Top

Sampai bila Pas Selangor kekal dalam Pakatan Rakyat

July 31, 2008 by dewiarjuna 

MENGAMBIL kira siasatan terhadap dakwaan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim serta keceluparan penasihat DAP, Karpal Singh, ini adalah masa terbaik Pas mengkaji
mendalam kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat.


Walaupun belum ada pendakwaan terhadap Anwar, tetapi sikap berdolak dalih beliau dalam siasatan kes boleh menimbulkan pelbagai tanggapan kerana Anwar tidak memilih untuk ‘berani kerana benar’.

Karpal pula lupa bahawa Pakatan Rakyat tidak ada ikatan kukuh seperti komponen Barisan Nasional dan beliau sengaja menjolok sarang tebuan apabila cuba mencampuri urusan Pas yang kebelakangan ini membuat pilihan berbaik dengan UMNO demi perpaduan Melayu dan Islam.

Pas semestinya tidak mahu karam dalam Pakatan Rakyat semata-mata bagi mempertahankan Anwar yang sudah membawa kerosakan imej Pas dan DAP tanpa disedari ekoran dakwaan liwat itu.

Sesungguhnya, memang wajar Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang itu agar tidak menjadi parti melukut tepi gantang yang hanya diperlukan Anwar bagi mencapai cita-citanya.

Kini adalah masa yang sesuai untuk Pas menarik diri dari pakatan itu. Parti tersebut tidak rugi apa-apa berbuat demikian kerana Kedah dan Kelantan dikuasai dengan majoriti oleh mereka.

Di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, parti itu hanya melengkapkan jumlah bagi membolehkan Pakatan Rakyat mentadbir negeri.

Malah di Perak dan Selangor, kerusi Pas adalah penentu yang membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum, Mac lalu.

Seandainya Pas keluar daripada pakatan, PKR dan DAP tentu tidak mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk terus mentadbir negeri-negeri berkenaan.

Tidak salah, jika Pas memilih untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN di negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat malah pasti kesediaan mereka akan mendapat pembalasan setimpal daripada BN jika berjaya mengambil alih semula negeri-negeri tersebut.

Jika ada pakatan antara Pas serta UMNO, ia hendaklah mengambil kira soal perpaduan Melayu dan memperjuangkan Islam dan kedua-dua parti tidak harus berprasangka dalam hal ini.

Di Selangor, jika lapan ADUN Pas keluar pakatan serta memilih membentuk kerajaan campuran dengan BN, pasti PKR dan DAP tidak dapat terus mentadbir negeri itu.

Walaupun pakatan BN dan Pas mempunyai 28 kerusi serta jumlahnya sama dengan pakatan PKR dan DAP, pakatan BN dan Pas mempunyai lebih peluang mentadbir Selangor.

Sesungguhnya, tiada apa lagi yang menarik bagi Pas Selangor kekal dalam Pakatan Rakyat. Dari masa ke semasa, rakyat negeri itu tahu, bagaimana Pas hanya menjadi alat PKR dan DAP bagi kepentingan mereka.

Insiden sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kekecohan protes harga minyak di Stadium Kelana, Jaya, kepentingan Islam dipersenda pemimpin dalam pakatan sudah boleh dijadikan sebab hubungan Pas dalam Pakatan Rakyat dikaji semula.

Pihak tertinggi Pas juga sudah sedia maklum dengan keluhan serta rintihan bagaimana parti itu menerima layanan tidak sepatutnya dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

- ROSLAN BIAN,
Gombak, Selangor.

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom