Top

Perlembagaan UMNO tidak halang pertandingan

September 26, 2008 by admin 

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perlembagaan UMNO memperuntukkan semua jawatan di dalam parti termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh ditandingi.

Beliau memberitahu, pertandingan bukan sahaja dibenarkan pada peringkat Majlis Tertinggi (MT) tetapi juga di peringkat cawangan dan bahagian kerana UMNO mengamalkan sistem demokrasi.

‘‘Mengikut perlembagaan UMNO seseorang diberi hak dan kuasa mentadbir parti dalam tempoh tiga tahun, jadi tempoh itu dah nak berakhir, ahli-ahli parti kena putuskan barisan kepimpinan baru,’’ katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim semalam mengenai perlunya dua jawatan tertinggi dalam UMNO dipertandingkan untuk memperkukuhkan proses demokrasi dalam parti.

Muhyiddin yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Ekonomi Malaysia-India 2008 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, sebelum ini dua jawatan tertinggi parti itu tidak ditandingi mungkin kerana masa itu orang tidak mahu bertanding.

‘‘Tapi sekarang ini keadaan telah berubah sikit, siapa yang nak bertanding terpulang kepada mereka, bekas Naib Presiden dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah telah mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden,’’ katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib juga senada dengan Muhyiddin dengan menegaskan, mengikut perlembagaan pertandingan dua jawatan tertinggi parti dibenarkan.

Bagaimanapun, beliau ingin ahli-ahli parti memikirkan mengenai sejarah parti yang telah menyaksikan pertandingan jawatan tertinggi parti itu sebelum ini.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menegaskan, UMNO telah mengalami perpecahan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1981 dan 1987 di mana menyaksikan pertandingan pada jawatan tertinggi parti dan tahun 1997 akibat pemecatan Timbalan Presiden dari UMNO.

‘‘UMNO berpecah kepada dua kumpulan pada waktu tersebut menyebabkan parti berada dalam keadaan lemah dan mengambil masa bertahun untuk memulihkan keadaan,’’ katanya.

Sementara itu anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersetuju dengan pandangan Rais bahawa harus ada pemilihan dalam parti tidak kira sama ada untuk jawatan tertinggi mahupun peringkat bawah.

Katanya, pemilihan dalam parti merupakan satu proses demokrasi yang sudah termaktub dalam perlembagaan UMNO dan setiap tiga tahun pasti akan dilakukan.

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom