UMNO Sipitang setuju calonkan Abdullah, Najib
July 24, 2008 by Pendeta
SIPITANG 23 Julai - UMNO Bahagian Sipitang hari ini bersetuju untuk mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti pada persidangan bahagian itu, November ini.
Ketuanya, Datuk Sapawi Ahmad berkata, pendirian itu dibuat setelah cawangan-cawangan dalam bahagian berkenaan yakin dengan kepimpinan sedia ada meskipun pucuk pimpinannya akan berubah pada tahun 2010.
Sapawi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, bahagiannya turut bersetuju dan menghormati tempoh peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib.
“UMNO Bahagian Sipitang menyokong penuh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui UMNO, begitu juga dengan proses peralihan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi Sijil Rendah Agama 2008 Kawasan Lumadan di Dewan Seri Dayang, Kampung Lumadan, dekat sini, malam tadi.
UMNO Sipitang merupakan yang keempat daripada 25 bahagian di Sabah yang menyatakan sokongan terhadap Abdullah selepas UMNO Bahagian Beaufort, Kalabakan dan Sandakan membuat pendirian yang sama secara terbuka, baru-baru ini.
Sapawi seterusnya berkata, tidak ada sebab untuk UMNO Bahagian Sipitang menolak kepimpinan Abdullah kerana parti itu masih menjadi tunjang utama kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, ketika berucap merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok UMNO Zon Padas Damit, dekat sini, Sapawi meminta ahli parti di peringkat cawangan supaya tidak terpengaruh dengan isu-isu yang disebarkan oleh pihak yang berkepentingan.
Beliau berkata, perbuatan berkenaan dilakukan kerana berhasrat menjadi calon di peringkat cawangan atau bahagian meskipun ia memecah belah perpaduan di kalangan anggota parti.
“Jangan terpengaruh dengan isu-isu atau dakyah yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu, buatlah keputusan yang terbaik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sipitang.
Menurut beliau, sekiranya ahli-ahli parti berpecah dan UMNO Sabah lemah, ia akan memberi kesan kepada BN negeri dan ia sudah tentu menghakis keyakinan rakyat terhadap BN.
Oleh ZULHISHAM ISHAK
www.utusan.com.my
















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!