Top

MT akan tentukan keahlian Ezam

May 31, 2008 by dewiarjuna 

PUTRAJAYA 30 Mei - Keputusan muktamad mengenai kemasukan semula pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk bekas Ketua Angkatan Mudanya, Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO, akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan untuk menerima ahli-ahli baru hanya boleh dibuat oleh MT apabila bersidang kelak.

”Setakat ini mereka memohon, bererti permohonan mereka itu diterima oleh Ibu Pejabat UMNO dan Ibu Pejabat akan proses… Setiausaha Agung akan bentang dalam mesyuarat MT nanti,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Sukan Air Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) di Kompleks Sukan Air di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas permohonan beberapa bekas pemimpin PKR untuk menyertai UMNO kelmarin.

Ditanya mengenai reaksi ahli-ahli UMNO berhubung perkembangan terbaru itu, beliau mengaku ada yang setuju dan ada yang membantah kemasukan mereka.

”Ada yang akan setuju, ada yang bangkang tapi yang penting sekali kita bukan lihat dari segi emosi tapi apakah ini menguntungkan parti atau sebaliknya.

”Kalau kita tengok parti lawan, dia boleh terima macam-macam orang masuk… orang yang lahir di Melaka boleh jadi Ketua Menteri di negeri yang lain.

”Ada yang bertanding pinjam simbol pun boleh diterima, parti pembangkang buat macam-macam tak ada timbul persoalan,” katanya.

Najib menambah, mengikut peraturan parti, ahli yang dipecat boleh menyertai semula UMNO hanya selepas permohonan mereka diterima oleh MT.

Beliau yang mengaku akan timbul rasa tidak puas hati di kalangan ahli UMNO berkata, kemasukan Mohamad Ezam dan rakan-rakannya tidak akan memecahbelahkan parti tetapi mengukuhkan perpaduannya.

”Mungkin ada (rasa tidak puas hati) tapi kita mesti faham bahawa kita sebagai sebuah parti politik, kita mesti lihat kepada kepentingan secara keseluruhannya.

”Memang benar satu ketika dulu mereka menentang kita dan mungkin mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hati ahli parti tetapi mereka telah beri pengakuan bahawa mereka insaf atas perbuatan itu.

”Mereka sanggup untuk balik ke pangkal jalan dan menyokong UMNO sebagai wadah perjuangan mereka serta menyumbang ke arah menguatkan parti dan kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Justeru Najib meminta ahli-ahli parti melihat perkara itu dari sudut kepentingan parti dan menerima kemasukan semula bekas ahli PKR ke dalam UMNO.

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom