Top

Jangan dibelenggu perbalahan politik - Hisham

July 26, 2008 by Pendeta 

PUTRAJAYA 25 Julai - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyarankan agar muzakarah antara UMNO dan Pas di masa-masa depan tidak dibelenggu dengan perbalahan politik.

Beliau berkata, perbalahan sedemikian akan menjejaskan usaha membela nasib generasi muda, menyatukan masyarakat dan memelihara kesucian Islam dalam menghadapi cabaran global masa kini.

“Muzakarah itu sepatutnya melihat dan mencari titik persamaan kerana pendekatan sedemikian akan memudahkan kita bergerak ke depan.

“Perbalahan yang berterusan akan hanya mewujudkan suasana syak wasangka sesama kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Majalah Kanak-kanak Berbahasa Inggeris Best Buds terbitan Green Light Media Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur menekankan UMNO dan Pas perlu meneruskan muzakarah kerana pertemuan antara kedua-dua parti itu sebelum ini menunjukkan perkembangan positif.

Abdullah menegaskan umat Islam tidak boleh berbalah walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang soal-soal pentadbiran kerana dari segi agama perlu ada kerjasama dan persefahaman antara UMNO dan Pas yang mewakili kepimpinan Islam.

Hishammuddin berkata, beliau percaya perkara yang berkait rapat dengan agama Islam tidak akan memecahbelahkan pendirian dan ideologi politik parti masing-masing.

“Ia juga tidak seharusnya membimbangkan penganut agama dan kaum lain di negara ini,” katanya.

www.utusan.com.my

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom