Top

Kepimpinan UMNO perlu lebih tegas

May 31, 2008 by dewiarjuna 

KOTA BHARU 30 Mei - Kepimpinan UMNO diminta bertindak lebih tegas supaya tidak berlaku pertelingkahan sesama sendiri sehingga menyebabkan rakyat melihat parti itu sebagai lemah dan tidak mampu memimpin negara.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, disebabkan kepimpinan yang tidak tegas, ahli parti itu kini bertelagah sesama sendiri.

“Kepimpinan kita tidak tegas dan lemah sebab itu tidak dihormati, kalau kita kuat, orang akan hormat dan takut untuk menimbulkan masalah.

“Sebab itu budak-budak berkelahi dan bergaduh sesama sendiri kerana orang yang duduk di atas lemah serta tidak tegas,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Persatuan Seni Tomoi Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertelagahan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan dua ahli Parlimen UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir (Jerlun) serta Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.

Sebelum ini, Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, hasrat untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perpaduan Melayu sukar dilaksanakan sekiranya parti-parti lain tidak yakin dengan kepimpinan UMNO.

”Saya dapat maklumat mengatakan pimpinan sedang berusaha ke arah itu tetapi masalahnya adakah Pas atau kelompok Melayu yang lain ada keyakinan kepada pemimpin yang ada sekarang.

”Berkali-kali saya bercakap tentang perpaduan Melayu kerana ia menjadi asas perpaduan negara, kalau tidak dibaiki masa depan kita susah dan gelap,” katanya.

Comments

Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.

Anda harus berdaftar untuk memberi komen.

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!

Bottom