Top

Calon perlu muhasabah diri – Shahidan

October 7, 2008 by admin 

KANGAR 6 Okt. – Pemimpin yang mahu bertanding jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO pada mesyuarat pemilihan parti Mac depan perlu bermuhasabah diri agar tidak memperkecilkan jawatan tersebut.Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, jawatan yang mulia dan tertinggi dalam parti itu perlu dijaga kedudukannya supaya tidak dijadikan medan perebutan dan
berseronok-seronok.

Menurutnya, jawatan tersebut memerlukan individu berpengalaman, beramanah dan mempunyai tanggungjawab cukup berat terhadap agama, bangsa dan negara.

”Kalau dilihat keadaan sekarang dengan jumlah pencalonan yang ramai memang bagus kerana menyemarakkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita, tetapi sebaiknya biar calon yang layak dan berpengalaman sahaja bertanding.

”Sekiranya ramai yang bertanding ia akan ‘merendahkan’ kedudukan kedua-dua jawatan itu dan kelihatan seperti ‘medan rebutan harta rampasan perang’ pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai semakin ramai pemimpin UMNO yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO menjelang pemilihan parti Mac depan.

Antara yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO ialah Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sementara itu jawatan Naib Presiden pula menjadi rebutan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar; bekas Naib Presiden, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Shahidan sendiri.

Beliau mencadangkan sebagai panduan, pemimpin yang ingin bertanding perlu mempunyai sembilan kriteria pada diri mereka.

Katanya, kriteria itu ialah berketerampilan, berilmu mengenai isu dalam dan luar negara, mempunyai latar belakang agama, berpengalaman dalam parti dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi.

”Kriteria lain seperti mempunyai visi yang jelas di dalam parti, di kalangan MT, ikhlas dan bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding perlu bermuhasabah diri agar tidak bertanding untuk berseronok-seronok dalam merebut jawatan berkenaan.

Beliau juga mengesyorkan supaya semua pihak berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan negeri masing-masing agar kedua-dua jawatan utama tersebut tidak diperkotak-katikkan.

”Dalam masa terdekat ini mungkin ada lagi seorang dua di kalangan MT yang akan membuat pengumuman untuk bertanding jawatan ini,” jelasnya.

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom