Top

INDAHNYA BUNYI KATA-KATA KHIR TOYO MENANAM TEBU DI BIBIR

July 25, 2008 by Pendeta 

Setelah meneliti kata-kata Datuk Seri Mohd Khir Toyo dalam blognya berjudul ‘Anwar, melalui Kamarudin Jaffar, gagalkan kerajaan campuran PAS-BN Selangor’, saya terpanggil untuk menyatakan sesuatu dari kaca mata saya sendiri tanpa prejudis kerana saya tidak pernah kenal Khir secara dekat mahupun Anwar atau Kamaruddin Jaafar yang disebutkan dalam rencana beliau itu.Tetapi pada nama dan rupa paras serta apa yang berlaku dalam percakapan dan perbuatan mereka saya ikuti.

Paling saya tidak gemar dalam tulisan Khir itu ialah apabila Khir cuba memberitahu kepada semua orang bahawa dialah yang mula mengambil inisiatif mencadangkan agar diadakan satu kerjasama antara PAS dan BN di Selangor sebaik sahaja berakhir Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Apabila ia tidak menjadi, Anwar Ibrahim dan Kamaruddin Jaafar dituduh orang yang mendalangi usaha murni itu. Elokkah tuduhan itu? Tuduhan seumpama itu hanya terbit dari hati busuk dan berperasaan dengki sahaja. Yang jelas sekarang, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah jadi Menteri Besar Selangor dan bukan lagi Khir Toyo.

Tuduhan awal Khir itu pun sudah menunjukkan satu sikap yang suka menyalahkan orang lain dan antara kaum sendiri yang mana belum tentu perkara itu sahih kerana Khir bukan orang yang dihormati mana-mana pemimpin tertinggi parti pembangkang terutama dari kalangan PAS dan PKR. Semasa pilihan raya kecil di Ijok, Selangor, telinga orang PKR masih terngiang-ngiang lagi ketika Khir mengutuk pemimpin pembangkang berapi-api.

Khir mendakwa telah membawa pemimpin tertinggi PAS bermuzakarah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin satu perkara yang mungkin benar, tetapi aneh kerana apakah benar pemimpin tertinggi PAS mempercayai Khir pada ketika itu kerana selepas PRU-12, Selangor kecoh dengan perkara-perkara seperti membawa dokumen keluar dari pejabat MB. Macam-macam cerita keluar pada ketika itu seolah-olah ada sesuatu perkara besar yang Khir dan orang-orangnya cuba sorok.

Bagaimanapun cerita-cerita itu tengelam begitu sahaja apabila akhbar aliran perdana berhenti menyiarkan berita-berita yang bersangkutan apa yang berlaku di pejabat menteri besar apabila SPR mengisytiharkan BN kalah di Selangor. Mungkin pemimpin kecil PKR sekarang, Khalid pun tak kuasa mahu mengungkit banyak perkara yang boleh mengaibkan MB sebelumnya, maka Khir terlepas dari aib-aib lain ketika menjadi MB Selangor sebelum itu.

Kebanyakan orang Selangor sendiri yang kata bahawa Khir tolong orang Melayu hanya perkara-perkara kecil sahaja. Antaranya ialah menyampaikan bantuan hari raya kepada fakir miskin, memberi angpau raya kepada mereka yang datang berkunjung ke rumahnya dan memberi projek hanya kepada kroninya sahaja yang belakangnya taikun-taikun bukan Melayu. Ramai orang boleh ceritakan bagaimana ketika itu taikun Tionghua menggunakan kroni Khir untuk menembusi projek pembangunan di Selangor. Kontraktor Melayu yang boleh hidup sikit ialah pemegang lesen PKK Kelas F sahaja. Itupun berapa keratlah yang buat kerja sendiri dan yang lainnya di subkan sahaja kepada orang lain bukan Melayu. Walaupun Khir tahu akan hal ini, tetapi tidak ada apa yang dilakukan kerana Khir lebih penting pemegang lesen PKK dapat kerja daripada mengambil tahu kepada siapa mereka ‘jual’ projek itu.

Kononnya lagi sekiranya kalau muzakarah PAS-UMNO Selangor berjaya, Khir cadangkan supaya PAS diberi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta 4 orang EXCO dan beliau menolak sebarang jawatan bagi mengelakkan dianggap menguasai EXCO yang bakal dibentuk.

