UMNO Selangor nafi ketua bahagian tetapkan syarat
September 26, 2008 by admin
SHAH ALAM 25 Sept. - UMNO Selangor menafikan ketua-ketua bahagian negeri ini menetapkan syarat bahawa pelan peralihan kuasa perlu diterima sebulat suara ahli Majlis Tertinggi (MT).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, perkara itu tidak pernah timbul.
Sebaliknya, ketua-ketua bahagian UMNO hanya bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam, bagi membincangkan perkara-perkara umum mengenai parti dan sedikit sebanyak mengenai peralihan kuasa 2010.
Bagaimanapun katanya, perbincangan berkenaan tidak melibatkan penetapan syarat kepada Abdullah tentang pelan peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh timbul kerana kita (UMNO Selangor) secara umumnya menyokong pelan peralihan ini.
“Saya tidak tahu dari mana atau bagaimana dakwaan ini wujud,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan laman Malaysiakini yang menyatakan ketua-ketua bahagian UMNO Selangor dan Abdullah dalam satu perjumpaan malam tadi menyokong pelan peralihan 2010 tetapi dengan syarat peralihan itu diterima sebulat suara oleh ahli MT.
Menurut laporan berkenaan, ketua-ketua UMNO bahagian negeri itu mengambil peluang dalam perjumpaan tersebut untuk mendapat penjelasan mengenai pelan peralihan kuasa itu.
Sementara itu Muhammad turut menafikan UMNO Bahagian Shah Alam mencalonkan Najib sebagai Presiden, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.
Kata beliau, laporan yang disiarkan oleh laman web yang memetik Bendahari UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Abdul Manan Said adalah tidak benar.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Salamon Selamat ketika dihubungi turut mengesahkan laporan tersebut tidak benar.
Katanya, ia merupakan pandangan peribadi Abdul Manan dan bukannya mewakili bahagian kerana dia bukan lagi bendahari UMNO bahagian berkenaan.



















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!