JAWATAN PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO TIDAK PERLU DIPERTANDINGKAN
March 26, 2008 by admin
Memanglah seronok membaca kenyataan UMNO Bahagian Cheras yang menyarankan semua jawatan tertinggi parti itu disemua peringkat, termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan.
Cadangan itu adalah satu daripada 12 resolusi yang dilulus oleh UMNO Bahagian Cheras pada Mesyuarat Khas Empat Peringkat di sini, Selasa malam.
Ketua UMNO bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee berkata cadangan yang akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi UMNO itu dibuat berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum baru-baru ini, disamping selaras dengan sistem demokrasi yang diamal dalam parti.
"Kalau jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, kita tidak tahu kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di dalam parti. Jika ada pertandingan, kita boleh menilai kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di akar umbi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
Beliau yakin pertandingan untuk dua jawatan tertinggi itu tidak akan memecah belahkan parti, malah akan mengukuhkan perpaduan dalaman dan meningkatkan maruah mereka yang menang.
"Biar rakyat tahu Umno amalkan demokrasi sihat, biar orang bertanding.
Pertandingan akan memberi ruang untuk ahli-ahli Umno di akar umbi untuk menterjemahkan kepimpinan sebenar dalam Umno dan kita mahu pemimpin kita betul-betul mendapat sokongan akar umbi," katanya.
Mesyuarat itu juga meluluskan supaya sistem kuota bagi pertandingan jawatan parti yang diamalkan kini dimansuhkan dan harus kembali kepada prinsip asal iaitu mereka yang ingin bertanding boleh berbuat demikian jika mendapat dua pencalonan.
"Kalau kita ada sistem kuota, kita menidakkan orang yang ingin menawarkan diri untuk bertanding. Jika kita mansuhkan, ramai yang akan bertanding dan ahli-ahli mempunyai pilihan untuk memilih pemimpin yang mereka kehendaki," katanya.
Syed Ali berkata resolusi yang dibuat bahagian itu turut mencadangkan supaya satu Perhimpunan Agung Khas diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan kepimpinan Umno mendengar secara jelas dan terbuka kritikan dan saranan anggota parti untuk memantapkan semula organisasi parti.
Resolusi lain yang diluluskan ialah meminta seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Umno supaya memelihara, mempertahan dan menghormati kedaulatan institusi Kesultanan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
Sejak kebelakangan ini, Syed Ali begitu popular. Walaupun beliau bukan menteri, beliau mendapat publisiti dari semua akhbar. Beliau lebih popular dari Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique. Walaupun beliau hanya Ketua UMNO Bahagian, tetapi beliau mendapat publisiti yang cukup meluas dari media cetak dan internet.
Dua hari lepas beliau mengulas isu perlantikan Menteri Besar Terengganu.Menurut Syed Ali, ADUN BN Terengganu tak perlu bergaduh dengan istana, Hari ini beliau mencadangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pula dipertandingkan kerana menurutnya, Presiden dan Timbalan Presiden UMNO kena tahu kekuatan mereka bila ada pertandingan.
Sebenarnya Syed Ali tidak tahu kenapa bekas Presiden UMNO, Tun Dr.Mahathir Mohamad meminda perlembagaan UMNO pada tahun 1988 dahulu. Perrtandingan Presiden UMNO pada 24 April 1987 di antara Dr.Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) telah menyebabkan UMNO diharamkan pada 5 Februari 1988. Selepas itu UMNO ditubuhkan semula oleh Dr Mahathir yang mana akhirnya UMNO meluluskan ketetapan supaya jika mahu bertanding Presiden atau Timbalan Presiden UMNO perlu ada kuota tertentu. 30 peratus pencalonan untuk tanding Presiden UMNO dan 20 peratus untuk tanding Timbalan Presiden UMNO manakala 10 peratus untuk tanding Naib Presiden UMNO.
Jika benar Ku Li ingin mencabar Pak Lah untuk jawatan Presiden UMNO, Ku Li perlu mencari 60 pencalonan. Dahulu tanpa kuota memang mudah bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Dengan dua pencalonan Haji Sulaiman Palestine dapat mencabar Tun Hussein Onn pada tahun 1978.
Ku Li mendapat 37 pencalonan pada tahun 1987 untuk mencabar Dr.Mahathir. Pencalonan memanglah tidak menggambarkan pengundian. Sebab itu Ku Li yang hanyamendapat 37 pencalonan hampir-hampir menewaskan Dr Mahathir.Ku Li kalah 43 undi sahaja dalam pertandingan yang paling sengit dalam sejarah UMNO.
Menyedari hakikat bahawa pencalonan tidak menggambarkan pengundian, maka UMNO meminda perlembagaan supaya setiap pencalonan Presiden atau Timbalan Presiden UMNO dari Bahagian mendapat 10 undi bonus. Pindaan ini menguntungkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1993. Dengan menjanjikan pelbagai saham kepada Ketua-Ketua UMNO bahagian, Anwar berjaya mendapat pencalonan yang banyak ketika menentang Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba.
Ghafar hanya mendapat tujuh pencalonan sahaja termasuk dari Kepala Batas (Pak Lah), Langkawi (Sanusi Junid),Bentong (Adnan Yaakob) dan dengan undi bonus sebanyak 70 undi sahaja Ghafar meletakkan jawatan Timbalan Prseiden UMNO kerana beliau tidak mampu lagi merempuh Anwar Ibrahim yang mendapat undi bonus yang banyak.
Ternyata dengan adanya undi bonus ini, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak mampu dicabar oleh sesiapa lagi. Oleh itu cadangan UMNO Bahagian Cheras supaya menghapuskan undi bonus,merupakan satu cadangan yang tidak wajar diterima.
Presiden UMNO adalah satu institusi kerana Presiden UMNO adalah Perdana Menteri Malaysia. Jika Presiden UMNO dicabar seperti tahun 1987, siapa lagi mahu hormati Presiden UMNO. Apatah lagi dalam suasana BN tidak dapat majoriti dua pertiga. Dengan sewenang-wenangnya istana mencabar kuasa Perdana Menteri apabila melihat kuasa BN sudah lemah.
Oleh itu pada hemat saya jawatan Presiden UMNO dan Timbalannya tidak perlu dipertandingkan. Ia bukanlah bertujuan untuk membela Pak Lah atau Najib. Jika Presiden UMNO sekarang adalah Ku Li pun, saya tetap berpendapat bahawa tak payahlah merebut jawatan itu.Tak guna merebut jawatannya, akhirnya UMNO tewas pilihan raya. Cukuplah BN tewas di lima buah negeri. Ambillah iktibar dari kekalahan itu supaya UMNO diperkasakan semula bagi menghadapi pilihan raya umum 2012.
dipetik dari tepakbersulam.com



















Comments
Peringatan: KPMU.net tidak akan bertanggungjawab keatas sebarang komen yang dibuat terhadap artikel ini.
Anda harus berdaftar untuk memberi komen.
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!
You must be logged in to post a comment. Or Register an account now!