Hanya nota perubatan - Dr. Latiff
July 31, 2008 by dewiarjuna
PUTRAJAYA 30 Julai - Laporan perubatan berkaitan aduan liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dikeluarkan Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak di sini bukan laporan perubatan sebenar yang biasa disediakan oleh pengamal perubatan berdaftar di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad menjelaskan, laporan perubatan Hospital Pusrawi yang disiarkan oleh sebuah portal berita semalam sebenarnya adalah nota perubatan.
”Laporan perubatan mesti ditulis dengan terperinci dan kemas, bukan macam tulisan cakar ayam. Kalau laporan perubatan ditulis oleh pengamal perubatan berdaftar, ia tidak macam itu (seperti disiarkan portal berita),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kewujudan laporan perubatan yang dikatakan dikeluarkan oleh Hospital Pusrawi berkaitan aduan liwat terhadap Mohd. Saiful.
Abdul Latiff menambah, dengan mengambil kira kepesatan kemajuan teknologi hari ini, beliau tidak menolak kemungkinan nota perubatan itu palsu.
Sehubungan itu beliau meminta semua pihak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan kesahihan laporan berkenaan dan tidak membuat spekulasi mengenainya.
Beliau juga menegaskan, sebarang tindakan terhadap hospital berkenaan dan juga doktor terlibat bergantung kepada hasil siasatan polis.
”Jika didapati bersalah, doktor terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perubatan 1971 selain dirujuk kepada Majlis Perubatan Malaysia manakala hospital yang mendedahkan butir rekod perubatan tanpa kebenaran boleh diambil tindakan di bawah Akta Kemudahan Perubatan Swasta 1998,” katanya.
Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful, 23, membuat laporan polis mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan bekas majikan meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara dua hari sebelum laporan itu dibuat.



















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!