Top

Hormati Perlembagaan - PM

October 18, 2008 by Pendeta 

Dalam amanat beliau ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, Perdana Menteri menegaskan bahawa hak-hak asas yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan harus dihormati oleh semua kaum.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Abdullah mengingatkan kepada anggota Kabinet tentang signifikan pendirian Raja-raja Melayu itu diperkukuhkan di kalangan sektor kerajaan.

”Perdana Menteri pagi ini menegaskan situasi yang meliputi kenyataan khas yang dikeluarkan oleh Raja-raja Melayu semalam.

”Dan seharusnya kami dalam Kabinet memahaminya sebagai yang terpenting,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, satu kenyataan akhbar khas Raja-Raja Melayu dikeluarkan berhubung hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum Lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan hasil daripada perbincangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang diperbuat dan diputuskan sebelum baginda berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, amanat Perdana Menteri itu didengar serius serta difahami oleh semua anggota Jemaah Menteri.

”Kontrak sosial yang dibangkitkan oleh Raja-raja Melayu itu telah diterjemahkan dalam mesyuarat Kabinet dan seharusnya ia tidak lagi dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

”Ini kerana Raja-raja Melayu bukan sahaja raja untuk orang Melayu tetapi juga raja bagi semua kaum,” katanya.-Utusan

Oleh ZULKIFLI JALIL

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom