Top

Calon Ketua Puteri tolak kompromi

October 7, 2008 by admin 

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Para pemimpin Puteri UMNO yang menawarkan diri merebut jawatan ketua pergerakan itu tidak merancang berkompromi dan mereka mahu pertandingan terbuka diadakan untuk jawatan itu pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Secara umum, mereka berpendapat sudah tiba masanya pemimpin Puteri dipilih melalui pertandingan selaras dengan usia pergerakan itu yang semakin matang.

Naib Ketua Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin, 36, berkata, pemilihan kali ini akan menjadi sejarah kepada pergerakan itu kerana buat pertama kali ia bakal menyaksikan pertandingan untuk semua jawatan.

“Kompromi tidak boleh dilakukan kerana kesemua yang menawarkan diri untuk bertanding kali ini telah pun melepasi usia 35 tahun iaitu had umur dibenarkan menjadi ahli biasa Puteri,” katanya.

Beliau berkata, had kelayakan bertanding jawatan Ketua Puteri ialah di bawah 40 tahun berbanding usia ahli biasa sehingga 35 tahun.

“Penolakan kompromi dan pertandingan adalah satu proses demokrasi serta menjadi permintaan peringkat akar umbi parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rosnah, ahli-ahli Puteri mahu mereka diberikan peluang untuk memilih pemimpin pergerakan itu.

Seorang lagi calon Ketua Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Samsuddin, 38, berkata, adalah tidak adil kepada ahli akar umbi jika setiap kali pemilihan jawatan Ketua Puteri berlangsung, ia ditetapkan melalui kompromi dan perbincangan.

Ketua Penerangan Puteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul dari Pahang itu menjelaskan, memang mudah untuk mendapatkan jawatan melalui kompromi tetapi perbuatan itu menafikan hak ahli Puteri.

Sementara itu, Datin Ismalina Ismail, 37, yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Puteri juga berpendapat bahawa kompromi bukan satu pilihan.

Katanya, kompromi sesuai pada pemilihan sebelum ini kerana ketika itu pergerakan Puteri UMNO masih terlalu muda dan faktor usia mereka yang menawarkan diri untuk bertanding ketika itu membolehkan kompromi dilakukan.

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom