Top

5 bahagian Sabah calonkan Musa

July 25, 2008 by Pendeta 

KOTA KINABALU 24 Julai – UMNO Bahagian Sandakan hari ini mengumumkan akan hanya mencalonkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu Disember ini.

Pengumuman itu menjadikan sehingga hari ini sebanyak lima bahagian di Sabah telah menyuarakan hasrat yang sama iaitu Putatan, Tuaran, Kota Belud dan Penampang.

Bagaimanapun sehingga kini, Musa belum mengumumkan pendirian sama ada mahu bertanding atau tidak jawatan tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Datuk Ampong Puyon (gambar) berkata, berdasarkan kepimpinan Musa yang terserlah dalam dua pilihan raya umum lalu, sudah tiba masanya bahagian-bahagian UMNO Sabah mencalonkan beliau bertanding jawatan itu.

Katanya, bahagian tersebut juga berpendapat sudah tiba masanya bagi Pengerusi UMNO Sabah itu menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

“Bagi saya, sudah sewajarnya beliau yang mewakili UMNO Sabah diberi peluang dan ruang untuk memperkasakan parti di peringkat nasional dan berdepan dengan cabaran baru sekali gus membantu Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“UMNO Sabah di peringkat bahagian wajar mencalonkan beliau bertanding jawatan Naib Presiden. Saya percaya dan yakin bahawa pucuk pimpinan peringkat akar umbi mahu beliau bertanding,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa ini, seramai 14 pemimpin UMNO telah menyuarakan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden termasuk Timbalan Pengerusi UMNO Sabah sendiri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Antara pemimpin UMNO lain yang menyuarakan hasrat bertanding jawatan itu ialah Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Mohamad Hassan.

www.utusan.com.my

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom