpaksa’ mengubah tarikh peralihan kuasa yang dijangka pada bulan Mac tahun hadapan serentak dengan Persidangan Tahunan UMNO yang dilanjutkan.
Dengan melanjutkan tarikh persidangan pemilihan, ia tidak lagi boleh disebut sebagai tarikh peralihan kuasa kerana dengan lanjutan itu bererti akan berlaku banyak lagi perubahan dalam senario politik UMNO. Ia akan memberi masa yang cukup untuk ramai lagi membuat kira-kira dan menemui akar umbi untuk membuat tawaran diri untuk pelbagai jawatan.
Sebaik sahaja Pak Lah yang bukan mudah berpatah semangat memaklumkan beliau akan mempertahankan jawatan presiden, maka tidak syaklah akan pasti berlaku pertandingan tiga penjuru – Pak Lah, Najib dan Tengku Razaleigh.
Tidak ramai akan terkejut seorang dua lagi akan membuat tawaran untuk menjadikan ia empat atau lima penjuru untuk jawatan presiden. Kecualilah Najib kembali kepada ketetapan asalnya tidak melawan ketuanya dan hanya menawar diri untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan akur dengan peralihan kuasa pada 2010 nanti atau bila mana Pak Lah mahu mengundur diri sebelum itu.
Jika ini berlaku, saham Najib akan mendadak naik dan mereka yang sudah membuat tawaran seperti Zahid, Mohd Ali atau mungkin Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang sedang memikir mahu memilih jawatan tertinggi, atau sikit bawah, akan terkapai dan bersedia untuk kalah di tangan Najib. Di katakan begitu adalah kerana asas Najib begitu kukuh dengan jawatan Timbalan Presiden yang bakal menjadi Presiden suatu hari nanti atau sebaik sahaja Pak Lah mengundur diri.
Memerhatikan keadaan sekarang, Pak Lah masih dilihat relevan untuk mengemudikan UMNO jika dikira daripada sudut kekuatan mental, fizikal dan rancangan beliau yang belum selesai terutama membasmi kemiskinan, Pak Lah belum patut undur. Beliau kena pertahankan dengan apa cara sekalipun kerana agenda beliau yang kaw-kaw lain seperti membasmi gejala rasuah dan memadukan orang Melayu terutamanya selain daripada mengukuhkan perpaduan kaum belum selesai.
Jika kita mahu mengambil kira keadaan ekonomi yang bermula dari kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan tingkah laku buruk pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan haram yang mengganas, semua negara di dunia menghadapinya. Dengan menurunkan Pak Lah dari jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri tidak akan menurunkan harga barangan dan membaiki keadaan rakyat yang berpihak kepada pembangkang ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Rakyat mahukan perubahan. Tetapi perubahan yang telah ditunjukkan melalui pemerintahan parti pembangkang di lima buah negeri ternyata tidak menunjukkan lebih baik dari Barisan Nasional. Ia lebih teruk lagi hingga semakin ramai rakyat sudah mula menoleh kepada BN yang dilihat lebih adil dan bertimbang rasa dalam semua perkara.
Dari tingkah laku negeri-negeri yang sekarang ini diperintah pembangkang tidak memberikan satu impak pembaharuan yang rakyat harapkan. Malah ia sangat mengecewakan dan tidak kurang yang bimbang akan kerakusan kuasa yang berleluasa. Nescaya dalam PRU Ke-13, rata-rata rakyat akan akur dengan pengalaman dan agenda BN yang konsisten dalam menangani keperluan rakyat dan pembangunan tanpa henti.
Pengalaman PRU Ke-12 adalah satu percubaan di mana regim Pak Lah telah membebaskan banyak perkara termasuk bebas bersuara, bebas dikritik, bebas menyatakan apa saja yang rakyat mahu suarakan melalui pelbagai saluran. Maka bertolak daripada situ, dalam menghadapi PRU Ke-13, kalau Pak Lah masih perdana menteri, pilihan rakyat akan berubah kembali kepada BN.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Pak Lah akan dilihat lebih mantap setelah segalanya disusun semula dengan lebih teratur terutamanya dalam barisan penyokong kental tanpa duri dalam daging, tanpa gunting dalam lipatan, tanpa api dalam serkam tetapi didokong rapat oleh ahli kabinet dan wakil rakyat yang ikhlas dan jujur tanpa perasaan tamak, gopoh dan sentiasa cekal untuk bersama pemimpin demi kepentingan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Buat ketika ini, Pak Lah memerlukan regu yang terbaik untuk menguruskan semula apa yang rabit, menampal di mana yang telah rosak, mengikis daki tebal yang melekat. Pastinya Najib adalah pilihan Pak Lah dan Najib sendiri kena akur bahawa beliau adalah personaliti yang paling cocok untuk menjadi gandingan hingga tiba masanya beliau sendiri mengambil alih tampuk utama tanpa banyak bicara.
Hanya Najib yang tahu apa impian Pak Lah terhadap negara ini dan ke mana hala tuju kita. Beliau pasti sudah dapat merasakan harga dirinya dinilai dari kaca mata seorang ketua untuk dijadikan pengganti paling abdzal tanpa menghiraukan siapa mahu merebut jawatan apa sekali pun. Yang mahu rebut itu, rebutlah dan perwakilan dan ahli UMNO akhirnya akan sedar yang mana kaca, yang mana intan, yang mana besi buruk, yang mana kayu dan yang mana plastik.
Oleh Abidin Manab




















khairy mana nk campak?
abdal tu apa ar??? hahaha…
tu lah…
yang aku tau afdal.. afdal tu lagi elok, yang bgs..
abdal tu bunyi dia mcm bodoh n bebal jerk..