Cuti 16 Sept: PAS hipokrit kata Shabery
September 3, 2008 by admin
Kerajaan PAS Kelantan tidak seharusnya bersikap hipokrit apabila hendak menjadikan 16 Sept sebagai cuti umum, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata ini kerana mengikut sejarah, kerajaan PAS Kelantan telah mempertikaikan penggabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.
Malah, katanya kerajaan Kelantan PAS pernah membawa kes ke mahkamah kerana mempertikaikan penggabungan tersebut, tetapi kes itu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 Sept 1963.
“Nasib baik mahkamah telah menolaknya, kalau tidak mungkin Malaysia tidak akan terbentuk seperti yang ada sekarang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama Selasa.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menyatakan bahawa Kelantan setuju dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan 16 Sept iaitu tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia sebagai cuti umum.
Ahmad Shabery berkata adakah dengan sekadar mempertikaikan tarikh tersebut sebagai cuti umum, kesilapan masa lampau PAS Kelantan yang menentang usaha Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman dan pemimpin terdahulu dapat dilupakan begitu sahaja.
Katanya adakah orang seperti Tunku Abdul Rahman tidak cukup semangat Malaysianya hanya kerana tidak mengisytiharkan cuti pada masa tersebut.
“Janganlah hanya untuk mendapatkan ’secalit perhatian’ dalam permainan politik, mereka sanggup menjadi hipokrit dengan menyatakan persetujuan cadangan menjadikan 16 Sept sebagai hari cuti umum.
“Jangan juga hanya kerana untuk mendapatkan mata dalam permainan politik, mereka lupa akan sejarah dan pendirian mereka suatu ketika dahulu,” katanya.
Sumber : www.agendadaily.com



















janganlah kita lupa sejarah dulu