Sokong carut Nik Aziz
August 11, 2008 by Pendeta
Saudara Fauzi, saudara berkata: “Izinkan saya pula berdebat dengan saudara kerana saya tidak tahan melihat saudara mengkritik Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat. Terus terang saya katakan bahawa kagum dengan saudara dan sentiasa mengikuti tulisan saudara dalam Utusan sejak saudara menulis dari Mesir lagi. Bagaimanapun, saya tidak dapat menerima kritikan saudara terhadap Nik Aziz kerana beliau seorang ulama besar di negara ini tidak mungkin melakukan apa yang saudara kritik jika ia tidak benar.
“Selain itu jika membiarkan saudara mengkritik Nik Aziz, tidak ada lagi ulama di Malaysia kerana beliau satu-satunya ulama paling berwibawa.”
Saudara Fauzi, apa yang penulis faham daripada penjelasan saudara ialah saudara tidak setuju penulis mengkritik Nik Aziz yang saudara anggap sebagai ulama paling berwibawa itu.
Tetapi jika ulama berkenaan membuat kenyataan mengarut dan mengeluarkan fatwa menyeleweng secara terang-terang serta digunakan untuk menjatuh ulama dan pemimpin kerajaan, apakah tidak wajib diberi penjelasan dan kritik balas supaya menjadi insaf dan sedar diri?
Apa yang dilakukan oleh penulis bukan untuk melawan ulama atau berbalah dengan Nik Aziz dan tidak juga untuk menjatuh beliau, tetapi setakat menunai tanggungjawab dan kewajiban agama sebagai seorang penulis yang berpendidikan agama.
Saudara menganggap Nik Aziz ulama paling berwibawa, itu pandangan peribadi saudara. Penulis pernah kagum dengan Nik Aziz pada masa lalu, tetapi kini hampir tiada lagi perkara itu selepas banyak mendengar
ceramah beliau.
Saudara berkata: “Tuduhan saudara bahawa Nik Aziz menyeleweng kerana beliau berkata Allah pun mencarut adalah tidak betul. Kerana adalah betul Allah mencarut dalam al-Quran.”
Astaghfirullah Saudara Fauzi! Penulis tidak ragu lagi saudara teracun fikiran kerana terlalu fanatik dengan Nik Aziz. Ketahuilah ulama Pas terkenal yang pernah penulis kritik beliau selama tiga bulan dalam Bicara Agama dulu, iaitu Datuk Haron Din pun menganggap Allah tidak pernah mencarut.
Sedarlah sesiapa yang menganggap Allah mencarut adalah melakukan dosa besar. Malah penulis yakin seperti pernah dijelaskan dulu jika Nik Aziz merupakan ustaz biasa yang tidak terkenal dan bukan pula Menteri Besar, beliau sudah lama dihukum sesat dan sudah pun diberkas oleh polis.
Tetapi kerana beliau merupakan seorang Menteri Besar yang merupakan ulama terkenal yang mempunyai ramai pengikut, maka hukuman dunia itu terlepas dari beliau. Tetapi yang tinggal hukuman akhirat jika beliau tidak bertaubat dan mahu terus menerus menyesatkan orang ramai.
Begitu juga penulis yakin jika dibentang pandangan Nik Aziz kepada ulama seluruh dunia tanpa memberitahu bahawa orang yang berkata begitu adalah ulama terkenal di Malaysia yang bernama Nik Aziz, mereka sudah pasti akan mengeluarkan hukum agama yang berat terhadap beliau walaupun tidak sampai ketahap hukum yang dikeluarkan oleh Imam Khomeini ke atas Salman Rushdie.
Seterusnya saudara berkata: “Saya ingin jelaskan bahawa saya kenal saudara. Ini bukan kerana kita pernah berkawan tapi kerana saya kenal beberapa orang kawan saudara yang pernah menuntut bersama saudara di
Wakaf Bharu dan luar negeri. Kawan-kawan saudara bercerita segala-gala tentang diri dan keluarga saudara di Jabat, Narathiwat dan sanak saudara dan karib saudara di Malaysia.
“Saya juga kenal salah seorang cikgu saudara kerana saya juga berasal dari Wakaf Bharu dan mengetahui di mana terletak sekolah yang saudara pernah belajar dulu. Dia juga ada menceritakan tentang saudara, dan diantaranya dia memberitahu bahawa saudara mempunyai nama lain waktu belajar di sana.
“Saya juga pernah melihat saudara dari jauh semasa saudara menyoal Dr.Yusuf al-Qaradawi di majlis ceramah di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya pada tahun 1997.
“Itu semua membuat saya semakin tertarik dengan bicara saudara mengenai isu-isu agama dan semakin kagum dengan diri saudara, tetapi tidak setuju saudara mengkritik Nik Aziz dan menganggap beliau menyeleweng pemikiran.”
Penulis mengucapkan terima kasih kerana berjaya mengurik sejarah hidup penulis. Tidak ada yang perlu penulis menjawab terhadap apa yang saudara sebut tentang diri penulis. Ia betul belaka.
Berikut saudara berkata: “Saudara tidak percaya Allah mencarut, tetapi dalam ayat 1 daripada surah al-Masad, Allah befirman: (Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan ia telah binasa). Apakah ini bukan
mencarut namanya?
“Begitu dijelaskan dalam al-Quran dalam ayat 4 daripada surah al-Mu’minun: (Dan mereka yang menjaga faraj-faraj mereka,) ayat 29 daripada surah al-Ma’arij: (Dan mereka yang menjaga faraj-faraj mereka), dan ayat 30 daripada surah al-Nur: (Dan mereka yang menjaga faraj-faraj mereka). Apakah sebut faraj ini bukan mencarut?