Tahukah Khir bahawa PAS menolak pakatan muzakarah dengan UMNO ketika itu kerana Khir yang lebih sibuk sangat ketika itu? Sebenarnya orang PAS meluat dengan Khir atas banyak isu termasuk ubah muka jadi Jawa Baru dan isu memberi penyapu kepada Pegawai Tinggi Majlis Kerajaan Tempatan Ulu Langat.
Mengingatkan dua perkara itu sahaja sudah cukup untuk pemimpin tertinggi PAS rasa tertipu untuk bermuzakarah dengan UMNO kerana tidak dapat menerima bahawa Khir sebagai seorang tokoh politik yang harus menumpang nama sepertimana yang dibangga-banggakan sekarang ini kononnya dialah yang berusaha membawa PAS berbincang dengan Pak Lah.

Yang nyata sekarang ini, Khir sudah gagal menjaga kepentingan orang Melayu Selangor hingga seluruh orang Melayu Selangor membuang dendam kepada Khir melalui undi kepada Pakatan Rakyat. Mereka tidak ada jalan lain untuk menyingkir Khir melainkan ‘membunuh’ BN di Selangor. Kalau tidak, Khir masih bongkak dan angkuh lagi sebagai Menteri Besar Selangor.

Sikap paling kemuncak semasa Selangor di tangan Khir itulah dua perkara di mana wajah Khir sehingga hari ini yang kekal hansome palsu dihiasi dengan penyapu pembawa sial pada Negeri Selangor. Kepercayaan orang Melayu merudum turun apabila orang Melayu tidak dapat menerima hakikat bahawa kononnya dengan memberi penyapu itu cara terhormat mengajar supaya Majlis Kerajaan Tempatan bersihkan Ulu Langat.

Ayat-ayat Khir yang digunakan seperti: “Impian saya juga untuk melihat Melayu kembali menjadi tunjang politik negara yang akan menstabilkan politik tanah air, menjadi kenyataan. Saya berdoa semoga semuanya ini akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.” kelihatan begitu romantic sekali kerana ada muslihat di sebalik kata-kata indah itu yang paling pasti ialah untuk memancing kepercayaan supaya perwakilan pemuda mempercayai bahawa Khir sudah jadi orang baik dan sedikit alim.

Lebih meluat lagi apabila Khir menggunakan pepatah seperti, “Biduk berlalu, kiambang bertaut. Bagai aur dan tebing kita bersama. Yang ringan sama kita jinjing, yang berat sama dipikul, hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Bangsa ini, bangsa berdaulat kembalikan kedaulatan tersebut” Pandai Khir menyusun tebu dibibir di musim ini.

Semoga terutama Pemuda Bahagian dan perwakilan pemuda tidak termakan manisan tebu ini yang mana sepahnya nanti akan bersepah mengotorkan persekitaran permukaan gelanggang politik generasi muda yang menjadi harapan bangsa kini, akan datang dan selama-lamanya. Pemuda tidak perlu budaya ‘makan tempe jadi handsome’ berjenamakan penyapu untuk mengharumkan nama pemuda.

Oleh Salim Selamat

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

2 Responses to “INDAHNYA BUNYI KATA-KATA KHIR TOYO MENANAM TEBU DI BIBIR”

  1. effandy_dia on July 26th, 2008 1:17 pm

    menyampah aku tgk khir toyo nie.. dah kalah tue duk senyap sudah.. rakyat selangor termasuk aku x pernah suke dgn sikap ko.. dahlah luluskan projek babi 2juta.. sejuta lagi lesap.. sbb ko la ramai merana.. sbb ko la masjid2 dgn surau roboh.. dah terlalu ramai doakan ko terima balasan… insyaallah.. tuhan maha adil.. nasib baik ari tue ko x mati kene belasah dgn org2 india..

  2. Oghangkampung on July 27th, 2008 2:25 pm

    effandi_dia… Sekadar untuk pastikan… kelulusan khinzir untuk 2 juta? Takkan banyak tuh saja? 2 juta dengan 100 juta sebagaimana yang dikatakan Kerajaan Selangor… Terlalu jauh bezanya…

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom