Contohi Thailand hukum penghina raja
May 9, 2008 by admin
Tuan Editor
T
ATKALA mengikuti perkembangan isu ahli politik pembangkang yang bersikap 'kurang adab' dengan pihak istana, terlintas di fikiran saya, ke mana perginya prinsip Rukun Negara yang kita amalkan selama ini?
Sebagai warga negara Malaysia, kita sudah tentu sedia maklum bahawa rangkap pertama Rukun Negara ialah "Kesetiaan kepada Raja dan Negara". Jadi, mengapa terdapat segolongan pihak yang berani untuk mempamerkan sikap yang tidak sepatutnya kepada ketua negara apalagi Sultan dan Yang di-Pertuan Agong, yang sepatutnya kita hormati, sanjungi dan sayangi?
Jika kita ambil contoh, orang muda menghormati orang tua, pekerja menghormati majikan, pelajar menghormati guru, anak mentaati ibu bapa apatah lagi hubungan rakyat dengan raja, yang seharusnya ditaati dan disanjungi. Ini adalah tuntutan alam (nature). Apa akan jadi kalau anak tidak lagi mentaati ibu bapa, orang muda tidak mengendahkan orang tua atau pekerja tidak hormat pada majikan? Jawapannya tentu kita sedia maklum.
Inikan pula apabila rakyat menunjukkan kebiadapan pada rajanya. Apa kesannya pada sistem raja berperlembagaan yang kita pegang selama ini. Tambahan pula, Malaysia sejak dulu mengamalkan sistem beraja bagi memayungi rakyat jelata. Malah, raja berperanan luas dalam bidang keagamaan dan ketenteraan. Jadi tidak sepatutnya ada suara yang membelakangkan peranan tersebut. Tindakan yang tegas patut segera diambil oleh pihak berkuasa seperti mendakwa mereka yang terlibat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau menggubal undang-undang khusus bagi mencegah daripada ada lagi yang 'mulut celupar' menghina institusi beraja.
Kita sepatutnya mencontohi Thailand yang tidak akan kompromi dalam melindungi institusi beraja. Di negara itu, misalnya, seorang warga asing telah dipenjarakan hanya kerana menconteng gambar raja mereka. Dakwaan bahawa Malaysia bukan lagi hidup di zaman feudal sama sekali tidak berasas. Sistem beraja merupakan cara pemerintahan yang telah lama diamalkan di negara ini dan telah banyak berjasa kepada kedaulatan, kemakmuran dan kesejahteraan negara Malaysia yang berbilang kaum.
England dan Jepun adalah antara negara beraja yang terus kukuh di persada dunia dan terus digeruni atas kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.
Beranang, Selangor



















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!