Top

Keputusan Abdullah ikhlas

October 10, 2008 by Pendeta 

KUALA TERENGGANU 9 Okt. - Keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac tahun depan mencerminkan keikhlasan Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan rakyat, parti dan negara melebihi segala-galanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan Abdullah selaras dengan tradisi UMNO bagi membolehkan proses peralihan kuasa berlangsung secara tertib, sopan, berhemah dan lancar.

Menurutnya, ia merupakan amalan, cara dan tradisi UMNO yang selama ini telah menentukan kestabilan dan kemakmuran negara.

”Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap keupayaan saya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan,” katanya selepas Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Najib memberitahu, keputusan yang dibuat Abdullah adalah hasil perbincangan dan persefahaman antara mereka selaku orang nombor satu dan nombor dua negara.

Katanya, sebagai timbalan, beliau tidak akan melawan ketuanya walaupun tindakannya itu dilihat sebagai tidak berpendirian.

”Sebagai timbalan, saya kena tunjuk taat kepada ketua. Takkan saya hendak lawan ketua saya…dalam mesyuarat bangkang dia…tidak boleh, buruk sekali,” katanya.

Bagaimanapun beliau memaklumkan kepada Abdullah supaya mencari formula yang menghasilkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

”Jadi saya bincang dengan Pak Lah dan beliau putuskan beliau tidak akan tawarkan diri bertanding atau pertahankan jawatan Presiden UMNO.

”Inilah yang diberitahu Pak Lah kepada saya secara peribadi, antara satu sama satu. Bila dan masanya itu rahsia saya dan Pak Lah, tapi kami ada persefahaman dan akhirnya itulah yang diluahkan beliau dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam,” ujarnya.

Najib juga memberitahu, Abdullah sedar rakyat mahu pelan peralihan kuasa dipercepatkan dan beliau menerimanya.

Sebab itu jelasnya, Presiden UMNO itu menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepadanya sedangkan portfolio berkenaan sepatutnya dipegang Perdana Menteri.

”Dengan rela hati beliau serahkan portfolio itu kepada saya sebagai persediaan untuk menerajui negara supaya saya fahami selok-belok ekonomi kerana ia merupakan cabaran utama dan memang pun dengan kemelut ekonomi dunia yang berlaku sekarang, ia amat mencabar,” ujarnya. -Utusan

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom