Pemuda UMNO sambut baik pembentukan 6 sekretariat
May 31, 2008 by dewiarjuna
KUALA LUMPUR 30 Mei - Pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menyambut baik pengumuman pembentukan lima sekretariat khas dan sebuah sekretariat tetap oleh ketua pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, semalam.
Anggota exco Pergerakan Pemuda UMNO, Harrison Hassan berkata, penubuhan kesemua sekretariat itu bakal menjadi nadi penting kepada Pemuda Umno untuk sentiasa menjadi segar, dinamik dan relevan kepada anggota UMNO dan keseluruhan rakyat.
“Langkah ini adalah bukti UMNO yang sentiasa peka dan terbuka terhadap semua pandangan, luahan dan kritikan yang membina. Berasaskan formula kesinambungannya sejak (UMNO ditubuhkan) 62 tahun lalu, UMNO sentiasa bersedia bermuhasabah dan berubah demi kepentingan ramai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pembentukan enam sekretariat itu sebagai agenda bertindak Pergerakan Pemuda UMNO bagi memacu usaha mengembalikan keyakinan golongan muda terhadap parti.
Sekretariat khas yang ditubuhkan ialah Sekretariat Permuafakatan, Sekretariat Peremajaan UMNO, Sekretariat Pembelaan Rakyat, Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa dan Sekretariat Perhubungan Media, dan Sekretariat Tetap.
Hishammuddin berkata, setiap sekretariat mempunyai rangka kerja sendiri melalui terma rujukan yang ditetapkan untuk menentukan visi, misi dan objektif dalam merealisasikan hasrat itu.
Harrison seterusnya melahirkan rasa syukur atas kepercayaan Hishammuddin yang melantiknya (Harrison) mempengerusikan Sekretariat Peremajaan UMNO.
“Sekretariat ini akan mendekati golongan sasar bagi memastikan UMNO tetap diminati oleh generasi muda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharuddin berkata, penubuhan sekretariat itu membuktikan komitmen Pemuda UMNO untuk melihat gerakan menyeluruh anggota Pemuda dalam mendokong dan meneruskan agenda parti, terutamanya dalam memartabatkan institusi raja-raja Melayu.
“Usaha harus digerakkan ke arah memperkukuhkan kembali kuasa raja-raja Melayu supaya kedaulatan dan kekuasaan orang Melayu sentiasa terjamin.
“Kita tidak mahu raja-raja Melayu hanya sekadar menjadi simbol sebaliknya mahu mereka (raja-raja Melayu) berada dalam kedudukan untuk menjadi penjaga kelangsungan politik Melayu,” kata Zainol.



















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!