Mohamed tidak pertahan jawatan
July 25, 2008 by Pendeta
TEMERLOH 24 Julai - Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Mohamed Jaafar tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan bahagian itu Oktober ini.
Beliau mengumumkan keputusan itu ketika merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO dalam Bahagian Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau dekat sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak berkata, keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan akan datang kerana mengutamakan perpaduan parti.
Beliau berharap tindakannya itu dapat mengurangkan pergolakan dalam UMNO ekoran keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini yang menyaksikan pembangkang menawan lima negeri.
“Ada 15 perkara kenapa saya tidak perlu bertanding dan 10 perkara lagi mengapa saya perlu bertanding untuk mempertahankan jawatan sebagai ketua bahagian.
“Bagaimanapun setelah memikirkan semasak-masaknya, saya mengambil keputusan tidak bertanding berdasarkan 15 perkara tersebut kerana bagi saya kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.
Mohamed yang menjadi ADUN Jenderak sejak empat penggal lalu menamakan Timbalannya, Ismail Mohamed Said sebagai pengganti dan berharap semua ahli UMNO bahagian itu memberikan sokongan padu kepada Ismail pada pemilihan jawatan ketua bahagian akan datang.
Mohamed merupakan ketua bahagian kedua di Pahang yang mengambil keputusan mengundur diri selepas Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd. Sarit Yusuh.
Mohamed menjadi ketua bahagian selama lapan tahun iaitu empat tahun sebagai Ketua UMNO Bahagian Mentakab dan selebihnya di UMNO Bahagian Kuala Krau selepas persempadanan semula dilakukan.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihati ahli UMNO mematuhi etika dan peraturan parti ketika pemilihan bagi mengelakkan cawangan atau bahagian dikenakan tindakan.
“Etika dan undang-undang perlu dipatuhi bagi menjamin keutuhan parti yang kini berada dalam kegawatan politik selepas pilihan raya lalu yang menyaksikan lima negeri terlepas kepada pembangkang.
“Tidak ada maknanya menang jawatan jika parti terumbang-ambing dan porak-peranda,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap ahli-ahli UMNO bahagian itu terus memberikan sokongan padu dan kerjasama kepada pimpinan baru bahagian demi untuk menguatkan parti.
Mohamed yakin Ismail yang bakal menerajui bahagian itu mempunyai banyak idea yang boleh memajukan Kuala Krau terutama menjadikan kawasan itu sebagai sebuah daerah baru dalam tempoh terdekat ini.
www.utusan.com.my
















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!