“Betullah kata Nik Aziz, Allah benar-benar mencarut dan kita pun boleh mencarut jika kena pada tempat dan masa.
“Saya boleh kumpul banyak ayat yang membuktikan bahawa Allah mencarut seperti 103 daripada surah al-Mu’minun: (Allah berkata, ceh diamlah kamu di dalamnya (neraka) dan kamu jangan bercakap dengan Aku), ayat 1 daripada surah Humazah: (Celaka kepada setiap orang pengumpat dan pencela),” ayat 1 daripada surah al-Mutaffifin: (Celakalah untuk orang-orang penipu), ayat 11 daripada surah al-Tur: (Maka celakalah pada hari itu orang-orang yang mendustakan rasul-rasul Allah) dan ayat 15 daripada surah al-Mursalat: (Maka celakalah pada hari itu orang-orang yang mendustakan rasul-rasul Allah).
Saudara Fauzi, semua ayat yang saudara sebut tidak membuktikan bahawa Allah mencarut. Malah memaki pun tidak juga. Ini kerana pada sesetengah ia merupakan ayat yang mengandungi amaran dan tegahan daripada Allah seperti tabbun dan wailun. Sedangkan ayat-ayat yang lain yang menyebut faraj tidak pun merupakan amaran, kerana ia penjelasan, tetapi orang-orang tertentu kurang waras memandang perkara
sebagai lucah dan berciri seks kerana mentaliti mereka begitu.
Penulis menyedari bahawa Nik Aziz dan ustaz-ustaz Pas tertentu menggunakan ayat-ayat berkenaan untuk membuktikan Allah mencarut. Tetapi perbuatan mereka itu tidak betul dan salah dari segi hukum agama.
Dalam pemahaman al-Quran dan apa jua nas dalam bahasa Arab tidak mungkin dengan hanya mengetahui maksudnya, tetapi perlu juga mengetahui penggunaannya dalam pelbagai konteks.
Contohnya perkataan wailun, waihun dan waibun mempunya banyak erti seperti celaka, binasa, jahat, musibah, sial, tidak baik dan lain-lain.
Tetapi yang lebih penting ialah mengetahui penggunaannya dalam konteks yang dimaksudkan oleh nas.
Dalam pada itu al-Quran dan hadis melarang kita memaki dan ini sudah tentu mencarut tidak boleh langsung.
Bukti dari al-Quran ialah ayat 108 dari surah al-An’am: “Dan janganlah kamu memaki mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan memaki Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Bukti daripada hadis pula ialah hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim di mana Rasulullah s.a.w. menyebut bahawa: “Memaki seorang Muslim itu adalah fasik dan memeranginya adalah kafir (hukumnnya).
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayat oleh Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya Rasulullah menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Dengan itu saudara perlulah menilai semula pendirian saudara tentang dakwaan Nik Aziz bahawa Allah mencarut itu.



















MANUSIA ADA AKAL TETAPI UPAYA AKAL TERBATAS DALAM LINKUNGAN KEMANUSIAAN
Pendeta,
Manusia adalah makhluk yang dicipta iaitu ada Penciptanya. Manusia mengalami ‘evolusi’ tetapi kehadiran manusia di atas muka bumi bukan melalui evolusi.
Untuk keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran, manusia perlu diberikan petunjuk oleh Tuhan yang menciptakan dirinya. Oleh itu medium yang boleh digunakan bagi menyampaikan sesuatu mesej kepada manusia daripada Tuhannya haruslah yang dapat difahami oleh akal manusia itu sendiri.
Di sinilah masalahnya. Upaya akal manusia adalah terhad dan berbeza tahap.
Tuhan boleh menyampaikan mesej secara terus kepada manusia. Tetapi itu tidak berlaku. Sebabnya, hanya Dia yang tahu. Namun mesej boleh dihantar secara tidak langsung menerusi pengantara tertentu.
Manusia hanya dapat memahami mesej yang mahu disampaikan oleh Tuhannya sekiranya ia disampaikan menerusi kaedah yang digunakan oleh manusia itu sendiri untuk berkomunikasi sesama sendiri. Kalau menggunakan medium lain, sukar pula manusia memahaminya.
Lazimnya manusia dulu-dulu berkomunikasi secara lisan dan/atau tulisan. Ini bukan bermakna Tuhan berkomunikasi secara lisan atau tulisan.
Pemahaman dan penerimaan individu terhadap penceritaan, arahan, perintah, saranan dan sebagainya yang disampaikan kepada manusia dalam kitab suci adalah bersesuaian dengan tahap pemikiran manusia.
Sebagai contohnya, apabila disebut Tuhan itu Maha Besar. Manusia hanya boleh menggunakan lojik akal dan alam semesta sebagai perbandingan untuk menggambarkan maksud berkenaan. Gambaran yang terlakar dalam minda seorang tentunya berbeza dengan seorang yang lain. Begitu juga akhirnya gambaran yang mampu dilakarkan dalam minda manusia itu ada hadnya. Minda manusia tidak upaya menggambarkan segala-galanya.
Kesimpulannya, sukar bagi manusia untuk membayangkan sifat Tuhannya kecuali dalam batas-batas kefahaman manusia itu saja. Walaupun asas kepada kefahaman itu adalah menerusi kitab suci, tetapi yang membaca dan menterjemahkannya adalah akal manusia. Akal manusia adalah terhad, mudah tercemar dan mudah tersasar.