Teruskan projek pengangkutan
June 16, 2008 by Pendeta
BERIKUTAN kenaikan harga barang dan bahan api khasnya petrol dan diesel, saya percaya seluruh rakyat Malaysia sangat memahami keadaan tanggungan kewangan kerajaan terhadap subsidi harga bahan api tersebut. Dalam masa yang sama, saya juga percaya ramai penduduk Malaysia mengetahui harga seliter patrol atau diesel di Malaysia adalah antara yang termurah. Bagaimanapun berdasarkan perkapita penduduk dan juga pendapatan mereka, saya kira rakyat Malaysia juga tahu mereka adalah yang terendah, jadi ia amat tidak memadai dengan perbandingan harga bahan api tersebut dengan negara lain.
Saya percaya kerajaan bijak mengatur strategi pembangunan dengan beberapa langkah penjimatan yang diuar-uarkan menerusi empat langkah yang diumumkan Perdana Menteri pada 9 Jun lalu. Melalui empat langkah itu kerajaan akan membuat pengurangan perbelanjaan kerajaan, mempercepatkan bayaran tunai kepada pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan, kuota kemudahan kad fleet yang lebih tinggi untuk pengusaha pengangkutan dan menambah baik jaringan jaminan sosial.
Saya ingin mengulas tentang langkah yang keempat iaitu usaha untuk menambah baik jaringan jaminan sosial terutamanya perkhidmatan pengangkutan awam dan juga saranan Perdana Menteri agar kita sama-sama memikirkan kesejahteraan rakyat untuk Bajet 2009 khasnya dalam peningkatan mutu pengangkutan awam.
Saya berharap kerajaan menyegerakan projek baru perkhidmatan kereta api dari Kuala Lumpur ke Ipoh yang masih mahu ditangguhkan pelaksanaannya. Saya melihat usaha menangguhkannya hanya memburukkan kewangan kerajaan dan juga kos perjalanan serta hidup rakyat. Saya melihat jaringan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Ipoh boleh mengalih penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur untuk tinggal di Ipoh yang saya kira kos hidup masih boleh dikategorikan sebagai munasabah. Saya melihat perkara yang sama di Jepun apabila seorang penyarah saya berulang-alik dari Chiba ke Kanagawa dengan perjalanan 2 jam menggunakan kereta api. Katanya, harga minyak yang mahal di Jepun membuatkan rakyat Jepun lebih selesa menggunakan kereta api. Saya juga bersetuju dengan kata-kata Pengurus Besar Bahagian Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah yang menyatakan bahawa penggunaan sistem LRT atau rel untuk ke pusat bandar boleh dianggap pilihan yang lebih murah dan berkesan berikutan kenaikan harga minyak.
Meningkatkan Kerajaan juga perlu meningkatkan jaringan rel dicadangkan seperti penyambungan jaringan LRT ke Puchong dan Cheras sebagimana diuar-uarkan semasa penjimatan 4.4 bilion subsidi minyak pada tahun 2006. Ia bukan sahaja berbaloi untuk kemudahan rakyat malah ia juga akan meningkatkan pembangunan setempat khasnya sekitar kawasan stesen kereta api. Sebagaimana di Jepun, kawasan sekitar stesen kereta api atau eki dijadikan kawasan pembangunan setempat.
Saya juga suka untuk meminta kerajaan meneruskan projek monorel di Putrajaya agar ia memberikan kemudahan kepada kakitangan awam untuk bergerak antara satu Kementerian ke satu Kementerian sekitar Putrajaya berbanding menggunakan kereta. Ia bukan sahaja melibatkan kos petrol malah ia juga menyusahkan kerana tidak banyak Kompleks Pejabat Kerajaan di Putrajaya menyediakan tempat meletak kenderaan seperti di Parcel D dan Parcel E malah ia juga merosakkan alam sekitar Putrajaya dengan gas monoksida.
Dalam usaha kerajaan meningkatkan mutu perkhidmatan awam, saya tidak nampak hanya penambahan bas semata-mata tetapi sudah masanya kita memberi penekanan terhadap perkhidmatan rel di negara kita. Transformasi ini bukan sahaja memberikan kebaikan terhadap penjimatan kewangan rakyat sebaliknya akan meningkaatkan peluang pekerjaan dan juga membudayakan masyarakat terus menggunakan perkhidmatan awam daripada kereta untuk ke pejabat yang selama ini kita melihat sebagai punca kesesakan di jalan raya sekitar ibu kota mahupun pada hari perayaan.
HE, Kanagawa, Jepun
Sumber www.utusan.com.my



















Bagus terus kan ..demi kekayaan KJ , PAK LAH N FAMILY..