Shahanim sedia tanding Naib Ketua Puteri
September 20, 2008 by admin
Ketua Puteri UMNO Kedah, Shahanim Mohd. Yusof (gambar) hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Disember ini.
Shahanim, 35, yang juga Exco Puteri UMNO Malaysia berkata, beliau yakin dapat memberikan khidmat terbaik kepada golongan muda memandangkan telah terlibat dengan Puteri sejak awal penubuhannya lagi.
Katanya, keputusan bertanding juga dibuat setelah mengambil kira keperluan dan keupayaannya untuk menarik kembali keyakinan wanita muda terhadap UMNO.
“Maklum balas yang saya terima daripada peringkat akar umbi dan cawangan serta bahagian-bahagian amat memberangsangkan.
“Oleh itu, jika diberikan peluang, saya memang bersedia memikul tanggungjawab Naib Ketua pada pemilihan parti Disember ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 18 Julai lalu, Ketua Puteri UMNO Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin mengumumkan hasrat bertanding merebut jawatan yang sama berikutan penyandang sedia ada, Rosnah Abdul Rashid Sirlin berhasrat merebut jawatan Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Disember ini.
Selain, Wan Norashikin, Ketua Puteri UMNO Terengganu, Senator Nordiana Datuk Shafie turut menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan Naib Ketua.
Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani memberitahu, beliau tidak bimbang dengan persaingan yang bakal dihadapinya itu.
“Saya rasakan kita bertanding dalam semangat harmoni Puteri.
“Semua pemilih bijak belaka dan sudah tentu mereka akan membuat pilihan secara terbaik serta matang,” jelasnya.



















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!